Berdepan anak-anak zaman sekarang cabarannya memang lain macam. Bukan semua, segelintir mak ayah berdepan dengan masalah anak ponteng sekolah. Di mata mak ayah anak ke sekolah. Hakikatnya, bila mak ayah jauh dari pintu pagar, anak melencong ke tempat lain.
Tahu-tahu dapat panggilan dari pihak sekolah menyatakan anak tidak hadir untuk sekian-sekian hari. Permasalahan ini sememangnya berlaku dan Guru Bimbingan dan Kaunseling di SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee berkongsi info untuk mak ayah.
Apa perlu dibuat untuk memantau kehadiran anak-anak di sekolah.
Kredit foto : backgrounddownload.com
Tahu-tahu Dah 3 Hari Anak Ponteng Sekolah
Isu ponteng adalah isu global sejak zaman tok kaduk lagi. Lebih dahsyat, bila anak pergi sekolah dengan memakai pakaian seragam tapi tak sampai ke sekolah. Melencong ke tempat lain.
Mak ayah mati-mati ingat anak ke sekolah. Rupanya tidak.
“Tuan. Anak tuan dah 3 hari tak sekolah. Tuan tahu tak?”
“Eh, cikgu. Anak saya pergi sekolah lah. Saya yang hantar dia setiap hari. Macam mana cikgu boleh kata dia tak datang sekolah?”
“Macam ni lah tuan. Apa kata kalau tuan datang sekolah. Kita bincang.”
Portal Semak Kehadiran Anak Ke Sekolah
Itulah antara dialog yang kerap kedengaran bila ada kes ponteng. Lebih perit, bila mak ayah hanya tahu anak tak datang sekolah bila dapat surat amaran pertama. Sedih betul.
Tapi sekarang, jangan risau. KPM telah memberi satu solusi kepada ibu bapa untuk menyemak kehadiran anak-anak di sekolah. Kiranya, anak tak boleh tipulah.
Kemudian pilih kehadiran. Nah. Semua nama anak tuan-tuan dan puan-puan yang bersekolah di sekolah kerajaan akan tersenarai. Pilih, dan semaklah kehadiran mereka.
Tolong cakna ya mak ayah. Kalau tak nak menyesal satu hari nanti.
Konflik di antara menantu mentua umpama ‘duri dalam daging’ yang jika dibiarkan, boleh membawa perceraian di antara pasangan suami dan isteri. Konflik antara menantu perempuan dan ibu mentua juga sering terjadi bagi wanita yang bersuamikan ‘anak mak’.
Antara puncanya apabila suami itu sendiri tak mampu bersikap adil dalam melayan mak dan isterinya. Topik panas “Dilema Kahwin Anak Mak” menjadi pilihan Mingguan Wanita Talkshow untuk dibincangkan pada hari ini ini. Jom ikuti apa kata tetamu-tetamu yang diundang iaitu Dato’ Fazley Yaacob dan ibunya Datin Umi Kalsum serta Ustazah Asni Mansor.
Ustazah Asni Mansor berkata, di dalam Islam, ibu perlu diutamakan oleh anak lelaki. Walau bagaimana pun, sebagai suami, dia tak boleh lupakan isteri, yang merupakan ‘syurga’ untuk anak-anaknya. suami kena faham, tanggungjawab kepada keluarganya sendiri juga akan menentukan syurga dan nerakanya kelak.
Di pihak ibu mentua, kena main peranan untuk menasihati anak untuk menjaga kebajikan isteri dan anak-anaknya. Ibu kena terima hakikat bahawa anak sudah berkahwin dan memang benar dia adalah syurga bagi anaknya, tetapi menantu pula adalah syurga dunia anaknya. Jadi kena terima hakikat itu. Jangan Meletakkan diri anak dalam keadaan serba salah.
Selebriti tampan ini tidak segan mengakui bahawa dirinya memang ‘anak emak’. Sekiranya isteri mengadu tentang emaknya, suami kena berfikiran terbuka dan jangan terus serang isteri dengan kata-kata yang tak sepatutnya. Begitu juga sekiranya emak berkata sesuatu yang buruk tentang isteri, dia kena bertindak sebagai hakim, yang bersikap adil. Kena sentiasa mencari titik tengah.
Ibunda kepada Dato’ Fazley ini berkongsi yang beliau sentiasa mengingatkan dirinya bahawa tak ada orang yang sempurna. Jadi tak perlu bersikap cerewet dengan menantu. Beliau juga tak suka mengadu pada anak tentang menantu dan belajar untuk memaafkan. Selain itu, menurut beliau, sebagai ibu mentua, jangan sesekali buruk sangka pada menantu dan banyakkan berdoa agar hubungan dengan menantu sentiasa aman. Setiap ibu tentunya ingin melihat anaknya hidup aman damai.
Ikuti kupasan lanjut topik panas ini di dalam episod ulangan Mingguan Wanita Talkshow musim baharu di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 5 petang ini.
Siti Elizad, Erra Fazira dan Norman Hakim akan membincangkan topik ini bersama-sama tetamu-tetamu undangan iaitu Dato’ Fazley Yaacob dan ibunya Datin Umi Kalsum serta
Ustazah Asni Mansor, yang akan memeriah perbincangan di studio MW.
Untuk sebarang komen dan persoalan untuk ditanyakan kepada para tetamu, hubungi Talian Teman Wanita Anda di 03 89389647 atau terus komen di ruangan yang disediakan.
#MingguanWanitaTV
#MingguanWanitaTalkShow
#MingguanWanita
#TemanSetiapWanita
#AstroPrima105
#PrimaHD121
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bagi sesetengah wanita, setua mana pun usia, syahwat tidak pernah ‘tua’, bahkan akan sentiasa muda. Pada usia emas sekali pun, keupayaan seksual masih pada tahap sama, malah kadang-kadang semakin memuncak.
Ikuti perkongsian daripada Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, motivator yang juga penulis tetap ruangan Motivasi di dalam Majalah Mingguan Wanita berkenaan topik ini.
Ini bukanlah perkara luar biasa, sebenarnya ia adalah fenomena yang bakal dialami oleh semua orang. Andainya panjang umur dan sihat, lihatlah syahwat anda terus di situ sebagaimana anda masa muda-muda dahulu.
Bezanya, taste anda mungkin berubah. Kalau dulu, terangsang bila melihat teruna, maklum ketika itu pun dara, tetapi kini beralih pada lelaki muda penuh keterampilan pula.
Dalam saat beginilah ramai wanita akhirnya menjadi mangsa. Apabila terlalu meminati, dia akan berkahwin lagi, kadang-kadang pasangannya jauh lebih muda. Meskipun ada yang jujur, tetapi tidak kurang lelaki muda yang lebih terangsang oleh harta benda yang dimiliki oleh wanita berusia itu tadi.
Saya menulis begini kerana kes wanita berharta akhirnya tertipu oleh lelaki muda semakin banyak. Sekurang-kurangnya boleh dikatakan setiap tiga bula,n saya akan mendapat kes begini, selalunya setelah ‘nasi menjadi bubur’, iaitu sudah pun berkahwin.
Antara kes terbesar ialah seorang jutawan wanita yang amat berjaya. Dia memiliki kilang sendiri tetapi akhirnya diisytiharkan muflis akibat muslihat suami.
Beliau pada mulanya menjadi penjamin suami ketika membuat pinjaman bank berjumlah hampir RM5 juta, tetapi disebabkan suaminya gagal menjelaskan hutang, dia menjadi buruan institusi kewangan sehingga semua hartanya disita selepas diisytiharkan muflis.
Ketika hidupnya terumbang-ambing, dia diceraikan hanya dengan SMS dan pada masa sama bekas suaminya itu membina hidup baru dengan membuka perniagaan serta berkahwin lain!
Bukanlah semestinya lelaki muda itu tidak baik, malah sewaktu saya remaja, saya pernah berjiran dengan seorang wanita tua berusia 60-an sedang suaminya anak muda berusia 20-an sahaja. Kelihatannya mereka sangat bahagia dan setia.
Daripada cakap-cakap penduduk setempat sebenarnya anak muda itu kekasih kepada anak isterinya sekarang, tetapi entah macam mana wanita yang sepatutnya menjadi ibu mentuanya itu telah jatuh cinta terhadapnya lalu mereka berkahwin. Bayangkan bekas kekasih kini adalah anak tiri dan mereka tinggal serumah bersama-sama.
Sememangnya saya lihat ada gambaran kesedihan di wajah anak gadis itu. Dia jarang keluar rumah dan apabila keluar misalnya menyidai pakaian, membuang sampah dan sebagainya, jarang senyum.
Kemurungan jelas terpapar di wajahnya. Ya, memang itu sesuatu yang amat menyedihkan. Saya kagum dengan gadis berkenaan kerana masih dapat meneruskan hidup di bawah satu bumbung meskipun sakit. Saya selalu membawakan kisah ini kepada gadis yang mirip-mirip menghadapi kisah serupa, menghubungi saya untuk mendapatkan motivasi dan kekuatan diri.
Nyata dia sangat kuat kalau dibandingkan dengan kisah seorang lelaki berusia 30-an yang memotong alat sulitnya sendiri berhampiran sebuah restoran di Danau Kota, Setapak. Dia dikatakan putus cinta.
Pesanan buat semua wanita berjaya yang hidup bersendiri sekarang, berpada-pada apabila anda seperti terasa jatuh cinta semula, anda akan selalunya terjatuh cinta dengan lelaki muda. Semak betul-betul latar belakangnya, uji keikhlasannya dan berpuas hatilah dengan bukti-bukti yang ditunjukkannya, bahawa dia juga mencintai anda sejujurnya, bukan oleh harta benda yang anda miliki itu.
Perkahwinan kali kedua seperti ini harus menjadi sebab untuk lebih berjaya dan kaya. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya ALLAH SWT tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi ALLAH hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.” – (Muslim)
Sememangnya dunia ini turut didiami oleh mereka yang hanya memikirkan untuk hidup senang dengan bermodalkan cinta murahan ataupun plastik semata-mata.
Sebelum terlajak mencintai, jangan sekali-kali terlalu melihat pada ketampanannya hari ini, sebab sekali anda telah bergelar seorang isteri, segala-galanya boleh terjadi andainya dia tidak memiliki sekeping hati yang betul-betul boleh dipanggil hati.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hati mana yang tak sedih, kecewa dan marah bila dapat tahu diri dimadukan dalam diam oleh suami yang selama ini dipercayai sepenuh hati? Tahu pun daripada mulut orang lain. Perkongsian seorang isteri yang dimadukan oleh suaminya tanpa disedari.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 16 dan 14 tahun dan seorang anak syurga, si bongsu yang berusia 10 tahun jika masih hidup. Saya memiliki ijazah di dalam jurusan ekonomi namun memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin menumpu perhatian pada dua orang cahaya mata.
Untuk pengetahuan puan, anak syurga saya itu merupakan anak istimewa dan dilahirkan tidak sempurna. Sebenarnya selepas melahirkan dialah saya memutuskan untuk berhenti kerja walau pun ketika itu karier saya sedang meningkat.
Suami saya pula seorang jurutera di sebuah syarikat cari gali. Asyik ulang alik darat dan pelantar minyak. Jadi, masa kami tak banyak dihabiskan berdua. Lebih-lebih lagi ketika anak syurga kami masih ada, sepenuh masa ditumpukan pada arwah.
Tapi saya anggap itu normal saja kerana suami juga tak mengeluh. Bila dia pulang ke rumah, jarang benar kami dapat berbual bersama kerana saya sibuk dengan anak syurga saya itu. Dulu pernah juga suami ajak keluar tapi saya beri alasan tiada orang nak jaga anak. Saya tak sanggup nak minta orang lain jaga walau pun ketika itu saya ada pembantu rumah.
Saat kehilangan anak syurga tiga tahun lalu dan ia memberi kesan besar pada diri saya. Jiwa saya rasa ‘kosong’ kerana tiada lagi orang yang saya perlu belai dan manjakan setiap hari. Nasib baik ada dua anak lain yang dapat meringankan kesedihan yang saya alami.
Dek kerana trauma kehilangan itu juga, saya tak benarkan anak-anak tinggal di asrama walau pun keputusan mereka layak untuk menempatkan mereka di sekolah berasrama penuh. Saya ingin mereka ada di depan mata saya sepanjang masa. Saya tak pernah berbual dengan suami tentang rasa trauma yang sama alami.
Selepas kehilangan anak syurga, hubungan saya dan suami agak membaik. Ada masanya kami keluar berdua saja. Cuma tak dinafikan, antara kami seolah-olah ada jurang yang saya sendiri tak pasti apa.
Bila ada di rumah pun, dia tetap sibuk dengan pelbagai kerjanya dan saya pula mula berjinak-jinak dalam perniagaan online. Saya nak sibukkan diri agar tak terus tertekan dengan trauma kehilangan anak bongsu.
Sehinggalah Aidilfitri lalu. Giliran beraya di rumah keluarga saya di Kelantan. Raya kedua suami sudah balik bertugas di lautan. Saya dan anak-anak tak syak apa-apa kerana sudah terbiasa dengan kesibukan suami.
Tapi kedatangan seorang rakan kami ke rumah telah membongkar satu rahsia besar. Rakan itu (si lelaki) merupakan rakan sekerja suami. Dia sengaja singgah ke rumah ibu bapa saya kerana kebetulan rumahnya berdekatan saja.
Pertanyaan rakan lelaki itu mengejutkan saya yang bertanya di mana suami saya dan kelihatan terkejut dan serba salah mendengarkan jawapan saya. Tak sedap hati, saya minta dia berterus terang. Rupanya suami saya masih bercuti tapi dengan saya dikatakan sudah kembali bekerja.
Dipendekkan cerita, terbongkarlah rahsia yang selama ini tersimpan rapi oleh suami. Dalam diam, rupanya suami sudah menikah seorang wanita lain! Bermakna saya hidup bermadu selama ini!
Tuhan saja yang tahu hati saya saat itu. Saya mula merisik pergerakan suami dan menerusi pertolongan rakannya yang kasihan dengan saya yang dimadu dalam diam, saya dapat tahu suami telah berkahwin lima tahun lalu tapi belum punya cahaya mata bersama madu saya itu. Mereka berkahwin ketika anak bongsu saya masih hidup.
Dia pernah nyatakan pada rakan baiknya yang dia rasa terpinggir kerana saya kurang melayaninya. Puan, saya rasa sedih kerana saya tak berniat begitu. Saya masih belum mampu berterus terang dengannya tentang perkara ini. Saya makin terbeban kerana memendam rasa tapi saya tak berani nak mendengarkan pengakuan daripadanya itu. Apa saranan puan?
Isteri Kecewa, Kedah.
Jawapan:
Allah selalu beri kita apa yang kita perlukan, cuma kadang-kadang Allah tidak beri kita apa yang kita mahukan. Maka akan timbul ujian dan masalah dalam hidup.
Nikmat diberi kesihatan yang baik, nikmat masa rehat yang panjang, penghargaan daripada kerjaya yang kita pegang, nikmat harta, kekayaan, kedudukan, pasangan hidup dan anak-anak yang berjaya. Namun dalam kenikmatan itu mungkin juga tidak berpanjangan. Timbul ujian dan masalah yang menuntut kita menyelesaikannya dan membuat keputusan.
Pastinya ia mengganggu emosi dan fikiran kita sehingga boleh menjejaskan prestasi kerja seharian. Perasaan sedih, kecewa, buntu, kesal, semuanya bercampur baur. Untuk menghadapinya amatlah sukar, apatah lagi jika tiada ketahanan diri yang kuat dari segi emosi dan minda khususnya.
Seperti yang selalu diperkatakan oleh para ahli psikologi perkahwinan, komunikasi adalah satu alat yang penting dalam membaja hubungan antara suami dan isteri agar ianya senantiasa mekar. Pun ada juga yang diuji walau sehebat mana hubungan intim yang dijalinkan kerana manusia punya nafsu dan poligami pula dibenarkan dalam Islam.
Namun, poligami sesuatu yang amat pahit untuk diterima oleh isteri yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya ada wanita lain dalam hidupnya. Justeru, ramai suami yang berkahwin secara senyap-senyap atas pelbagai alasan. Sama ada isteri baik dan beri layanan atau sebaliknya, maka suami tetap akan berkahwin tanpa pengetahuan isteri? Bagaimana pula apabila isteri mendapat tahu daripada orang lain? Pastinya rasa kecewa dan sedih menyelubungi diri.
Puan yang dirahmati Allah. Sebagai seorang Islam yang mukmin, puan reda akan ketentuan takdir Allah bukan? Di sinilah ujian buat puan untuk meningkatkan keimanan puan. Maka belajar untuk menerima ketentuan Allah. Untuk bertanya kepada suami tentang perkahwinannya dengan wanita itu adalah hak puan.
Untuk mendapat penjelasan maka bertanyalah dan cuba zahirkan perasaan yang puan simpan. Mungkin dia juga akan menzahirkan apa yang tersimpan di hatinya (mungkin ya mungkin tidak), namun puan nyatakan rasa sedih dan kecewa puan terhadapnya agar ianya tidak tersimpan lama dalam diri puan.
Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, komunikasi adalah salah satu alat penting dalam membaja hubungan dengan suami. Jika benar kesilapan puan yang kurang memberi layanan kepada suami, maka puan boleh mulakan bagi memenangi hatinya semula. Berhias untuknya dan beri layanan agar dia “terpaut” pada puan. Itu jika puan mahu lakukan untuk “menambat” semula hatinya.
Jika sebaliknya, puan malas untuk membaja semula hubungan dengan suami, maka puan perlu belajar untuk hidup tanpa pergantungan emosi terhadap suami. Suami ada sebagai ayah kepada anak-anak yang puan kasihi.
Saya nampak puan boleh berdikari sendiri dengan melakukan beberapa aktiviti seperti perniagaan online. Puan boleh wujudkan pelbagai hobi dan aktiviti sebagai satu cara melupakan kesedihan yang berlaku akibat tindakan suami. Beritahu kekecewaan puan kepada suami, walaupun dia tidak mengerti, sekurang-kurangnya puan telah menzahirkan.
Saya memahami mungkin bukan mudah untuk puan, namun itu sudah takdir Allah. Ini tandanya Allah sayangkan puan dengan diberinya ujian kepada puan. Ujian dan masalah dalam hidup sering menjadikan manusia mencari Allah untuk mendapat kebahagiaan dan ketenteraman. Maka banyakkan beribadat dengan solat malam, solat sunat, solat di awal waktu, membaca Quran, zikir dan mengikuti kuliah agama sebagai “ubat” dan “penawar” mengubat jiwa yang sedih.
Allah sendiri memberi jaminan dengan berkata; “Dengan banyak mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. Maka teruskan solat dan berdoa mohon pertolongan Allah agar diberinya kebahagiaan dan ketenangan kepada puan. Wallahualam.
*Seperti yang dikongsikan bersama Puan Hajah Maimunah bt Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Tetap ruangan Ya Tuhan dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terpesona melihat kecantikan dan kelangsingan pelakon, Faezah Elai yang mana beratnya masih sekitar 43 kilogram (kg)sejak zaman anak dara sehingga hari ini.