Derita di hatinya tiada siapa yang tahu. Segala-galanya disimpan kemas sendirian. Bertahun-tahun wanita ini menyimpan derita kerana memiliki suami penganggur dan panas baran.
Ikuti luahan hatinya dan diberikan pendapat oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/nurul.azwa.509
Lepas Kahwin, Derita Bermula
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban Dengan Kewangan Keluarga
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Derita Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Ads
Mula Naik Tangan
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Turutkan Saja Kerana Tak Nak Lebih Derita
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila? Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri Ketakutan, Melaka.
SARANAN KAUNSELOR
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar.
Ads
Ia menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan. Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya. Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum.
Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambil alih atau menyediakan semua keperluan keluarga, Apa tah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jangan Ambil Alih Tanggungjawab Suami
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya? atau nak harapkan rakannya?
jawapannya puan sendiri tahukan…bahawa bukan mereka….tetapi puanlah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Didik Diri Lebih Tegas
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apatah lagi jika meminta wang daripada puan. Jangan takut pada baran suami. Tahukah puan, kerana takutlah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Ads
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan. Jangan biarkan diri diperalatkan dan diseksa emosi dan fizikal oleh suami. Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya.
Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Tak Nak Derita Jangan Tunjuk Lemah!
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini yang mendatangkan derita buat isteri. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya. Orang yang baran ini akan menang jika dia tahu orang yang dia berdepan itu lemah.
Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah. Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti.
Minta Bantuan Orang Terdekat
Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan. Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan.
Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang daripada puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Mak-mak kita dulu kata, nak bagi anak cepat jalan masukkan saja dalam walker. Nanti pandailah si kenit tu main-main kaki dekat lantai sambil berjalan sendiri. Sampailah ada kajian tentang tak bagusnya penggunaan walker yang dikatakan mengundang bahaya dan mendatangkan kecederaan pada bayi.
Mak ayah mula keliru. Nak letak anak dalam walker atau dukung saja anak. Biarkan dia berjalan sendiri secara natural. Perkongsian daripada Pengasas Beyond Home Therapy, Occupational Therapist, Puan Maryam Jamadi memberi panduan apakah syarat penggunaan walker pada bayi.
Walker, Baik Atau Buruk
“Adik beradik aku 5 orang semua guna walker masa baby. Sihat membesar dan jadi orang je bila dah besar“. ?
Baru-baru ini viral tentang post tentang walker. Statement di atas banyak terdapat di ruangan komen, kebanyakan membantah kenyataan post tersebut. Kerana penggunaan walker dah jadi kebiasaan di negara kita.
Kalau buka dan kaji kajian dari luar negara memang tak ada 1 pun yang menyokong penggunaan walker, kebanyakannya “banned” penggunaan walker disebabkan faktor keselamatan (kes terbakar, fracture, kecacatan dan kematian) dan masalah lambat perkembangan fizikal serta mental.
Sehinggakan walker memang sudah di “banned” di negara Canada sejak tahun 2004, denda sehingga 100 000$ jika memiliki, menjual atau membeli walker selepas 1 kajian berkaitan ini berlangsung selama 2 tahun. Hasil kajian mendapati terdapat 436 kes di Canada melibatkan kanak-kanak bawah 2 tahun disebabkan walker. ?
Kalau nak list keburukan walker, terlalu banyak kajian dah dibuat berdasarkan ini.
Tetapi 3 area yang menjadi perhatian saya sebagai occupational therapist iaitu
1. Perkembangan Motor Kasar Dan Halus
Walker menyebabkan fasa merangkak anak tak lama (boleh refer post ANAK SKIP MERANGKAK). Fasa merangkak memang sangat penting dalam perkembangan motor kasar. Ada 1 kajian berkaitan ini, hasilnya walker terbukti memang melambatkan perkembangan motor kasar selama 3 hari setiap kali 24 jam jumlah penggunaannya.
Tapi ada ke mak ayah beri anak pakai 24 jam walker kan? ?
Kajian lain berkaitan ini juga ada dilakukan pada tahun 1990 (Journal of Developmental and Behavioral Pediatrics), mengatakan bayi yang menggunakan walker terbukti lambat perkembangan motor kasar (duduk, merangkak, berjalan) dari bayi yang tidak menggunakannya disebabkan bayi tidak dapat lihat kaki sendiri semasa fasa merangkak dan berjalan yang penting untuk memberi “visual feedback” pada otak. Kesannya, perkembangan fizikal dan otak bayi terganggu.
2. Perkembangan Mental
Bayi yang menggunakan walker terbukti lambat dari segi perkembangan mental kerana mendapat skor yang rendah daripada yang sepatutnya dengan menggunakan standardized assessment (Bayley scales of mental and motor development).
3. Kecederaan
Pada 2003, 3000 kes kecederaan kanak-kanak disebabkan walker di Amerika.
Kalau nak list keburukan memang banyak sangat artikel dan jurnal berkaitan ini.
Pendapat saya, apa-apa benda atau makanan pun kalau kita makan atau guna berlebihan boleh cepat rosak atau memudaratkan. Semua benda pun kalau ikutkan TIDAK SELAMAT untuk bayi, benda kecil boleh buat anak tercekik, benda besar tak mustahil boleh pecah buat anak tercekik juga. Selembut-lembut bantal pun bahaya boleh buat anak lemas dan sebagainya.
Jadi dalam isu ini, saya tidak menghalang mahupun menyokong penggunaan walker sebab saya dan adik beradik pun pengguna walker masa bayi sebab adik beradik ramai dan ia memudahkan mak saya. Cuma pada saya, kalau mak ayah nak guna haruslah berpada-pada.
4 Syarat Sebelum Beri Anak Naik Walker
Pastikan anak CUKUP UMUR sebelum dapat “lesen” bawa walker ok? Macam mana nak tahu anak “qualified”?
1. Umur minimum adalah 4 bulan, maksimum 16 bulan. Kalau bawah 4 bulan, BIG NO NO ya ?. Kalau bayi pramatang, kira umur dari tarikh due date sebenar.
2. Pastikan otot leher anak dah cukup kuat untuk angkat kepala (apabila diangkat, kepala tidak terjatuh). – Nak kuat cepat, banyakkan “tummy time” seawal baru lepas lahir.
3. Pastikan kaki dah boleh menjejak lantai dan dan boleh menampung berat badan dengan kaki. (Selalunya apabila anak dah pandai meniarap dan pusing kembali ke posisi baring).
4. Buang walker selepas anak pandai berjalan.
Pastikan anak cukup kriteria di atas baru beri walker, kalau umur 6 bulan tapi kepala dan otot belakang belum kuat jangan beri dahulu kerana akan melambatkan lagi perkembangan fizikal anak boleh menyebabkan masalah di masa akan datang.
Yang penting jangan samakan “dulu-dulu” dengan sekarang, “dulu-dulu” kita setiap petang pergi taman panjat sana sini tak ada siapa halang jadi kalau ada terlewat perkembangan mental atau fizikal pun tak memberi kesan yang banyak sebab dah topup dengan bermain di taman setiap petang.
Zaman sekarang, zaman teknologi dan zaman ibu bapa overprotective dan paranoid nak bawa anak ke taman sebab banyak kes jenayah. Sebab itu tak boleh terlalu bandingkan zaman dulu dengan sekarang, melainkan persekitaran anak sekarang sama dengan dulu-dulu.
Extra 3 Syarat Anak Naik Walker Mak Kena Tahu
Jadi dalam kes ini, pendapat saya beri walker ok cuma kena
1. Pastikan tiada wayar atau barang yang bahaya yang boleh anak capai. Otak bayi laju, ada sahaja yang nak dibuat kadang-kadang 1 saat sahaja kemalangan boleh berlaku terutamanya di dapur. Kes melecur memang kebanyakannya melibatkan bayi bawah 2 tahun.
2. Limitkan penggunaan, guna apabila perlu sahaja terutamanya bayi yang dalam fasa merangkak sebab merangkak sangat banyak kebaikannya untuk otot-otot penting dalam perkembangan motor kasar malah perkembangan otak juga.
3. Pastikan tiada benda di lantai yang boleh menyebabkan anak tersadung dan walker terbalik.
Kesimpulannya
Kajian tentang penggunaan walker terhadap perkembangan anak memang banyak dan kebanyakan “buruk” berbanding “baik”. Jadi terpulang pada mak ayah nak terima yang mana, kalau nak guna juga yang penting pastikan anak capai kriteria “lesen” walker sebelum guna.
Jasmin Hamid bersyukur “Allah… pinjamkan mertua sangat baik, terima kekurangan, menumpang kasih” sememangnya cukup terharu apabila dikurniakan ibu dan ayah mentua yang sangat baik.
Begitu jugalah perasaan pengantin baru yang juga pelakon Jasmin Hamid yang berasa sangat terharu dan bersyukur Allah SWT mengurniakan ibu dan ayah mentua yang sangat baik buat dirinya.
Pada 19 November yang lalu Jasmin Hamid, 47, yang juga ibu tunggal selamat bernikah dengan lelaki pilihannya, Nazmir Abd Rahim, 35, juga pembantu peribadinya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Jasmin Hamid Bersyukur
Seperti mana perkongsian di akaun Instagramnya, Jasmin akui dirinya kini berasa sangat bersyukur dan bahagia.
“Masyaallah…
“Syukur alhamdulillah kepada ALLAH SWT..
“Saya di kurniakan keluarga En Suami untuk kami menjalinkan silaturrahim antara dua keluarga..
“Pinjamkan saya Ibu bapa Mertua yang sangat baik dan terima kekurangan saya, untuk saya menumpang kasih..
“Walaupun hanya majlis kecil untuk bersua kenal antara dua keluarga,kami amat bersyukur dan bahagia. Terima Kasih kepada keluarga En Suami di atas penat lelah dan layanan istimewa untuk meraikan kami. Terima Kasih ALLAH kerana permudahkan urusan kami untuk mendapat pahala dan redhaNya,” tulis Jasmin.
12 Tahun Jarak Umur
Walaupun Jasmin dan suami jarak usia mereka 12 tahun namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh bahagia. Perkongsian terbaru, Jasmin juga bersyukur kerana dia dan suami saling melengkapi.
“Dah seminggu kami menjadi suami isteri..begitu cepat masa berlalu.
“Walaupun 12 tahun jarak umur antara kami tapi ini tak bermakna,kami tidak berhak untuk bahagia.. mendapat pahala dan redhaNya.
“Kami terima kekurangan masing-masing untuk saling melengkapi.
“Jangan takut dengan REZEKI ALLAH kerana tidak akan putus rezeki selagi bernyawa. Yang penting, doa, ikhtiar dan tawakal dan terus meminta hanya padaNya,” luah Jasmin.
“Terima Kasih Suami Menerima Anak-Anak & Cucu”
Rezeki yang Allah berikan kepada dirinya cukup bermakna. Malah dia juga berasa bersyukur kerana suami sanggaup menerima anak-anak dan cucunya.
“Terima Kasih En Suami kerana terima anak-anak dan cucuku seadanya. Terima Kasih juga buat anak-anak dan cucuku kerana terima En Suami seadanya.
“Ini juga adalah salah satu bentuk REZEKI ALLAH kerana di kurniakan seorang KHALIFA untuk membimbing seorang Ibu tunggal dan anak cucunya.
“Semoga kita menjadi sebuah keluarga Sakinah Madaddah Warahmah. Terima kekurangan masing-masing untuk saling melengkapi,” coret Jasmin yang membuatkan ramai peminat terharu dan tumpang gembira dengan kebahagiaan yang dikecapi oleh Jasmin.
Lumrah dalam rumahtangga diuji dengan keadaan susah dan senang.Namun kesetiaan pasangan yang menjadi kayu pengukur untuk meneruskan perhubungan bertahan hingga ke akhirnya.
“Saya sayangkan suami dan lebih bahagia jaga dia (suami) dalam keadaan begitu,” kata perancang majlis, Nurrhidayah Hassan.
Nurrhidayah, 35, setia dengan pasangan, Hamdan Hashim, 36, walaupun suaminya itu bergelar orang kurang upaya (OKU) penglihatan selepas tiga tahun mereka berumah tangga.
Menurutnya, Hamdan jadi begitu kerana menghidap Steven-Johnson Sindrom (SJS) akibat alahan terhadap ubat titis mata mengandungi antibiotik.
Memilih Untuk Setia
Lantaran keadaan suaminya itu, Nurrhidayah dari Kampung Morten, di sini, mengakui ada lelaki yang cuba mendekati selepas tahu keadaan suaminya namun dia menolak dan memilih untuk setia.
“Saya kenal suami sudah lama iaitu sejak 2011 lagi sebelum berkahwin pada 2014.
“Ditakdirkan, dia sakit pada 2017 namun saya anggap itu ujian dan terus menjaganya.
“Waktu itu (suami mula sakit), memang ada yang cuba ambil kesempatan namun saya tak layan kerana naluri dan perasaan bukan ke arah lelaki lain.
“Bagi saya, apa yang berlaku terhadap suami itu takdir Allah dan saya reda saja dengan ketentuan-Nya,” katanya.
Berdamai Dengan Takdir
Sementara itu, Hamdan mengakui berat untuknya menerima hakikat hilang penglihatan selepas 30 tahun hidup normal. Bagaimanapun, Hamdan cuba berdamai dengan takdir dan bersyukur masih dipanjangkan usia serta ada isteri yang setia dengannya.
“Mungkin dulu saya nakal jadi Allah beri ujian ini sebagai peringatan dan sayang-Nya terhadap saya.
“Walaupun tak dapat melihat sempurna macam dulu apabila mata kanan buta dan kiri pula nampak sedikit saja, saya bersyukur dengan kehidupan sekarang.
“Tak kaya tapi hidup saya berasa cukup berbanding dulu dan tambah bersyukur dengan adanya isteri yang sanggup menjaga serta bersama dalam susah senang. Moga syurga tempatnya,” katanya.
Alahan Ubat Titis Mata
Mengimbas detik hitam yang berlaku dalam hidupnya, Hamdan berkata, pada awalnya dia hanya mengalami sakit mata kemudian merujuk ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
“Waktu itu, saya dibekalkan dengan ubat titis mata dan selepas menggunakannya, berlaku alahan yang menyebabkan mata dan bibir bengkak hingga dikejarkan ke hospital.
“Selepas diberi makan ubat, alahan bertambah teruk hingga naik ruam serta luka pada wajah dan badan.
“Akibatnya, saya terpaksa mendapatkan rawatan selama 43 hari di hospital dengan dua minggu di unit rawatan rapi (ICU) dan selebihnya di wad biasa,” katanya.
3 Tahun Untuk Stabil
Menurutnya, hampir tiga tahun juga dia ambil masa untuk stabil sebelum dapat bekerja semula pada akhir 2019.
“Kini, saya mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu di kedai makan ibu mentua (Amnah Othman, 64).
“Orang mungkin tengok saya macam normal kerana boleh buat kerja tetapi hanya saya, doktor dan Allah saja tahu keadaan diri ini.
“Doktor di hospital kerajaan tak berani nak ambil risiko untuk rawat saya dan kini, saya ikhtiar dapatkan rawatan dengan bertemu pakar mata di Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali.
“Kosnya bukan sedikit namun saya dengan bantuan isteri sama-sama kumpul duit untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang belum dikurniakan zuriat.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah dan tahniah buat wanita ini, kekal setia menjaga suami sakit. Bagi yang mengalami alahan semoga lebih berhati-hati dengan sebarang pengambilan ubat-ubatan, kerana boleh membahayakan diri.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...