Memang agak lama anak-anak berada di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Mak,ayah sendiri berasa bosan apabila terlalu lama di rumah, apatah lagi anak-anak kecil yang belum mengerti apa-apa.

Pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), tiada larangan membawa anak-anak keluar membeli-belah atau ke tempat awam yang lainnya secara tidak langsung disambut baik oleh mak,ayah.

Boleh angkut anak bersama ke tempat awam tetapi harus diingat mak,ayah harus pastikan anak-anak sentiasa patuh kepada penjagaan kesihatan seperti memakai topeng muka, jaga jarak dan kerap mencuci tangan.

Tiada Larangan Bawa Anak Tapi Ingat Anak Adalah Golongan Berisiko

Tiada larangan untuk membawa kanak-kanak ke tempat awam termasuk pusat beli-belah dan restoran, namun perlu mematuhi penjagaan kesihatan sewaktu negara sedang berdepan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada peruntukan atau hukuman dikenakan ke atas ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke kawasan awam berkenaan kerana ia tidak diwartakan.

Tidak ada tegahan untuk tidak benarkan kanak-kanak pergi membeli mainan, beli-belah dan sebagainya bersama ibu bapa mereka.

IKLAN

“Cuma sering kali saya nasihatkan, kalau boleh jangan bawa kanak-kanak kerana mereka golongan berisiko tinggi dan ibu-bapa kena jaga kepentingan anak mereka walaupun dipakaikan pelitup separuh muka.

“Tidak ada hukuman kerana tidak diwartakan yang kanak-kanak tidak boleh dibawa ke restoran dan pusat beli-belah tapi kerana anak-anak berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19, kita galakkan tidak bawa anak bersama-sama,” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kanak-kanak Boleh Beriadah Di Taman

Tegasnya, kerajaan juga tidak menetapkan halangan untuk kanak-kanak beriadah di taman permainan dan pusat beriadah, namun perlu mematuhi jarakan sosial selain tidak berhimpit-himpit.

Ditanya sama ada panggung wayang sudah dibenarkan beroperasi, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu Ismail berkata, peniaga dan penjaja pasar malam perlu berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk penjelasan lanjut berkaitan SOP pengoperasian sewaktu tempoh PKPP.

IKLAN

“Jika ada perkara yang menyusahkan mereka, persatuan diminta untuk berjumpa kembali dengan DBKL bagi membincangkan perkara-perkara yang mereka tidak setuju.

“DBKL boleh bawa perkara ini kepada mesyuarat khas menteri-menteri. Sekiranya boleh dipinda berdasarkan kehendak mereka, insya-ALLAH kerajaan pinda,” katanya.

Beliau berkata, demikian bagi mengulas mengenai nasib kira-kira 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang dilapor memilih untuk menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka susulan SOP yang disifatkan terlalu ketat, termasuk jarakan sosial dan kawasan perniagaan.

Pemantauan Pematuhan SOP PKPP Tetap Berjalan

Sementara itu Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat sebanyak 69,370 pemeriksaan di seluruh negara bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPP dengan melibatkan seramai 16,712 anggota semalam.

IKLAN

Pada masa sama beliau berkata, PDRM telah menahan 61 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah ini, sembilan individu telah direman dan 52 individu telah dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti di pub dan kelab malam (44 individu), aktiviti refleksologi atau urut (empat) dan aktiviti yang menyukarkan jarakan sosial,” tambahnya. – Bernama

MW: Terserah pada mak, ayah sama ada ingin bawa anak keluar anak bersama atau tidak. Kadang-kadang ada mak,ayah terpaksa membawa anak bersama untuk membeli keperluan kerana tidak ada orang lain yang menjaga. Paling penting mak,ayah pastikan anak-anak sentiasa memakai face mask dan juga mencuci tangan lebih kerap setiap kali keluar. Bagi mak-mak yang ingin belikan hadiah untuk anak-anak, boleh klik di sini. 

Sumber: Bernama

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI