Isteri suruh buat itu ini, suami ikut. Minta apa saja suami bagi. Jika merajuk cepat suami pujuk. Sakit sikit pun suami prihatin, semua kerja rumah kongsi buat bersama, duit nafkah tak pernah terunggak, layanan batin isteri diutamakan. Tetapi, kenapa isteri masih tak puas hati?
Sama halnya dengan sesetengah suami, walaupun isteri pandai berhias, masih juga nakal mencari yang lebih ‘merecik’ kononnya.
Isteri di rumah taat, tak pernah tinggikan suara, ikut segala titah perintah.
Tak pernah mengungkit, diam dan reda bila dimarah.
Tak pernah menolak layanan batin tak kira dia letih atau sakit dikuatkan juga jiwa raganya.
Anak-anak dan rumah diurus jaga dengan baik semua demi kepuasan suami.
Tetapi masih juga isteri yang salah, yang tak pandai layan, yang menjadi punca musibah dan bala dalam keluarga. Maka di manakah kan dicari rasa yang bernama ‘kepuasan’?
Allah SWT mencipta manusia dalam keadaan sentiasa tak pernah berpuas hati, suka merungut dan tamak.
Sifat-sifat ini merupakan tabiat semula jadi insan yang penuh kelemahan.
Al-Quran menyatakan perkara ini satu persatu.
Dalam Surah Al-Ma’arij ayat: 20 Allah berfirman: “Apabila dia (manusia) ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah”.
Ads
Ada banyak lagi sifat negatif manusia yang dirungkaikan dalam al-Quran. Contohnya suami yang tak adil dan mahu menang sendiri. Apa saja yang dilakukannya sentiasa betul, isteri sentiasa salah.
Dia mahu dilayan lebih tapi tak mahu melayan dengan baik.
Dia mahu mengambil tetapi tak mahu memberi.
Dia mahu kepuasan tapi tak mahu memuaskan.
Bukankah Al-Quran berkata kepada kita: ”Celakalah orang-orang yang curang dalam sukatan. Iaitu apabila mereka mengambil sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan sebaliknya apabila mereka menimbang sukatan orang lain mereka kurangi.” (Surah al-Muthaffifin ayat: 1-3)
Oleh itu sentiasalah saling menilai dan menyoal, “apakah aku telah berbuat tidak adil kepada pasanganku? Jika aku menghendaki sesuatu apakah aku juga telah memberi apa yang pasanganku mahu?”
Jika kita tak berlaku adil, Allah panggil kita dengan panggilan celaka seperti herdikan Allah di dalam ayat tadi.
Panggilan yang amat memalukan sekaligus menakutkan! Wahai suami celaka, wahai isteri celaka, alangkah buruknya panggilan!
Ads
Sesungguhnya merubah tabiat negatif menjadi positif dengan akhlak yang mulia tidaklah mustahil. Kita semua boleh berubah, atur strategi baru untuk mencapai impian menjadi pasangan yang soleh solehah.
3 Langkah Untuk Mengubah Diri Demi Kepuasan Pasangan
1. Reda Allah SWT Mengatasi Kepuasan Pasangan
Kelemahan seorang lelaki menjadi ujian untuk isteri begitu pula sebaliknya. Ujian itu mendatangkan pahala sabar.
Jadi janganlah sedih jika suami menyakiti kerana saat itu Allah sedang memenuhi kantong pahala kita sehingga penuh.
Mula-mula tanamkan reda kemudian usaha merubah keadaan dengan layanan yang baik.
Tidak menambah masalah dengan masalah baru, sentiasa tambahkan ilmu agama dan amalkannya, jangan cari kesempurnaan suami jika kita tak mampu menjadi isteri yang sempurna!
Jika kita mencari kesempurnaan dalam perkahwinan kita akan letih dan sakit, mustahil kita temui! Kita lupa Allah jadikan suami isteri banyak kelemahan untuk saling menguatkan, bukan mematahkan antara satu sama lain.
2. Kepuasan Letaknya Di Hati Yang Sihat
Memuaskan hati pasangan jangan hanya sekadar menggembirakannya dan mengikut apa saja kemahuannya.
Tetapi berikhtiar untuk mengajak pasangan kita membersihkan hati setiap hari.
Ads
Hati dikaratkan oleh dosa kerana meninggalkan kewajipan agama dan maksiat yang disengaja. Ia menjadi berkudis oleh sebab khianat kepada Allah dan bernanah kerana menyimpan dendam, dengki, riya dan permusuhan kepada manusia.
Jika suami sentiasa tak puas hati, mengamuk bila berada dalam tekanan, cepat-cepatlah ubati hatinya dengan mengingati Allah.
Kikis karat hati dengan ilmu kerana ia adalah cahaya Allah yang menerangi hati manusia.
Segala dosa yang besar atau kecil itu bermula dari jauhnya manusia dari pintu ilmu. Kerana Syaitan tahu ilmu itu cahaya Allah, sesiapa yang tidak mendapatkan cahayanya sesatlah dia selama-lamanya.
3. Berdamai Dengan Takdir
Pahit manis dalam berumah tangga hendaklah diyakini bahawa itu kehendak Allah, qada dan Qadar-Nya.
Kita akan merasai kedamain jika kita berdamai dengan takdir, mengakui segala takdir Allah itu baik dan tidak pernah bersangka buruk kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: Allah berfirman: “Aku sesuai dengan persangkaan hambaKu.” (Hadis muttafaqun ‘alaih) Rasulullah bersabda lagi: “Janganlah salah seorang kamu mati melainkan dia bersangka baik kepada Allah.” (Hadis Muslim)
Sangka baik kepada Allah akan menyuburkan semangat baru, pasangan kita yang semalam belum tentu sama ‘mood’ dan perangainya esok hari.
Apa yang terjadi semalam kita reda tanpa kita berputus asa untuk memperbaiki keadaan hari ini.
Mari puaskan pasangan dengan ilmu, bukan nafsu melulu!
Tulisan : Dato Dr Haji Juanda Haji Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam. Kedua-duanya merupakan kolumnis ruangan Keluarga Sakinah, majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mengandung dan beranak bukanlah hal yang besar tetapi bab mendidik anak adalah bahagian paling sukar apatah lagi kita di akhir zaman dan zaman moden sekarang ini.
Mungkin setengah orang tidak peka bila bertanya soal menambah anak kerana masing-masing pasti ada pegangannya dalam hidup termasuklah hal anak.
Bukan mudah mendidik dalam dunia moden, namun jika anda seorang mak,ayah yang berjaya mendidik anak secukupnya makan tiada salahnya beranak ramai. Segalanya bergantung kepada kemampuan dan juga rezeki daripada Allah SWT juga.
Jangan pula kita tidak mahu beranak ramai, menyalahkan orang beranak ramai. Masing-masing miliki pilihan masing-masing dan acuan hidup sendiri. Jadi berbalik pada mak,ayah sama ada memilih untuk beranak ramai atau sedikit.
Tapi bab mendidik dan membesarkan anak… Itu part paling sukar sekali sebenarnya.
Kalau masih belum berjaya didik boboiboy kuasa 2 ini (anak lelaki sedia ada). Lebih baik jangan berangan nak tambah lagi.
Jaga amanah yang dianugerahkan ini betul-betul dulu.
Duit bukan isu utama rezeki buat anak itu ada, ulat celah batu pun boleh hidup insyallah.
Tapi ini bab mendidik, membesarkan nak menjawab kat akhirat nanti.
Akhlaknya, Agamanya, Ilmunya, jati dirinya.
Diri sendiri pun banyak khilaf yang nak betulkan.
Tipulah kalau tak pernah rasa fail as mother.
Tipulah kalau tak pernah rasa tak layak pun jadi mak sebenarnya,
Tipulah kalau tak pernah rasa kena marah sebab anak,
Tipulah kalau tak pernah nangis sebab anak,
Tipulah kalau tak pernah rasa stres dan murung.
Tipulah kalau tak rasa struggle cari duit untuk anak.
Tipulah kalau tak rasa gagal kawal marah.
Didik cara nabi ?
Masih jauh tersasar, masih menggali ilmu parenting.
Jadi nak tambah anak lagi ke?
Officially jawab nanti dulu.
Anak itu anugerah, anak itu rezeki,
Anak itu amanah, anak itu ujian.
Anak tu membebankan kah?
Tak, dia tak membebankan tapi dia datang dengan pakej cabaran.
Cabaran bukan dari anak itu sendiri saja, tapi kau faham-faham sajalah kita di akhir zaman.
Cabaran dari segenap sudut menyerang anak kita. Kesihatan, ideologi, fahaman, politik, psikologi, spiritual, kognitif, komunikasi, teknologi dan banyak lagi.
Dua orang yang ada ini baru peringkat tumbuh pucuk, belum jadi putik pun,
tunggu masa dia jadi rebung untuk dilenturkan.
Kalau sudah nampak rebung mula ikut alur lentur, barulah kita tambah rezeki lagi ya.
Hak suami untuk dilayan dan dibelai isteri.
Tapi hak untuk mengandung & beranak itu hak isteri.
Dia pun sama-sama berjuang mendidik dan menjaga dua urang anak yang diamanahkan ini. Semestinya suamilah yang paling kuat berjuang, cabaran dia lebih getir lagi.
Sebab bukan mendidik anak-anak saja, malah perlu tarbiah isterinya yang banyak khilaf dan selalu beremosi ini. Dosa kami dia akan tanggung nanti jika dia tak jaga betul-betul. Belum kira lagi urusan nafkah, & tanggungjawab kepada ibu bapa.
Bercinta, berkahwin, ada anak memang indah, jangan fikir seronok saja tapi amanah buat ala kadar saja.
MW: Jika mak, ayah mampu beranak ramai tidak ada salahnya. Yeng penting bagi sesebuah keluarga, beranak ramai atau sedikit perlukan persetujuan kedua-dua belah pihak, sama ada dari pihak isteri atau suami. Barulah tak terbeban jika dikurniakan anak kelak kerana masing-masing setuju.
Buat anda yang minat dengan deko rumah berasaskan kayu palet, idea DIY deko kediaman pasangan suami isteri Akmalaily Akman ini boleh beri ilham yang banyak untuk anda. Dari ruang tamu, bilik sampai ke dapur, 90 peratus perabotnya dihasilkan sendiri dengan kayu palet (pine).
“Semoga menjadi inspirasi kepada semua orang di luar sana yang suka deko bajet macam saya.” Ini yang dituturkan Akma laily. Untungnya pasangan ini, suaminya mahir bertukang, isteri pula mahir menjahit. Jimat! Tak perlu beli perabot yang banyak. Jom kita tengok satu persatu ruang beserta idea yang dikongsikan bersama.
Ini Dia Idea Deko Bajet Suami Isteri Kreatif
Ruang Tamu
Meja, kerusi, rak, frame, wall triangle tok laki nukang. Bantal bulus beli kat SSF, bantal pink jahit sendiri. Pokok hidup tu pau rumah mak dulu, ada beli kat Ikea, muroh muroh je.
Bilik Anak
Bed frame, set kerusi, meja budak, troli tok laki nukang. Barang-barang lain macam bantal, tempat letak mainan beli kat Kaison, Mr D.I.Y, kedai RM2.
Frame bed, buai tok laki nukang sendiri. Bantal fox & bunny kita lukis, kita jahit sendiri.
Rak, troli, meja kerusi budok, bed frame tok laki nukang sendiri. Banner hiasan kain tu jahit sendiri guna kain perca.
Bilik Utama
Bunga & love lamp beli kat Kaison. Muroh muroh je.
Tok laki nukang sendiri. Boleh DIY sendiri ye guna batang penyapu ke, susun ikut caler lagi cun ni.
Rak baju belakang tu & cermin solek tok laki nukang sendiri. Cermin tu asalnye cermin lama kat almari dulu-dulu.
Dapur Kering
Meja makan, bingkai frame, wall hexagon tok laki nukang sendiri. Boleh try DIY sendiri ya guna batang aiskrim.
Beralih tempat
Rak & pagar tok laki nukang sendiri.
Dapur Basah
Wallpaper beli kat Kaison, tepek je. Setiap kali sudah masak terus lap ye. Dapur tu beli kedai eletrik biasa. Rak bawang & kabinet tok laki nukang sendiri.
Tempat letak sabun beli kat Ikea, rak pinggan index living.
Kabinet, kerusi, rak bawang tok laki nukang sendiri. Rak besi & balang botol kedai RM2, Ikea, Mr. D.I.Y. Asal muroh kita beli.
Kabinet, shelf, tempat gantung mug semua tok laki nukang sendiri. Botol/balang tu beli Mr. D.I.Y & kedai RM2.
Rak tinggi dan rak putih tok laki nukang sendiri. Pastu cat putih. Balang air kaca dari SSF, rak pinggan dari index living. Bekas beras ore bagi hadioh nikoh.
Kabinet ala kadar ni tok laki nukang sendiri. Langsir saya jahit sendiri. Redah je asalkan nampak rupa langsir.
“Yang tanya tahan ke dop pallet ni. Alhamdulillah setakat ni dah 2 tahun dan masih bertahan. Varnish tebal-tebal yang part kena air tu. Terima kasih. Semoga dapat menjadi panduan buat semua.”
Atas permintaan tuan punya diri (tukang masak), saya paparkan nukilannya untuk membantu semua yang menghadapi masalah serupa. Memang salah satu cara memberikan kelegaan pada diri sendiri terhadap masalah-masalah yang dihadapi adalah dengan menceritakannya kepada orang lain.
Namun, jujur saya katakan, saya tertawa membaca cerita ini. Dalam simpati menggunung tinggi, tetap lucu mencuit hati. Mari kita ikuti kisah ini, ia sedih namun lucu juga serta bernilai motivasi;
Trauma Dengan Facebook
“Mungkin Dr. dah lupa pada saya, saya banyak berkongsi masalah rumah tangga saya kepada Dr. lima tahun yang lepas. Lepas itu saya off Fb sebab trauma dengan Fb ni.
“Kali ini saya akan berkongsi semula, kisah pahit manis hidup saya, mana tahu Dr. dapat selitkan dalam buku-buku Dr. nanti. Seronok juga bila kisah kita dikongsi untuk pembaca di luar sana.”
“Warna kehidupan saya macam pelangi, kadang timbul gerhana matahari. Bagaimanapun, kutukan dan hinaan jika kita terima secara positif, ia boleh merubah hidup kita. Ini pengalaman hidup saya sendiri.
Saya telah berkahwin sebanyak tiga kali dan ketika ini usia saya 38 tahun. Perkahwinan pertama pada usia 18 tahun, bercerai tiga tahun selepas itu.
“Saya tak pandai masak, habis sekolah terus kahwin dan duduk dengan keluarga mentua. Bayangkan saya yang memang tak ada ilmu masak memasak ni duduk pulak dengan mentua, memang huru-haralah, kan?
“Saya bercerai sebab kes dera, suami kaki pukul. Saya dijadikan tempat dia lepaskan marah. Tapi berita saya bercerai orang cakap sebab saya tak pandai masak.
Bercerai Sebab Tak Pandai Masak?
“Saya kahwin kali kedua, duduk rumah sendiri. Jadi saya tak ada masalah fasal masak. Saya masak saja benda yang senang, tapi saya bercerai lagi bukan juga sebab saya tak pandai masak.
Tapi heboh orang perkatakan kes cerai itu sebab saya tak pandai masak. Dari situ pelan-pelan saya belajar buka buku resipi, bukan belajar masak. Bila selalu buka buku resipi timbul minat untuk masak.
“Perkahwinan ketiga ini dah masuk lapan tahun, saya berkahwin dengan anggota tentera dan duduk dalam kem.
ALLAH jodohkan saya dengan lelaki yang lidahnya kebas, tak pandai merasa masin ke tawar ke, askar, kan… boleh makan apa saja.
“Tiap kali masak suami saya makan saja. Walaupun saya sendiri tak tertelan apa yang saya masak.
Lauk Masin Macam Lori Garam Tumpah Pun Suami Tak Komplen
Kadang masin sangat macam lori garam tumpah depan rumah, kadang tak ada rasa langsung tapi suami tak pernah komplen.
Dari situ saya berazam nak buktikan saya boleh, sebab kesian tengok suami yang sentiasa redha, tukang perabis makanan yang tak berapa nak sedap tu.
Saya belajar masak, belajar dengan kawan dan buku.
Dipendekkan cerita, Alhamdulillah, sekarang ni saya mencari rezeki melalui masakan. Saya jual kuih-muih, saya juga merupakan tukang masak peribadi seorang pegawai dalam kem.
Saya ambil upah masak untuk keluarga dia. Tiap kali saya masak dia mesti cakap sedap. Kalaulah dia tahu siapa saya sebelum ni, mesti dia tak sangka, kan?” Lily Fakrulazi
Dari Tak Tahu Masak, Jadi Tukang Masak
Lihatlah betapa hebatnya wanita ini. Daripada langsung tak tahu masak hingga jadi tukang masak. Ada ke ayam masak kicap, curahkan kicap je ke atas ayam goreng. Isyk, isyk… itu memang kelakar dan buatkan saya tertawa.
Apabila berkahwin dengan suami ketiga, lidahnya kebas pula, hingga tak dapat membezakan makanan itu maniskah, tawarkah. Memanglah lucu bukan?
Kita boleh jadi apa saja jika kita sanggup tranformasikan diri kita. Jika selesa di takuk lama jangan salahkan orang jika terus dihina. Orang merendah-rendahkan kita barangkali sebab kita sendiri meletakkan diri kita pada kedudukan yang rendah untuk orang nilai begitu.
Mungkin penderaan yang berlaku semasa perkahwinan pertama dan kedua susur galurnya datang daripada makanan juga. Apabila tekak tak rasa nikmat semua layanan selepas itu turut menjadi pahit.
Tak Susah Pun Nak Tawan Hati Suami
Mana ada suami yang tersenyum kalau masakan isteri tak sedap. Hendak menawan suami ini bukanlah payah sangat, pastikan perutnya sentiasa kenyang oleh makanan yang dia suka, insya-Allah okeylah dia.
Maka itu, belajarlah masak dan mahirkanlah diri dalam seni yang amat penting ini. Ia sangat berguna sebab setiap rumah tangga pasti memerlukan seorang chef supaya semua orang dalam rumah itu tak perlu pergi hotel untuk makan makanan best-best!
Suami akan diam apabila perutnya kenyang, ingat tu.
Penulis : HM TUAH ISKANDAR al-Haj, penulis ruangan Motivasi majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!