Bersyukur pada Allah! Sebelum bil elektrik menjadi beban kepada rakyat, kerajaan lebih awal mengambil langkah untuk memberi diskaun. Peka dengan beban penularan Covid-19, rakyat bakal menikmati diskaun enam bulan bil elektrik bermula April ini.

Maklumlah sekarang mak, ayah dan anak-anak banyak habiskan masa di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan. Maka, langkah ini adalah yang terbaik untuk semua.

Ringankan Beban Di Kala Ekonomi Mencabar

Diskaun bil elektrik akan diberi kepada semua pengguna elektrik bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

15 Peratus Untuk Tarif Perdagangan

Katanya, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik kepada enam sektor perniagaan terpilih iaitu hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Beliau berkata, manfaat itu juga akan dinikmati pengguna komersial, industri dan pertanian dengan memperoleh dua peratus diskaun dalam tempoh yang sama.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan penjimatan bil elektrik, dianggarkan berjumlah RM370 juta bagi tempoh enam bulan.

“Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada sekitar 99,322 pemilik akaun yang melibatkan anggaran kos RM11.5 juta manakala bagi Sarawak, ia melibatkan anggaran kos RM107.2 juta untuk 100,000 pemilik akaun,” katanya.

Rakyat Terima Diskaun Dua Peratus

Beliau berkata, semua pengguna domestik dalam kategori domestik atau rumah kediaman turut menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemberian dua peratus bagi tempoh yang sama.

“Ini bermakna rakyat akan menikmati diskaun dua peratus dalam tempoh tersebut, sebagai tambahan kepada enam peratus yang telah pun dinikmati oleh pengguna domestik pada masa ini. Ia dijangka memberi anggaran penjimatan dalam bil elektrik sebanyak RM92 juta, kepada kira-kira 7.5 juta pemegang akaun TNB.

“Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada 520,378 pengguna domestik dengan kos dianggar sekitar RM5.7 juta manakala bagi Sarawak, ia akan memberi manfaat kepada 585,637 pengguna domestik dengan kos dianggarkan sekitar RM6.8 juta,” katanya.

Menurutnya, kos pemberian diskaun bil elektrik itu akan ditampung kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak pula ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

Sumber: Bernama

MW: Diharapkan langkah yang diambil kerajaan ini dapat membantu rakyat yang sedang diuji kini. Maklumlah rata-ratanya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, masing-masing berada di rumah dan melakukan aktiviti di dalam rumah. Jadi sudah tentu, penggunaan bil elektrik akan bertambah dari sebelum ini. Sekurang-kurangnya dengan ada diskaun yang diberikan, terasa ringan sedikit bebanan rakyat.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI