Peperangan mengakibatkan kemusnahan, bencana dan ramai rakyat yang menderita kehilangan nyawa, tempat tinggal dan segala-galanya. Sesungguhnya pengorbanan ayah juga tiada tandingannya sanggup bergadai nyawa demi anak-anak agar hidup selesa, tak mati kelaparan mahupun kesejukan.
Demi kelangsungan hidup, seorang bapa di Syria sanggup berkorban apabila bersedia menjual buah pinggangnya.Jamal Baroud mengambil tindakan itu selepas buntu bagi mendapatkan khemah di kem pelarian utara negara itu.Ia semata-mata dilakukan untuk menempatkan keluarganya termasuk lapan anaknya.
27 Hari Hilang Tempat Tinggal
Memetik portal Zaman Al Wasl, lelaki berkenaan mengiklankan diri di tepi jalan sambil memegang plakad dia mahu menjual buah pinggang.Dia juga mendakwa keluarganya sudah hilang tempat tinggal selama 27 hari akibat perang saudara yang tidak berkesudahan di negara itu.
Lebih memilukan, lapan anaknya mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk masalah buah pinggang, sawan dan tumbesaran terbantut.Akibat kedaifannya, Jamal tidak mampu menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan.
Laporan sama menyebut Jamal sebelum ini bekerja sebagai tukang jahit.Bagaimanapun, dia kemudian ditahan kerana pembabitannya dalam menyokong revolusi.Dia diseksa hingga lehernya patah yang membuatkan dia tidak mampu lagi bekerja.
Terfikir Bunuh Diri
Menurut Jamal, dia pernah terfikir untuk membunuh diri dengan anaknya kerana tidak sanggup melihat mereka mati kelaparan dan kesejukan.
“Sudah lebih dua tahun anak saya tidak bersekolah. Selepas menjadi gelandangan, saya merayu kepada pelbagai organisasi, namun sia-sia.
“Saya juga pernah terfikir membunuh diri supaya kami semua boleh ‘berehat’,” katanya.
Perang saudara berlarutan di negara itu sejak 2011 antara tentera Syria yang disokong Russia dan kumpulan pemberontak yang didukung oleh kuasa asing termasuk Turki, Iran, Qatar, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
BBC melaporkan sehingga kini, kira-kira 367,000 orang maut, 192,000 lagi hilang, manakala hampir separuh rakyat negara itu hilang tempat tinggal.
MW: Kasihannya.Semoga keluarga ini diberi kekuatan, kesabaran dan mendapat bantuan sewajarnya. Ternyata peperangan tiada kebaikannya. Mengakibatkan kemusnahan, bencana dan ramai rakyat yang menderita.
Sumber:Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Surirumah Saja Pun, Jaga Anak Seorang Dah Mengeluh Penat Bagai…’
Tidak dinafikan tanggungjawab bergelar isteri dan ibu cukup berat untuk digalas, baik menguruskan rumahtangga mahupun anak-anak.Seringkali ramai yang beranggapan, golongan surirumah ini, miliki masa terluang untuk ‘goyang kaki’ dan yang lebih banyak dirumah berbanding wanita yang keluar bekerja. Hakikatnya,hanya yang pernah bergelar surirumah sepenuh masa sahaja yang benar-benar memahami. Kerja-kerja dirumah tak pernah habis, baik daripada celik mata hinggalah melelapkan mata.Ada sahaja kerja yang ingin dibuat, belum lagi melayan kerenah anak-anak yang pelbagai ragam.
Semoga perkongsian oleh Puan Syazana Ahmad ini, membuka mata kita agar tidak menggangap bergelar surirumah satu kerja yang mudah dan punyai banyak masa terluang.Malah janganlah sesekali memandang rendah pada golongan ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Saya seorang ibu kepada 2 anak, suri rumah sepenuh masa. Dulu, saya bekerja ketika anak baru seorang. Saya ada berjumpa dengan kawan-kawan yang lain, ada yang sedang mengandung dan ada yang beranak seorang juga. Mereka tidak bekerja (suri rumah), kami berbual tentang kandungan dan anak-anak.
Dalam perbualan kami, ada seorang kawan yang menyatakan bahawa dia agak penat melayan anak kecilnya dan dalam masa yang sama melakukan tugas di rumah.
