Konflik di antara menantu mentua umpama ‘duri dalam daging’ yang jika dibiarkan, boleh membawa perceraian di antara pasangan suami dan isteri. Konflik antara menantu perempuan dan ibu mentua juga sering terjadi bagi wanita yang bersuamikan ‘anak mak’.
Layanan Kena Adil…
Antara puncanya apabila suami itu sendiri tak mampu bersikap adil dalam melayan mak dan isterinya. Topik panas “Dilema Kahwin Anak Mak” menjadi pilihan Mingguan Wanita Talkshow untuk dibincangkan pada hari ini ini. Jom ikuti apa kata tetamu-tetamu yang diundang iaitu Dato’ Fazley Yaacob dan ibunya Datin Umi Kalsum serta Ustazah Asni Mansor.
Suami Jangan Salah Guna Kuasa Veto – Ustazah Asni
Ustazah Asni Mansor berkata, di dalam Islam, ibu perlu diutamakan oleh anak lelaki. Walau bagaimana pun, sebagai suami, dia tak boleh lupakan isteri, yang merupakan ‘syurga’ untuk anak-anaknya. suami kena faham, tanggungjawab kepada keluarganya sendiri juga akan menentukan syurga dan nerakanya kelak.
Di pihak ibu mentua, kena main peranan untuk menasihati anak untuk menjaga kebajikan isteri dan anak-anaknya. Ibu kena terima hakikat bahawa anak sudah berkahwin dan memang benar dia adalah syurga bagi anaknya, tetapi menantu pula adalah syurga dunia anaknya. Jadi kena terima hakikat itu. Jangan Meletakkan diri anak dalam keadaan serba salah.
Suami Kena Jadi Peguam Dan Hakim – Dato’ Fazley
Selebriti tampan ini tidak segan mengakui bahawa dirinya memang ‘anak emak’. Sekiranya isteri mengadu tentang emaknya, suami kena berfikiran terbuka dan jangan terus serang isteri dengan kata-kata yang tak sepatutnya. Begitu juga sekiranya emak berkata sesuatu yang buruk tentang isteri, dia kena bertindak sebagai hakim, yang bersikap adil. Kena sentiasa mencari titik tengah.
Ads
Jangan Cerewet Dengan Menantu – Datin Umi Kalsum
Ibunda kepada Dato’ Fazley ini berkongsi yang beliau sentiasa mengingatkan dirinya bahawa tak ada orang yang sempurna. Jadi tak perlu bersikap cerewet dengan menantu. Beliau juga tak suka mengadu pada anak tentang menantu dan belajar untuk memaafkan. Selain itu, menurut beliau, sebagai ibu mentua, jangan sesekali buruk sangka pada menantu dan banyakkan berdoa agar hubungan dengan menantu sentiasa aman. Setiap ibu tentunya ingin melihat anaknya hidup aman damai.
Ikuti kupasan lanjut topik panas ini di dalam episod ulangan Mingguan Wanita Talkshow musim baharu di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 5 petang ini.
Siti Elizad, Erra Fazira dan Norman Hakim akan membincangkan topik ini bersama-sama tetamu-tetamu undangan iaitu Dato’ Fazley Yaacob dan ibunya Datin Umi Kalsum serta
Ustazah Asni Mansor, yang akan memeriah perbincangan di studio MW.
Ads
Untuk sebarang komen dan persoalan untuk ditanyakan kepada para tetamu, hubungi Talian Teman Wanita Anda di 03 89389647 atau terus komen di ruangan yang disediakan.
#MingguanWanitaTV
#MingguanWanitaTalkShow
Ads
#MingguanWanita
#TemanSetiapWanita
#AstroPrima105
#PrimaHD121
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berdepan anak-anak zaman sekarang cabarannya memang lain macam. Bukan semua, segelintir mak ayah berdepan dengan masalah anak ponteng sekolah. Di mata mak ayah anak ke sekolah. Hakikatnya, bila mak ayah jauh dari pintu pagar, anak melencong ke tempat lain.
Tahu-tahu dapat panggilan dari pihak sekolah menyatakan anak tidak hadir untuk sekian-sekian hari. Permasalahan ini sememangnya berlaku dan Guru Bimbingan dan Kaunseling di SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee berkongsi info untuk mak ayah.
Apa perlu dibuat untuk memantau kehadiran anak-anak di sekolah.
Isu ponteng adalah isu global sejak zaman tok kaduk lagi. Lebih dahsyat, bila anak pergi sekolah dengan memakai pakaian seragam tapi tak sampai ke sekolah. Melencong ke tempat lain.
Mak ayah mati-mati ingat anak ke sekolah. Rupanya tidak.
“Tuan. Anak tuan dah 3 hari tak sekolah. Tuan tahu tak?”
“Eh, cikgu. Anak saya pergi sekolah lah. Saya yang hantar dia setiap hari. Macam mana cikgu boleh kata dia tak datang sekolah?”
“Macam ni lah tuan. Apa kata kalau tuan datang sekolah. Kita bincang.”
Itulah antara dialog yang kerap kedengaran bila ada kes ponteng. Lebih perit, bila mak ayah hanya tahu anak tak datang sekolah bila dapat surat amaran pertama. Sedih betul.
Tapi sekarang, jangan risau. KPM telah memberi satu solusi kepada ibu bapa untuk menyemak kehadiran anak-anak di sekolah. Kiranya, anak tak boleh tipulah.
Kemudian pilih kehadiran. Nah. Semua nama anak tuan-tuan dan puan-puan yang bersekolah di sekolah kerajaan akan tersenarai. Pilih, dan semaklah kehadiran mereka.
Tolong cakna ya mak ayah. Kalau tak nak menyesal satu hari nanti.
Sekiranya terdapat sebarang perubahan pada cecair Miss V atau vagina, perlulah berjumpa doktor dengan segera, untuk memastikan sama ada ia disebabkan oleh radang pelvis ataupun jangkitan biasa.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai, Sungai Petani, Kedah, Dr. Norhayati Bt Kassim menjelaskan radang pelvis adalah keadaan di mana berlakunya jangkitan kuman di bahagian pelvis (uterus, saluran falopio, ovari dan kawasan sekitarnya).
Kebiasaannya, kuman yang menyebabkan jangkitan ini adalah chlamydia trachomatis dan gonorrhoea. Selalunya kuman ini ditularkan secara hubungan seksual.
Radang Pelvis tidak semestinya disebabkan oleh penyakit hubungan jenis (STD) semata-mata.
Ia juga boleh terjadi kepada pesakit yang menggunakan IUCD sebagai kontraseptif, disebabkan jangkitan yang berlaku semasa kelahiran, keguguran ataupun sebarang prosedur atau pembedahan di bahagian pelvis.
Ia juga boleh terjadi di kalangan pesakit diabetes yang tidak terkawal gulanya.
-membuat hubungan seks tanpa kondom
-berusia di bawah 25 tahun, kerana chlamydia biasa menjangkiti mereka yang masih muda
-aktif dari segi seksual pada usia muda
-mempunyai pasangan seks baru
-mempunyai beberapa orang pasangan seks
-mempunyai sejarah mengalami jangkitan kelamin, atau suami anda mempunyainya.
Biasanya pesakit akan mengalami tanda-tanda seperti :
-sakit di bahagian ari-ari ataupun bahagian bawah abdomen,
-sakit semasa membuang air kecil atau pun sakit semasa bersama suami
-berserta keputihan yang banyak dan berwarna kuning kehijauan dan berbau dari vagina
–diikuti dengan demam panas yang tinggi
-sakit pinggang belakang.
Masalah kesuburan sebenarnya berlaku tidak kira jantina kerana statistik menunjukkan faktor lelaki dan wanita menyumbang kepada masalah kesuburan adalah sama.
Bagi wanita, ketidaksuburan disebabkan sistem peranakan bermasalah seperti ovari tidak menghasilkan ovum ketika ovulasi disebabkan pelbagai punca.
Antara puncanya, masalah ovari seperti menopaus awal, menghidap penyakit sindrom ovari Polisistik (PCOS), sakit kronik berpanjangan seperti diabetes, kanser atau kegagalan buah pinggang, kesan sampingan ubatan seperti kemoterapi atau pengambilan dadah, masalah genetik dan kemungkinan masalah radang pelvis.
Masalah radang pelvis ini selalunya menyebabkan keadaan di mana berlakunya pelekatan yang teruk di bahagian organ peranakan wanita dan risiko kecederaan ovari dan tiub falopio semasa proses mengeluarkan nanah atau abses semasa pembedahan.
Keadaan ini akan menyebabkan kesuburan wanita terjejas selepas pesakit sembuh dari jangkitan ini. Satu daripada lapan pesakit selalunya mengalami masalah kesuburan. Jika PID anda ringan dan cepat dirawat, kebarangkalian untuk anda hamil adalah tinggi. Satu episod PID tidak berkemungkinan menjejaskan kesuburan anda.
Jika anda menghidap PID yang teruk atau tidak dirawat, kebarangkalian tiub anda tersumbat adalah tinggi. Episod PID yang berulang meningkatkan risiko anda tidak dapat hamil. Kerosakan pada tiub falopio yang diakibatkan oleh PID juga meningkatkan risiko kehamilan luar rahim.
-Mengamalkan gaya hidup sihat,
-Elakkan hubungan kelamin secara bebas, ataupun hubungan seksual secara selamat dengan menggunakan kondom,
-Elakkan bertukar-tukar pasangan, dan yang paling penting menjaga kesihatan luar dan dalam.
-Elakkan penggunaan ‘douching’ kerana ini akan mengganggu keseimbangan pH dan normal flora di dalam vagina.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ingin berkongsi kisah saya yang ingin dimadukan oleh suami dengan alasan saya kurang pandai bergaya.
Saya seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemaninya keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja. Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya. Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak.
Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami, yang berterus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja!
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua. Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lain, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih.
Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya. Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua, puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami. Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka.
Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, sentiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang.
Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat. Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan.
Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!