Bila berumah tangga dan mempunyai anak, sudah tentu kita sebagai mak ayah perlu tunjuk yang baik-baik. Sebabnya, apa yang ktia lakukan itu, anak mesti tiru. Perumpamaan yang biasa kita dengar, ‘macam mana acuan, begitulah kuihnya.
Sebagai mak ayah, jangan sesekali salahkan anak, bila dia menunjukkan sikap yang membuatkan kita rasa geram dan marah. Semuanya sebab anak tiru apa yang kita telah buat. Semua ini adalah daripada pemerhatian dan rujukan dari kita sendiri.
Jadi, nak anak yang dengar kata, patuh dan sebagainya, tunjuklah yang baik-baik di depan mereka. Percayalah, bila anak tengok apa yang kita mak ayah, secara rak langsung, itulah yang akan ditiru.
Seperti perkongsian daripada Firdaus Mokhtar ini. Ia turut menekankan perkara yang perlu mak ayah tunjuk depan anak-anak. Kitalah guru pertama mereka dan belajarlah untuk jadi mak ayah yang terbaik untuk anak-anak.
Anak-anak akan belajar menggunakan deria penglihatan dan pendengaran. Sekali pun kita tak suruh ikut, apa sahaja yang mereka lihat dan dengar, mereka akan tiru.
IKLAN
Maka ini yang ibu bapa kena selalu buat depan anak-anak.
1. Selalu buat kerja rumah sama-sama. Iya, kalian kena selalu membantu pasangan sendiri. Macam yang biasa cakap sebelum ini, tak semua tugasan rumah kerja isteri. Suami yang suka membantu lebih baik.
Bantu kerja rumah saat isteri sedang sibuk uruskan kerja lain. Contohnya isteri sedang memasak, kita jaga anak. Isteri uruskan anak, kita menyapu atau mop lantai. Basuh kain dan sidai kain pun tak salah untuk suami, buatlah.
Anak-anak akan belajar kehidupan berkeluarga adalah tentang bantu-membantu.
2. Selalu ucap terima kasih pada pasangan kalian. Ucapan ini disebut jelas dan penuh rasa bersyukur. Sekali pun yang kita dapat cuma hal yang kecil, ucap sahaja terima kasih itu depan anak-anak.
Kita tunjukkan depan anak-anak yang kita sangat hargai pasangan. Nanti mereka juga akan hargai kita.
3. Buat kebaikan di hadapan mereka. Bukan niat menunjuk tapi untuk mendidik. Contohnya bersedekah, bantu orang tua atau buta melintas jalan, kutip sampah sekitar masjid atau surau, bersihkan tandas awam lepas guna dan sebagainya.
Beritahu juga sebab kenapa kita kena buat semua itu supaya anak-anak faham hidup kena selalu memberi.
IKLAN
4. Tunjukkan kasih sayang depan anak-anak.
Peluk pasangan atau pegang tangan pasangan depan anak-anak, itu cara terbaik
kita zahirkan kasih sayang.
Itu tanda kita pasangan yang punya sifat penyayang yang tinggi.
5. Bila berhadapan dengan konflik, jauhkan daripada berlaku di hadapan anak-anak. Selalu bila kita di luar kawalan emosi, kita akan cenderung berkata yang tak baik, perkataan yang tak elok, marah-marah dan meninggi suara.
Jika ini kerap berlaku depan anak-anak, kalian sedang merosakkan minta dan emosi anak-anak itu sendiri. Jadi, elakkan ya.
6. Sembahyang dan mengaji depan anak-anak. Boleh juga buat selalu ambil wuduk depan anak-anak. Ini supaya mereka belajar dan adalah keutamaan dalam hidup. Apa yang tak boleh tinggal, wajib kita buat.
Balik kerja penat atau sibuk macam mana pun, sembahyang tetap kita tunaikan. Jadi selepas daripada itu, mudah kita nak tanya mereka pula;
“Kakak dah solat ke belum? Adik-adik dah mengaji?” Haa, begitu.
IKLAN
7. Amalkan sikap selalu meminta maaf jika bersalah.
Benar, anak-anak akan belajar untuk tidak malu mengaku salah dan terus meminta maaf. Sesama mereka adik-beradik, dengan ibu bapa mereka atau pun dengan kawan-kawan nanti.
Begitulah kawan-kawan. Bila dah jadi ibu bapa ini sekali gus kita akan jadi guru pertama buat anak-anak.
Maka, segala-galanya kena teratur dan dirancang. Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Masih belajar jadi walid.
MW: Kadang-kadang, kita sebagai mak ayah tidak sedar apa yang kita buat itu boleh menyebabkan anak tiru. Jangan nak salahkan mereka sebab kitalah yang menjadi guru pertama anak-anak. Ingat ye!
Memahami dan memberikan perhatian kepada pasangan dalam percakapan adalah penting dalam hubungan yang sihat. Dalam sesebuah rumah tangga, suami harus bersedia ‘menadah’ telinga ketika isteri meluahkan perasaan.
Suami Bila Layan Isteri Bercakap
Tahu tak? Layan Isteri Bercakap Boleh Buat Otak Bergeliga.
Serius tau, semakin kerap dengar celoteh isteri semakin otak ni jadi bergeliga, selalu idea fresh datang dengan sendiri. Padahal yang dia duk ngomel tu tak ada kaitan langsung dengan kerja pun..
Menurut kajian Profesor Madya Dr. Sabitha Marican dari UUM wanita boleh bercakap sekurangnya 20 ribu patah perkataan sehari. Orang lelaki pula hanya 7 ribu sahaja.
3 kali ganda lebih banyak!
Sebab itu bila kita layan isteri bercakap kebarangkalian otak kita jadi lebih bijak adalah 3 kali ganda lebih tinggi daripada kita duk berborak dengan kawan lelaki.
Bayangkan jika berborak dengan lelaki otak kita hanya akan memproses maklumat sebanyak 7 ribu patah perkataan sahaja. Mungkin kurang dari itu.
Berbanding borak dengan wanita otak kita di paksa untuk proses 20 ribu maklumat sekaligus. Lebih banyak memproses akan menbuatkan otak jadi lebih cepat berfikir.
Rupa-rupanya Boleh Buat Otak Bergeliga
Sebab inilah kenapa otak wanita 10 kali ganda lebih cepat memproses maklumat daripada otak lelaki kerana mereka dah berlatih bercakap 20 ribu patah perkataan sehari sejak kecil lagi..
Jadi memang tak hairanlah kalau isteri kita dalam kereta bercakap, basuh pinggan bercakap, lipat baju bercakap, malah tengah makan pun dia boleh bercakap. Sebabnya mereka ada quota yang perlu dipenuhi.
Lepas ni kalau nampak isteri berceloteh jangan marah, pasang telinga betul-betul sebab mungkin idea jutaan ringgit boleh datang tiba-tiba..
Kerana setiap patah yang keluar dari mulut isteri itu pembawa rezeki..
Mohd Fhais-Dulu pendiam, sekarang dah jadi peramah gara-gara dengar celoteh isteri setiap hari.
Kesimpulannya selepas ini, suami kenalah selalu layan isteri bercakap.
Berikut adalah beberapa tip tentang bagaimana suami boleh memberikan perhatian dan menjadi pendengar yang baik ketika isteri ingin berbicara.
1. Berikan Waktu: Alihkan perhatian dari aktiviti lain dan berikan waktu yang cukup untuk berbicara dengan isteri. Jika anda sibuk, beritahu isteri bahawa anda akan mendengarkannya dalam beberapa saat ketika anda selesai dengan tugas yang sedang anda kerjakan.
2.Matikan Gangguan: Pastikan untuk mematikan peranti elektronik atau TV yang dapat mengganggu perhatian anda selama percakapan. Ini akan menunjukkan bahawa anda benar-benar peduli.
3.Perlihatkan Minat: Selama percakapan, tunjukkan minat anda dengan cara-cara seperti mengangguk, tersenyum, atau memberikan respon verbal yang sesuai. Ini akan menunjukkan bahawa anda aktif mendengarkan.
4.Hindari Mencelah: Jangan mencelah ketika isteri berbicara. Biarkan dia menyelesaikan pemikiran atau perasaannya sebelum anda memberikan tanggapan.
5.Tanya Pertanyaan Terbuka: Ajukan pertanyaan terbuka yang memungkinkan isteri untuk berbicara lebih banyak dan lebih mendalam tentang perasaannya. Ini dapat membantu anda lebih memahami apa yang dia rasakan dan fikirkan.
6.Jangan Kritik atau Jatuhkan Hukuman: Hindari mengkritik atau memberikan hukuman selama percakapan. Fokuslah pada mendengarkan dan mencuba untuk memahami sudut pandangnya.
7.Ekspresikan Empati: Jika isteri sedang menghadapi masalah atau kesulitan, ekspresikan empati dan sokongan. Katakan bahawa anda memahami perasaannya dan siap membantu jika diperlukan.
8.Jangan Menawarkan Solusi Terlalu Cepat: Terkadang, orang hanya ingin berbicara dan berkongsi perasaan mereka tanpa mencari solusi. Jadi, jangan terlalu cepat memberikan solusi jika itu bukan yang diminta.
9.Berbicara Terbuka: Jika ada masalah dalam hubungan atau hal-hal yang perlu dibincangkan, penting untuk berbicara terbuka dan jujur. Hindari menahan perasaan atau fikiran anda.
10. Pujian dan Penghargaan: Jangan lupa untuk memberikan pujian dan penghargaan ketika pasangan berbicara tentang hal-hal positif. Ini dapat meningkatkan perasaan dihargai dan dicintai.
Ingatlah bahawa komunikasi yang baik adalah kunci dalam hubungan yang sihat. Selain suami perlu mendengarkan dan memberikan perhatian kepada isteri, hal yang sama juga perlu berlaku sebaliknya. Kedua pasangan harus saling mendengarkan dan memahami satu sama lain untuk memperkuatkan ikatan dalam hubungan suami isteri.
Tahun 2018 nanti, tahun 6 tak lagi ambil UPSR. Tapi mereka bakal ambil peperiksaan PPSR. Apa pula kaitannya dengan anak yang gemuk? Lagilah ramai ibu bapa mulai risau. Tengok penerangan pun dah boleh buat biji mata berpinar-pinar.
Ini penjelasan mudah faham yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh. Semoga mak-mak dapat kurangkan kebimbangan yang bersarang dalam hati tu.
Cikgu, PPSR Tu Apa?
Risau la akak, anak akak Tahun 6 tahun depan. Kenapa kerap benar silibus bertukar? Macam mana ni cikgu nak hadapi? Kesian anak-anak kami jadi tikus makmal. Asyik jadi bahan eksperimen sahaja.
Baik. Kau orang tenang-tenang sahaja. Yang nak exam, anak kau. Bukan kau. Lagipun cikgu Korea kau ni takkan biarkan kau orang dalam dilema. Aku jelaskan satu-persatu.
Benda ni, kami dah ‘run’ lama dah. Sejak KSSR diperkenalkan pada 2011. Tahun ini, KSSR Semakan pula diperkenalkan. Silibus baru yang padat dan tinggi arasnya.
Namun, baru tahun ini kerajaan perkenalkan pada umum. Baru tahun ini result keputusan UPSR bukan sekadar sekeping slip semata-mata, bahkan ada satu fail pencapaian murid bersama-sama.
Tahun ini kita dah mula sebenarnya, namun secara tidak rasmi. Secara rasminya tahun depan.
Kesian Anak Kami Cikgu..
Silbus baru lagi. Anak kami jadi eksperimen lagi. Kesian anak kami, cikgu.
Tidak. Silibus tidak bertukar. Masih kekal silibus terbaru, KSSR Semakan yang murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 guna tahun ini. Silibus itu akan dibawa ke tahun dua dan tingkatan dua tahun depan.
UPSR macam mana cikgu? Ada ke mansuh? Kalau ada formatnya macam mana?
Format Peperiksaan UPSR tak berubah pun. Cuma keputusan UPSR tu bukan slip UPSR sahaja. Ia merangkumi semua penilaian. PPSR ini gabungan penilaian PBD, Psikometerik, PAJSK dan PP (UPSR).
Daripada keputusan PPSR nanti, senang ibubapa dan guru-guru nak lihat kecenderungan anak-anak kita nanti.
Secara tak langsung, bilamana ada ujian pajsk, psikometrik dan semua ni , guru boleh lihat kcenderungan murid dalam skill mana. Bila kenal kecenderungan, mudah ibu bapa dan guru mengasah bakat sedia ada mereka.
Cikgu Anak Saya Gemuk?
Kalau anak saya tidak aktif sukan akan mempengaruhi result dia ke cikgu? Katakan anak saya gemuk mempengaruhi juga ke?
Betul. Walau anak kau dapat 6A dalam komponen Upsr, tapi keputusan PAJSK, Psikometrik dan PBD tak seberapa, aktiviti Koko pula selalu tak hadir, tak banyak sumbangan diperingkat sekolah, daerah mahupun negeri, Ujian SEGAK tak buat, tahap kecergasan tak memuaskan, semua itu akan mempengaruhi keputusan PPSR. PBD (pentaksiran bilik darjah) adalah pentaksiran untuk semua mata pelajaran yang diambil oleh murid. Bukan hanya subjek UPSR sahaja.
Faham ke tak ni? Senafas aku tulis tu.
Cikgu, cikgu! Ni buat saya risau ni. Anak saya gemuk. Rendah la markah dia nanti.
Kau bawalah anak-anak bersenam setiap hujung minggu. Jaga pola pemakanan dia dengan lebih teratur. Kan bagus tu. Satu keluarga sihat sebab anak nak ambil PPSR.
Tapi cikgu, anak saya ni ada penyakit. Tak boleh kena panas, tak boleh bergerak. Dan tak boleh berpeluh. Macam mana cikgu? Kesian la dia, nanti markah dia rendah.
Pulak dah. Macam-macam betul anak kau ni. Baik, dengar sini.
Aktif ni bukan sahaja dari segi sukan bola sepak, ragbi atau olahraga. Dari segi aktiviti ko-akademik pun termasuk juga. Contohnya permainan catur, setem dan felatelli, kesenian dan kebudayaan (pantun, dikir barat, nasyid, boria ), seni visual, sahiba dan lain-lain.
Jika murid tidak mampu untuk bersukan yang lasak, minta mereka fokus pada aktiviti ko-akademik. Kalau itu pun mereka tak mampu, terimalah keputusan yang sedikit rendah.
Didik Anak Dari Rumah Lagi
Dah itu keupayaan anak-anak kita. Terimalah dengan rela. Asah lagi bakat mereka yang boleh kita asah. Sentiasa suruh mereka ke depan dalam setiap pertandingan dan program sekolah.
Didik anak dari rumah lagi. Pupuk kecenderungan mereka. Jangan harap semua benda cikgu nak bagi tumpuan pada anak kau orang. Senang bila kat sekolah nanti cikgu tahu dah apa kelebihan anak-anak kita.
Jadi, apa kesimpulan cikgu?
Tak payah nak simpul-simpul sangat lah. Berbelit nanti. Terus terang aku kata, PPSR ini satu penilaian yang lebih telus dan menyeluruh. Satu penambahbaikan yang bagus dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Terima kasih cikgu atas penerangan panjang lebar cikgu. Eh jap cikgu. DLP ni binatang apa pula? Kenapa semua pakat risau dengan DLP ni cikgu?
Sudah. Sudah. Penat dah aku menulis ni. Aku lapar nasi dah ni. Lain kali pula aku tulis pasal DLP tu.
Kau ingat aku tulis ini percuma? Belanja ah pizza ke, kepsi ke kalau terserempak. Takkan itu pun aku nak kena cakap. Hmmm, geram pula aku.
Nak bagi kau faham, aku yang tanya, aku yang jawab. Kahkahkah.
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
Adakan kelas tambahan membaca
Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kakak Safee Sali tampil bela adik ipar, “Dia bukan penyondol, saya kena betulkan apa yang salah. Kisah perceraian bekas penyerang bola sepak kebangsaan, Safee...