‘Kakak Takde Suara Langsung Ke’ Diuji Anak Istimewa, Ibu Terapi Sendiri Anaknya
Gambar sekadar hiasan.

Ibu ini, Cahaya Rayqal punya tiga orang anak. Anak sulungnya, Cahaya Darwishsya merupakan anak istimewa. Mula-mula dulu, ibu susah nak terima. Bila orang tegur anak bisu, ibu menangis.. menangis sampai down emosi. Bagaimana nanti ibu ini terapi sendiri anaknya?

Seminggu lamanya ibu cari jawapan kenapa anak.. dirinya.. tuhan uji sebegitu sekali. Tapi tak juga jumpa jawapan. Akhirnya, ibu duduk depan cermin. Ibu muhasabah diri. Daripada tak ada suara, anaknya hari ini dah boleh berkata-kata.

Ibu ini kongsi, apa usaha yang dia lakukan.

Anak Senyap Tak Keluar Suara

Banyak soalan yang tanya MACAM MANA SAYA BOLEH KUAT SAMPAI MCAM NI SEKALI.

Satu ketika dulu, saya pun pernah rasa tekanan sangat-sangat. Saya rasa malu. Hari-hari saya tanya kenapa Allah uji saya sampai macam ni. Dan bermacam soalan main dalam kepala saya.

Bila tengok kakak, saya tanya dia, “kakak tak ada suara langsung ke? Sampai tak boleh nak berkata-kata.” Kakak senyap je pandang saya. Mungkin time tu baru nak masuk 3 tahun. Mana dia nak paham soalan saya kan.

Ada satu hari tu, saya bawak kakak keluar. Dan ada orang cakap depan muka saya, “dik kamu ni bisu ke?”

Saya balik. Dan saya menangis.. menangis…menangis. Saya jadi down sangat-sangat. Saya cari punca. Tapi tak dapat jawapan.

Lepas dari seminggu.

Saya duk depan cermin… saya cakap, sampai bila aku nak menangis ni. Anak aku tetap tak ada perubahan. Aku kena buat sesuatu.

Baca sini : Anak didiagnosis dengan ADHD, ibu ini kongsi pengalamannya besasrkan anak istimewa.

Akhirnya Saya Terapi Anak Saya Sendiri

Saya bawak anak saya pergi terapi. Masih tak ada perubahan. Iya la.. jumpa pun 40 minit. Bukan jumpa hari-hari.. 3 bulan atau 6 bulan sekali kan.

Masa tu saya tersedar yang anak saya perlukan saya sangat-sangat. Sejak dari tu, saya sendiri yang terapi anak saya. Tiap-tiap hari saya ajar cakap. Bawak bercampur dengan orang. Saya ajar berkawan.

Hari-hari saya reka cerita yang baru.. supaya kakak tak bosan.
Hari-hari saya ajar perkataan yang baru.

IKLAN

Contoh,
Kakak ni apa?” Dia akan jawab, “syampu.”
Esok saya tanya balik. “Ni apa?” Dia jawab, “syampu la..”
Esok saya tanya lagi. “Syampu untuk apa?” Dia jawab, “syampu untuk cuci rambut kakak la…”

Dari situ saya nampak. Kakak dah mula pandai jawab soalan saya. Dan pandai susun ayat dengan guna 3 atau 4, kadang-kadang lebih perkataan sehari.

Start tu saya ajar menulis. Mula-mula kakak tak nak juga. Lama-lama saya pujuk. Cakap elok-elok. “Kalau kakak nak berjaya, kakak kena belajar menulis.” Akhirnya dia ikut.

Pelan-pelan saya ajar. Dari tak tahu pegang pensil. Sekarang, Alhmdulillah… apa dia tulis, cikgu, doktor pun boleh baca.

Anak Macam Ini Tak Boleh Biar Duduk Sendirian

Anak macam ni, ada hari kita kena berkeras, ada hari kita boleh manjakan dia.

Kenapa saya cakap budak-budak macam ni tak boleh duduk sorang-sorang. Bila sorang, dia rasa macam hanyut dalam sungai. Terkapai-kapai minta pertolongan. Bila mak ayah buat tak tahu je, dia terus lemas dan tengelam.

Masa tu kita akan menyesal sangat-sangat.

Untuk mak ayah, buat la sesuatu. Jangan harap terapi dekat hospital. Dia hanya basic sahaja. Terapi dari ibu ayah jugak yang akan berkesan. Kalau kita sabar.

Buat la sesuatu. Kita jangan pikir apa orang nak cakap. Baik kita pikir siapa nak jaga depa kalau kita tak ada nanti..

IKLAN

Saya pun masih ajar kakak, masih lagi mencari ilmu. Syukur, Alhamdulillah.
Ujian ni kecik sangat buat saya nak dibandingkan dengan ujian orang lain yang lebih hebat dari saya.

Alhmdulillah, apa yang saya nak saya dapat. Hanya bekalkan sabar sahaja.

Hari ni kakak cakap, “Ummi.. kakak sayang ummi tau.” Dia cium peluk saya. Terus tidur. Katanya, esok sekolah. Cerita ke dua. Bila saya tanya, “kenapa hari ni kakak seronok sangat?”

Ummi kakak dapat buku.. tahun depan kakak sekolah… darjah dua.” Saya saja ajak bual panjang.

Dapat berapa biji buku?” Dia jawab, “9 biji buku la.. nanti ummi tolong balut ye.. nama kakak dah tulis.. tengok ni ummi..kakak tulis..”

Demi kamu CAHAYA DARWISHSYA.. ummi kuat dan kental sehingga ke hari ni..semoga Allah melindungi anak-anak ku.

Cara Saya Ajar Anak Berdikari

Saya tahu kelemahan anak saya; cakap lambat dari umur sepatutnya. Tapi janji Allah tu pasti. Siapa yang usaha.. dia akan dapat.

Alhamdulillah.. anak yang orang hina, bisu..cacat.. tak boleh bawak pergi tempat orang.. suruh saya kurung kakak dekat dalam rumah. Saya buktikan. Atas didikan saya sebagai ibu yang melahirkan anak-anak saya. Saya kena tolak semua hinaan orang. Dan saya kena bangun dan kuat demi anak-anak saya. Alhmdulillah.. anak saya boleh. Walaupun saya kena ambik masa sedikit.

Pertama : Ajar Anak Kenali Tubuh Badannya

Benda pertama yang saya ajar, tentang bahagian penting wanita. Hari-hari saya akan cakap, ‘bahagian ini tak boleh disentuh. Badan.. tak boleh bagi orang suka-suka peluk. Kalau kakak sekolah.. ada kawan nak peluk, jangan bagi.

Bila saya duk selalu cakap benda yang sama, termasuk ayah nya pun tak dapat peluk. Dia tahu ayah dia boleh peluk cium dia. Tapi bila ayah nye nak peluk, kakak akan cakap, “ayah jangan peluk kakak.. kakak malu.”

IKLAN

Bila ayah nak ajak tido sekali pun, kakak akan cakap, “tak nak la.. kakak malu.” Dari sini saya dah mula asingkan tempat tidur dengan adik lelaki dia. Saya nak dia belajar berdikari.

Say nak dia rasa duduk bilik sorang-sorang. Bila dia bangun pagi, saya akan cakap, “bukan ummi tak nak tidur dengan kakak…kakak kena belajar buat sesuatu tanpa ummi.. nanti ummi dah tak ada.. siapa nak tolong kakak.” Alhamdulillah, dia paham apa yang saya sampai kan.

Kedua : Ajar Kakak Buat Kerja Rumah

Saya ajar kakak kemas rumah, belajar lipat baju, susun buku sekolah ikut jadual, saya latih anak-anak saya. Semua kerja kena buat, makan kena basuh pinggan. Bila dia tak basuh, saya akan cakap, “kakak tak sayang ummi ke? kenapa tak basuh?” Start dari tu, setiap kali makan mesti basuh. Dah main, barang mainan mesti kena kemas balik.

Macam tu jugak la sembahyang. Bila selalu sangat mak ayah, cikgu tu yang mengajar.. bila kita leka dia akan ingat kan kita. “Dah azan.. tak sembahyang ke?” Malu sangat bila anak tanya macam tu. Maknanya apa yang kita ajar semua dia masuk dalam kepala. Walaupun secara pelan-pelan dia nak terima.

Bukan mudah untuk bagi budak-budak macam ni paham. Tapi kita kena kuat. Kalau kita sambil lewa, anak kita terus dalam dunia dia sendri. Kesian sangat bila dia dah duduk dalam dunia dia sendiri.

Ketiga : Jangan Beri Dia Buat Silap Banyak Kali

Bila anak kita buat salah jangan la kita cakap, “haa ye betul kakak buat.. salah tu..” Kita perbetulkan apa yang salah. Jangan bagi dia buat silap banyak kali. Cukup sekali dia buat salah.

Sebab kita tak nak perangai buat silap ni.. sampai ke besar. Nanti dia rasa semua benda dia buat, semuanya betul.

Bila dia kerja dengan betul, peluk la dia. Saya selalu buat dekat anak-anak saya. Saya cakap, “betul tu kakak.. meh ummi sayang.. kakak nak jadi budak pandai.. mesti kena usaha.” Lama-lama dia sendiri nak jadi budak pandai.

Tapi bila anak buat silap, tegur la..marah la..saya pun selalu marah anak saya. Sebelum tidur saya akan bagitahu, “ummi bukan saja nak marah.. ummi nak kakak belajar.. tak boleh harap kan orang. Kena berdiri atas kaki sendiri.”

Alhamdulillah anak-anak saya bolah paham apa yang saya sampai kan, walaupun saya kena cakap berulang-ulang kali.
Cahaya Darwishsya
Darwish Rayqal
Cahaya Darwinsya..

Ingat la.. ummi marah bukan sebab ummi tak sayang.. umi nak korang belajar mengurus diri berdikari…bila ummi dengan ayah tak ada nanti. Korang tahu bawa diri dan jaga diri.

MW : Hebat ibunya terapi sendiri anak istimewanya ini. Semoga kisahnya menjadi inspirasi ibu-ibu yang sedang diuji.

Sumber/Foto : Cahaya Rayqal *Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI