Memang menarik resipi Mee Kuning ‘Home-made’ yang dikongsikan ini. Untuk satu adunan boleh dapat sekilo lebih mee kuning. Memang jimat, malah pastinya lebih bersih dan terjamin halalnya.Paling penting tanpa pewarna tiruan dan bahan pengawet. Nak buat mee goreng terus pun mudah.
Boleh cuba resipi Mee Kuning Home-made seperti yang dikongsikan oleh Puan Ummu Ashraf ini.
Buat mee goreng daging dari mee kuning home-made untuk salah satu item menu open house, Alhamdulillah. Saya tak beli mesin pasta siap uli tu. Masih guna mesin pasta penggelek “Old School”. Untuk jamuan ni, saya buat 3 adunan atau 1.5kg tepung.
Resepi mee kuning:
Bahan-Bahan:
500 gm tepung high protein
1 sudu teh garam
Campurkan 1 biji telur + 1 lagi putih telur dan air untuk dapatkan 220 ml cecair.
Cara Membuat:
1.Uli semua hingga rasa macam baldu adunan tu dan tak melekat di tangan. Rehat kan 1 jam.
2.Canai.
3.Potong.
4.Rebus dalam air mendidih dengan garam dan sedikit minyak.
5.Bila timbul, angkat dan masukkan dalam air berais. Toskan.
6.Gaul dengan sedikit minyak agar tidak melekat.
Info Ekstra!
** Biasanya, 500 gm tepung dapat hasilkan sekilo lebih sikit mee kuning.
** mee kuning ni kalau letak dalam bekas bersih dan kedap udara dalam fridge, boleh tahan 4 atau 5 hari.
** kenipisan mee tu saya gelek hingga nombor 4 pada mesin pasta saya.
Mingguan Wanita:Menariknya, boleh buat mee kuning home-made di rumah. Memang menjimatkan, satu adunan boleh dapat sekilo lebih malah lebih yakin halal dan bersih pembuatannya.
Telur mata goyang ini, disebut juga telur mata kerbau. Sesetengah orang suka makan yang telur kuningnya lembut, cair sementara telur putih masak elok. Nak dapatkan telur mata goyang yang sempurna bukannya mudah.
Kongsi lelaki ini, Khabbab Jamalludin jika ikut teknik / step by step yang diajar ini anda akan dapat telur mata goyang yang sempurna. Sebagaimana yang dibayangkan.
“Orang kata kalau nak resepi boleh Google je. Tapi resepi yang sama, bahan yang sama, hasil boleh berbeza. Teknik memainkan peranan penting dalam masakan juga.
Jadi ada orang minta saya kongsi macamana nak dapat telur goyang/gedik (kuning telur tersebut bergoyang ketika digoyangkan.
Kadang badan pun ikut goyang dalam kita nak buktikan kegoyangan telur tersebut.”
Begini Telur Goyang Yang Ideal
Telur goyang yang ideal pada saya :
– Keseluruhan kuning telur tak jadi padat.
– Semua putih telur kering.
– Bahagian bawah putih telur ada kerak kecoklatan sedikit (kurang muak)
– Ada selaput putih menutupi kuning telur.
“Mesti korang tengah rasa geram nak cucuk kuning telur tu kan? Dengki la tu.”
Pemilihan telur adalah penting.
Saiz tak kisah.
Yang pasti telur mesti baru.
Dah lepas beli telur, jangan cuci.
Simpan dalam peti sejuk terus.
Kalau nak guna baru cuci.
Kalau cuci awal, akan ganggu lapisan telur yang berfungsi lindungi isi telur.
Telur yang agak lama dan dicuci terlalu awal akan buat kuning dia pecah.
Dah habis basuh lap kering.
Tak nak air dekat kulit masuk sama.
Kain lap boleh pakai apa saja.
Saya pakai kain Norwex apa tah.
Bini beli.
Dia kata ada beza.
Saya pakai sahaja ambil hati dia.
Kedua : Pecahkan Dulu Dalam Bekas
Pecahkan telur dalam bekas dahulu.
Kadang tangan kita tak dibedung dulu, pecahkan telur atas kuali, telur tu dah hancur macam telur dadar sebelum cecah kuali.
Yang kedua, kita boleh tahu telur tu elok ke tak sebelum masuk dalam kuali.
Disamping itu kalau baru keluar peti sejuk dia ada can kurang sejuk sikit.
Tak nak dia terkejut dari sejuk gila pergi panas gila.
Masuk angin nanti (burrppp)
Ketiga : Guna Kuali Non Stick
Paling baik pakai kuali ‘non stick’ yang tak lekat. Kawalan suhu lebih sekata.
Tapi tetap kena bubuh minyak sedikit.
Kalau kuali biasa minyak kena lebih lagi.
Minyak goreng biasa tu je.
Api antara sedang dan besar.
Tapi jangan lama sangat.
Jangan tunggu berasap satu dapur.
Air fryer boleh ke tak?
Tak bole la, gedik.
Ini telur yang gedik, bukan yang masak.
Keempat : Cara Tuang Telur Atas Kuali
Dah cukup panas boleh tuang telur.
Jangan tinggi sangat macam buat teh tarik; pecahlah ia.
Bagi dia ‘landing’ ngam ngam atas minyak tu.
Kelima : Renjiskan Air, Wajib Tutup Kuali
Okay ini tips paling penting.
Wajib ada tutup yang boleh cover kuali tu.
Tak ngam ngam takpa.
Janji boleh cover telur.
Saya pakai tudung periuk je.
Selepas letakkan telur atas kuali panas,
basahkan satu tangan macam basuh tangan tu,
bukan takung macam nak ambil wuduk ya.
Kemudian terus renjiskan air yang ada kat tangan tu ke tutup (banyak lebih kurang macam dalam gambar)
Pastikan tangan bersih tak ada hingus ke apa sebelum buat.
Hanya terbalikkan, tutup bila betul-betul atas kuali sambil terus tutup.
* kenapa renjiskan air? Bagi wap yang terhasil, bila kena kuali masakkan bahagian atas.
Keenam : Kawalan Api
Api pun main peranan penting.
Terus adjust macam dalam gambar.
Tak nak terlalu kuat nanti hangus dan tak sekata.
Setiap dapur berbeza.
Dapur kayu api, minyak tanah saya tak tahu setting dia macamana.
Biarkan dalam 30 saat dan buka tudung nak tengok masak dia macamana.
Kalau belum tengok lagi tiap 10 saat.
Tudung periuk tadi tau.
Letih pula kalau tudung tukang masak nak kena buka pakai buka pakai.
Tambah-tambah kalau pakai shawl.
Ketujuh : Cara Keluarkan Telur Dari Kuali
Dah ngam masak terus buka periuk, tutup api.
Untuk yang guna non stick, tolong ya pakai sudip bukan besi.
Besi boleh calarkan lapisan coating non stick dan bahayakan kesihatan.
Tiap kali nampak orang guna besi kat non stick.
Hati saya meraung sama.
Sekejap sajala tapi.
Kuali dia bukan kuali saya.
Sudip tu masukkan perlahan lahan bawah telur just in case ada lekat lekat sikit.
Slide je telur tu masuk dalam pinggan.
Kisah Telur Mata Goyang Antara Anak Dan Ayah
Prinsip saya mudah.
Apa yang boleh beri manfaat pada orang.
Saya kongsi.
Biar seremeh apa pun ia.
Bagi kita remeh, bagi orang lain mungkin tidak.
Terfikir juga apa ‘storyline’ saya nak buat.
Takkan nak kongsi gitu je.
Baru faham susahnya jadi ‘content writer’
Sementara perah otak tu tiba tiba ada anak yang tanya.
“Macamana baby boleh lahir?”
Ahhh sudah..
Muka saya macam Misae bila Shin Chan tanya soalan kontroversi.
Saya hanya mampu kata “nanti eh ..”
Akhirnya lepas goreng telur saya dapat idea nak jelaskan kat anak saya macamana baby ada. Tapi masa nak bawa kat meja terfikir pula nanti lagi banyak dia tanya.
Macam terlalu awal pula.
Jadi terus tak jadi.
Saya hidang nasi lemak biasa je sudahnya. #dapurpakbidan
Lontong dan Kuah Lodeh selalu dihidangkan ketika sarapan pagi atau juga hidangan di hari raya. Memang sedap nasi impit dimakan bersama kuah lodeh dan sambal tumis ikan bilis mahupun kuah kacang. Menu ini sangat terkenal di negeri Johor.Nak buat lontong ni agak renyah, tapi bila masak bersama-sama dan makan beramai-ramai memang seronok dan berbaloi.
Berikut perkongsian resipi yang dikongsikan oleh Puan Afieyza Isahak. Menurutnya, lontong ini adalah gabungan beberapa resipi dan rasanya memang sedap dan puas hati.
“Lontong kali kedua sempena Syawal.Kali pertama buat masa hari raya pertama. Dalam keadaan demam panas, syukur ada mak saudara yang sudi tolong kisar rencah sebab tak larat sangat. Kemudian gagahkan diri untuk masak makan ramai-ramai. Alhamdulillah.”
“Cuma tekak orang demam, tak berapa nikmat sangat bila menjamah. Jadi, hari ni buat kembali dan alhamdulillah, puas hati.”
“Cik Fieyza kongsi resipi andai ada yang belum pernah cuba buat.Resipi ni hasil gabungan daripada beberapa resipi”
Nasi Himpit (direbus)
Bahan Kisar :
Bawang besar
bawang putih
serai
lengkuas
halia
buah keras
kunyit hidup
udang kering
ikan bilis
Sayur-Sayuran:
Lobak merah
kacang panjang
tauhu(goreng terlebih dahulu)
udang
pucuk(rendam sekejap)
tahun(suun)-basuh sahaja
Santan sekotak besar
kiub ikan bilis
asam keping
bahan perasa
Telur rebus
Sampingan : Sambal tumis ikan bilis/kuah kacang
Cara Membuat :
1.Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2.Masuk air untuk kuah.
3.Masukkan lobak merah, kacang panjang dan asam keping.
4.Masak hingga mendidih, masukkan kiub ikan bilis, udang dan tauhu goreng yang dipotong dadu.
5.Tuang santan dan sayur pucuk serta bahan perasa.
6.Bila mendidih, masukkan tahun (suun) dan tutup api. Boleh tabur hirisan cili besar.
•••Sediakan mangkuk, masukkan beberapa ketul nasi himpit, tuang kuah kemudian letak sambal tumis dan telur rebus. Dah boleh ngap setelah bismillah.
Selamat Mencuba!
MW: Sedapnya makan lontong. Memang berbaloi buat makan ramai-ramai.Sesuai untuk majlis makan-makan rumah terbuka.
Buah Labu memang boleh dimasak dengan pelbagai cara.Baik dibuat puri untuk anak, kuih muih, masakan lauk dan sebagainya. Jika mak-mak ada lebihan labu dan tiada idea nak masak apa, boleh cuba resepi kuih ‘buah melaka’ atau ‘onde-onde’ menggunakan buah labu ini. Jika selalu warna putih atau guna pewarna hijau, kali ni mak-mak boleh buat kuih buah melaka ni jadi warna kuning guna buah labu je. Rasanya lemak manis, nak buat pun senang!
Berikut perkongsian resipi kuih ‘Buah Melaka Labu’ oleh Marlia Lia sebagai rujukan mak-mak. Bolehlah dihidangkan untuk minum petang nanti.
“Jenuh nak menghabiskan sebiji labu.Suami beli labu besar pula. Asalnya beli labu untuk buat puri anak umur 6 bulan je.Tapi takkan makan labu je sampai sebulan kan.Macam-macam dah buat dengan sebiji labu tu.Labu masak lemak, cekodok labu, koci labu, kaswi labu pun sudah.Haa, petang ni buat buah melaka labu.Maka,habis lah sudah sebiji labu saya.”
Bahan-Bahan:
1/3 biji Labu (kukus dan lecek)
Gula Melaka (dipotong kecil)
2 cawan penuh tepung pulut
2 sudu besar tepung gandum
1 cawan air
kelapa parut
sedikit garam
Cara Membuat:
1. Buang kulit labu dan kukus. jangan rebus nanti dah tak manis jadinya.
2.Potong Gula melaka kecil-kecil (bentuk kiub)
3.Campurkan tepung pulut dan tepung gandum dalam bekas.
4.Kemudian, campurkan labu yang telah dilecek kedalam tepung tersebut.
5.Ramas guna tangan sampai jadi macam serbuk roti, kemudian tuang air sedikit demi sedikit.
6.Sambil tuang air, sambil uli sehingga doh dah tak melekat dekat besen dan dah tak melekat dekat tangan.Air secawan, tak habis pun saya guna.
7.Buat macam ni, letak gula melaka ditengah-tengah dan kemudian bulatkan.
8.Sambil tu terus sediakan air tunggu sehingga air mendidih baru masukkan kuih. Kuih yang timbul maksudnya dah masak.
9.Sediakan kelapa parut + sedikit garam, gaul rata.Kuih yang dah masak tu, golek-golekkan dekat kelapa ni.
"Nahas helikopter TLDM, individu komen biadap "askar lain semua mati masa perang..." Di sebalik nahas dua helikopter semasa raptai sempena hari Tentera Laut DiRaja...