Nak jahit langsir ni mudah je sebenarnya. Lebih-lebih lagi kalau nak buat langsir yang asas, jenis jahit lurus bahagian kiri dan kanan. Namun part yang agak ‘mencabar’ bagi langsir jenis moden adalah bahagian nak tebuk lubang-lubang pada langsir. Ramai yang lebih suka hantar je kat kedai jahit untuk buat lubang langsir ni.
Namun, perkongsian wanita ini yang juga merupakan seorang tukang jahit, menunjukkan cara mudah bagi nak tebuk lubang pada langsir. Langsir lama yang menggunakan dawai mahupun cangkuk juga boleh di olah dah ditebuk dengan cara ini. Yang penting ‘rail’ langsir juga perlu ditukar terlebih dahulu.
Bahan-Bahan:
Pen Marker, Gunting, Pembaris, Pensel/kapur penanda, Ring langsir dan Kain langsir
Cara Membuat:
1.Letak ring dan ukur bagi anggaran sama rata. Untuk bidang 60 boleh letak 8 keping.
2.Bulat/tandakan dengan Pen Marker.
3.Pastu tandakan garis putus-putus tepi bahagian yang dibulatkan tadi 1/4 inci.
4.Guntingkan garisan putus-putus tersebut.
5.Belah ring guna pisau lama yang tak tajam.
6.Letak bahagian tajam diatas dan sebelah bahagian lagi letak bahagian bawah langsir (seperti dalam gambar).
7.Tekan dan ratakan sekeliling ring tersebut. Siap!
Info Ekstra: Tingkap 3 panel memerlukan 3 keping kain bidang 60inci. 1 1/2 keping kain setiap sebelah tingkap. Ukuran lebar dan ketinggian langsir sangat penting agar langsir dapat tergantung dengan cantik.
Kredit: Dura Good Tailor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mantan Pegawai Bank Ini Kongsi Strategi Dana Simpanan, Moratorium Dan i-Citra
Jika anda sudah membuat pilihan mengambil moratorium, dan memohon i-Citra boleh cuba ikut saranan ini dan apa perkaitan kemudahan ini dengan dana simpanan anda.
Buat yang masih belum bertemu solusinya, cuba hadamkan perkongsian Mohd Shukur yang berpengalaman lebih 30 tahun mengendali Agensi Takaful. Perkongsian ini sudah pun diolah dengan gaya bahasa layman, agar lebih mudah difahami oleh sesiapa pun.
Sebelum ini Mingguan Wanita ada berkongsi berkenaan moratorium. “Ada ramai pembaca komen di sharing yang lepas, tetapi saya tidak dapat menjawab kesemunya.
Diharapkan agar perkongsian terbaru ini dapat menjawab sebahagian besar dari komen-komen pembaca tersebut.”
Strategi Dana Simpanan Anda, Moratorium Dan i-Citra
1) Sebelum anda buat keputusan samada ambil Moratorium atau tidak, periksa dahulu komponen pengurusan kewangan paling penting iaitu dana simpanan tunai anda.
2) Masih ada pekerjaan, pendapatan masih kekal setiap bulan, aliran tunai masih OK, Net Worth OK…..bukanlah jaminan untuk anda bersedia menghadapi cabaran selepas 6 bulan akan datang ini.
3) Dana Simpanan anda adalah benda yang sama dengan apa yang disebut sebagai Emergency Fund, Cash Reserve atau Aset Cair.
4) Ramai yang menyebut secara umum iaitu anda mestilah mempunyai duit simpanan untuk 6 bulan, ianya betul tetapi mari kita analisa secara lebih terperinci tetapi mudah difahami semua lapisan masyarakat.
Perhatikan 2 Perbelanjaan Bulanan Anda Ini
5) Ada 2 perbelanjaan bulanan anda yang besar iaitu :
(i) Perbelanjaan Tetap : Ansuran Sewa Beli Kenderaan kepada Bank, Ansuran Rumah kepada Bank atau bayaran sewa rumah & Caruman Bulanan Hibah Takaful. Katakan jumlah semuanya RM 2,000.
(ii) Perbelanjaan Isi Rumah iaitu perbelanjaan makan minum keluarga, bil elektrik dan air, bil telefon, internet, duit poket dan sebagainya. Katakan jumlah ialah RM 2,000.
Maka Jumlah tanggungan anda sebulan ialah RM 4,000 sebulan atau RM 48,000 setahun.
6) Jumlah Dana Simpanan yang anda sepatutnya ada jika anda berumur 40 tahun hingga 49 tahun ialah bersamaan setahun tanggungan perbelanjaan di nombor 5 tadi.
Ianya Nisbah Semasa antara Dana Simpanan ( Aset Cair anda ) dengan Tanggungan Perbelanjaan ialah 1:1
1:1 bermaksud 12 bulan : 12 bulan iaitu Dana Simpanan mencukupi untuk menanggung setahun tanggungan perbelanjaan ( bagi yang berumur 40 tahun hingga 49 tahun ).
Jika terjadi apa-apa yang mengakibatkan anda kehilangan pekerjaan dan aliran tunai, aset tetap anda seperti rumah kediaman, rumah pelaburan dan tanah tidak dapat membantu dengan segera kerana mengambil masa yang lama untuk dicairkan.
Kereta pula lagi tidak membantu kerana mengalami susut nilai besar setiap tahun dan jika ianya masih lagi dalam perjanjian sewa beli, nilainya mungkin lebih rendah dari baki hutang.
Duit KWSP juga tidak boleh dikeluarkan jika belum sampai had umur, maka untuk golongan yang terjejas ada baiknya anda mohon i-Citra untuk dimasukkan ke dana simpanan anda. Ianya memberi ketenangan fikiran untuk anda mengorak langkah ke depan.
Fahami Dana Simpanan Dan Aset Cair Ikut Had Umur
7) Dana Simpanan atau Aset Cair terdiri daripada wang tunai di rumah atau akaun bank, Simpanan ASB, Simpanan Tabung Haji, Unit Trust / Pelaburan tunai, Emas bar juga emas perhiasan mengikut nilai semasa.
Anda mestilah mempunyai jumlah aset cair di atas bersamaan jumlah setahun tanggungan perbelanjaan.
8) Bagi mereka yang berumur 39 tahun ke bawah, anda bolehlah mempunyai jumlah dana simpanan/aset cair berjumlah 6 bulan iaitu nisbah 0.5 : 1 dengan tanggungan perbelanjaan setahun.
Ini disebabkan dengan usia muda, anda boleh bangkit pantas untuk berniaga atau bekerja sendiri. Juga anda masih diterima dalam pasaran buruh / tenaga kerja untuk makan gaji.
9) Jika anda berumur 51 tahun ke atas, Dana simpanan / Aset cair anda mestilah nisbah 2 : 1.
Iaitu anda mempunyai jumlah aset cair untuk 2 tahun atau 24 bulan bagi menanggung perbelanjaan isi rumah jika ditimpa bencana seperti kehilangan pekerjaan atau perniagaan.
10) Pandemik kali ini akan menyebabkan kemerosotan ekonomi dengan nisbah 80 : 10 : 10 iaitu 80% terjejas, 10% bertahan dan 10% terus semakin kaya.
11) Anda boleh belajar mengira sendiri Dana Simpanan / Aset Cair anda dan nisbahkan dengan Tanggungan perbelanjaan anda mengikut umur anda sekarang.
Saranan Ambil Moratorium, Mohon i-Citra
12) Jika anda dapati Dana Simpanan / Aset Cair anda hanya bersamaan sebulan atau 3 bulan tanggungan perbelanjaan, anda dalam keadaan bahaya dan saya mengesyorkan anda mengambil Moratorium 100% 6 bulan untuk mengukuhkan dana simpanan anda di samping memohon i-Citra.
13) Sebab itulah Moratorium ini bukan hanya untuk yang terjejas pendapatan dan terbuka untuk M40 dan T20 sekali. Tetapi ianya adalah kesempatan untuk anda memperbaiki dana simpanan atau aset cair anda.
14) Baru-baru ini seorang lelaki berumur 40-an yang mempunyai gaji dan elaun RM 50,000 sebulan kehilangan pekerjaan. Kini pendapatannya ialah RM kosong. Jumlah tanggungan perbelanjaannya sangat tinggi ( saya tidak ada data ini cuma dimaklumkan oleh seorang rakan perancang kewangan ).
Saya dimaklumkan dia mempunyai gaya hidup mewah, baiklah itu boleh tukar jadi gaya hidup B40, tetapi bagaimana untuk membayar ansuran rumah dan keretanya sekarang ?
15) Janganlah anda terlalu mengira jumlah interest dari moratorium jika anda tidak mempunyai dana simpanan untuk sebulan pun. Lebih kurang sama sahaja setiap bank di Malaysia ini.
Ianya ibarat orang yang sedang terkapai-kapai lemas di lautan dalam tetapi nak membuat analisa dan kajian dahulu jika ada yang datang nak membantu.
Betulkan Dana Simpanan Anda
16) Untuk moratorium ini, jika faedah pinjaman perumahan anda ialah 3% sekarang dan anda menyimpan di ASB contohnya dengan dividen 4.5%, anda masih untung 1.5%.
Tetapi keuntungan paling besar yang sangat tinggi nilainya ialah ketenangan fikiran dan ketenteraman jiwa anda dan keluarga tersayang. Anda kini mempunyai dana simpanan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan datang.
17) Gunakan moratorium ini untuk membetulkan dana simpanan anda. Duit moratorium ini boleh simpan di ASB atau Tabung Haji supaya anda tiada risiko kehilangan modal.
Melabur itu boleh jika anda ada ilmu. Jangan laburkan duit moratorium jika anda bukan pakar. Ceritera indah untung main saham hanyalah nisbah 20:80.
Juga usah terpengaruh dengan mereka yang mengaku pakar. Pakar Ular pun mati dipatuk Ular. Pawang Buaya juga mati dibaham buaya. Jurulatih Payung Terjun mati ketika melakukan terjunan. Pakar Scuba pun boleh mati lemas, kepakaran bukanlah jaminan mereka akan selalu selamat.
18) Nasihat ini samada sesuai atau tidak sesuai untuk anda bergantung kepada situasi anda sendiri.
Saya berharap saya telah memberi sedikit sumbangan kecil kepada mereka yang membaca.
Jika anda nak FREE Tips kewangan setiap hari, belajar pengurusan kewangan, pelaburan & hartanah? Klik link ini, https://t.me/TipsKewanganPowerful dan JOIN bersama subscribers lain.
Apa pun keputusan anda ingatlah, apabila terjadi bencana nanti, tidak ada orang akan datang ke rumah anda dan berkata….. Hai, saya datang nak bayarkan ansuran rumah dan kereta anda setiap bulan.
Sayangi keluarga anda dan masa depan anak-anak.
Mingguan Wanita : Semoga berjaya mencapai kewangan tenang untuk anda dan keluarga.
Sumber/Foto : Mohd Shukur, Ex-Banker, 30 years in Takaful / Insurance / Finance.
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Koleksi Raya LazLook Tampil Gaya Anggun Terbaru 10 Jenama Tempatan Terkemuka
Mencetuskan keceriaan hari raya sempena Aidilfitri yang bakal disambut pada bulan hadapan, Lazada memeriahkan Segitiga Emas pusat bandar Kuala Lumpur, Jalan Bukit Bintang dengan menjelmakan peragaan Koleksi Raya LazLook yang penuh glamor di landasan fesyen sepanjang 500m.
Ia menampilkan lebih daripada 10 jenama fesyen terkemuka tempatan dan dipersembahkan sebagai lookbook langsung, justeru memberi peluang kepada peminat fesyen dan orang ramai untuk mendapatkan inspirasi gaya anggun bagi sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Koleksi Raya LazLook Tampil Gaya Anggun
Lebih daripada 50 model tampil bergaya di sepanjang Bukit Bintang menuju ke arah pentas finale di CommonsKL @ BBPark sambil memperagakan koleksi istimewa oleh pereka fesyen terkemuka dan jenama ekslusif seperti Naelofar, Rico Rinaldi, Petit Moi, Poplook, Cynthia Tang, Bayu Somerset, Zoe Arissa, Zucca, Gene Martino dan TATO Shop.
Sememangnya peragaan tersebut mengundang perhatian orang ramai di persimpangan lintasan paling sibuk dengan rekaan elegan baju kurung dan kebaya berinspirasi moden.
Keseluruhan acara tersebut telah disiarkan menerusi strim langsung LazLive dan juga bersiaran secara serentak di saluran media sosial Lazada Malaysia. Ia turut dipaparkan di beberapa skrin digital LED out-of-home di sekitar Bukit Bintang, termasuk di papan tanda CuBIG dan The Cube @ Bukit Bintang.
Cara Unik Tawan Hati Peminat Fesyen
Menerusi Peragaan Fesyen Raya LazLook yang lain daripada yang lain ini dapat menawan hati peminat kategori fesyen dan pelanggan tempatan, khususnya kerana ia adalah antara kategori paling hangat yang menyemarakkan jam pertama Jualan Hebat Ulang Tahun ke-11 Lazada yang bermula pada 3 Mac 2023 di seluruh Asia Tenggara.
Malah, apabila mereka ingin mencari dan membeli produk fesyen, para pelanggan di Malaysia lebih cenderung untuk menggunakan platform eDagang seperti Lazada, yang mana lebih daripada separuh para pelanggan (53%) menggunakannya untuk carian produk, lantaran faktor utama seperti harga (74%), tawaran diskaun (69%) dan maklumbalas pelanggan (47%) yang membantu mereka membuat pertimbangan sebelum membeli.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Alan Chan Fesyen Raya LazLook ditatagayakan khas untuk fashionista dan hijabista yang ingin tampil menawan, menampilkan seleksi mesti beli yang menarik dan unik, pada harga yang berpatutan.
“Para pelanggan di Malaysia kini membuat pembelian produk fesyen secara dalam talian dan juga di butik atau kedai, dan kebanyakannya lebih dari sekali sebulan. Kami juga memahami kecenderungan orang ramai untuk menggunakan platform eDagang apabila mereka mencari produk yang diperlukan.
“Justeru itu, Lazada berusaha untuk menawarkan beraneka produk untuk sambutan Aidilfitri kepada para pelanggan, khususnya bagi kategori fesyen dan kecantikan. Fesyen Raya LazLook telah ditatagayakan khas untuk fashionista dan hijabista yang ingin tampil menawan, menampilkan seleksi mesti beli yang menarik dan unik, pada harga yang berpatutan.
“Selain itu, kami juga berbesar hati dapat berkolaborasi dengan jenama dan pereka fesyen terkemuka tempatan untuk mempersembahkan Koleksi Raya LazLook menerusi cara yang glam dan unik, dengan menjelmakan Bukit Bintang menjadi landasan fesyen dan membawakan suatu kelainan yang tidak dijangka.
“Kesemua koleksi baharu yang ditampilkan kini tersedia di Lazada dan para pelanggan hanya perlu klik pada ikon LazLook. Terdapat juga pelbagai inspirasi gaya Raya serta jenama Muslimah kegemaran ramai di Lazada, serta ganjaran tambahan dan penjimatan berganda seperti ‘Everyday Cashback’ dan ‘Penghantaran Percuma’ sempena Jualan Hebat Ulang Tahun ke-11 Lazada,” katanya.
Fesyen Raya LazLook telah ditaja oleh Kevin Murphy, Maybelline, dan CommonsKL@BBPark. Strim langsung acara tersebut turut menampilkan persembahan muzik istimewa oleh penyanyi Naim Daniel semasa peragaan fesyen finale.
Di samping paparan koleksi Raya terbaharu oleh pereka fesyen dan jenama yang sedia untuk dibeli, terdapat juga perkongsian petua dan tip stail penggayaan yang menarik.
Malah, terdapat pelbagai aktiviti shoppertainment seperti permainan dan cabaran untuk para penonton dalam talian dan mereka yang menghadiri acara pada hari tersebut, dengan peluang untuk memenangi hadiah dan baucar bernilai lebih RM50,000.
Klik di sini untuk melayari lebih 250,000 pilihan koleksi Raya yang menawan pada harga yang berpatutan di Lazada dan ikuti saluran media sosial Lazada Malaysia untuk makluman yang terkini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Surirumah Saja Pun, Jaga Anak Seorang Dah Mengeluh Penat Bagai…’
Tidak dinafikan tanggungjawab bergelar isteri dan ibu cukup berat untuk digalas, baik menguruskan rumahtangga mahupun anak-anak.Seringkali ramai yang beranggapan, golongan surirumah ini, miliki masa terluang untuk ‘goyang kaki’ dan yang lebih banyak dirumah berbanding wanita yang keluar bekerja. Hakikatnya,hanya yang pernah bergelar surirumah sepenuh masa sahaja yang benar-benar memahami. Kerja-kerja dirumah tak pernah habis, baik daripada celik mata hinggalah melelapkan mata.Ada sahaja kerja yang ingin dibuat, belum lagi melayan kerenah anak-anak yang pelbagai ragam.
Semoga perkongsian oleh Puan Syazana Ahmad ini, membuka mata kita agar tidak menggangap bergelar surirumah satu kerja yang mudah dan punyai banyak masa terluang.Malah janganlah sesekali memandang rendah pada golongan ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Saya seorang ibu kepada 2 anak, suri rumah sepenuh masa. Dulu, saya bekerja ketika anak baru seorang. Saya ada berjumpa dengan kawan-kawan yang lain, ada yang sedang mengandung dan ada yang beranak seorang juga. Mereka tidak bekerja (suri rumah), kami berbual tentang kandungan dan anak-anak.
Dalam perbualan kami, ada seorang kawan yang menyatakan bahawa dia agak penat melayan anak kecilnya dan dalam masa yang sama melakukan tugas di rumah.
“Hai, awak suri rumah saja pun, layan anak seorang, itu pun mengeluh penat? Habis aku ni lagilah penat. Dengan mana kerja lagi, balik rumah kena layan anak pula,” sampuk saya.
Kata-kata saya itu menyebabkan dia berdiam diri. Ya, dalam hati saya pada masa itu berkata,
“Eleh, suri rumah saja pun. Buat teruk lebih dia ni,”
Setahun berlalu, saya mengandung anak kedua. Semasa mengandung lagi suami telah berpesah agar berhenti kerja dan jaga anak di rumah sahaja. Saya terpaksa akur, saya berhenti kerja selepas bersalin dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Selesai berpantang di kampung, saya kembali ke rumah dan menjalankan rutin seorang suri rumah. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasakan. Rupanya bukan senang menjadi suri rumah.
Dengan anak kecil yang asyik merengek, yang kakak suka terjerit-jerit. Kerja rumah tak terkejar jadinya. Dengan mana nak sidai baju, baru nak mandi si kecil sudah menangis (baby 3 bulan). Layan si si kecil sampai tak sempat nak mandi. Baru nak memasak, kakak dah datang selerakkan dapur. Dengan si kecil yang tidur tadinya terus terjaga dan menangis. Rasa stress sangat! Penat!
Bila malam, baru saya sempat sidai baju, mandi puas-puas sebab suami pulang dari kerja boleh tolong jagakan mereka buat seketika. Masa itu saya teringat kata-kata saya pada kawan saya dulu.
Dulu bila saya bekerja, anak dihantar pada pengasuh, jadi sempatlah nak mandi, makan dengan tenang di tempat kerja. Bila balik, mandi dulu baru ambil anak. Baju, hujung minggu baru basuh. Jadi anak, suami yang jaga.
Bila nak bandingkan, jadi suri rumah lagi penat. Allah, sabar sajalah. Saya bercerita sikit sebab mahu mengingatkan kepada para wanita yang bekerja usahlah memandang rendah pada suri rumah. Mereka lagi susah, dengan duit yang cukup pakai, tak boleh bermewah seperti ibu yang bekerja.
Saya sudah minta maaf pada kawan saya itu. Saya harap, jagalah hati ibu-ibu lain yang juga suri rumah sepenuh masa ini ye.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sebenarnya tak kiralah surirumah mahupun bekerja, bila wanita bergelar isteri dan ibu, tanggungjawab dan penatnya menguruskan anak-anak dan rumahtangga sama je penatnya.
Sumber: Syazana Ahmad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI