Aaron Aziz seru hentikan sebar video, pelakon yang berasal dari Singapura Datuk Aaron Aziz menyeru agar berhenti menyebarkan video mengenai ibu dua anak, Wan Nor Baizura Bharudin atau ‘Kak Long 7E’ yang kini tular di media sosial.
Aaron Aziz Seru Hentikan Sebar Video
Malah menerusi kapsyen sebuah hantaran di laman sosialnya, Aaron juga menyentuh mengenai setiap manusia yang tidak pernah ada yang sempurna.
“Tiada yang sempurna. Semua orang ada sikap buruk. Maafkanlah. Itu lagi mulia daripada nak memburuk-burukkan,” tulisnya.
Jagalah Maruah & Aib Anak Wanita Itu
Video yang mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata netizen mengecam tindakan wanita tersebut dan anaknya, Muhammad Adam Aqish Mikhail, 8, di dalam kedai serbaneka yang dianggap biadab serta keterlaluan.
Selain video tersebut, turut tular video wanita terbabit bersikap kurang ajar terhadap kakitangan restoran makanan segera.
Malah Aaron juga turut menyentuh mengenai maruah dan aib anak kepada wanita itu.
Ads
“Di sini, saya minta jasa baik netizen semua untuk berhentilah memuat naik semula (repost) mengenai Kak Long 7E. Dia pun dah minta maaf dan pasti menyesal.
“Kasihan anaknya, nanti nak pergi sekolah malu diejek atau apa.
“Kita Doakan Yang Baik-Baik Saja.
“Cerita dah habis, jadi biarlah mereka sekeluarga tenang. “
“Saya pasti dia sudah belajar dan menerima pengajarannya,” kongsinya.
Ads
Jadikan Pengajaran – Komen Netizen
Di ruangan komen pula ramai yang setuju dengan pendapat hero drama popular Suamiku Lelaki Pendosa itu.
Tidak dinafikan tanggungjawab bergelar isteri dan ibu cukup berat untuk digalas, baik menguruskan rumahtangga mahupun anak-anak.Seringkali ramai yang beranggapan, golongan surirumah ini, miliki masa terluang untuk ‘goyang kaki’ dan yang lebih banyak dirumah berbanding wanita yang keluar bekerja. Hakikatnya,hanya yang pernah bergelar surirumah sepenuh masa sahaja yang benar-benar memahami. Kerja-kerja dirumah tak pernah habis, baik daripada celik mata hinggalah melelapkan mata.Ada sahaja kerja yang ingin dibuat, belum lagi melayan kerenah anak-anak yang pelbagai ragam.
Semoga perkongsian oleh Puan Syazana Ahmad ini, membuka mata kita agar tidak menggangap bergelar surirumah satu kerja yang mudah dan punyai banyak masa terluang.Malah janganlah sesekali memandang rendah pada golongan ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Saya seorang ibu kepada 2 anak, suri rumah sepenuh masa. Dulu, saya bekerja ketika anak baru seorang. Saya ada berjumpa dengan kawan-kawan yang lain, ada yang sedang mengandung dan ada yang beranak seorang juga. Mereka tidak bekerja (suri rumah), kami berbual tentang kandungan dan anak-anak.
Dalam perbualan kami, ada seorang kawan yang menyatakan bahawa dia agak penat melayan anak kecilnya dan dalam masa yang sama melakukan tugas di rumah.
“Hai, awak suri rumah saja pun, layan anak seorang, itu pun mengeluh penat? Habis aku ni lagilah penat. Dengan mana kerja lagi, balik rumah kena layan anak pula,” sampuk saya.
Kata-kata saya itu menyebabkan dia berdiam diri. Ya, dalam hati saya pada masa itu berkata,
“Eleh, suri rumah saja pun. Buat teruk lebih dia ni,”
Setahun berlalu, saya mengandung anak kedua. Semasa mengandung lagi suami telah berpesah agar berhenti kerja dan jaga anak di rumah sahaja. Saya terpaksa akur, saya berhenti kerja selepas bersalin dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Selesai berpantang di kampung, saya kembali ke rumah dan menjalankan rutin seorang suri rumah. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasakan. Rupanya bukan senang menjadi suri rumah.
Dengan anak kecil yang asyik merengek, yang kakak suka terjerit-jerit. Kerja rumah tak terkejar jadinya. Dengan mana nak sidai baju, baru nak mandi si kecil sudah menangis (baby 3 bulan). Layan si si kecil sampai tak sempat nak mandi. Baru nak memasak, kakak dah datang selerakkan dapur. Dengan si kecil yang tidur tadinya terus terjaga dan menangis. Rasa stress sangat! Penat!
Bila malam, baru saya sempat sidai baju, mandi puas-puas sebab suami pulang dari kerja boleh tolong jagakan mereka buat seketika. Masa itu saya teringat kata-kata saya pada kawan saya dulu.
Dulu bila saya bekerja, anak dihantar pada pengasuh, jadi sempatlah nak mandi, makan dengan tenang di tempat kerja. Bila balik, mandi dulu baru ambil anak. Baju, hujung minggu baru basuh. Jadi anak, suami yang jaga.
Bila nak bandingkan, jadi suri rumah lagi penat. Allah, sabar sajalah. Saya bercerita sikit sebab mahu mengingatkan kepada para wanita yang bekerja usahlah memandang rendah pada suri rumah. Mereka lagi susah, dengan duit yang cukup pakai, tak boleh bermewah seperti ibu yang bekerja.
Saya sudah minta maaf pada kawan saya itu. Saya harap, jagalah hati ibu-ibu lain yang juga suri rumah sepenuh masa ini ye.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sebenarnya tak kiralah surirumah mahupun bekerja, bila wanita bergelar isteri dan ibu, tanggungjawab dan penatnya menguruskan anak-anak dan rumahtangga sama je penatnya.
Pelakon, Ika Nabella begitu bimbang dengan keadaan anaknya Muhammad Noah Zayn yang telah didiagnosis penyakit karotenemia atau jaundis palsu iaitu salah satu jenis penyakit kuning.
Ika dan suami, Muhammad Zaid Aznam mendirikan rumah tangga pada 30 Julai 2016 dan menerima cahaya mata lelaki pada 23 Otober 2019.
“Terlalu banyak pigmentasi kuning pada kulit dan peningkatan beta-karotin dalam darah,” begitulah yang dikongsikan Ika Nabella menerusi sebuah entri di akaun Instagramnya tentang keadaan anak lelakinya.
Malah Ika juga menerangkan, punca penyakit tersebut disebabkan pengambilan makanan karotin yang berlebihan seperti lobak merah.
“Uncle dan unty sila doakan @muhammadnoahzayn sihat sempurna. Dia kini didiagnosis sebagai bayi karotenemia atau orang selalu memanggil ‘bayi oren’ kerana pengambilan makanannya.
“Pengambilan makanan karotin yang berlebihan. Dia suka lobak merah sangat. Phewww. Salah Ibu.
“Tapi jangan risau Noah baik-baik saja, keadaan ini tidak berbahaya cuma Mommy dan Ayah kena merawat perubahan warna kulitnya,” tulisnya yang turut menyatakan keadaan itu tidak merbahaya.
Ubah Corak Makanan Anak
Ika turut menyatakan akan mengubah corak makanan anaknya yang akan beralih kepada hijau dan merah.
“Sekarang! Tiada lagi lobak merah atau labu! Kita pergi hijau ok dan merah,” coretnya lagi.
Dahulu, dialah paling rapat, peneman dan teman berbual setiap kali ibunya sibuk menyiapkan tempahan kuih muih. Dialah juga orang pertama yang akan merasa masakan ibunya.
Memori-memori inilah yang akan dikenang dan tidak dapat dilupakan bagi seorang ibu, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48 tahun, terhadap anak keduanya, anak yang paling rapat, Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 19 tahun.
Kini, anak manja dalam keluarga ini hanya terlantar di katil, tidak mampu berbuat apa-apa dan perlu diuruskan oleh keluarganya. Semua ini akibat kemalangan yang berlaku empat tahun lalu.
Nampak Perubahan
Menurut Raja Rasiah, kemalangan itu berlaku pada 16 November 2015, semasa Mohd Amier Firdaus atau dipanggil Abe Ngoh berusia 15 tahun.
“Saya boleh katakan Abe Ngoh seorang anak yang baik. Habis sahaja sekolah, dia akan terus pulang ke rumah dan kebanyakan masanya dihabiskan di rumah.
“Namun, dua hari sebelum kejadian tersebut, Abe Ngoh ada menunjukkan kelainan dengan berpakaian serba baru, sehinggakan saya sendiri tertanya-tanya dengan gayanya itu.
“Pada hari kejadian itulah, Abe Ngoh meminta izin pada saya untuk keluar bersama kawan-kawan ke tempat perkelahan di Telaga Bijih, Batu Gajah. Tanah Merah. Mereka menaiki dua buah motosikal. Sampai di tempat itu, Abe Ngoh hanya membasuh muka dan terus mengajak kawannya pulang. Katanya, dia ingin pulang untuk makan nasi di rumah,” cerita Raja Rasiah tentang kejadian itu.
Dua Jam Tunggu Bantuan
Cerita Raja Rasiah lagi, semasa dalam perjalanan pulang itu, motosikal yang dinaiki oleh Abe Ngoh berselisih dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan. Bagi mengelakkan kemalangan, motosikal Abe Ngoh melencong ke bawah jurang.
“Bila terjatuh, kawan Abe Ngoh merangkak naik ke atas untuk meminta bantuan kerana sebuah lagi motosikal sudah meluncur ke hadapan. Cukup menyedihkan dalam tempoh dua jam, kawan Abe Ngoh cuba meminta bantuan orang yang lalu lalang tetapi tidak ada seorang pun yang sanggup berhenti untuk menghulurkan bantuan. Ini kerana tempat kejadian itu adalah kawasan yang agak sunyi dan ramai orang tidak berani untuk berhenti di situ.
“Sehinggalah, ada seorang pakcik yang sanggup berhenti selepas melihat kawan Abe Ngoh menangis. Dalam tempoh menunggu bantuan itu, Abe Ngoh sudah tidak sedarkan diri.
“Mereka di hantar ke klinik berdekatan. Namun, selepas membuat pemeriksaan, doktor meminta mereka di rujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan. Melihat keadaan Abe ngoh yang tidak sedarkan diri, dia dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut. Pada masa itulah, kawan-kawan Abe Ngoh menelefon saya untuk memberitahu kemalangan yang menimpanya,” kata Raja Rasiah mengingatkan detik-detik itu.
Sudah Jatuh Ditimpa Tangga
Di HUSM, Abe Ngoh dirawat selama empat bulan dan dalam tempoh itulah, dia langsung tidak sedarkan diri.
“Saya, suami dan anak-anak berkampung di hospital itu, kebetulan cuti sekolah dan sukar untuk saya dan keluarga berulang alik. Kereta menjadi tempat tidur kami anak beranak. Mungkin tiada rezeki kami, kereta kami telah dicuri ketika menjaga Abe Ngoh. Semua barang di dalam kereta lesap.
Bagai jatuh di timpa tangga. Selepas mendapat kebenaran untuk membawa pulang Abe Ngoh ke rumah, sekali lagi Raja Rasiah dirundung sedih kerana dihalau oleh tuan rumah sewanya. Maklum sahaja selama empat bulan, dia tidak balik ke rumah dan tidak mampu membayar sewa rumah.
“Semua barang kami diletakkan di luar rumah dan ada barang kami di curi. Hanya yang tinggal barang-barang lusuh sahaja. Saya menumpang seketika di rumah kakak ipar di Tanah Merah. Lagipun, duit simpanan kami habis digunakan sepanjang berada di HUSM,” katanya dengan nada sedih.
Bina Hidup Baru Kembali
Bukan sahaja tiada tempat untuk berteduh, anak yang cukup disayangi terlantar sakit dan duit simpanan pula habis digunakan. Raja Rasiah seolah-olah bermimpi dan hilang segalanya dalam sekelip mata. Pernah satu masa, dia dan keluarganya tidak mampu membeli telur walaupun berharga RM2.
Dia tersentap dan perlu bangkit untuk membina hidup baru. Mujurlah dengan kudratnya itu, dia mencari rezeki dengan menerima tempahan kuih muih dan mendapat rumah hasil permohonannya dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Tanah Merah.
Di rumah itulah, dia dapat menjaga Abe Ngoh dengan lebih baik dan dengan sedikit wang yang dikumpul, dia bersama suami membuka gerai makan di depan rumah dengan menjual mi celup dan masakan panas bagi menampung perbelanjaan keluarga sejak setahun lalu.
“Dengan rezeki berniaga inilah, anak-anak saya dapat ke sekolah dan membeli keperluan untuk Abe Ngoh,” katanya lagi.
Tidak Mampu
Berbalik kisah anak keduanya ini, Abe Ngoh yang sudah terlantar empat tahun, Raja Rasiah dapat melihat perubahan dan perkembangan Abe Ngoh.
“Dari sehari ke sehari, saya lihat keadaan dia semakin uzur. Mungkin kerana saya menyekat pengambilan susu khas yang perlu diambilnya setiap hari. Kalau dahulu, Abe Ngoh akan minum susu khas sebanyak lapan skop setiap empat jam sekali.
“Kini, saya terpaksa kurangkan kepada lima skop sahaja. Saya terpaksa buat begini kerana tidak mampu untuk membeli susu. Sekurangnya satu tin mampu bertahan selama tiga hari,” katanya yang bergilir-gilir dengan anak perempuan untuk memberikan susu pada Abe Ngoh.
Tambah Raja Rasiah lagi, walaupun dia menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun perbelanjaan untuk tampung kos beli susu khas dan lampin pakai buang untuk Abe Ngoh tidak mencukupi.
Jika sebelum ini, Abe Ngoh tidak menunjukkan tindak balas. Kini, ada sedikit perubahan, di mana dia akan terkejut apabila dengar bunyi yang kuat. Tetapi bila terkejut atau batuk pun dia boleh kena sawan.
“Bila dia terkejut itulah, saya akan cepat-cepat memeluknya supaya sawan tidak menyerang,” katanya lagi.
Anak Yang Baik
Ketika ditemubual melalui telefon, sempat penulis bertanya tentang perkara yang sangat dirindui semasa Abe Ngoh sihat sahulu.
Dengan nada sedih, Raja Rasiah mengatakan dia rindu saat-saat Abe Ngoh menjadi teman berbual semasa dia menyiapkan tempahan kuih muih. Dia rindu untuk melihat Abe ngoh merasa masakannya. Dia rindu untuk melihat Abe Ngoh datang dan baring di lengannya. Dia rindu untuk mendegar permintaan Abe Ngoh supaya dipotongkan kuku dan dibersihkan telinganya.
“Dia anak yanga baik, manja dan tidak pernah menyusahkan ibu bapanya. Dia sanggup berusaha mencari duit poket untuk membeli barang yang diinginkan,” katanya dengan nada sebak.
Harapkan Keajaiban
Ditanya keadaan Abe Ngoh yang hanya mampu terlantar itu, apa yang diberitahu oleh doktor adalah kerana dia terlalu lama dibiarkan tanpa rawatan semasa kemalangan tersebut sehinggakan oksigen habis dan tidak dapat disalurkan ke otak.
“Doktor memberi tempoh selama enam bulan untuk Abe Ngoh kembali sihat. Jika lebih daripada tempoh ini, semuanya atas keajaibanNya.
“Saya tahu, dalam tempoh empat tahun ini tiada perubahan yang berlaku pada Abe Ngoh. Tetapi saya tetap berharap dan tidak henti berdoa agar Abe Ngoh sedar kembali. Walaupun tidak sempurna, sekurangnnya dia dapat bercakap dan kenal ahli keluarganya,” katanya penuh pengharapan.
INFO
*Selain Abe Ngoh, Raja Rasiah mempunyai dua anak perempuan iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2. Namun, dua anak ini seperti memahami keadaan keluarganya dan kerap tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar duit tambang van RM4 sehari.
*Raja Rasiah turut mengalami masalah jantung dan kebas tangan kanan. Manakala suaminya, Mohd Hijazi Ismail, 56 tahun, juga tidak mampu melakukan kerja berat ekoran mengalami penyakit kencing manis kronik.
*Bilik yang menempatkan Abe Ngoh sangat kecil dan muat untuk dirinya sahaja. Cuba berusaha untuk besarkan bilik tetapi masih terbengkalai.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17924802 atau menerusi akaun Bank Rakyat 221191118221 (Raja Rasiah Raja Ibrahim).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...