Bila isteri sendirian uruskan semua hal, boleh jadi dia akan cepat penat dan tak mampu kawal emosinya. Boleh ukur pada bebelannya atau mungkin dia bertukar jadi pendiam tanpa sebab.
Ya, itulah salah satu petanda emosi seorang isteri kelaut! Ada masa dia nak meluah apa yang dia rasa, namun kalau suami langsung tidak pernah bertanya… boleh jadi dia memilih untuk berdiam diri.
Nak-nak pula kalau suami sibuk dengan urusan kerja. Allahu… betapa beratnya tanggung jawab seorang isteri walau dia cuma hanya duduk di rumah.
Buat suami, jemput selami hati seorang isteri dengan berlapang dada melalui perkongsian Puan Intan Dzulkefliini. Ada sesuatu tentang emosi wanita yang mungkin kaum suami tak pernah ambil tahu.
Bila Suami Keluar Tinggalkan Anak Dengan Isteri
Suatu hari, suami pulang agak lewat dari kerja. Kemudian selepas dia menyantuni kami dan anak-anak selepas solat, dia minta izin untuk keluar berjoging. Katanya untuk ‘warming up’ sempena charity run yang dia akan dia sertai pada hujung minggu.
“30 minit je…”janjinya.
Saya hargai dia bertanya, tanda dia menghormati isterinya. Walau sebenarnya selaku suami, dia tak perlu pun izin saya.
Setelah suami pergi, saya sambung semula buat kerja bisnes di workstation, sambil memantau anak-anak mewarna menggunakan water color.
Namun, terhenti taipan di papan kekunci. Tiba-tiba sahaja hati rasa tersentuh.
“Arghh… seronoknya lah jadi orang lelaki. Bebas sebebas burung. Aku jugalah yang seperti gajah yang dirantai besi. Kalau dibukakan rantai kaki pun tak reti nak ke mana..” bisik hati kecil.
Yelah, apabila suami beri masa keluar untuk ME-TIME, ada masanya (bukan setiap kali) hati asyik teringat pada anak. Rasa tak tahu pula nak ke mana. Rasa sunyi tanpa usikan suami dan keletah anak-anak. Sudahnya beberapa minit dah terpacul semula depan pintu rumah.
Ya Allah.. wanita.. wanita.. sungguh complicated! Terus teringat lagu Ragaman. Huhu. Wanita ni, kadang dia pun tak faham kenapa dia rasa dan bertindak begitu.
Suami Mula Membaca Riak Wajah Isteri
Dengar bunyi pintu rumah dibuka, suami sudah pulang. Dia terus naik mendapatkan saya. Secepatnya dia perasan perubahan riak wajah ini. Bertahun-tahun hidup bersama, dia sudah masak dengan segala perubahan reaksi wajah isterinya.
“Kenapa ni? Marah ke?” Soalnya prihatin.
Ads
Saya menggeleng.
“Taklah.”
“Habis tu?”
Saya melepas nafas. Pandang muka suami.
“SAYA CEMBURU, CEMBURU DENGAN KEBEBASAN ABANG,”luah saya. Jujur.
Suami saya senyum. Fahamlah dia gelojak hati saya.
“Terima kasih yang.. atas segala pengorbanan. Jaga anak-anak, jaga abang.”
Katanya perlahan. Mungkin untuk menyejukkan hati ini.
Alhamdulillah. Terpujuk juga hati ini. Walau kadang rasa sebak dan menitis juga air mata bila singgah perasaan kacau sebegini, tanpa tahu kenapa.
Emosi Isteri Sentiasa Berubah
Teringat satu pesanan ustazah, “orang perempuan yang Allah pilih duduk rumah, dia perlu bersyukur, Allah pilih nak beri dia pahala tanpa perlu bersusah pun keluar dari rumah. Dia redha ‘lepaskan’ suami buat jihad, dakwah, cari nafkah halal, pahala tersebut dia pun dapat.”
Ads
MasyaAllah. Mudah bunyinya. Namun, selalu ada masanya emosi seperti roller coaster.
Nak pujuk hati, nak redha itu sangat payah. Tak pernah pun cemburu dengan wanita lain tentang hidup mereka. It’s their life. We woman are not in competing with each other. We should empower each other.
Namun setelah berkahwin, disebabkan hanya suami best friend forever (BFF) yang ada. Maka, dialah sasaran rasa cemburu itu. Cemburu dia boleh bebas ke mana tanpa perlu risau pada anak-anak, sebab ada isteri di rumah menjaga mereka.
Hati bapa tak seperti hati ibu, itu kata orang tua-tua.
Saya tahu, ada juga wanita lain rasa seperti ini. Bukan tak redha, tetapi inilah cabaran yang kadangkala singgah menguji hati.
Ada suatu masa, bila dengar radio ikimfm, berkumandang lagu ‘Jangan Menangis Habibah’. Sampai korus, suami turut ikut menyanyi,
“Solat lima waktu.. Puasa di Ramadhan.. Taati suamimu.. Maruah dipertahan..
Sabdanya pilihlah.. Syurga mana.. Pintu mana.. Yang kau suka”
Suami pandang pada saya sambil senyum. Beria dia menyanyi. Saya tahu dia maksudkan lirik itu untuk menguatkan saya.
Mudahnya Isteri Masuk Syurga
Dulu semasa sebelum nikah, dengar khutbah baitul muslim, asatizah bacakan hadis betapa mudahnya isteri nak masuk syurga.
Ads
Rupanya lepas kahwin, I have to admit, this journey is tougher than what I was thought before.
Everyday is a battle. Sometimes I win. Sometimes I lose. But as Muslim, I never give up.
“I am not a bad mom, it’s just a bad day.”
Reset semula esok, insyaAllah. Syukur alhamdulillah, masih waras lagi.
Bercerita pada ibu kadang ibu hanya gelakkan sahaja. Ya, mungkin cabaran ibu bahkan lebih sukar lagi kerana kesibukan ayah bahkan lebih berganda. Terima kasih ibu, atas segala pengorbanan untuk kami anak-anakmu.
Ada Ramai Wanita Depress
Medan rumahtangga nampak kecil. Sekecil dalam rumah, bahkan cuma menangani anak-anak kecil, “it’s not a big deal.” Sesetengah memang akan fikir begini. Namun, di sebalik dinding batu itu, ramai wanita telah tewas menangani emosi sendiri. Ramai yang ‘lost’ kerana depresi.
Maka, sangat penting suami memainkan peranan sebagai supporter nombor satu isteri, teman paling baik dan paling rapat kepada isteri.
Jangan biarkan isteri sendirian. Selalulah bertanya perasaannya dan berbual dengannya. Selalulah ambil tahu segala gelojak rasanya yang dipendam. Peluk dirinya. Buka pintu rumah, dapatkanlah dia dahulu.
Mehnah dan tribulasi dalam rumah tangga adalah ujian berdua suami dan isteri, maka tangani ujian itu bersama, galasi beban itu bersama.
Support isteri selayaknya dialah ketua penghulu bidadari kalian di syurga. insyaAllah.
Bahagia Itu Milik Suami Isteri
Semoga Allah merahmati semua suami dan isteri yang sentiasa berusaha membahagiakan, menyokong dan memahami pasangan masing-masing sebaiknya. Amiin
Hidup ini adalah untuk menggapai redha Ilahi. Semoga dapat lagi berkumpul bersama dalam syurgaNya. InsyaAllah.
Nota tambahan:
“Ribut” ini biasanya hanya sesekali melanda kaum isteri. Namun, sekiranya ia berlaku hari-hari dengan tangisan, jeritan, kemurungan, SUAMI SILA RUJUK PAKAR PERUBATAN. Harap maklum.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita sememangnya insan yang istimewa. Tak mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dalam masa yang sama perlu menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Rutin harian yang sangat sibuk, segala penat dan lelah hanya dipendam sendiri demi memastikan keluarga terurus sempurna. Adakalanya pengorbanan besar ini, tidak dihargai oleh suami sendiri dan mengakibatkan ramai wanita mudah stress sehingga tahap hadapi kemurungan!
Jemput baca, fahamkan dan hayati perkongsian oleh pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew ini sebagai renungan.
Sedih dan cuma mampu berdoa kasihan pada wanita yang diuji.
Baru ini saya ceramah pada sekumpulan wanita yang mengalami tekanan dan stress dan sehingga sampai tahap kemurungan. Ramai yang menangis bila saya kata Allah sayang. Saya minta mereka ramai-ramai ulang sebut “Allah sayang saya. Allah sayang saya.” Mereka semua menangis sambil ucap perkataan itu. Mereka menangis makin kuat.
Orang tanya saya kenapa wanita ini stress. Jawapannya, mereka juga manusia. Cuba kenang sekejap. Undang-undang dibuat supaya semua waktu kerja ada waktu. Siapa majikan tak ikut diambil tindakan. Mesti ada waktu rehat. Untuk bibik pun kerajaan dah buat jadual mereka mesti ada rehat. Buruh di kilang dan ladang juga ada waktu. Seorang isteri ada jadual rehat tak? Hampir semua tiada rehat. Ya Allah. 24jam sehari. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibu ayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Uruskan Karenah Anak & Suami
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Kerja meleraikan anak menjerit bergaduh menangis. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami. Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Masa nak mandi pun takde. Anak menjerit ketuk pintu. Masa bila nak makan. Masa bila nak tidur. Masa bila nak mandi. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah…itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..“saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel . Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya..
Seorang lelaki yang ingin kebaikan, bahagia dan kejayaan dalam hidupnya berusahalah gembirakan 2 orang ini. Isteri dan ibumu. Lihatlah bagaimana Allah akan bahagia dan kebaikan dalam hidupmu.
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk.
Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu. Jadilah pendengar setia dan penyayang.
Isteri Amanah Allah
Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bibik. Bukan cleaner. Bukan pekerja kita. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Itulah kehidupan rumahtangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah
Harapan saya nak cadang supaya setiap rumahtangga suami isteri dihantar kursus kekeluargaan 3 bulan sekali. Organisasi dan kerajaan sepatutnya hantar setiap staf bawa pasangan belajar ilmu rumahtangga. Suburkan cinta dan sayang dengan sunnah Nabi saw. Buat isteri yang mengadu ada masalah keluarga di pejabat agama. Terus hantar suaminya bawa belajar iman di masjid supaya lebih menghargai isteri dan belajar bimbing isteri dan agama. Sedih sebab bila ada masalah bertahun-tahun wanita itu derita sampai jadi murung. Jadi takut suami. Trauma. Sakit. Disiksa zahir batin. Bantulah ya Allah. Permudahkanlah dan berilah jalan keluar buat wanita-wanita ini.-
Benarlah mafhum sabdaan Nabi saw, orang yang paling baik ialah orang yang paling baik kepada isterinya. Nabi saw ialah orang yang paling baik terhadap isterinya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Ceduklah pengajaran daripada perkongsian ini. Semoga para wanita terus kuat dan cekal menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Nasihat buat para suami pula, hargailah pengorbanan dan penat lelah isteri.Bantulah para isteri serba sedikit urusan rumahtangga dan jangan biarkan isteri uruskan semuanya hingga boleh menyebabkan dirinya stress dan alami kemurungan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesan media sosial ke atas kesihatan mental remaja di Malaysia kian mendapat perhatian. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, satu daripada empat remaja dilaporkan mengalami tekanan emosi, manakala satu daripada lapan remaja berumur 10-19 tahun menghadapi gangguan kesihatan mental, dan yang lebih membimbangkan, satu daripada 10 mempunyai niat untuk membunuh diri.
Angka-angka ini telah menunjukkan peningkatan berbanding lebih sedekad yang lalu. Apabila penggunaan media sosial di kalangan remaja semakin meningkat, kesannya terhadap kesihatan mental semakin membimbangkan. Kajian menunjukkan bahawa ini boleh mengakibatkan buli siber (cyber bully), keresahan dan kemurungan.
Dr Tee Bee Chin
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini, Dr Tee Bee Chin, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway berkongsi secara mendalam impak ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Sebagai seorang yang menitikberatkan kesihatan mental kanak-kanak, Dr Tee Bee Chin menekankan kepentingan mengesan tanda-tanda awal ketagihan aktiviti serta permainan dalam talian yang boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan.
Katanya, “Ketagihan terhadap aktiviti dan permainan dalam talian ini boleh mengakibatkan satu tindakbalas negatif dengan pantas. Ia sering menjadi masalah sekunder dalam masalah yang utama seperti kesukaran pembelajaran, konflik sosial dengan rakan sebaya, serta perbalahan keluarga. Ini boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti mengasingkan diri daripada aktiviti harian, peningkatan kepada toleransi terhadap masa yang dihabiskan di hadapan skrin, dan keasyikan terhadap aktiviti dalam talian. Kami menggunakan asas piawaian untuk mendiagnosis ketagihan, seperti mempertimbangkan faktor-faktor seperti masa yang dihabiskan dalam talian, kesan ke atas kehidupan harian, serta kegagalan untuk mengurangkan masa yang dihabiskan di hadapan skrin.”
Dr Tee menekankan kesan ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian terhadap kanak-kanak di Malaysia, terutamanya terhadap kesihatan mental, dan berkata, “Ketagihan kepada aktiviti dan permainan dalam talian boleh mengakibatkan kesan negatif kepada seseorang. Penggunaan internet secara berpanjangan boleh menyebabkan keresahan, kemurungan, dan isu-isu kesihatan mental yang lain. Ini juga akan menjejaskan kehidupan seseorang kanak-kanak secara fizikal dan mental.”
Dr Tee juga berkata penyelidikan jelas menunjukkan hubung kait yang signifikan antara penggunaan media sosial yang ketara dengan gejala-gejala kemurungan, kegelisahan sosial, dan serta simptom fizikal yang menunjukkan keresahan terutamanya dalam golongan remaja perempuan. Tambahnya lagi, “Saya juga telah melihat hubung kait antara permainan video yang ganas dengan tingkah laku agresif pada kanak-kanak. Permainan yang melibatkan pencarian musuh atau menyelesaikan misi yang agresif boleh mencetuskan tindak balas yang ganas dalam tempoh yang singkat,” tambahnya.
Gambar hiasan
Satu kajian terbaharu juga telah menunjukkan remaja yang terdedah kepada permainan video yang ganas dengan lebih kerap, boleh menunjukkan tahap kemarahan yang lebih tinggi, sering bertelagah dengan guru, penglibatan dalam pergaduhan fizikal yang lebih kerap, dan prestasi sekolah yang merosot.
Dr Tee menjelaskan punca-punca yang menyebabkan terjejasnya kesihatan mental di kalangan remaja:
Buli siber: Platform media sosial boleh menjadi tempat bercambahnya kegiatan buli siber, yang kemudian membawa kepada keresahan, kemurungan, dan kurang keyakinan diri.
Takut ketinggalan (FOMO): Pendedahan berterusan terhadap aktiviti orang lain yang kelihatan lebih menarik boleh mendorong perasaan FOMO, dan kemudiannya menyebabkan pengasingan diri dan keresahan.
Ketagihan dan Perilaku Kompulsif: Media sosial yang mendorong kepada ketagihan boleh menyebabkan penggunaan yang kompulsif dan membuatkan seseorang memerlukan perakuan daripada orang lain (validation), mengakibatkan keresahan dan kemurungan apabila tidak mendapat perhatian.
Kurangnya Interaksi secara Bersemuka: Terlalu bergantung pada media sosial untuk berkomunikasi boleh mengurangkan interaksi dalam kehidupan harian, menyebabkan kesunyian dan pengasingan sosial.
Informasi yang Berlebihan (Information Overload): Pendedahan yang berterusan kepada berita yang membimbangkan, kandungan yang mengerikan atau yang mencetuskan panik di media sosial boleh meningkatkan tahap tekanan dan menjejaskan kesihatan mental.
“Pesakit sering kali mengalami stigma apabila mereka mendapatkan rawatan untuk kesihatan mental lantas menambahkan lagi penderitaan mereka. Saya pernah melihat kes remaja yang pada awalnya semakin pulih dengan terapi dan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun dia mengalami masalah kesihatan semula setelah tidak meneruskan rawatan. Walaupun ini bukanlah penyebab secara langsung, ia berpotensi untuk menjadi masalah kepada remaja, terutama mereka yang mahu mendapatkan bantuan tetapi takut kepada stigma,” tambahnya.
Pelbagai Pendekatan Menangani Kesihatan Mental Kanak-Kanak
“Pelbagai rawatan dan terapi mesti disesuaikan kepada keperluan individu serta beberapa faktor lain seperti umur, sokongan, kebolehan yang sedia ada untuk mengatasi masalah (coping skills), ciri-ciri peribadi, serta penerimaan diagnosis atau rawatan oleh kanak-kanak dan keluarga mereka,” kata Dr Tee.
Gambar hiasan
Pilihan rawatannya termasuk:
Kaunseling untuk menangani stres
Terapi tingkah laku kognitif (cognitive-behavioral therapy) untuk menangani pemikiran yang tidak membantu yang dikaitkan dengan gangguan kemurungan dan kegelisahan
Terapi menghadapi kesedihan (grief therapy) untuk tekanan emosi akibat kehilangan orang tersayang
Terapi trauma untuk mereka yang menghadapi trauma pada zaman kanak-kanak atau eskapisme yang tidak sihat melalui ketagihan internet
Terapi bermain untuk kanak-kanak kecil untuk membolehkan mereka meluahkan fikiran dan perasaan mereka
Terapi keluarga untuk menangani konflik keluarga yang mengakibatkan tekanan emosi
Ubat-ubatan seperti antidepresan dan antikegelisahan untuk simptom yang teruk
Dr Tee menekankan bahawa pengesanan awal terhadap ketagihan dapat memberi manfaat kepada perkembangan kanak-kanak. Beliau berkata pengesanan dan rawatan yang tepat pada masanya boleh mengurangkan risiko bunuh diri serta meningkat mekanisme untuk menghadapi tekanan (coping mechanism) terutamanya bagi mereka yang bergelut dengan kemurungan, kegelisahan, serta kesepian semasa menjalani rawatan. Beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk mendapatkan bantuan daripada pakar kesihatan.
“Ibu bapa perlu mencari rawatan dan nasihat yang sewajarnya daripada pakar kesihatan yang memahami cabaran untuk menghadapi ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian ini. Kumpulan sokongan boleh menawarkan pertolongan kepada para remaja yang berhadapan dengan cabaran ini. Mereka akan dapat merasakan ketenangan dalam persekitaran di mana orang dewasa dan rakan-rakan menerima mereka seadanya, tanpa perlu mengubah diri mereka.
“Untuk memastikan keberkesanannya, kumpulan sokongan khusus yang terdiri daripada pakar psikologi kanak-kanak yang terlatih dengan teknik kaunseling yang betul boleh memberi manfaat tambahan kepada rawatan untuk pesakit yang mungkin lebih selesa untuk berada antara mereka yang mengalami masalah yang sama. Meskipun media sosial adalah antara punca isu kesihatan mental di kalangan remaja, ia boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dengan mendidik masyarakat mengenai situasi-situasi ini serta menyediakan pilihan yang boleh memberikan sokongan semasa krisis,” kata Dr Tee.
Tambahnya lagi, “Internet boleh digunakan, tetapi adalah penting untuk orang dewasa memberikan panduan. Mari kita bersama-sama menggalakkan penggunaan internet secara konstruktif – platform yang membolehkan kita berkongsi idea, menyelami seni dan kraf, mencari dan menjalankan hobi, serta mempertingkatkan kemahiran.”
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Dr Tee menekankan akan pentingnya kita melindungi kesihatan mental kanak-kanak pada era digital ini. Mengenali tanda-tanda gangguan emosi, mendapatkan bantuan awal, serta memupuk persekitaran yang positif adalah penting untuk memastikan kesihatan mental bagi generasi anak muda ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak dinafikan pandemik covid-19 membuatkan ramai yang terkesan apabila ada yang terpaksa diberhentikan kerja, kehilangan sumber pendapatan, menanggung pelbagai hutang dan pelbagai masalah lain. Saban hari juga, kes kemurungan, depresi dan bunuh diri semakin meningkat apabila tak dapat lagi menahan beban yang ditanggung.
Siapa sangka suami yang sihat, berpewatakan ceria dan positif kini berubah sikap dan disahkan menghadapi kemurungan melampau. Ujian demi ujian menimpa dan pelbagai masalah dihadapi oleh suami sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya tidak tertanggung lagi.Isteri ini reda apabila suaminya disahkan menghidap penyakit mental.
Reda Suami Disahkan Hidap Penyakit Mental
“Saya reda dengan ketentuan Allah jika suami saya disahkan menghidap penyakit mental,” kata Natashakilla Zulku, 27, dari Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, dekat sini.
Natashakilla berkata, dia tidak menyangka suaminya, Khairul Kasmon, 35, mengalami kemurungan teruk selepas menghadapi beberapa tekanan hidup.
“Suami berubah kepada personaliti begitu berbeza berbanding dulu yang sangat ceria dan sentiasa berfikiran positif.
“Suami tak pernah tertekan sebelum ini, kami bahagia dan mampu tunaikan permintaan empat anak berusia antara dua hingga 11 tahun. Keadaan itu berubah apabila satu persatu masalah menimpa sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Mac tahun lalu,” katanya.
Terputus Sumber Kewangan
Menurutnya, sebelum itu suaminya diuji dengan kehilangan ibu disusuli nenek yang meninggal dunia akibat sakit tua dan ketika PKP, sektor pekerjaan suaminya dihentikan sementara.
“Saya pula ketika itu baru melahirkan anak bongsu, suami sudah kelihatan tertekan kerana merasakan beban besar yang perlu dihadapi ditambah pula masalah kereta rosak yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi.
“Suami saya ketika itu bekerja kontrak sebagai pemandu jentera pengaut hanya mendapat bayaran gaji harian dan sumber kewangan kami sekeluarga terputus berikutan pelaksanaan PKP fasa pertama,” katanya.
Natashakilla bersama suaminya. FOTO ihsan Natashakilla Zulku
Bantu Suami Dapatkan Rawatan
Katanya, sejak itu suaminya mula murung, solat pun terlupa rakaat, bercakap seorang diri.
“Saya terus menghubungi klinik desa berhampiran dan dinasihatkan membawa suami untuk rawatan.
“Pada Mac tahun lalu, saya menghubungi ambulans untuk membantu suami mendapatkan rawatan, tapi dia mula bertindak agresif apabila memeluk semua anaknya sambil menjerit dan meminta agar tidak memisahkan mereka,” katanya.
Dia berkata, selepas dihantar ke wad psikiatri di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, doktor mengesahkan suaminya mengalami kemurungan melampau dan perlu mendapat rawatan.
“Saya sebagai suri rumah memang tiada sumber pendapatan dan keadaan kesihatan suami pula tidak menentu bergantung pada keadaan emosinya,” katanya.
Kepada sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Natashakilla di talian 011-27873126.
Mingguan Wanita : Kasihannya. Semoga isteri ini diberi kekuatan dalam menghadapi ujian ini. Waktu PKP ni memang ramai yang terkesan, dihimpit pelbagai hutang, masalah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Peranan dan sokongan keluarga terdekat sangatlah penting dalam memerhatikan sebarang perubahan terhadap tingkah laku orang tersayang. Segeralah dapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom kemurungan.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirasi dan lain-lain.
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI
Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 31 Julai 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti. (https://toko.ideaktiv.com/product/jom-pandai-bakeri-buat-duit-jual-kek-dan-roti/ )
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...