anak istimewa...jangan pinggirkan dia daripada Al-Quran

Anak istimewa tetap anugerah terindah daripada Allah SWT. Namun, kehadirannya tentu memberikan cabaran tersendiri bagi ibu bapa, menuntut segunung kesabaran yang kadangkala tergoncang jua.

Pahala Besar Jaga Anak Istimewa

Namun, Allah SWT sudah janjikan pahala yang melimpah ruah buat mereka yang diuji dengan anak-anak syurga ini. Malah, mereka inilah ladang pahala untuk ibu bapa yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sedaya mungkin.

Namun, ada ibu bapa yang tidak mencuba dengan sedaya upaya melaksanakan amanah yang Allah berikan itu. Kasihan si anak!

Anak Istimewa, Jangan Pinggirkan Dia Daripada Al-Quran!

Wujudkan Budaya Al-Quran Di Rumah

Bagi pasangan muda, Faiz Mohamad Noor bin Kamaruzaman dan Nur Izzah bt Mohamad Kamil, dianugerahi seorang anak istimewa tetap diterima dengan lapang dada dan reda. Anak kedua mereka, Ahmad Aqeel dilahirkan dengan ‘blind Autisme’. Walau pun sedar anaknya itu memiliki kekurangan diri, namun pasangan suami isteri ini sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk anak syurga mereka itu. https://www.facebook.com/faiz.kamaruzaman.1

Selain Aqeel, dua lagi cahaya mata mereka ialah Ahmad Abqari, 11 dan Aisyah Azzahra, 4. Ketiga-tiga anak mereka itu sejak awal lagi telah didedahkan dengan al-Quran termasuk Aqeel.

“ Untuk Aqeel, sebenarnya kami mendidik Aqeel mencintai al-Quran bermula dari dalam kandungan. Semasa saya mengandung, suami dan saya akan membaca surah-surah pilihan ataupun mendengar bacaan al-Quran melalui mp3. Kami meneruskan pembacaan dan memperdengarkan al-Quran kepada Aqeel secara konsisten sehingga sekarang.” Ujar Nur Izzah memulakan bicara.

Anak Istimewa, Jangan Pinggirkan Dia Daripada Al-Quran!

 Usia Tiga Tahun Dah Hafal Surah

Tambah Faiz pula, Aqeel telah diperdengarkan bacaan al-Quran setelah lahir sehinggalah ke  saat ini. Walau pun tak dapat melihat, pada usia 3 tahun Aqeel mampu menghafal beberapa surah dan mereka meneruskan hafalannya sehingga sekarang.

“ Kini Aqeel telah pun berjaya menghafal juz amma, Al-Mulk, As-Sajdah, Al-Insan, Al-Jumu’ah, Al-Munafiqun, Al-Waqiah, Ar-Rahman, Al-Hujurat, Yasin, Luqman, Al-Kahfi dan sebahagian daripada surah yang Panjang seperti Surah Al-Baqarah, Ali-Imran, An-Nisa’.” Jelasnya.

Kelebihan Di Sebalik Kekurangan Anak Istimewa

Bagi pasangan ini, anak istimewa tidak sepatutnya menjadi halangan kepada ibu bapa untuk mengajar al-Quran kepada mereka kerana ibu bapa perlu menunaikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan al-Quran.

“Jika anak sukar diajar atau tidak dapat memberi perhatian yang baik, kita perlu mengajar mengikut tahap kemampuan mereka. Jangan tidak diajar langsung kerana itu adalah tanggungjawab ibu bapa dan cuba tunaikan tanggungjawab tersebut sedaya upaya kita yang termampu.” Tambah Nur Izzah pula.

Terapi Untuk Aqeel

Sejak belajar al-Quran, Aqeel lebih tenang dan bersemangat untuk menghafal surah-surah baru dan sangat suka mendengar alunan ayat al-Quran. Sebutan bacaannya lebih jelas berbanding sebelumnya.

“ Malah kami jadikan al-Quran sebagai terapi untuk Aqeel bagi menenangkannya. Al-Quran menjadikan Aqeel lebih fokus apabila dia cuba menghafal dan mendengar al-Quran. Selain itu, Abangnya Ahmad Abqari bertanggungjawab menyemak bacaan hafalan Aqeel manakala si bongsu juga telah menunjukkan minat yang sama tetapi dia masih di peringkat iqra’.” Terang Faiz lagi.

Masuk Syurga Sekeluarga Sama-Sama

Soal didikan agama perlu dititikberatkan jika ingin mencapai matlamat ‘masuk syurga sama-sama’.

“Bagi kami semuanya bermula dari rumah dan didikan ibu bapa. Jika ibu bapa gagal mendidik anak dengan didikan agama, maka anak-anak akan lebih mudah terpengaruh dengan anasir luar. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak dengan agama tidak boleh diserah bulat-bulat kepada cikgu, ustaz atau orang lain kerana itu amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak.” Jelas Nur Izzah.

Kami jadikan bacaan al-Quran sebagai rutin harian selepas solat berjemaah. Biasanya kami akan bertadarus selepas solat lima waktu terutama di musim PKP ini secara bergilir antara saya, isteri, abang Aqeel dan Aqeel. Ttetapi kebanyakannya dibaca oleh Aqeel dan kami hanya menyemak bacaannya. Kami juga mengambil peluang membaca maksud al-Quran kepada Aqeel.

“ Semua masalah dan persoalan dalam hidup kita ada jawapannya dalam al-Quran. Rugi jika kita tidak memanfaatkannya. Kita bukan sahaja digalakkan membaca al-Quran malah mentadabbur dan memahami ayat-ayat-Nya juga penting supaya dapat menghayati al-Quran dengan lebih baik.” Akhiri Faiz yang turut berhasrat bersama-sama keluarganya membaca al-Quran sempena WORLD#QuranHour https://www.facebook.com/WorldQuranHour/13 Mei nanti.

Anak Istimewa, Jangan Pinggirkan Dia Daripada Al-Quran!

Ayuh sama-sama mengaji serentak secara maya sempena World Quran Hour pada 13hb Mei 2020, jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari. Gemakan alunan ayat suci al-Quran ke seluruh dunia!  

https://www.mingguanwanita.my/menangis-beria-anak-istimewa-ini-sebaik-dengar-doa-ustazah-baca/

https://www.mingguanwanita.my/mata-kanan-tiada-bebola-belah-kiri-mata-semua-putih-disahkan-pula-mild-autisme-ajaibnya-anak-ini-mampu-hafal-surah-seawal-usia-3-tahun/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI