Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun baru-baru ini mula mencuri perhatian warganet. Mereka memperkatakan tentang penampilan terbaru Datuk Seri Rina Harun yang semakin cantik, kurus dan muda.
Menteri yang berusia 47 tahun ini terlihat lebih berkarisma. Malah, ramai yang berasa kagum dengan kejelitaannya yang semakin terserlah.
Ada juga di kalangan warganet yang mahu tahu rahsia Datuk Seri Rina langsing berbanding sebelumnya. Berbeza sekali penampilannya dengan dua tahun lalu.
Ads
Rina Harun Trending Di Twitter
Carian nama Datuk Rina Harun juga menjadi trending di Twitter. Dan perubahan beliau sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada warganet untuk mendapatkan bentuk badan yang lebih ideal.
Ads
Haa.. mak-mak yang sedang dalam usaha nak kembali langsing itu bolehlah ambil inspirasi daripada gambar Datuk Seri Rina ini.
Ads
Siapa kata tak boleh kembali langsing macam zaman anak dara kan. Cuma kenalah ikut step dan tip berdiet dengan betul. Banyak saja tip-tip berdiet yang ada dikongsikan oleh coach kesihatan.
Bila badan dah kurus dan langsing, nak bergerak ke sana ke mari pun laju je. Rajin je terasa. Semoga kisah Datuk Seri Rina ini dapat jadi semangat pada mak-mak yang sedang berusaha untuk kembali langsing ya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tanggungjawab dan ikatan kasih sayang adik beradik cukup kuat bagi kanak-kanak perempuan ini.Ketika kanak-kanak lain diusianya sedang seronok bermain dan mengikuti pembelajaran, namun tidak bagi Nurul Farisha Mohd Ridzuan,11, yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai mak dan ayah.
Anak kedua daripada lima beradik itu langsung tidak pernah mengeluh malah komited menjalankan tugas yang terbaik buat abangnya, Muhammad Faris Abdullah,12, dan tiga adiknya, Muhammad Faisal, 6, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, dan Muhammad Faiz Farhan,1.
“Jangan ambil mereka, saya boleh jaga. Tolonglah jangan pisahkan kami,” pinta Nurul Farisha Mohd Ridzuan, 11.
Nurul Farisha menggalas tanggungjawab menjaga tiga adiknya berusia setahun sehingga enam tahun,dibantu abangnya, Muhammad Faris Mohd Ridzuan, 12, selepas ibu bapa mereka ditahan polis akibat penyalahgunaan dadah.
Dia bagaikan ‘ibu’ buat adik bergantung harap terutama si bongsu, Muhammad Faiz Farhan, yang sentiasa berada di pangkuannya, malah banyak menghabiskan masa di rumah tidak seperti kanak-kanak lain yang bebas bermain dengan rakan seusianya.
“Setiap pagi, rutin harian saya ialah bangun untuk mandikan adik dan memberi mereka makan atau minum. Biasanya, saya hanya memberi adik susu pekat manis dibancuh dengan air yang direbus di atas dapur kayu.
“Makan pula apa yang ada sahaja, biasanya saya akan menggoreng telur atau masak mi segera sahaja yang dibeli oleh datuk, Fauzil Semail, 63. Kadangkala, jiran tetangga datang ke rumah membawa lauk-pauk untuk kami adik-beradik.
“Kami menumpang berteduh di rumah datuk yang juga menghidap pesakit asma kronik dan tidak boleh bekerja. Sebelum ini, kami tinggal dan bersekolah di Negeri Sembilan, sebelum mengikut ibu dan ayah pulang ke Kelantan,” katanya ketika ditemui di Kampung Binjai Pulau, Kubang Terap, di sini, semalam.
Nurul Farisha berkata, dia hanya bersekolah sehingga Tahun Tiga sahaja, begitu juga dengan abangnya selain meluahkan keinginan untuk kembali bersekolah kerana sedar hanya ilmu yang boleh mengubah kehidupan mereka adik-beradik.
Bagaimanapun, katanya risau siapa yang akan menjaga adik-adiknya jika dia kembali bersekolah, terutama yang bongsu, dan paling ditakuti jika mereka dipisahkan antara satu sama lain.
“Kali terakhir kami bersekolah semasa di Seremban, saya tidak pandai menulis dan membaca tetapi abang (Muhammad Faris) boleh.
“Kami sangat teringin untuk bersekolah, tapi hidup kami tidak seperti orang lain,” katanya.
“Ada sahaja yang datang menjenguk kami di sini dan meminta kebenaran saya untuk mengambil adik tetapi saya berkeras tidak beri kerana saya sayang mereka semua. Cukuplah kami diuji dengan ‘hilang sementara’ ibu dan bapa, jangan ditambah dengan perpisahan antara kami.
“Jujurnya, saya rindu ibu dan ayah, macam mana buruk sekali pun, mereka tetap orang tua kami, namun saya berharap mereka insaf dan tidak melakukan kesilapan lagi demi kami adik beradik,” katanya yang petah berkata-kata selain murah dengan senyuman.
Sementara itu, datuknya, Fauzil berkata, Nurul Farisha cucu yang sangat bertanggungjawab da tidak pernah meninggalkan adiknya terutama yang bongsu, malah sentiasa didukungnya ke mana sahaja dia pergi.
“Saya sendiri tidak berdaya membantu, kerana sakit yang dialami, manakala isteri saya, Wan Asiah Wan Aziz, 65, lebih banyak keluar menjual minyak angin untuk menampung kehidupan kami. Jadi, memang Nurul Farisha sendiri yang banyak menjaga adik-adiknya.
“Dia anak yang sangat kuat dan kental, semua kerja dia lakukan sendirian termasuk menidurkan serta memandikan adik selain banyak mengorbankan masa kanak-kanaknya,” katanya.
Kisah kehidupan anak terbabit mendapat perhatian dan tular selepas diceritakan melalui laman sosial Facebook milik, Raja Anita Raja Mukhtar, yang turut menyampaikan sumbangan susu serta bantuan kewangan kepada lima beradik itu, semalam.
MW: Allahu, sebaknya kisah adik beradik ini. Semoga adik Farisya terus cekal dalam membesarkan adik-adiknya. Jangan pisahkan mereka, sebaliknya diharap pihak berwajib dapat membantu anak-anak ini.
Lagi seorang barisan hadapan gugur, ternyata hanya Allah dapat membalas budi dan baktinya kepada masyarakat.
Kisah sedih ini telah dikongsikan di Facebook Fakulti Perubatan UiTM. Semoga Allah menempatkan allahyarhamah di kalangan orang beriman dan mengampunkan dosa-dosanya. Al-Fatihah.
Jururawat ini dikatakan dijangkiti Covid-19 ketika kandungan 30 minggu sebelum meninggal, syukur bayi dalam kandungan berjaya diselamatkan melalui pembedahan dan kini berada di NICU.
Seorang jururawat yang bertugas di Jabatan Perubatan Pemulihan Pusat, Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Artini Dzolkarnaini meninggal dunia, awal pagi tadi dipercayai akibat komplikasi Covid-19.
Berita pemergian petugas barisan hadapan itu dikongsi Fakulti Perubatan UiTM menerusi Facebook (FB), hari ini.
“Dukacita dimaklumkan Sr Artini Dzolkarnaini telah meninggal dunia, di Hospital UiTM pada 5.30 pagi tadi.
“Seluruh warga Fakulti Perubatan UiTM ingin merakamkan ucapan salam takziah. Kami mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, carian wartawan di FB mendapati pemergian jururawat berkenaan yang juga penulis buku bertajuk Penjagaan dan Pemulihan Jantung terbitan UiTM menerima reaksi duka kenalan arwah dan warga net.
Difahamkan, arwah dijangkiti Covid-19 ketika sedang mengandung 30 minggu berdasarkan beberapa komen balas daripada rakan dan keluarganya di FB.
Dikatakan juga, bayi arwah Artini berjaya diselamatkan secara pembedahan cesarean dan ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) hospital berkenaan.
Artini adalah jururawat program pemulihan jantung dan ibu kepada lima anak termasuk bayi baru dilahirkan.
Harian Metro cuba menghubungi keluarga arwah yang difahamkan belum bersedia untuk berkongsi cerita dan mengharapkan orang ramai berdoa urusan keluarga mereka dipermudahkan.
MW: Semoga keluarga allahyarham Artini dapat menerima ujian berat ini, apatah lagi bayi yang baru dilahirkan. Sesungguhnya dugaan ini amat berat untuk diterima.
Dugaan orang popular dan berjaya dalam perniagaan, pasti ada yang tidak berpuas hati dengan kebahagiaan dan kesenangan yang dimiliki. Terbaru dikongsikan oleh Pelakon popular, Aeril Zafrel mengakui pernah menjadi mangsa perbuatan sihir daripada orang yang mungkin tidak puas hati dengan kehidupannya.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 33, bagaimanapun berkata, sihir yang ditujukan buat diri dan seluruh anggota keluarga sekitar awal Januari lalu bagaimanapun telah berjayakan dihentikan.
“Sebenarnya sihir itu ditujukan pada seluruh ahli keluarga, Alhamdulillah Allah SWT selamatkan kami daripada menjadi lebih teruk,” luah Aeril.
Selepas mendapatkan rawatan daripada seorang pakar perubatan Islam di Selangor, Aeril bersyukur kerana dia dan keluarganya terselamat daripada terkena ilmu sihir berkenaan.
Menerusi hantaran dalam Instagramnya, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa hati dengannya sehingga tergamak melakukan percubaan sihir terhadap ahli keluarganya.
“Barangkali ada salah dan khilaf yang saya tak sedari, saya dengan rendah hati memohon maaf pada pihak yang terasa hingga tergamak melakukan percubaan sihir ini,” katanya yang turut memaafkan individu yang menganiayanya itu.
Akibat sihir tersebut, Aeril pernah menjadi panas baran, badan berasa panas, sakit pinggang dan sering mengalami mimpi yang pelik.
Bagaimanapun kata Aeril, sehingga kini kesan perbuatan sihir tersebut masih boleh dirasai dan dia disarakan terus mengamalkan perkara yang disuruh ketika berubat untuk memutuskan sihir berkenaan.
Terdahulu, menerusi satu hantaran foto yang dimuat naik dalam Instagramnya, bapa kepada tiga orang anak itu berkongsi beberapa objek berupa tangkal yang diletakkan di atas kain berwarna kuning bertujuan untuk menyihir diri dan ahli keluarganya.
“Setiap orang ada ujian, cubaan dan dugaan masing-masing. Hanya dengan pertolongan Allah SWT sahaja segalanya dipermudahkan jalan keluarnya dan mampu dihadapi dengan tenang.
“Begitu juga dengan saya. Alhamdulillah Allah SWT hantarkan bantuannya menerusi orang yang arif. Saya dan keluarga terselamat daripada permainan ilmu sihir ‘seseorang’ baru-baru ini,” ujarnya dalam hantaran tersebut.
Pelakon drama Tercipta Satu Ikatan itu ketika dihubungi memberitahu, buat masa ini dia tidak dapat menceritakan secara menyeluruh tentang perkara yang menimpa keluarganya itu atas nasihat pakar perubatan yang ditemuinya untuk mendapatkan rawatan.
“Maaf, buat masa ini saya tidak dapat menjelaskan lebih lanjut tentang perkara ini atas sebab-sebab tertentu,” katanya.
Kata Aeril, dia memuat naik hantaran tersebut bertujuan untuk memberitahu individu yang melakukannya supaya bertaubat kerana melakukan kezaliman terhadap diri dan keluarganya.
“Perkara ini melibatkan anak-anak saya yang tidak tahu apa-apa. Moga dia sedar dan insaf. Saya juga diberitahu siapa yang melakukan perbuatan tersebut. Bagaimanapun jika ada datang meminta maaf atas perbuatannya, saya akan maafkan,” jelas Aeril.
MW: Tak sangka orang tergamak melakukan perkara syirik demi rasa tak puas hati dengan kejayaan, kesenangan dan kebahagiaan orang lain. Bertaubatlah sementara masih berkesempatan. Buat Aeril Zafril dan keluarga, semoga diberi kesembuhan dan kecekalan menghadapi ujian serta dugaan ini.
Dihempap blok konkrit tiba-tiba, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan intelektual atau autisme sempat memohon agar ibu tidak memarahinya sebelum maut.