Sebenarnya bila-bila masa, dekat mana, dalam bentuk apa pun cukup mudah untuk kita melakukan amalan ber sedekah. Tak perlu tunggu jadi kaya raya baru nak mula.
Zatika Izati Puade berkongsi cara mudah dan murahnya untuk mulakan langkah bersedekah. Tak perlu pun lakukan dalam bulan Ramadan saja, bulan-bulan lain pun elok diteruskan amalan mulia ini.
Cara Mudah Dan Mudah Untuk Mulakan Sedekah
Assalamualaikum hey what’s up guys, hari ini kita nak brainstorm cara-cara mudah dan murah untuk bersedekah jom kita start.
(Semoga bermanfaat untuk hari-hari terakhir Ramadan ini dan seterusnya boleh juga diamalkan pada bulan-bulan lain.)
1. Jika membeli kuih daripada peniaga tepi jalan, atau bazar Ramadan, hulurkan wang extra, dengan pesanan supaya peniaga berikan kuih percuma untuk pelanggan lain.
Atau jika mereka sanggup, hantarkan ke masjid atau surau untuk dibuat hidangan moreh.
Sahabat-sahabat saya yang berniaga makanan, boleh berikan details barang jualan dan lokasi dalam ruangan komen. Manalah tahu ada yang ingin berkongsi rezeki.
2. Jika masak memasak bukanlah kita punya forte, belikan buah untuk jiran-jiran tetangga. Terutama jika kita dapat membeli buah yang jarang dijumpai.
Doakan supaya Allah SWT kurniakan nikmat kesihatan buat mereka.
3. Beli sabun mandi cecair dalam botol besar begini dan tinggalkan di tempat wuduk surau RnR atau surau atau masjid yang kita singgah dalam perjalanan pulang ke kampung.
Ia lebih banyak kegunaan berbanding sabun basuh tangan dan lebih murah (cari house brand).
4. Tempahkan makanan yang mudah dan murah untuk jururawat yang bekerja shift malam di hospital untuk mereka bersahur.
Contoh: Ada sahabat saya menjual jagung lerai dan jagung dalam cawan.
Sahabat-sahabat lain yang nak berkongsi info, dipersilakan juga.
5. Sedekahkan tenaga dan wang untuk mesin dobi. Tolong cucikan telekung dan sejadah tempat-tempat awam seperti hospital, pusat beli belah, hypermarket.
6. Pekkan kit kebersihan untuk golongan gelandangan. Boleh buat bersama anak-anak. Antaranya berus gigi, ubat gigi, sepit kuku, sikat, bedak, tuala wanita, tuala kecil, sabun mandi.
7. Keep small changes in your pocket. Duit seringgit misalnya. Apabila terjumpa kanak-kanak, hadiahkan saja sebagai duit raya. Insya Allah dapat pahala kerana menggembirakan mereka.
Jika ada idea lagi, Tuan Puan boleh share dalam bahagian komen.
Sumber/Foto : Zatika Izati Puade
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Kahwin Diam-diam, Ini Nasihat Kental Untuk Isteri-Isteri
Jangan disangka air yang tenang tidak ada buaya. Jalan pijak semut pun tak mati. Dan jangan sangka, suami yang pendiam, pemalu, tidak banyak cakap ini seorang yang baik dalam rumah tangga. Takkan berani kahwin diam-diam.
Silap gaya, huru-hara rumah tangga. Apa tidaknya. Dalam senyap dan pemalu inilah, tup-tup dia pasang seorang lagi tanpa pengetahuan isteri.
Kadang-kadang kita tidak tahu apa sebenarnya yang tersirat dalam hati seorang suami. Cukupkan dengan seorang isteri atau memang berangan-angan untuk memiliki lebih dari seorang isteri.
Bagaimanakah untuk seorang isteri mengetahui bahawa suaminya benar-benar setia pada dirinya. Menjawab persoalan ini, Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, GrandMaster Hypnotherapist ada jawapan yang boleh merungkaikan tentang perkara ini.
Punca Suami Kahwin Diam Diam
Ada banyak kemungkinan suami kahwin diam-diam. Berikut adalah sebabnya:
i. Telah berjanji untuk mengahwini seseorang tetapi rasa susah untuk mendapat kelulusan dari isteri pertama.
ii. Ingin memenuhi keinginan tapi takut untuk berterus terang
iii. Kemungkinan disebabkan keterlanjuran dan suami tersebut mengambil tanggungjawab.
iv. Betul betul inginkan isteri kedua disebab inginkan zuriat
v. Nafsu suami yang terlebih atau tidak boleh dikawal
vi. Menyambut cabaran atau dicabar oleh rakan rakan
vii. Memang dia sudah mencintai wanita tersebut
Sampai Bila Suami Sorok Perkahwinan
Selagi boleh disorok, ianya akan disorok, tetapi tidak ada isteri kedua yang inginkan perkahwinannya disorok. Begitu juga isteri pertama ingin mengetahui kedudukannya. Adakalanya keadaan sekeliling tidak mengizinkan untuk pengetahuan awam. Ianya akan diketahui juga jika suami dan isteri kedua rasa selamat untuk memberitahu isteri pertama.
Kalau Dah Terlajak Kahwin Lagi, Suami Hadam Nasihat Ini
√ Tidak semua isteri pertama boleh menerima kenyataan ini. Suami tidaklah boleh merasa berbangga diri dalam memperolehi isteri kedua, kerana nafsu seorang suami tidak akan berhenti sehingga isteri kedua sahaja. Sekiranya suami lemah dan senang tergugat kepada kecantikan dan godaan wanita, dia akan kecundang akhirnya.
√ Penjagaan kedua-dua keluarga adalah penting terutama sekali bab kasih sayang, perhatian, pemberian, masa dan waktu dan juga kewangan. Perlu berhati hati supaya ianya tidak diungkitkan di masa akan datang.
√ Elak dari bercerita tentang isteri pertama kepada isteri kedua. Ini akan menambahkan stress lagi.
√ Kesemua isteri hendak memberi suami mereka layanan yang baik, layan lah mereka dengan sebaik mungkin
Isteri Bertenanglah Bila Suami Kahwin Diam-diam.. Hadapi Ujian Tuhan Dengan Sabar
Bak kata pepatah Melayu: Nasi telah menjadi bubur. Jika perkara begini berlaku, si isteri jangan lah terburu buru untuk mengambil keputusan. Seringkali isteri pertama akan melepaskan geram, marah marah serta bergaduh tak kira tempat jika mengetahui perkara yang sebenar.
Isteri hendaklah bersabar dan memahami keadaan suami kenapa dia berkahwin satu lagi. Perkara telah berlaku dan isteri pertama harus menerima kehadiran isteri kedua serta memberitahunya tentang berlaku adil.
4 Tip Untuk Isteri Pertama
- Perlu banyak bersabar dalam menghadapi kehidupan bermadu
2. Menerima hakikat berkongsi setiap perkara termasuk kasih sayang suami
3. Merelakan suami ke rumah isteri muda walaupun ianya menyakitkan hati nya
4. Sering meningatkan suami tentang masa dan perkongsian yang adil dan saksama.
Bila Dah Berkongsi Suami, Isteri Kedua Jangan Tamak
- Tidak berasa berbangga, riak atau sombong setelah memiliki suaminya
2. Tidak menyakitkan hati isteri pertama
3. Mengetahui adat berkongsi suami:
i. Melepaskan Suami balik ke pangkuan isteri pertama serta keluarganya pada masa yang dipersetujui.
ii. Tidak membanding bandingkan layanannya kepada suami dengan isteri pertama.
iii. Tidak menunujuk-nunjuk kepada isteri pertama tentang apa yang dia terima dari suami
Walau Pun Sukar, Suami Kena Usaha Bagi..
a. Seboleh bolehnya berlaku Adil dalam apa segi pun
b. Bersikap berterus terang kepada kedua isteri dan anak anak
c. Jangan menyakitkan hati kedua dua isteri
d. Tidak melebih lebihkan layanan diantarakedua dua isteri
e. Tidak melaporkan dan membeza bezakan perangai di antara kedua dua isteri dan sebaliknya apabila bersama.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita! Jangan Terpedaya Pujukan Kahwin Lari, Buruknya Terpalit Ke Diri Sendiri
Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang kes kahwin lari atau kahwin di sempadan ini terkawal lah jumlahnya. Apa pun, inilah isu yang biasa berlegar dalam masyarakat kita. Tetap, ada juga yang berani kahwin sembunyi-sembunyi semata-mata kerana cinta katanya.
Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli berkongsi kesan buruknya pada wanita yang mudah terpengaruh dengan pujukan kahwin lari ini.
Wanita, Jangan Mudah Terpengaruh Dengan Pujukan Kahwin Lari
Isu kahwin tanpa pengetahuan keluarga atau bahasa mudahnya kahwin lari adalah isu yang selalu kita dengar. Bahkan, banyak juga isu sebegini ada dalam drama tv, novel dan lain-lain. Cuma semasa PKP ini, saya percaya tak banyak la kes sebegini sebab kita tidak dibenarkan merentasi negeri apatah lagi rentas sempadan negara.
Rakyat Malaysia ini biasa dengar isu sebegini. Bahkan ada di kalangan mereka ini memang lebih suka berkahwin disana. Tambah-tambah pasangan lelaki yang bakal menjadi suami tersebut adalah ‘suami orang’. Ada juga yang pilih untuk berkahwin disana disebabkan tidak mendapat restu daripada wali atau keluarga.
Tapi, apa yang menjadikan saya nak berkongsi dengan pembaca adalah tentang kesan yang buruk kepada wanita. Ramai wanita tak tahu, bila perkahwinan berlaku di sempadan Thailand ini misalnya, kesan yang paling buruk akan berlaku adalah kepada wanita itu sendiri berbanding lelaki tersebut. Antara kesannya adalah:
Boleh Jadi Tak Sah
Mungkin perkahwinan yang nampak macam ‘real’ sebab ada tok kadi semua, tapi ramai juga yang tertipu dengan agen yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Tempat pernikahan yang berlaku tersebut adalah menjadi perkara utama yang perlu disahkan terlebih dahulu kerana hanya beberapa tempat sahaja yang diiktiraf.
Bahkan, ada juga wanita yang jarak dia dengan wali tidak melebihi dua marhalah dan bermacam lagi alasan. Jadi, kesan yang paling buruk adalah kepada wanita tersebut kerana bila perkahwinan yang tidak sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang ini, akan muncul kesan yang lain hanya disebabkan pernikahan tidak sah. Persetubuhan suami isteri juga menjadi persetubuhan syubhah.
Anak Tak Sah Taraf
Inilah kesan utama yang akan menyusul sekiranya berlaku pernikahan di Sempadan Thai. Anak yang akan dilahirkan tidak boleh ber ‘bin’ atau ‘binti’ kan kepada bapanya disebabkan tidak mempunyai sijil pernikahan Siam. Jadi, yang ada hanya maklumat ibu semata-mata. Jika si bapa ini masih hidup dan belum buat pengesahan mungkin tak menjadi masalah besar.
Tapi, cuba bayankan jika bapa tersebut telah meninggal atau hilang sebelum dibuat pengesahan. Menjadi satu masalah besar untuk si ibu berseorangan membuat pengesahan nikah di Mahkamah dan kemudian membuat pengesahan nasab anak untuk di’bin’ atau ‘binti’ kan anak tersebut kepada bapanya.
Tanggung Nafkah Anak Sendiri
Rentetan daripada kelahiran anak tak sah taraf, isu yang akan timbul adalah ibu dan keluarga ibu tersebut yang akan menanggung segalanya nafkah anak tak sah taraf ini. Si bapa tidak bertanggungan untuk memberi nafkah kepada anak tidak sah taraf kerana ia bukan dinasabkan kepada dirinya. Bahkan, jika si ibu nak tuntut perintah nafkah anak di Malaysia ini, ibu tersebut mesti melalui proses mengesahkan pernikahan, mengesahkan nasab dan barulah kepada tuntutan nafkah anak.
Ada banyak peristiwa yang pihak suami enggan peduli nafkah anak yang dilahirkan hasil pernikahan di Malaysia apatah lagi pernikahan di Siam. Meskipun dari segi benih biologi (sperma) tu datang daripada lelaki tersebut, tapi dari segi hukum dan undang-umdang ia tidak dikira sehinggalah disahkan oleh Mahkamah.
Sukar Bercerai di Malaysia
Jangan ingat langit itu selalu cerah. Rumahtangga ini sifatnya pasang surut. Masa nak pujuk kahwin tu lemah lembut la sifatnya. Pijak semut pun tak mati. Tapi lepas kahwin, timbul pulak isu tak dapat nafkah, kena pukul, tak dapat giliran bermalam yang adil bagi poligami, curang dengan perempuan lain pulak dan macam-macam lagi.
Jadi, isteri ni mula tidak puas hati dan nak mohon cerai. Isteri ini perlu pilih antara dua, cerai semula di tempat pernikahan mereka di Siam tersebut atau membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di Mahkamah dalam Malaysia dan kemudian baru boleh buat permohonan cerai.
Abai Hak isteri
Bila dah kahwin di Siam, tak ada jaminan pun suami tu akan bertanggungjawab berkaitan nafkah dan giliran yang adil untuk berpoligami. Pasangan yang bernikah dalam Malaysia pun ada masalah inikan pula yang bernikah di sana.
Jadi, si isteri ini, jika nak tuntut nafkah diri di Mahkamah, perlu dapatkan pengesahan nikah dahulu. Begitu juga dengan hak bermalam. Ada wanita yang teraniaya dimana suami pernikahan Siam ini tinggalkan terus dan hilang begitu sahaja tanpa nafkah dan sebagainya selepas berjaya melepaskan nafsunya semata-mata.
Hak Selepas Cerai
Jika berlaku perceraian, pastinya ramai wanita yang akan membuat tuntutan selepas perceraian seperti nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian dan hutang dalam perkahwinan. Selagimana wanita tersebut tidak ada Sijil Perceraian yang sah, maka selagi itu beliau tidak boleh membuat tuntutan di Mahkamah.
Banyak wanita yang teraniaya pada isu ini. Sudahlah dipukul, diambil duit dan melahirkan anak tak sah taraf, kemudian bila dicerai atau ditinggalkan, tak dapat pula nak tuntut hak selepas cerai. Tambah-tambah harta sepencarian yang melibatkan hartanah.
Pusaka Suami
Bila suami tersebut meninggal dunia, pasti akan timbul banyak isu besar kepada pasangan yang bernikah di Siam ini tentang Pusaka. Harta pusaka yang ditinggalkan oleh suami seperti wang di bank, kwsp, insuran, simpanan pelaburan, rumah, kereta dan sebagainya tidak boleh diperolehi sedangkan wanita tersebut memang isteri.
Tapi, disebabkan pernikahan tersebut tidak disahkan oleh Mahkamah , maka, isteri tersebut tidak boleh menuntut pusaka tersebut. Akhirnya semua pusama itu hanya dapat kepada isteri pertama sahaja sedangkan dia juga isteri kedua kepada si mati.
√ Mungkin ada lagi isu lain yang wujud bila berlaku pernikahan di Siam ini. Tapi, pastinya wanita yang akan menjadi mangsa terbesar lelaki yang memujuk untuk bernikah di Siam. Percayalah, isu sebegini masih terus berlaku disebabkan kita mudah terdorong dengan tipu daya dan hawa nafsu. Jangan mudah termakan dengan janji manis seorang lelaki yang kononnya akan berlaku adil dan bertanggungjawab selepas balik ke Malaysia.
√ Berapa ramai dah yang tertipu dek kerana janji tersebut. Kita berharap akan ada kesedaran kepada wanita tentang isu sebegini. Yang menjadi mangsa terbesar adalah wanita. Tolong sampaikan amanat ini pada wanita lain supaya mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.
Oh, buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh, bawa aku pergi….(nyanyi ke tu?)
MW : Fikirlah sedalamnya sebelum nekad untuk kahwin lari itu. Nampak macam jalan akhir, namun sebenarnya masih ada cara lain yang boleh halalkan hubungan dengan lebih baik.
Sumber/Foto : Fahmi Ramli
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Syaratnya Suami Tiada Respon, Diamkan Diri.” Barulah Isteri Boleh Saman Pengacau Rumah Tangga
‘Syaratnya suami tiada respon, diamkan diri.” Barulah isteri boleh saman pengacau rumah tangga yang mengangggu gugat hubungan suami, isteri.
Jika suami mak-mak melayan godaan orang ketiga, berbalas Whatapps, beremel dan call berjam-jam, itu maknanya hubungan yang terjalin adalah suka sama suka. Bukan terpaksa.
Memang sukar untuk menerima bila suami berubah laku atau selingkuh. Tetapi kesalahan itu jangan diserah bulat-bulat pada orang ketiga semata-mata. Sedikit-sebanyak suami mak-mak pasti ada khilafnya juga.
Artikel Berkaitan: Empat Tahun Bertahan Diganggu Orang Ketiga, Puteri Sarah Akhirnya Hilang Sabar
Syaratnya Suami Tiada Respon
Ikuti perkongsian Peguam Syarie, Puan Nurul Izzah Zainol berkaitan isu selingkuh ini:
Selingkuh
Ok, sudah sampai musim orang bertanya saya tentang tindakan yang boleh diambil terhadap orang ketiga yang mengganggu rumah tangga. Saya pun sudah tahu kenapa tiba-tiba isu ini hype kan?
Diamkan Diri
Boleh, kenapa pula tak boleh saman. Memang ada dalam peruntukan undang-undang untuk saman orang ketiga yang kacau rumah tangga orang. Tapi ada syarat. Simple saja syaratnya.
Syaratnya, laki akak-akak duduk diam kematu atau tak respon apa-apa. Lagi diganggu lagi banyak dia puasa sunat sebab nak tahan nafsu.
Lagi digoda lagi banyak dia solat sunat, qiyam, tilawah satu juzuk setiap hari. Bukan setakat itu, diblocknya contact pengacau itu supaya tak boleh ganggu rumah tangga dia. Dia tak suka. Hidup mati dia, dia hendak jadi lelaki yang setia. Haha. Boleh berangan je lah kan.
Baca Di Sini : Kalau Sayang Keluarga, Jangan Sesekali MULAKAN, Elak Wujudnya ORANG KETIGA
Barulah Isteri Boleh Saman
Simple saja kan syaratnya? Bukan susah pun kan? Suruh diam kematu tak respon sahaja.Orang goda, dia tak layan seinci pun. Kalau memang laki akak-akak seteguh imannya seperti di atas, nah silakan saman orang ketiga. Biar dia merasa musibat ganggu laki orang yang suci terpuji tu…
Tapi kalau sudah laki akak pun sama naik macam kera baru dapat bunga. Sana ayang, dia pun ayang, sana “Buat apa tu” dia pun “rindu dekat ayang lah..”, sana “share la selfie you”, dia pun galak zoom kat muka berkawah dia dengan bulu hidung tak mesin 10 tahun, yang di sana “morning bee”, dia pun “ morning honey muah”.
Pengacau Rumah Tangga
Kau tak payahlah saman dah orang ketiga tu akak oi.
Kau bagi free sajalah dekat orang ketiga tu. Kalau nak trade in, tak tahulah laku setakat mana benda sudah damage macam tu.
Kau nak mintak petunjuk apa lagi pun tak tahu la. Tak akan nak tunggu orang ketiga datang dengan perut memboyot hasil buatan suami akak-akak yang soleh tu.
Come on kak!
Juga Baca Di Sini: Hati-hati Yer Perosak Rumah Tangga, Ada Akta Campur Tangan Orang Ketiga Faham
Pastikan Syarat Simple Lepas
Kalau nak consult saya pasal orang ketiga, saya akan pastikan dulu syarat di atas. Agak-agak syarat yang simple tu tak lepas, tak payah dah consult saya pasal tu.
Kita consult pasai lain. Pasal macam mana kita nak ‘refund’ laki akak-akak secara ‘terhormat’ dan bergaya.
Tak payah adegan tarik rambut, attack atau viral.
Not our level la kan.
This is the time tunjukkan kemahalan kita.
Benda sampah semak kita tak main.
Nak terpalit secalit pun kalau boleh jangan.
Biar dua-dua makhluk terkinja-kinja sama-sama depa (mereka) sudahlah.
Kita ini lari jauhlah cepat-cepat.
Amacam?on tak on?
Mingguan Wanita : Kalau sudah bertahun-tahun beri peluang suami yang berselingkuh tetapi dia tetap ulang perkara yang sama dan lebih teruk dengan orang yang sama. Memang sepatutnya mak-mak move on, tak perlu lagi beri peluang.
Sumber : Nurul Izzah Zainol
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI