Foto: Ihsan Bomba

Telah tiba ajalanya, tidak akan terlepas walaupun sesaat. Bayangkan pada mulanya adik yang kelemasan, tetapi dengan ketangkasan seorang abang, adik dapat diselamatkan. Malah mangsa juga dapat  selamatkan rakan-rakannya.

Ternyata Allah lebih menyayangi dia, abang “pergi” buat selamatnya selepas selamatkan adik dan rakan. Remaja yang keletihan ini telah hanyut dibawa arus sebelum ditemui lemas.

Mayat remaja lelaki ditemui pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan lemas di Kampung Parit Haji Ali Laut, Parit Raja, dekat sini, hari ini.

Mayat Mohd Naqiuddin Adnan, 16, ditemui di dasar parit pada 8.40 pagi hari ini selepas dia dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya dan empat rakan pada 4.30 petang semalam.

Abang “Pergi” Selepas Selamatkan Adik & Rakan

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil siasatan mendapati pada 4 petang semalam, mangsa turun mandi ke parit berkenaan bersama adiknya, Akmal Muzakir Adnan, 12, dan empat rakannya berusia antara 10 hingga 13 tahun.

“Lebih kurang 30 minit mandi manda, adik mangsa dan dua lagi rakannya dibawa arus sebelum mangsa berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mereka dengan menarik ke tepi parit berkenaan.

“Selain itu, dua lagi rakan adik mangsa yang turut mandi bersama terselamat.

Baca Juga Di sini:

Walaupun Masih Kecil, ENAM Beradik Ini Berkorban Buat Kerja Rumah, Bergilir Jaga IBU

Anak POSITIF Covid-19, Ibu Tunggal Ini Sanggup Ambil RISIKO Temankan Anak Hingga SEMBUH

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Remaja Yang Keletihan Hanyut Dibawa Arus

“Akibat keletihan, mangsa kemudian dilihat hanyut dibawa arus dan tenggelam, namun adiknya serta empat rakan tidak berupaya menolong dan mendapatkan bantuan daripada penduduk berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat segera dijalankan sebaik maklumat diterima dengan membabitkan pihak berkuasa dan penduduk setempat, namun mangsa gagal dijumpai semalam.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ini dan pada 8.40 pagi, mayat mangsa dijumpai anggota bomba di dasar parit itu.

Hasil Bedah Siasat, Mangsa Lemas

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana lemas.

“Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dengan pergerakan anak dan tidak membiarkan anak mandi di parit atau sungai dalam keadaan cuaca dan paras air yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Teknik Surface Searching

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, bomba menggunakan teknik ‘surface searching’ dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air bertentangan iaitu arah Gate Air dengan jarak lebih kurang 1 kilometer (km).

Beliau berkata, parit berkenaan mempunyai lebar hampir 10 meter (m) dan kedalaman tiga meter (m).

“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan sebuah jentera FRT dan satu utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8.50 pagi sebaik mayat mangsa ditemui,” katanya.

MW: Besar pengorbanan remaja ini, dia pergi buat selamanya setelah mengorbankan nyawa demi adik yang dikasihi. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan dia di kalangan orang beriman. Amin. Al-Fatihah.

Sumber: myMetro

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI