Niat Nak Nasihat, TAPI Jangan Sampai Suami Rasa Isteri TAK HORMAT Dia!

Niat baik tapi kalau cara tak kena, boleh undang buruk juga. Anda seorang berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang baik. Apabila sudah tiba masanya maka anda akur dengan ketentuan jodoh dan menerima seorang lelaki yang sangat sederhana sebagai suami.

Tidak ada apa di dalam hati melainkan untuk menjadi isteri solehah maka anda sentiasa cuba menjaga hatinya. Niat anda mahu melihat dia memperbaiki diri, meningkatkan kerjaya dan memimpin anda menuju masa depan yang lebih bermakna.

Niat Lain, Jadinya Lain

Namun setiap kali anda mahu berbincang tentang perkara itu, suasana akan menjadi lain. Dulu semasa awal perkahwninan dia marah-marah dan suasana menjadi panas. Namun sejak kebelakangan ini dia berubah. Apabila anda bawa isu itu, dia terus tidak bercakap seharian dan anda terpaksa memujuk dia semula. Sudah lama anda termenung memikirkan perkara ini. Apa salah anda?

Apa yang tidak kena dengan nasihat atau dorongan anda untuk dia menjadi lebih baik itu? Tidak ada apa yang salah kecuali cara anda itu membuatkan dia rasa rendah diri. Isu inilah yang akan saya kongsikan dalam nota minggu ini.

Niat Nasihat, TAPI Jangan Sampai Suami Rasa Isteri TAK HORMAT Dia!

Suami Tak Kebal Emosi

Walaupun nampak kuat tetapi perasaan lelaki sebenarnya tidak kebal. Seperti wanita yang sangat sensitif apabila ada orang komen tentang berat badan, begitu juga lelaki. Dia memang tidak kisah kalau anda cakap dia sudah semakin gemuk tetapi dia akan rasa lemah dan rendah diri apabila percaya yang anda tidak lagi yakin atau tidak lagi menghormatinya lagi.

Antara tanda-tanda paling jelas menunjukkan keadaan ini ialah apabila dia mula kurang bercakap. Dia menjadi lebih pendiam daripada sebelum ini. Keadaan ini adalah cara dia bersembunyi sebab merasakan anda melihatnya sebagai bodoh, gagal dan tidak berguna.

IKLAN

Tiada Niat, Tapi Jangan Terlalu Dominasi

Anda isteri yang baik dan tentu tidak mahu dia merasa begitu. Oleh itu apakah yang perlu anda buat untuk mengelakkan perkara ini? Pertama sekali jangan terlalu mendominasi dalam apa-apa juga perbincangan penting antara anda berdua.

Memang betul dia tidak berpendidikan tinggi seperti anda. Dunia dia kecil berbanding dunia korporat dan jawatan yang anda sandang tetapi dalam rumah tangga anda perlu meletakkan dia di depan. Jika anda terlalu kerap memotong atau membangkang semua kata-katanya maka besar kemungkinan dia akan kata;

“Awak belajar tinggi. Saya tidak sebab itu semuanya salah. Ikut suka awaklah nak buat macam mana perkara ini. Malas saya nak fikir lagi”

IKLAN

Jangan Bandingkan

Sekiranya dia ialah suami anda dalam perkahwinan yang baru maka jangan sesekali bandingkan dia dengan bekas suami dahulu tentang hal-hal di bilik tidur terutama tentang prestasinya tidak tidak memuaskan hati anda. Mungkin anda bermaksud baik memberi cabaran untuk dia membaiki keadaan tetapi isu seksual adalah sangat abstrak dalam fikiran lelaki. Dia tidak dengar itu sebagai satu cabaran positif. Yang dia dengar ialah anda kata dia kalah berbanding lelaki lain.

Semua orang tahu hidup adalah satu perjuangan. Jangan sesekali panggil dia sebagai bacul atau pengecut kerana dia tidak berani membuat keputusan atau berhadapan dengan orang lain demi menegakkan kebenaran. Pada pendengaran seorang lelaki, perkataan bacul atau pengecut ini adalah sangat menghina dirinya.

Sesekali Bergantunglah Padanya!

Anda wanita berdikari. Semua anda boleh buat sendiri. Niat anda adalah untuk tidak mahu menyusahkan dia. Walaupun anda berniat untuk tidak menyusahkan tetapi dia tidak fikir begitu. Sebagai suami dia mahu rasa yang anda perlukan dia. Oleh itu walaupun anda boleh berdikari, jangan sampai dia rasa yang anda tidak perlukan sebarang bantuan.

IKLAN

Bantuan yang anda minta dari dia adalah umpama oksigen kepada egonya. Saya selalu kata, isteri yang cerdik tidak akan merungut tentang ego suaminya. Apa yang seorang isteri patut buat ialah eksploitasikan ego itu untuk kesenangan dirinya. Apabila ego lelaki terguris maka ianya seperti belon yang bocor. Ego yang semakin lembik akan membuatkan lelaki itu merasa lemah dan rendah diri.

https://www.facebook.com/mingguanwanita/

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI