Sebaiknya mak, ayah menggunakan tempoh PKP ini untuk mendekati anak-anak. Ambil masa secukupnya untuk memahami anak-anak. Sebelum ini atas komitmen kepada tugasan harian, kita hanya menghabiskan cuma sedikit waktu bersama anak-anak.
Memandangkan kini kita miliki banyak masa bersama anak, apa kata gunakan peluang ini sebaik mungkin. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini janganlah terlalu strict dengan anak-anak kerana anak kita manusia bukannya robot yang hanya tahu menurut arahan.
Masa PKP ini janganlah strict sangat dengan anak-anak…
Mereka hendak tengok tv bagi saja. Mereka hendak makan depan tv bagi saja. Apa mereka minta selagi tidak bawa mudarat bagi saja.
Bukan hendak suruh momok anak dengan tv tapi jika itu yang boleh buat mereka tenang apa salahnya.
Ads
Anak kita manusia bukan robot.
Mereka pun ada emosi. Mereka pun ada keinginan. Mereka pun tidak suka bila dilarang dan arah-arah setiap masa. Mereka cuma hendak disayangi dan diberi perhatian.
Tak usah takut anak ketinggalan IQ, hilang fokus dan hilang minat hendak belajar tapi takutlah bila anak hilang terus ‘sense of happiness’ mereka.
Ads
Antara kesan hilang sense of happiness ialah anak tak pandai senyum, senang sentap, tak boleh terima usikan mesti melenting dan tak boleh kawal emosi.
Otak anak kita ini ibarat cawan kosong. Kalau setiap hari kita isi dengan arahan, displin dan pantang larang maka tiga benda itulah yang akan anak kita teguk sampai ke besar.
Jika begini besarlah anak kita menjadi robot yang cerdik terima arahan tapi corot berfikir.
Parenting bukan anak buat kita happy tapi kita yang kena buat anak happy.
MW: Jangan mengajar anak-anak untuk menjadi terlalu sempurna dan mengikut kemahuan mak, ayah hingga mengabaikan kegembiraan dan kebahagian anak-anak. Berilah ruang pada anak-anak untuk merasai sedikit kebebasan melalui zaman kanak-kanak sepanjang tempoh PKPB ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Remaja hari ini memang berbeza sungguh. Pening kepala mak ayah dibuatnya. Anak-anak adalah amanah Allah SWT kepada kita ibu bapa. Ada yang dikurniakan rezeki anak ramai, ada juga yang sekadar seorang. Apa pun ia tetap satu amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin.
Kini zaman dah berubah. Pernah tak anda mengalami situasi, anak-anak remaja sekarang seolah ‘tak faham’ atau tak dapat ‘feel’ bila kita beri contoh kehidupan zaman kecil kita dulu pada mereka.
“Korang ni, susah sikit pun mengeluh. Zaman mak dulu, pergi sekolah jalan kaki je. Duit pun bawak RM1 je..”
Anda tengok wajah anak terkebil-kebil. Mereka tak boleh ‘rasa’ kerana mereka bukan berada di zaman anak-anak terpaksa berjalan berbatu jauhnya untuk ke sekolah. Waktu itu, duit nilainya besar walau RM1. Tentu sekali anak membayangkan; apa nak makan dengan RM1 kat sekolah? Begitu juga bila kena jalan kaki. Kenapa nak jalan kaki kalau bas ada?
Itu semua adalah contoh, zaman kita dan anak-anak kita dah jauh berubah. Jadi, didikan kita juga kena sesuai dengan peredaran zaman.
Ya, tegas tetap kena tegas dalam mendidik anak-anak. Tapi, tegas itu biar kena pada tempatnya. Anak-anak generasi sekarang tak sama macam dulu. Kalau marah mak ayah, paling jauh pergi lari sembunyi belakang rumah. Anak zaman sekarang, silap tegur dah lari dari rumah!
Sebagai ibu bapa, kita yang faham akan sikap setiap anak kita. Ada anak yang jiwanya lembut. Tak perlu tengking atau pukul, bila kita nasihat dengan lembut sambil usap kepala mereka, dah mampu buat mereka menangis teresak-esak.
Faktor kawan sebaya sangat memberikan pengaruh besar terhadap anak-anak bila mereka meningkat remaja. Seeloknya, damping mereka dan jadi kawan mereka. Bukan bermakna mereka hilang respek pada kita sebagai ibu bapa, tapi kita nak biarlah mereka jadikan kita orang pertama akan dikongsikan masalah. Jadi kita boleh bimbing mereka sewajarnya.
Sebaliknya apa akan jadi kalau mereka berpaling pada rakan-rakan? Kalau minta nasihat pada rakan yang okay, tak apalah. Kalau silap minta nasihat macam mana?
Bila meningkat remaja, kadangkala anak akan rasa diri mereka sudah besar dan mampu buat keputusan sendiri, tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Sedangkan hakikatnya mereka belum cukup matang dalam membuat keputusan.
Namun sebagai ibu bapa, tak perlu marah-marah bila anak buat silap. Bercakap dari hati ke hati, umpama mereka orang dewasa. Bila kita berbual dan melayan mereka seperti orang dewasa, mereka akan lebih terbuka dan selesa untuk berbual dengan kita berbanding bila kita terus marah-marah! Silap hari bulan, mereka terus tak nak lagi berkongsi apa saja perkara/masalah dengan kita.
Generasi hari ini tak sama dengan generasi mak ayah dulu. Sebab itu, mungkin didikan yang kita terima daripada mak ayah kita dah tak sesuai untuk kita pakai dan implementasikan pada anak-anak kita sekarang. Apa pun, jangan sesekali biarkan anak-anak kita ‘jauh’ daripada kita.
Sehari sebelum Ramadan, Nurul Mastura Othman (25) sedang memasak air di dalam kuali di atas dapur. Hajat di hati nak makan mi segera. Sambil memasak, Mastura mencuci pinggan mangkuk dan membelakangkan dapur. Tanpa dia sedari, tiba-tiba anak sulungnya Ahmad Qhalish Amsyar Ahmad Nabil datang dan menarik pemegang periuk yang digunakan. Habis semua air yang sedang panas menggelegak di dalam kuali jatuh menyimbah ke bahagian muka Amysar dan sebahagian badannya.
“Sebenarnya petang tu, sambil cuci pinggan saya nak masak mi segera. Air dalam kuali yang ada pemegang tu dah menggelegak. Saya masukkan sayur-sayur dahulu. Sedang leka basuh pinggan, saya tak sedar bila masa anak datang. Amsyar baru belajar berjalan dan dia datang ke belakang saya sambil tangannya menarik pemegang kuali itu. Automatik air yang dalam kuali jatuh dan menimpa muka dan juga sebahagian anggota badannya yang lain.
“Saya dan suami bergegas membawa Amsyar ke Hospital Rembau. Memandangkan tiada doktor pakar disitu, kami kemudian dikejarkan ke Hospital Seremban dengan menaiki ambulan. Doktor memaklumkan Amsyar mengalami melecur sekitar 22 peratus. Amsyar kemudian ditempatkan di PICU untuk rawatan lanjut selama lima hari kerana perlu menggunakan oksigen,”jelas Mastura yang menetap di Pedas, Negeri Sembilan.
Amsyar trauma
Menurut Mastura lagi, ibu mana yang boleh tenang apabila anak kecil berusia setahun dua bulan meraung-raung kesakitan. Sedangkan kita yang dewasa pun kalau terpercik minyak pun dah merintih sakit, ini kan pula anak sekecil Amsyar.
“Sedihnya saya tengok keadaan Amsyar… selang sehari luka melecurnya akan dibersihkan. Terketar-ketar saya tengok dia tahan sakit sambil menangis. Amsyar sampai trauma apabila melihat doktor dan jururawat yang datang merawatnya,”jelasnya ketika dihubungi semalam.
Tambah Mastura lagi, Amsyar masih meneruskan rawatan di Hospital Seremban. Suami Mastura, Ahmad Nabil Nordin bekerja di sebuah kilang terletak di Chembong, Rembau. Waktu PKP ini suaminya tidak bekerja, Mastura pula suri rumah sepenuh masa.
Buat pembaca MW yang prihatin, pihak kami amat berbesar hati jika anda dapat memberikan sumbangan bagi meringankan kesulitan yang sedang dilalui Mastura sekeluarga. Disini MW sertakan nombor akaun CIMB 7628898554 NURUL MASTURA OTHMAN . Sumbangan ikhlas anda diharap dapat memberi sedikit kelegaan buat mereka sekeluarga. Semoga lekas sembuh Amsyar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Anak istimewa tetap anugerah terindah daripada Allah SWT. Namun, kehadirannya tentu memberikan cabaran tersendiri bagi ibu bapa, menuntut segunung kesabaran yang kadangkala tergoncang jua.
Namun, Allah SWT sudah janjikan pahala yang melimpah ruah buat mereka yang diuji dengan anak-anak syurga ini. Malah, mereka inilah ladang pahala untuk ibu bapa yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sedaya mungkin.
Namun, ada ibu bapa yang tidak mencuba dengan sedaya upaya melaksanakan amanah yang Allah berikan itu. Kasihan si anak!
Bagi pasangan muda, Faiz Mohamad Noor bin Kamaruzaman dan Nur Izzah bt Mohamad Kamil, dianugerahi seorang anak istimewa tetap diterima dengan lapang dada dan reda. Anak kedua mereka, Ahmad Aqeel dilahirkan dengan ‘blind Autisme’. Walau pun sedar anaknya itu memiliki kekurangan diri, namun pasangan suami isteri ini sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk anak syurga mereka itu. https://www.facebook.com/faiz.kamaruzaman.1
Selain Aqeel, dua lagi cahaya mata mereka ialah Ahmad Abqari, 11 dan Aisyah Azzahra, 4. Ketiga-tiga anak mereka itu sejak awal lagi telah didedahkan dengan al-Quran termasuk Aqeel.
“ Untuk Aqeel, sebenarnya kami mendidik Aqeel mencintai al-Quran bermula dari dalam kandungan. Semasa saya mengandung, suami dan saya akan membaca surah-surah pilihan ataupun mendengar bacaan al-Quran melalui mp3. Kami meneruskan pembacaan dan memperdengarkan al-Quran kepada Aqeel secara konsisten sehingga sekarang.” Ujar Nur Izzah memulakan bicara.
Tambah Faiz pula, Aqeel telah diperdengarkan bacaan al-Quran setelah lahir sehinggalah ke saat ini. Walau pun tak dapat melihat, pada usia 3 tahun Aqeel mampu menghafal beberapa surah dan mereka meneruskan hafalannya sehingga sekarang.
“ Kini Aqeel telah pun berjaya menghafal juz amma, Al-Mulk, As-Sajdah, Al-Insan, Al-Jumu’ah, Al-Munafiqun, Al-Waqiah, Ar-Rahman, Al-Hujurat, Yasin, Luqman, Al-Kahfi dan sebahagian daripada surah yang Panjang seperti Surah Al-Baqarah, Ali-Imran, An-Nisa’.” Jelasnya.
Bagi pasangan ini, anak istimewa tidak sepatutnya menjadi halangan kepada ibu bapa untuk mengajar al-Quran kepada mereka kerana ibu bapa perlu menunaikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan al-Quran.
“Jika anak sukar diajar atau tidak dapat memberi perhatian yang baik, kita perlu mengajar mengikut tahap kemampuan mereka. Jangan tidak diajar langsung kerana itu adalah tanggungjawab ibu bapa dan cuba tunaikan tanggungjawab tersebut sedaya upaya kita yang termampu.” Tambah Nur Izzah pula.
Sejak belajar al-Quran, Aqeel lebih tenang dan bersemangat untuk menghafal surah-surah baru dan sangat suka mendengar alunan ayat al-Quran. Sebutan bacaannya lebih jelas berbanding sebelumnya.
“ Malah kami jadikan al-Quran sebagai terapi untuk Aqeel bagi menenangkannya. Al-Quran menjadikan Aqeel lebih fokus apabila dia cuba menghafal dan mendengar al-Quran. Selain itu, Abangnya Ahmad Abqari bertanggungjawab menyemak bacaan hafalan Aqeel manakala si bongsu juga telah menunjukkan minat yang sama tetapi dia masih di peringkat iqra’.” Terang Faiz lagi.
Soal didikan agama perlu dititikberatkan jika ingin mencapai matlamat ‘masuk syurga sama-sama’.
“Bagi kami semuanya bermula dari rumah dan didikan ibu bapa. Jika ibu bapa gagal mendidik anak dengan didikan agama, maka anak-anak akan lebih mudah terpengaruh dengan anasir luar. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak dengan agama tidak boleh diserah bulat-bulat kepada cikgu, ustaz atau orang lain kerana itu amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak.” Jelas Nur Izzah.
“ Kami jadikan bacaan al-Quran sebagai rutin harian selepas solat berjemaah. Biasanya kami akan bertadarus selepas solat lima waktu terutama di musim PKP ini secara bergilir antara saya, isteri, abang Aqeel dan Aqeel. Ttetapi kebanyakannya dibaca oleh Aqeel dan kami hanya menyemak bacaannya. Kami juga mengambil peluang membaca maksud al-Quran kepada Aqeel.
“ Semua masalah dan persoalan dalam hidup kita ada jawapannya dalam al-Quran. Rugi jika kita tidak memanfaatkannya. Kita bukan sahaja digalakkan membaca al-Quran malah mentadabbur dan memahami ayat-ayat-Nya juga penting supaya dapat menghayati al-Quran dengan lebih baik.” Akhiri Faiz yang turut berhasrat bersama-sama keluarganya membaca al-Quran sempena WORLD#QuranHour https://www.facebook.com/WorldQuranHour/13 Mei nanti.
Ayuh sama-sama mengaji serentak secara maya sempena World Quran Hour pada 13hb Mei 2020, jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari. Gemakan alunan ayat suci al-Quran ke seluruh dunia!
Kisah inspirasi Ustazah Basikal dan suami mengayuh basikal merentasi 14 negara menuju Mekah demi impian ke Tanah Suci, penuh cabaran, pengorbanan dan tawakal.