Wanita Boleh Menghidap Semua Jenis Penyakit Mental, Ketahui Faktor-Faktor Risikonya

Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak. Ia boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Ikuti penjelasan Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah terhadap soal-jawab berkaitan penyakit mental.

Apakah Jenis-Jenis Penyakit Mental Yang Dialami Wanita?

Sebenarnya wanita boleh menghidap semua jenis penyakit mental. Cuma ada sesetengah penyakit yang lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding dengan lelaki seperti pelbagai penyakit kemurungan dan penyakit keresahan.

Apakah Faktor-Faktor Risiko Penyakit Mental?

Pelbagai faktor risiko penyakit mental. Antaranya seperti;
  • faktor genetik (boleh diwarisi turun temurun)
  • faktor ibu bapa (kurang keakraban dengan ibu semasa bayi, masalah perkahwinan ibu bapa, ibu bapa yang menghisap dadah, ibu bapa yang mengabaikan anak, ibu bapa yang menghidap penyakit mental seperti penyakit skizofrenia, bipolar dan kemurungan yang teruk sehingga menjejaskan penjagaan anak)
  • masalah kehidupan harian (masalah kewangan, masalah perkahwinan, stres kerja, masalah dengan rakan sekerja, masalah putus cinta, kematian orang tersayang)
  • sejarah menjadi mangsa buli termasuk siber buli, sejarah penderaan fizikal, seksual dan emosi, gangguan seksual, penggunaan dadah dan alkohol
Faktor-Faktor RISIKO Penyakit Mental, Ini Yang Perlu Kita Ambil Tahu!
Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah.

Bagaimana Hendak Mengetahui Diri Ada Penyakit Mental / Cara Mengesan?

1-Pertama sekali, kemerosotan fungsi utama seperti fungsi pekerjaan, akademik atau sosial.
2-Perkara kedua adalah mempunyai tanda- tanda penyakit mental seperti;
  • mood yang murung
  • hilang minat dan keseronokan melakukan hampir kesemua aktiviti
  • tidur terganggu
  • hilang selera makan atau selera bertambah mendadak
  • rasa letih selalu
  • pergerakan, fikiran dan percakapan menjadi perlahan
  • rasa diri tidak berguna dan asyik salahkan diri
  • hilang tumpuan dan cepat lupa
  • memikir untuk membunuh diri atau sudahpun cuba membunuh diri
  • halusinasi
  • delusi
  • kelakuan yang pelik dan percakapan yang tidak relevan atau koheren
  • katatonia
  • menjadi terlampau teruja tanpa sebab
  • rasa diri berkuasa/sangat kaya/nabi/rasul, bertindak agresif dan banyak lagi tanda tanda.

Artikel berkaitan:

Rupanya Ini Punca Sakit Belakang Semasa Haid, Wanita Kena Ambil Tahu!

IKLAN

Adakah Penyakit Mental Ini Boleh Dirawat?

Boleh dengan rawatan ubat ubatan, psikoterapi, dan/atau intervensi psikososial.

Apakah Langkah-Langkah Penjagaan?

Langkah berjaga jaga untuk mengelak penyakit mental adalah keupayaan untuk menangani stres kronik dengan berkesan. Jika tidak dapat menangani stres, maka perlu untuk mendapatkan bantuan pakar kaunseling, psikologi klinikal atau pakar psikiatri untuk menangani stres.

IKLAN

Jauhi dari penggunaan dadah atau kebergantungan kepada alkohol. Walaupun ramai remaja dan orang muda berpendapat bahawa penggunaan ganja adalah tidak berbahaya, namun ia adalah tidak benar kerana dalam ganja, kerana ia juga mengandungi bahan kimia yang boleh mengganggu minda dan meningkatan risiko skizofrenia, terutama dalam kalangan orang yang mempunyai risiko genetik penyakit psikotik yang tinggi.

Adakah Pengambilan Ubat Boleh Memberi Kesan Pada Pesakit?

Setiap ubat mesti ada kesan sampingannya. Namun, kebanyakan kesan sampingan adalah bersifat sementara, iaitu lebih kerap berlaku dalam bulan pertama rawatan dimulakan. Tetapi, ia akan berkurangan dan lenyap selepas badan kita telah adaptasi dengan ubat.

IKLAN

Kebanyakan ubat juga tidak menyebabkan kerosakan buah pinggang, hati atau jantung. Cuma kepada mereka yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang atau hati disebabkan penyakit medikal akan mengalami kekurangan perkumuhan sisa ubat dari air kencing atau najis.

Oleh itu, dalam golongan ini, dos ubat perlu dipreskripsi dalam dos berkesan yang paling rendah untuk mengelak kesan sampingan atau ketoksikan ubat.

Faktor-Faktor RISIKO Penyakit Mental, Ini Yang Perlu Kita Ambil Tahu!

Sumber: Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI