Terjadinya penceraian dalam rumah tangga, selain pembahagian harta, anak-anak juga perlu dipisah jagaan harian baik belah ibu mahupun bapanya. Turun naiklah mahkamah, kedua suami isteri untuk selesaikan hal yang merumitkan ini.
Lagi-lagi, jika suami berkeras menawarkan itu ini kepada ibu itu sendiri.
Sanggupkah ibu melepaskan anak-anak kepada suami dan sebagai balasan ibu terima tawaran ‘indah’ dari pihak suami. Ada juga kisah benar yang MW pernah berdepan ibu ini rela memberikan hak penjagaan pada suami sebagai syarat lafaz cerai untuknya.
Alangkah, terseksanya hidup isteri malang itu selepas itu terpaksa pula turun naik mahkamah mahu tuntut kembali hak jagaan anak. Jadi, mak-mak.. sebelum keputusan berat ini diambil, fikirlah semasak-masaknya.
Sebagaimana yang dilalui Puan Rehan Sidik ini dalam memperjuangkan hak jagaan empat orang anak-anaknya. Benar tidak mudah, namun lihatlah apa matlamat asal yang dipegang sehingga Allah mudahkan jalan wanita ini.
Anak Atau Harta
Apabila terpaksa membuat pilihan, saya memang akan memilih anak. Walau berapa pun yang mereka tawarkan.
“Tuan Hakim, tolonglah jangan pisahkan saya dengan anak-anak. Saya merayu. Saya akan perjuangkan mereka berempat sehingga titik yang terakhir. Itu janji saya.”
Suatu masa dulu, saya pernah berdepan dengan situasi ini. Memilih antara harta dunia dan harta akhirat, iaitu anak-anak.
Hanya Allah dan keluarga sahaja yang tahu bagaimana saya berjuang untuk menuntut hak Hadhanah (hak penjagaan anak-anak ) ini. Ia bukan semudah seperti drama di televisyen. Jalannya sukar dan penuh dokumentasi.
Ads
Namun, betapa saya cukup yakin dengan pilihan ini apabila saya diminta untuk membuat keputusan di hadapan barisan peguam dan hakim semasa perbicaraan.
Menggigil? Gementar?
Takut salah buat pilihan?
TIDAK SAMA SEKALI!!
Kerana saya sudah pun bertanya Allah terlebih dahulu. Solat Istikharah menjadikan hati saya cukup yakin dengan pilihan ini. Lancar sahaja saya mengatur baris-baris kata semasa di kandang bicara.
Alhamdulillah.
Allah telah berikan saya 1000 kekuatan, agar saya tegas dengan pendirian. Kerana saya tidak sanggup berpisah walau salah seorang daripadanya.
Ads
Saya sedar, nilaian harta yang ditawarkan ketika itu cukup lumayan dari pihak defendan.
Biarlah. Harta itu walau tinggi nilainya di dunia, tapi ia tiada jiwa, tiada nilainya di akhirat nanti. Anak-anak ini ada jiwanya dan amanah yang perlu saya jaga sampai bila-bila.
Ini Cara Mahkamah Nilai Kelayakan Mak Untuk Hak Penjagaan Anak
Mama yang sedang berjuang seperti saya dulu, jangan risau. Di sini saya berikan beberapa pertimbangan yang diambilkira oleh pihak mahkamah dalam menentukan hak penjagaan anak-anak ini.
1. Sekiranya anak itu masih kecil, di bawah 7 tahun untuk kanak-kanak lelaki dan di bawah 9 tahun untuk kanak-kanak perempuan, hak penjagaannya adalah ibu.
2. Jika ibu itu memenuhi kriteria iaitu seorang Islam, sempurna akal, berumur yang melayakkan dia menjaga dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak serta berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah, hak penjagaannya ialah ibu.
3. Jika si ibu berkahwin lain dan perkahwinan itu menjejaskan kebajikan anak-anak, jika ibu berkelakuan buruk secara terbuka, jika ibu menukar pemastautinan ke negeri atau negara selain tempat asal si ibu dengan tujuan untuk menjauhkan anak dari ayah, hak penjagaan boleh berpindah kepada si ayah
4. Siapakah pilihan anak setelah berumur melebihi 7 tahun untuk lelaki dan 9 tahun untuk perempuan, maka si ayah mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat hak penjagaan anak
Ads
5. Mahkamah sangat mengambil kira KEBAJIKAN anak-anak sebagai pertimbangan yang paling utama. Teruskan berjuang
“Han, jangan risau. Hukum syarak dan undang-undang telah memperuntukkan seorang ibu lebih berhak ke atas anak-anaknya. Jika diikutkan kelima-lima pertimbangan ini, Insya Allah kes Hadhanah ini, kita akan menang.”
Allahuakbar.
Ujian Allah Itu Bersebab
Sujud syukur saya kepadaNya, apabila tuan peguam juga memberikan kata penguat semangat. Nampak ada sinarnya untuk saya dan anak-anak.
Iya. Ujian Allah itu ada sebabnya, walaupun perit pada permulaannya dan di akhirnya penuh hikmah dan ibrah.
Yang penting, pada waktu itu, saya perlu usahakan untuk sentiasa mencari jalan penyelesaian. Bukan sekadar bersedih, dibayangi rasa trauma dan menganiayai diri, anak-anak dan keluarga sehingga jauh tersasar dari rahmat dan jalan Allah.
Saya akui, sebagai seorang Muslim, hanya satu yang perlu saya utamakan iaitu untuk mendapat redha dari Allah.
Saya takkan mungkin kekal di dunia. Anak-anak dan keluarga akan ditinggal jua. Tiba masanya saya akan kembali kepada-Nya. Bila-bila masa sahaja. Dan saya mahu kembali dalam keadaan yang tenang dan sempat untuk memperjuangkan anak-anak syurga saya.
“Saya membesarkan mereka sendiri sebagai ibu tunggal sejak 15 tahun lalu” itulah luahan Rita Rudaini yang sangat cemerlang dalam mendidik anak-anaknya.
Pelakon senior, Rita Rudaini menerangkan kejayaan anaknya Airit Rayyan Rizqin, 15, atau Rayyan dalam bidang sukan tidak ada kaitan dengan mewarisi genetik keluarga atau DNA seorang legenda.
“Saya Membesarkan Mereka Sendiri Sebagai Ibu Tunggal”
Seperti mana yang dipetik menerusi Harian Metro Online, Rita memberitahu tiada keperluan untuk orang luar mengaitkan kejayaan anaknya dalam bidang suka dengan sesiapa.
“Tidak ada kaitan DNA pun sebab saya yang membesarkan mereka sendiri sebagai ibu tunggal sejak 15 tahun lalu.
“Jadi, sebab apa nak dikaitkan DNA semua? Pernah ke nampak bapanya gendong anak atau hantar anak pergi sekolah? Tak pernah, kan? Jadi orang luar, jangan cakap mengenai saya dan anak-anak.
“Hanya saya saja yang sentiasa bersama mereka (anak). Saya juga yang duduk tengok anak tepi padang dan hantar anak ke sekolah. Tapi, orang lain sibuk nak sebut anak ikut legenda dan macam-macamlah.
“Saya pun jadi pelakon, tak warisi bakat sesiapa sebab dalam keluarga saya tak ada pun genetik pelakon dan hanya saya seorang saja yang terbabit dalam karier seni ini,” luahnya.
Anak-Anak Ibarat Kain Putih
Rita juga akui kemampuan anaknya dalam bidang sukan dek kerana didikan yang diberikan.
Kemampuan anaknya di dalam bidang sukan disebabkan cara dia membesarkan serta mendidik mereka kerana anak-anak ini ibarat kain putih dan tengoklah siapa yang mencorakkannya.
Sebelum ini Rita berasa kesal dengan tindakan sebuah portal berita menggunakan tajuk Anak Legenda JDT (Johor Darul Takzim) berhubung pencapaian terbaik anaknya, Rayyan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024.
Sesetengah bayi yang dilahirkan akan alami demam kuning. Waktu ini doktor akan sarankan ibu menyusukan bayi sekerapnya, iaitu setiap 2 jam sekali selepas kelahiran. Tapi ibu juga perlu ingat, kolostrum cuma duduk dekat ibu beberapa jam selepas kelahiran. Sebaik bayi dalam dakapan, susukanlah agar dia kuat dan terima antibodi dari khasiat kolostrum.
Tapi ibu yang pertama kali bersalin, perlu tahu juga susu ibu pada awal kelahiran tidak keluar memancut. Ia ada dengan kadar mencukupi untuk bayi anda yang masih baru melihat dunia itu. Bila ibu faham hal ini, maka maksud penyusuan sekerapnya itu sampai dalam pengetahuan ibu.
Ada juga sesetengah ibu yang memang akan berhadapan bayi kuning, walaupun anaknya sudah disusukan dengan kerap. Hal ini, anda perlulah merujuk kepada doktor kerana mereka lebih arif dan faham bagaimana mahu merawat bayi anda yang alami demam kuning.
Sekiranya selepas melahirkan ibu sudah pulang ke rumah, sebagai langkah pencegahan anda boleh ikhtiarkan memandikan bayi dengan bilasan air pokok herba dukung anak. Jangan pula sesekali diberikan bayi dengan minuman atau makanan selain susu ibu untuk mencegah kerana tindakan itu akan memudaratkan bayi. Biarlah ibu saja yang mengambilnya dan khasiat itu akan mengalir melalui air susu yang diberikan kepada bayi anda.
Ini perkongsian daripada Pengasas SuzyHoney Herbs, Puan Suzima Hazish untuk petua memandikan bayi dengan bilasan pokok herba dukung anak mahupun kayu sepang kederang.
Hari Ke-3 Kelahiran Cucu Sulung
“Bayi ini adalah cucu sulung saya yang dilahirkan pada 2 September 2017, baru ini. Bila Nyang (emak saya) memandikan cicitnya.”
“Kalau saya takat pegang dukung-dukung baby boleh le, tapi kalau bab mandi bayi ni awal-awal usia bayi tak berapa berani. Nasib emak ada. Alhamdulillah.”
“Setakat hari ke-3 baby tak menunjukkan ‘kuning’. sikit-sikit tu ada le. Untuk cegah kami gunakan rebusan daun dukung anak mandikan baby.”
Caranya
1. Ambil beberapa pokok daun dukung anak yang segar sekali dengan akarnya dan dibersihkan.
2. Kemudian, direbus sehingga menggelegak.
3. Tapiskan dan tunggu sampai suam-suam kuku.
4. Mandikan bayi seperti biasa dan air tapisan tadi digunakan untuk mandikan bayi sebagai bilasan terakhir.
Nota
√ Gunakan mandian herba dukung anak ini sampai tidak kelihatan kuning di tubuh bayi anda.
√ Kaedah yang sama iaitu 1-4 juga boleh digunakan untuk bilasan kayu sepang kederang.
√ Kayu Sepang Kederang ini boleh diperoleh di kedai tabib cina atau singseh
√ Tak perlu campurkan daun dukung anak atau kayu sepang kederang ini. Cukuplah dengan menggunakan salah satu daripadanya.
Anak ketiga baru dilahirkan, belum sempat rasa kasih sayang seorang ayah, tapi wanita ini telah diceraikan suaminya ketika dalam pantang.
Soal jodoh ini ketentuan Tuhan, namun tidakkah ada sekelumit rasa sedih di hati suami menceraikan isteri yang baru saja melahirkan anak. Yang baru saja menyabung nyawa lahirkan zuriat untuknya.
Wanita Ini Diceraikan Dalam Pantang
Berat sungguh ujian buatnya. Dugaan buat seorang ibu beranak tiga di Flat Taman Semarak di Nilai, Negeri Sembilan, apabila dia diceraikan suami ketika masih dalam pantang.
Keadaan itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun tersebut berdepan tekanan, malah buntu memikirkan bagaimana mahu membesarkan tiga anaknya berumur empat dan dua tahun serta bayi berusia 17 hari.
Wanita kelahiran Sabah itu telah diceraikan suaminya pada Khamis lalu selepas 13 hari melahirkan anak lelakinya.
Menurutnya, dia tidak menyangka diceraikan hanya kerana menegur suaminya yang membiarkan buku temu janji klinik anaknya koyak.
Anak Baru Dilahirkan, Belum Sempat Rasa Kasih Sayang
“Saya tak tahu kenapa hanya disebabkan masalah kecil itu dia terus menceraikan saya dengan talak satu.
“Yang saya paling sedih kerana anak kami baru saja dilahirkan dan belum sempat merasa kasih sayang seorang bapa,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya.
Mengulas lanjut katanya, penceraian berkenaan merupakan kali kedua selepas kali pertama pada 2018, bagaimanapun dirujuk semula ketika masih dalam tempoh edah.
Jelasnya, sepanjang empat tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya itu, mereka tidak mempunyai banyak masalah.
“Saya rasa mungkin dia tertekan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana tak dapat bekerja seperti biasa dan kemuncaknya bila dia terpaksa menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari kerana positif Covid-19,” katanya.
Wanita tabah itu berkata, dia tidak lagi mahu mengenangkan apa yang berlaku dan mahu membuka buku baharu demi anak-anaknya.
Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi masalah kepadanya ketika ini adalah untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti kerana selama ini bergantung sepenuhnya kepada suami.
Kesusahan Wanita Ini Mendapat Perhatian
Keperitan hidup ini mendapat perhatian beberapa pihak, antaranya menerima kunjungan Pengurus Semarak Resource Centre, Muzaliza Musa. Semarak Resource Centre merupakan pusat komuniti flat berkenaan.
Sementara itu, menurut Muzaliza, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang untuk melihat keadaan keluarga itu dengan lebih dekat, dalam masa sama beliau turut mengalu-alukan bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk meringankan beban keluarga tersebut.
“Dari segi barangan makanan dan keperluan, ia mencukupi buat masa ini tetapi apa yang jadi kebimbangannya ialah bayaran bulanan sewa rumah dan bil utiliti yang perlu ditanggung selepas ini,” katanya.
Mingguan Wanita : Bagi mereka yang mahu membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 1562-2636-2529 atas nama Nurmila. Semoga sedikit sebanyak bantuan daripada mak, ayah dapat mengurangkan beban keluarga ini.
Seorang lelaki maut dalam kemalangan Jalan Batu Pahat–Kluang apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya melanggar lori di tepi jalan. Isterinya yang hamil enam bulan terkejut kehilangan suami tersayang.