“Hai, awak suri rumah saja pun, layan anak seorang, itu pun mengeluh penat? Habis aku ni lagilah penat. Dengan mana kerja lagi, balik rumah kena layan anak pula,” sampuk saya.
Kata-kata saya itu menyebabkan dia berdiam diri. Ya, dalam hati saya pada masa itu berkata,
“Eleh, suri rumah saja pun. Buat teruk lebih dia ni,”
Setahun berlalu, saya mengandung anak kedua. Semasa mengandung lagi suami telah berpesah agar berhenti kerja dan jaga anak di rumah sahaja. Saya terpaksa akur, saya berhenti kerja selepas bersalin dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Selesai berpantang di kampung, saya kembali ke rumah dan menjalankan rutin seorang suri rumah. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasakan. Rupanya bukan senang menjadi suri rumah.
Dengan anak kecil yang asyik merengek, yang kakak suka terjerit-jerit. Kerja rumah tak terkejar jadinya. Dengan mana nak sidai baju, baru nak mandi si kecil sudah menangis (baby 3 bulan). Layan si si kecil sampai tak sempat nak mandi. Baru nak memasak, kakak dah datang selerakkan dapur. Dengan si kecil yang tidur tadinya terus terjaga dan menangis. Rasa stress sangat! Penat!
Bila malam, baru saya sempat sidai baju, mandi puas-puas sebab suami pulang dari kerja boleh tolong jagakan mereka buat seketika. Masa itu saya teringat kata-kata saya pada kawan saya dulu.
Dulu bila saya bekerja, anak dihantar pada pengasuh, jadi sempatlah nak mandi, makan dengan tenang di tempat kerja. Bila balik, mandi dulu baru ambil anak. Baju, hujung minggu baru basuh. Jadi anak, suami yang jaga.
Bila nak bandingkan, jadi suri rumah lagi penat. Allah, sabar sajalah. Saya bercerita sikit sebab mahu mengingatkan kepada para wanita yang bekerja usahlah memandang rendah pada suri rumah. Mereka lagi susah, dengan duit yang cukup pakai, tak boleh bermewah seperti ibu yang bekerja.
Saya sudah minta maaf pada kawan saya itu. Saya harap, jagalah hati ibu-ibu lain yang juga suri rumah sepenuh masa ini ye.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sebenarnya tak kiralah surirumah mahupun bekerja, bila wanita bergelar isteri dan ibu, tanggungjawab dan penatnya menguruskan anak-anak dan rumahtangga sama je penatnya.
Sumber: Syazana Ahmad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibunya Tak Pernah Sangka Dirinya Hamil, Bila Ada Pendarahan Ke Hospital Periksa Urin, Lepas 10 Minit Bayi Ini Dilahirkan
Subhanallah.. apabila Allah mahu memberikan rezeki pada hambanya yang hak, maka rezeki itu tidak akan tertahan-tahan. Ini cerita sebuah keajaiban tuhan yang disampaikan Dressar Azrie. Kisah pesakitnya, seorang wanita yang tak pernah tahu dirinya mengandung. Sudahlah lima tahun lamanya dia dan suami menanti kehadiran cahaya mata, Sampaikan mereka sudah berputus asa.
Apabila wanita itu alami pendarahan membuatkan dia perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Dan akhirnya, ini anugerah tuhan untuknya, kelahiran seorang bayi perempuan yang tidak pernah disangka-sangka.
Perkongsian daripada Muhammad Azrie Bin Amirudin (Dressar Azrie), petugas dressar di Unit Kecemasan Hospital Pekan Pahang ini mengungkap betapa besar kekuasaanNya. Apabila Ia mengkehendaki sesuatu itu terjadi, maka terjadilah. Kun Fa Ya Kun.
Keajaiban.. Rezeki Allah Tak Pernah Salah Alamat
Kata dressar Azrie dalam instagramnya, semasa dia bekerja di unit kecemasan Pekan pada 19 Disember 2017, dia dikejutkan dengan kehadiran seorang bayi perempuan yang tak pernah dijangka kehadirannya oleh kedua ibu bapa mereka.
“Meh nak kongsi cerita kerja hari ini. Masuk kerja syif pagi. Dapat seorang pesakit female/38y/m. Datang dengan sakit PV Bleeding (Pendarahan Vagina). Dah 5 tahun nikah tapi tak ada rezeki untuk dapat baby.
“Bila tanya last haid, dia tak pasti sebab haid selalu tak menentu dari remaja lagi.
Perut wanita itu membesar sedikit tapi tidak berapa nampak macam mengandung. Mungkin disebabkan badannya yang sedikit besar.
“Pergi berurut orang kampung cakap angin saja. Pesakit pun biarkan je. Pagi ini ada pendarahan sebab itu dia datang ke hospital.
“Bila check urin, urin positif tanda hamil ( Ibu tak ada tunjuk rasa sakit langsung. pastu tak pernah rasa kehamilan). Kes ini dari kecemasan kemudian dirujuk ke unit PaC gynae.
“Lepas 10 minit tahu-tahu dah bersalin baby girl. Mudah sungguh. Tak ada rasa sakit langsung. Bersalin pun secara normal. Tak pernah juga dapatkan rawatan ibu mengandung selama 9 bulan di mana-mana klinik, macam ibu-ibu pergnant yang lain.
Ayah Terpinga-pinga, Bila Balik Dapat Baby
Dengan umur yang boleh dikategorikan sebagai high risk untuk pregnant. Last-last pagi ini dapat baby yang comel, cukup sifat, sihat semua. Syukur kedua-duanya selamat.
Si ayah terpinga-pinga terkejut sebab tak sangka langsung selama ini ada baby dalam perut. Selama 5 tahun menunggu baby sampai rasa give up tapi dapat rezeki pagi ini.
Barang-barang baby pun tak prepare. Ayah baby siap cakap datang sakit pendarahan balik dapat baby. Happy sangat-sangat dia. Ibu dan anak sekarang berada dalam wad untuk pemantauan dan semua selamat.
“Bukan selalu cerita panjang-panjang macam ini sebab selama bekerja tak pernah dapat kes unik macam ini. Biasa dapat kes unmarried je macam ini. Rezeki Allah Allah tak pernah salah alamat.”
Ketika dihubungi MW, dressar Azrie memaklumkan yang pagi ini ibu bayi ini masih ditahan di wad kerana darah tinggi, tetapi kesihatannya kembali pulih dan baby dan ibu sudahpun dibenarkan pulang pada petangnya.
Sumber/Foto : Instagram azrie_mek90
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Umi Tolong Peluk Zara, Sakit…” Demi Bantuan Rawat Anak Hidap Aplastik Anemia Ibu Ini Tolak Tepi Rasa Malu
Luahan hati seorang ibu bernama Saneeha Sulaiman yang lebih mesra dengan panggilan Umi Zara ini meruntun hati sesiapa saja yang membacanya. Catatan sayu itu tentang anak kecilnya, Nur Syifa Zara, 4 tahun yang menghidap penyakit Aplastik Anemia iaitu sejenis penyakit sum-sum tulang yang tidak berfungsi untuk menghasilkan darah sendiri.
Betapa susahnya mereka setiap kali mahu ke hospital. Kerana tiada kereta, Umi dan suami, anaknya yang sakit Zara malah baby 9 bulan menunggang saja motosikal dari Damansara Damai ke PPUM.
Apa yang menjadi keperluannya kini adalah tambang perjalanan ulang aliknya ke PPUM, bantuan susu dan lampin pakai buang. Anda baca luahan ini, rasai kepedihannya dan hulurkanlah sumbangan.
Ya Allah Tak Kuat Umi Rasa
Saya tak pandai nak mula macam mana, nak bicara macam mana
Hanya luahan hati seorang ibu
Nur Syifa Zara permata hati Umi
Kaulah kekuatan Umi
Kalau lah semangat Umi
Siapa percaya anak Umi yang comel hidap penyakit Aplastik Anemia
Sejenis penyakit sumsum tulang tak berfungsi untuk menghasilkan darah sendiri.
Setiap kali si comel ini sakit atau lemah
Dia akan panggil Umi
“Umi tolong Zara Umi”
Tolong peluk Zara
Zara sakit”
Ya Allah sayu hati ini. Hiba perasaan. Dalam pelukan Zara akan tenang.
Tapi hati Umi tak tenang sayang. Tak kuat Umi rasa.
Tapi Umi kena kuat demi anak Umi.
Kegembiraan Ini Hanya Seketika
4 tahun lepas Umi tak ada anak
Allah pertemukan kita
Dengan kasih sayang
Kau membesar betapa bahagianya saat itu
Dan saat bahagia bila
Allah hantar kan khabar yang Umi hamil
Ya Allah sekian lama menanti akhirnya tercapai jua
Tapi kegembiraan
Ini hanya seketika
Allahuakbar
Allah uji Umi
Dengan khabar sakit anak Umi boleh bawa maut
Ya Allah ujian apakah ini?
Baru doktor katakan Umi risiko hamil di usia 40
Dengan darah tinggi lagi
Ini pula Zara sakit tenat
3 nyawa di hujung tanduk
Badan Zara Senang Lebam, Senang Berdarah
Zara sakit Aplistik Anemia
Sejenis sum sum tulang tak berfungsi
Seolah kilang darah dah tutup
Zara senang dijangkiti
Atau jatuh sakit. Zara tak ada darah putih
Badan Zara senang lebam senang berdarah
Dan darah yang susah untuk berhenti
Zara tak ada darah platelet
Yang paling Umi risau bila Zara jatuh. Paling takut pendarahan dalaman
Atau pendarahan otak
Ini yang paling Umi takut.
Umi akan pastikan Zara cek atau tambah darah setiap minggu.
Walau minggu ni Umi dah pecah tabung untuk tambang grab bawa anak Umi ke PPUM
Abah sakit minggu ni abah kena serang asma
Kita tak boleh naik motor, kena naik grab
Tapi Umi tak ada duit
Nasib Umi ada tabung duit syiling dapatlah buat tambang grab
Umi bersalin dengan selamat walau pun cesaer
Walau pun berpantang dekat wad menjaga Zara
Pantang Umi entah kemana
Adik pun ikut jaga kakak dekat wad
Masa di usia adik baru semingu adik dah tidur atas simen kat wad jaga kakak.
Suami Bekerja Kilang, Memang Tak Cukup
Saya tak kerja, saya kena jaga Zara sepenuh masa
Kami dapat bantuan dari Zakat 2017
RM3000 setahun zakat bayar ke hospital kos tambah darah
2018 kami tak dapat apa-apa bantuan dari Zakat
Dan kami dapat bantuan hospital PPUM untuk ringankan bil Zara
Kos ulang alik naik grab ke hosptl
Kos-kos yang terpaksa beli ubat kat farmasi luar
Itu kena cari sendiri
Dengan hanya suami yang bekerja kilang memang tak cukup
Itulah untuk rumah sewa
Untuk ubat pampers dan dan susu Zara
Kalau nak berjimat
Kami akan bangun pukul
4 pagi ke PPUM
Berasak dengan baby naik motor
Kemudian suami ke Shah alam sambung kerja
Kami tak ada kereta
Hanya motor itulah kaki kami
Tolak Ke Tepi Malu Umi
Umi tolak ke tepi malu Umi
Demi Zara, Umi minta bantuan
Dan sumbangan orang ramai untuk ringankan beban kami
Umi nak kerja nak menjahit
Tapi Umi tak ada mesin jahit
Masa susah kami jual semua barang yang mana boleh jual untuk menampung kos-kos rawatan.
Pada sesiapa yang ingin
Bagi bantuan ringankan beban kami
Salur kan bantuan anda ke akaun
No Akaun
Maybank : 512213319167 atas nama Mohamad Zamri Khalid (Ayah)
Maklumat lengkap
Boleh hubungi Umi Zara / FB : Nur sz
No. Telefon : 0182775337
Siapa yang nak melawat kami pun boleh, di alamat : Lg29 saujana apartment jln PJU 10 1c Damansara Damai 47830, Selangor
Ada Rezeki Orang Derma
Ketika Mingguan Wanita menghubungi Umi, menurutnya buat masa ini Zara doktor nasihatkan berulang alik dari rumahnya di Damansara Damai ke hospital PPUM.
“Buat masa ini doktor suruh kami ulang alik setiap 3 hari sekali. Sebab kat wad banyak kes batuk dan selesema. Tak baik untuk Zara. Sebab dia tak ada darah putih senang dijangkiti.”
Jadi, selang tiga hari dia akan ke hospital untuk urusan rawatan. Ibu ini akan mengambil grab jika masa rawatan yang singkat. Dan dibawa sekali anak kecilnya, Mohammad Zariff Rizqin, 9 bulan. Walau bermotosikal tetap si kecil ini tak ditinggalkan.
“Kalau time tengah bulan kami naik motor dengan baby sekali. Baby masih menyusu badan, Sekarang dah ajar susu botol.”
“Bila jarak ke seminggu sekali kami naik motor. Nak jimat untuk keperluan dia nanti. Ni sebab 3 hari sekali. Kesian dia penat.
“Alhamdulillah hari ini naik grab. Ada rezeki yang orang derma. Boleh lah bagi keselesaan buat Zara.”
Tambah ibu ini lagi, disebabkan penyakit anaknya itu ada banyak perkara yang perlu dipantangkan. Zara juga tak boleh ambil makanan yang ada bakteria baik. Keju tak boleh malah makanan kena betul-betul masak. “Haiwan apa pun dia tak boleh dekat, walaupun dengan kucing sebab alahan.”
Sememangnya tak mudah untuk menjaga Zara. Dalam keadaan suami yang sakit, ibu ini punya anak kecil. Umi tetap meneruskan kehidupan dan ujian tuhan dengan ketabahan.
“Saya terima takdir Allah dengan REDHA. Dia adalah semangat saya. Dia adalah kekuatan saya. Hanya dia. Demi dia. Semuanya untuk dia. Dia adalah kekuatan ku.” Inilah pegangan Umi yang membuatkan dia mahu terus berada di sisi Zara. Mengasihi anak kecil ini selagi hayat di kandung badan.
Zara Minta Belon Harga RM4.50 Pun Umi Tak Boleh Tunai
Akui Umi, Zara sangat petah berkata-kata. Dia anak yang sangat bijak. “Selalu minta nak pergi ke sekolah. Ada kawan-kawan. Macam Upin dan Ipin katanya.
“Tapi doktor tak beri Zara terdedah sangat. Kesian kat dia. Bila tak dapat nak tunaikan permintaan dia sedih rasanya. Hati ibu mana yang kuat, bila permintaan anak tak dapat nak tunaikan.”
“Kadang dekat wad dia minta macam permainan. Tengok budak sebelah main, dia pun nak juga. Umi terpaksa pujuk dengan bermacam helah. Sedih je bila anak minta belon harga RM4.50 pun tak dapat tunaikan.”
InsyaAllah Bantuan Zakat Dipermudahkan Untuk Tahun Ini
Setelah perkongsian ibu ini menjadi tular, ada di kalangan individu menghulurkan sumbangan. Begitu juga dengan Zakat Selangor daerah Petaling yang telah membuat kunjungan ke rumah Umi pada 5 Februari lalu.
“Saya baru nak hantar borang selepas mereka buat lawatan hari itu. InsyaAllah katanya lulus tahun ini.” ujar Umi ketika ditanya tentang bantuan zakat.
Pada tahun 2017, adik Syifa turut telah menerima bantuan perubatan daripada Zakat Selangor sebanyak RM3,000.
Seperti yang dimaklumkan oleh Lembaga Zakat Selangor, bantuan perubatan yang disalurkan kepada penerima adalah mengikut tempoh tertentu yang diluluskan. Oleh itu, pemohon perlu membuat permohonan baru jika tempoh penerimaan bantuan tersebut telah tamat.
“Zakat Selangor akan menyalurkan bantuan perubatan kepada keluarga Adik Syifa mengikut keperluan mereka.
“Semoga dengan bantuan zakat yang diterima kelak akan meringankan dugaan keluarga Adik Syifa. Zakat Selangor turut mendoakan Adik Nur Syifa sembuh segera,” maklum Zakat Selangor dalam updatenya di laman rasmi facebook Lembaga Zakat Selangor.
Sumber/Foto/Video : Prinz Firusi, Lembaga Zakat Selangor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI