second hand

Memang seronok bila dah ada rumah sendiri.Namun bagi pembeli rumah ‘second hand’ jangan lupa untuk buat pertukaran nama pada 3 perkara asas ini. Ini kerana beli rumah ‘second hand’ tak sama macam beli rumah dengan pemaju (under construction). Pembeli kena buat banyak pertukaran nama dekat segala bil dan dokumen yang ada.

Menerusi perkongsian Salkukhairi Abd Sukor, yang juga merupakan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam),ramai pembeli, khususnya pembeli yang baru kali pertama beli rumah, kadang-kadang terlupa dan terlepas pandang untuk membuat pertukaran nama pada 3 perkara ini.

1. BIL UTILITI

Ramai pembeli yang lupa untuk membuat pertukaran nama pada rekod bil utiliti seperti bil elektrik, air dan indah water.

Sepatutnya, selepas selesai urusan jual beli, pembeli perlu pergi ke pejabat pembekal perkhidmatan utiliti seperti TNB, SBA dan IWK untuk membuat pertukaran rekod akaun perkhidmatan utiliti untuk rumah yang anda baru beli. Ini kerana dalam rekod pejabat pembekal utiliti, ianya masih lagi atas nama pemilik asal.

Ada dua cara anda boleh lakukan untuk membuat pertukaran rekod akaun tersebut:

A. Buka Akaun Baru

Anda buka akaun baru untuk bil utiliti tersebut di mana anda perlu membuat bayaran deposit pembukaan akaun baru. Jumlah deposit yang perlu dijelaskan adalah mengikut jenis rumah. Selepas akaun baru dibuka, pemilik asal perlu membuat pembatalan akaun lama dan sebelum itu sekiranya terdapat tunggakan bil utiliti, pemilik asal hendaklah terlebih dahulu menjelaskan segala bayaran tunggakan tersebut. Selepas itu deposit untuk akaun asal tersebut akan dikembalikan kepada pemilik asal oleh syarikat pembekal perkhidmatan utiliti.

B.Sambung Guna Akaun Pemilik Lama

Anda boleh memohon untuk kekalkan akaun lama bil utiliti tersebut, tetapi hanya buat pertukaran pada nama pemilik sahaja. Cuma dalam kes sedemikian, anda perlu refund bayaran deposit pembukaan akaun bil utiliti tersebut terus kepada pemilik asal kerana deposit pembukaan akaun tidak akan dikembalikan oleh syarikat pembekal perkhidmatan memandangkan akaun tersebut masih aktif.

2. CUKAI PINTU

Ramai yang terlepas pandang untuk buat permohonan pertukaran rekod cukai pintu.Sebagai pemilik baru anda perlu pergi ke Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran untuk membuat pertukaran nama dalam rekod cukai pintu.

Apa yang patut anda lakukan adalah anda perlu mengisi borang yang disediakan dan sertakan dokumen-dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan SNP, salinan geran yang telah dipindahmilikkan kepada nama anda dan salinan bil cukai pintu terkini dan anda perlu membuat bayaran caj perkhidmatan yang sepatutnya.

Kemudian barulah nama anda akan dimasukkan sebagai pemilik baru dalam rekod cukai pintu.

3. BIL MAINTENANCE DAN SERVIS CAJ (SEKIRANYA RUMAH STRATA)

Perkara ini pun ramai pembeli yang terlepas pandang. Pembeli perlu memaklumkan kan kepada bahagian maintenance /JMB akan pemilik baru unit tersebut. Ini untuk membolehkan pihak pengurusan bangunan update rekod pemilik baru unit tersebut dan bil maintenance dan servis caj akan diserahkan kepada pemilik baru.

Cuma masih ramai yang keliru tentang siapakah sebenarnya yang perlu bertanggungjawab membuat segala urusan pertukaran tersebut. Adakah penjual, pembeli atau peguam?

“Tanggungjawab tersebut sebenarnya terletak kepada pembeli. Walau bagaimanapun ada sesetengah peguam menawarkan perkhidmatan tersebut bersekali dengan urusan jual beli. Namun, perkara tersebut bukanlah satu kewajipan kepada peguam. Jadi lebih baik anda sahkan dengan peguam anda sama ada mereka yang akan uruskan urusan pertukaran nama tersebut atau anda perlu lakukannya sendiri.”

Sekiranya peguam yang lakukan , biasanya mereka akan kenakan yuran guaman kepada anda untuk perkhidmatan tersebut. Jadi jika anda ingin jimat kos guaman, adalah disarankan anda lakukan sendiri urusan pertukaran tersebut, kerana ianya bukanlah sesuatu yang sukar pun untuk dilakukan. Cuma perlukan sedikit masa untuk menguruskannya.

Jika tidak, ianya akan memberi kesan kepada pemilik asal di mana segala bil perkhidmatan di atas akan diserahkan kepada pemilik asal dan masih atas nama pemilik asal. Kesannya, sekiranya ada tunggakan bil, pemilik asal yang akan dituntut oleh pihak-pihak di atas.

Jadi penting juga bagi pemilik asal untuk follow up dan sahkan dengan pembeli selepas urusan jual beli selesai sama anda pertukaran nama tersebut telah dibuat atau sebaliknya. Jangan bila sudah dapat wang jualan rumah, anda lepas tangan sepenuhnya. Apa-apa jadi kelak, anda juga yang akan dipertanggungjawabkan.

Moga tulisan ini dapat memberi peringatan kepada anda untuk menyelesaikan urusan pertukaran nama tersebut dengan segera sebaik sahaja urusan jual beli selesai.

Sumber:Salkukhairi Abd Sukor

Jangan Lupa Komen

komen