Menginjak 11 tahun usia perkahwinan, pelakon dan pelawak, Achey berkongsi perkembangan terbaru proses rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang dijalani isterinya di Instagram.
Menerusi perkongsian video tersebut, Achey Atau nama sebenar, Mohd Nasir Hamzah,36 berkata isterinya Nur Hasanah Yahaya,32 atau Anne kini telah menjalani proses yang paling penting iaitu memasukkan embrio matang ke dalam sistem peranakan baru-baru ini.
“Bismillah bermula dari Ogos dan kini proses penting telah tiba. Memasukkan embrio matang ke tubuh ibunya.
“Telah masuk fasa yang sangat penting, Mudah-mudahan berjaya,” ujarnya.
Doakan Kami Kuat
Achey juga memohon doa supaya proses penting ini berjalan dengan baik dan menyerahkan segala urusan kepada Allah dalam menentukan kejayaan proses penting IVF yang dilalui isterinya ketika ini.
“Doakan proses ini berjalan dengan baik,”
IKLAN
“Tak mudah proses ini. Positif kita jalani, positif lah kita dapat. Usaha sebaik yang boleh Allah juga yang menentukan, Berjaya atau tidak doakan kami terus kuat,” ujar Achey.
Ramai Doakan Kejayaan IVF
Ramai yang turut mendoakan semoga proses tersebut berjalan lancar serta rawatan IVF yang dilakukan berjaya.
Achey dan isteri telah mendirikan rumahtangga pada 2011 dan mempunyai mengambil anak angkat Nur Tiara Zinnirah Nasir,4. Pasangan ini telah memulakan rawatan tersebut sejak 6 Ogos lepas dengan merujuk kepada pakar IVF iaitu Dr Thokha Muhammad di sebuah hospital di Johor.
Mingguan Wanita: Semoga dipermudahkan segala urusan buat Achey dan isteri. Semoga segala usaha dan penantian 11 tahun pasangan ini untuk menimang cahaya mata membuahkan hasil.
Memasuki tahun baru 2021, akhirnya pasangan suami isteri pelakon ini Nur Fazura dan Fattah Amin berkongsi wajah anak perempuan sulungnya, Nur Fatima Aisya di media sosial, instagram masing-masing.
Lebih dua bulan juga para peminatnya ternanti-nanti akan wajah Fatima.
Sehinggakan sebelumnya, peminatnya tetap bersyukur walaupun ketika itu Fazura sekadar berkongsi foto sipi-sipi wajah Fatima. Nampak kaki dan tangan saja pun dah buat hati para peminatnya seronok.
“Happy New Year 2021! Lots of Love.. Fattah, Fazura and Fatima.” Ucap Fazura sempena tahun baru 2021.
Akhirnya, inilah wajah Fatima yang begitu dinantikan para peminatnya. Sebelumnya, Fazura memaklumkan yang keputusan tidak berkongsi foto Fatima adalah pilihan yang dibuat oleh mereka berdua.
Bagaimanapun, bersedia untuk mendedahkan wajah Fatima untuk tatapan umum ketika usia Fatima masuk 2 bulan. Dan akhirnya, mereka berdua menunaikan janji itu.
Ramai yang memuji wajah comel Fatima.. “MasyaAllah.. beautiful family.” Antara titipan balas yang dikongsikan rakan-rakan artis Lisa Surihani dan Diana Danielle.
Gambar terkini, Fazura mengenakan busana gaun sedondon dengan anak perempuannya itu. Fatima comel memakai pelilit kepala putih berenda.
“Me and my mini me.” kongsi pelakon ini dalam foto berdua mendakap Fatima.
Wajah Anak.. Mix Daddy And Mommy..
Daripada maklumbalas beberapa netizen, memaklumkan wajah Fatima gabungan ibu dan ayahnya. “Nak.. wajahmu mix daddy and mommy. Terus bahagia kalian bertiga sampai ke syurga.”
Gambar berdua Fattah dan Fatima juga mendapat reaksi yang menggembirakan followernya. Fatima kelihatan terlena dalam dakapan ayahnya.
Tulis Fattah, “Fatima and daddy.” Rata-rata terpesona dengan wajah Fatima yang kelihatan manja dengan ayahnya itu.
Sekitar Oktober lalu, Fazura selamat melahirkan cahaya mata perempuan di sebuah pusat perubatan swasta. Dan pasangan ini, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Keduanya menjalinkan percintaan ketika sama-sama menjayakan drama bersiri Hero Seorang Cinderella.
Jangan main-main dengan makanan iya, apatah lagi dengan makanan kegemaran. Sedang koma pun boleh terbangun, itulah peristiwa pelik tapi benar yang berlaku di Taipei.
Selepas 62 hari koma akibat kemalangan, seorang lelaki tersedar bila adiknya sebut tentang filet ayam yang sememangnya menjadi makanan kegemarannya selama ini.
Tersedar Daripada Koma Sebaik Dengar Filet Ayam
Seorang remaja lelaki tersedar daripada koma sebaik mendengar adiknya menyebut mengenai makanan kegemarannya iaitu filet ayam.
Kejadian pelik, tetapi benar itu berlaku di Taiwan apabila mangsa, Chiu, 18, dari Hsinchu County koma selama 62 hari selepas kemalangan motosikal pada Julai lalu.
Portal Taiwan News melaporkan, Chiu parah dikejarkan ke hospital dan doktor mengatakan organ dalamannya rosak serta pembedahan perlu dilakukan.
Bagaimanapun, Chiu koma selepas menjalani pembedahan berkenaan.
Pengarah Unit Rawatan Rapi di Hospital Besar Ton Yen, Hsieh Tsung-hsin berkata, hati dan buah pinggang kanan mangsa rosak teruk termasuk organ lain.
Chiu menjalani enam pembedahan termasuk splenektomi (pembedahan membuang limpa), baik pulih hati dan kraniotomi (pembedahan otak yang dilakukan dengan membuka tulang tengkorak).
Doktor kemudian berusaha sedaya upaya mengembalikan Chiu daripada koma namun ia bergantung kepada kekuatan mangsa untuk kembali sedar.
Adik Hanya Bergurau Tentang Filet Ayam
Keluarga Chiu berdoa supaya dia pulih, kata seorang jururawat kepada Taiwan News. Dia berada dalam keadaan koma lebih dua bulan dan pada hari ke-62, adik Chiu yang berada di sebelah katilnya bersembang dan bergurau dengan abangnya. “Abang, saya mahu pergi makan makanan kegemaranmu, filet ayam,” katanya.-AFP.
MW: Siapa sangka, dalam banyak-banyak perkara makanan kegemaran mampu membuatkan seseorang yang sekian lama koma tersedar. Paling penting apabila berdepan dengan situasi ini, ahli keluarga jangan berputus asa dan teruskan berusaha.
Ujian demi ujian menimpa adakala mendewasakan diri untuk merubah menjadi lebih baik. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya, menjadikan diri insan terpilih agar lebih cekal, reda serta membina kekuatan dalam diri. Sebagai seorang wanita, curahan kasih dan sayang sememangnya khas buat suami dan anak-anak. Apatah lagi apabila suami sudah tidak berupaya untuk keluar bekerja. Segala tanggungjawab terpaksa dipikul.
Begitulah juga dengan kisah kecekalan seorang wanita yang tabah, Nor Hamizah Mohd Yusof, 27, menjaga suami yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir meruntun hati. Tanggungjawab suami, Mohammad Romzi Ab Rahman, 36, terhadap keluarga kini bertukar kepadanya. Penyakit yang dihidapi oleh suami benar-benar menguji mereka sekeluarga. Usia perkahwinan yang sudah mencecah tujuh tahun, cukup membuktikan betapa utuh ikatan yang dibina apatah lagi dengan kehadiran cahaya mata.
“Saya telah mendirikan rumahtangga tujuh tahun lalu dan mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya lelaki. Anak yang sulung, Mohammad Amir Farhan, 6, Mohammad Anas Fikri, 5 dan yan kecil Mohammad Ammar Firdaus, 11 bulan.
“Saya mengetahui penyakit yang dihidapi oleh suami selepas dua tahun mendirikan rumah tangga. Sebelum ini, buah pinggang suami hanya mengalami masalah kebocoran sejak berusia 18 tahun. Doktor memberikannya ubat dan rawatan susulan. Namun pada tahun 2016, suami mengalami masalah tidak selera makan dan muntah darah. Tubuhnya kurus kerana tidak makan,” ungkap wanita yang sangat cekal ini.
Sedaya Upaya Jaga Suami & Anak-Anak
Kalau dikira kudrat seorang wanita, manakan terdaya untuk mencari rezeki seorang diri dan dalam masa yang sama kena jaga suami dan tiga orang anak.
Namun, demi kasih dan cinta, Nor Hamizah buang jauh-jauh perasaan itu. Baginya, selagi hayat dikandung badan, dia akan berusaha sedaya-upaya menjaga suami dan anak-anak. Nor Hamizah juga turut mengimbau kembali tatkala doktor memberitahu tahap kesihatan suaminya.
“Satu hari suami pergi kerja seperti biasa dan ketika waktu rehat suami kata dia muntah darah. Saya sangat terkejut dan terus bawa anak-anak naik motor menuju ke Hospital Besar Kota Bharu.
“Ketika doktor memaklumkan kepada saya bahawa kedua-dua buah pinggang suami saya rosak dan tahap akhir, saya terus menangis. Hanya Allah sahaja tahu betapa sedihnya saya ketika itu apatah lagi doktor bagi tahu tiada ubat selain dialisis cuci darah sahaja.
“Paha suami saya terpaksa ditebuk untuk dimasukkan wayar. Sekali lagi saya menangis. Ketika itu pelbagai perkara berlegar dalam fikiran saya. Bayangkan, sudahlah suami sakit, anak-anak pula masih kecil yang perlu diberi perhatian. Sejak kahwin, kami tidak pernah berpisah kecuali dia pergi kerja,” ungkap Nor Hamizah.
Suami Dialisis Tiga Kali Seminggu
Mereka sekeluarga yang menetap di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan akui kerana masalah kesihatan, suaminya yang berkerja di kilang tidak dapat lagi bekerja dan mencari rezeki untuk mereka sekeluarga. Kini tanggungjawab tersebut digalas Nor Hamizah dengan penuh reda.
“Suami terpaksa buat dialisis tiga kali seminggu. Saya sangat simpati dengannya kerana pesakit buah pinggang tidak boleh minum air lebih daripada 500 milileter sehari.
“Memang mula-mula saya susah nak menjaga suami dengan keadaan tubuhnya yang lemah. Makan minum kena suapkan ditambah pula dengan anak-anak yang masih kecil.
“Namun saya tidak putus asa. Saya lakukan yang terbaik demi suami dan anak-anak. Saya kena kuat walaupun penat,” terangnya lagi.
Sekeluarga Pakai Baju Raya Tahun Lepas
Bagi menampung perbelanjaan keluarga Nor Hamizah juga mengambil upah menjual biskut dan kerepek. Hasil daripada semua itu, dapatlah dia gunakan untuk membeli makan minum, lampin pakai buang, susu, sewa rumah dan yuran sekolah anak.
“Saya yang bekerja dan menangung keluarga. Saya mengambil upah menjual biskut dan kerepek. Adakala saya jual menerusi online dan dari rumah ke rumah,” sambung Nor Hamizah.
Memandangkan kini umat Islam sedang berpuasa dan tidak lama lagi akan menyambut Syawal, Nor Hamizah menerangkan mereka sekeluarga masih belum buat apa-apa persediaan untuk hari raya.
“Kami sekeluarga teruskan kehidupan seperti biasa. Bagi bulan puasa, saya cuba untuk sediakan makanan sahur dan berbuka. Untuk hari raya pula, memandangkan banyak ujian yang kami lalui jadi belum sediakan apa-apa. Pakaian raya, kami sekeluarga hanya pkai pakaian tahun-tahun lepas dan semejak suami sakit, Syawal kami sekeluarga tak seceria seperti tahun sebelumnya. Saya berharap biskut dan kerepek yang saya jual dapat dihabiskan jadi bolehlah saya belikan baju raya baru untuk anak-anak,” ungkap Nor Hamizah.
Hulurkan Sumbangan
Keperitan hidupnya sedikit terubat apabila menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.00, duit pencen suaminya sebanyak RM500.00 sebulan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) setahun sekali serta sumbangan daripada rakan-rakan.
“Saya dapat bantuan dari JKM, MAIK dan wang pencen suami namun bantuan yang diterima hanya mencukupi untuk bayar sewa rumah dan makan minum kami sekeluarga,” luah Nor Hamizah.
Sekiranya anda berminat untuk menghulurkan bantuan, salurkan sumbangan anda ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03010-41-000419146 atas nama Nor Hamizah Mohd Yusof atau boleh hubungi 0179452198.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak syurga berusia 2 hari meninggal, saluran pencernaan bengkak selepas diurut nenek. Tidak semua pandangan orang lama boleh diikuti meskipun ramai mendakwa terlebih dahulu...