Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Ibu mana yang sanggup anak dihina berulang kali, apatah lagi dengan perkataan yang menyakitkan hati. Walaupun bukan anak kandung daripada darah daging sendiri. Gara-gara menghina wajah anak angkatnya, Rohhana Abdul Hamid sebagai ‘bapok’ di media sosial, pelakon Jasmin Hamid tampil mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap tiga individu pada 2 Mei lalu.

Bagaimanapun seorang wanita yang baru melahirkan bayi lelaki, Izzatul Hairiyah Abdullah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesalahan dilakukan dan akur dengan tuntutan dikemukakan Jasmin.

Jaga Maruah Anak & Keluarga

Jasmin berkata, dia mengambil tindakan sedemikian bagi menjaga maruah anak dan keluarganya.

“Saya failkan saman sebab individu terbabit berulang kali menggelarkan anak saya ‘bapok’. Jadi perkataan itu yang membuatkan saya mahu ambil tindakan undang-undang.

“Disebabkan perkataan itu juga, kehidupan anak saya menjadi terganggu dan menerima tohmahan daripada orang luar. Dia sangat terkesan dengan komen yang dilemparkan sehingga mengganggu emosinya.

“Walaupun keadaan fizikal anak saya macam mana sekalipun, tiada siapa berhak untuk mencela fizikal orang lain,” katanya ketika sidang media kes saman fitnah kepada warganet yang menghina wajah anaknya di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir peguam daripada Tetuan Guaman The Law Chambers Of Fauzi & Nasser yang bertanggungjawab mengendali kes penyebaran fitnah pelakon drama Datin Wan Abe itu.

Beri Pengajaran Pada Netizen

Menurut Jasmin, dia mengambil tindakan saman bukan untuk mencari publisiti atau duit tambahan, sebaliknya mahu memberikan pengajaran kepada warganet.

IKLAN

“Ini bukan soal meraih publisiti, nak cari duit lebih melalui saman ganti rugi malu tapi lebih kepada mengajar warganet supaya lebih berhati-hati dalam Internet.

“Kita hidup dalam negara yang mengamalkan undang-undang. Bukan setakat di luar, dalam laman sosial pun terikat dengan peraturan yang sama. Jadi berhati-hatilah.

“Malah Islam juga tidak mengajar kita untuk mencaci fizikal orang lain. Bukankah setiap tindakan buruk yang dibuat akan ditanya di akhirat kelak,” katanya.

Menerusi tuntutan dibuat, Izzatul dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka, membayar ganti rugi sejumlah wang, membuat permohonan dalam media dan surat akuan terbuka untuk menarik balik kenyataan yang dibuat.

IKLAN

Rasa Malu & Kecewa

Sementara itu, Rohanna ketika ditemui akur dengan kejadian yang memalukan dan kali pertama dalam hidupnya itu.

“Saya tidak marahkan Izzatul tapi malu dan kecewa atas apa yang dia lakukan. Bagaimanapun saya sudah memaafkan selepas dia membuat permohonan maaf ini.

“Saya berharap dia belajar sesuatu selepas kejadian ini. Memalukan orang dengan menyamakan bentuk wajah atau tubuh badan seseorang dengan binatang adalah satu perbuatan yang salah,” katanya.

Kesal Dengan Tindakan

Dalam pada itu, Izzatul mengakui kesal atas tindakan yang dilakukan serta berharap Rohanna dan Jasmin memaafkannya.

IKLAN

“Saya memohon maaf dan tidak akan mengulanginya lagi. Saya akui kesal atas tindakan yang dilakukan terhadap Rohanna. Saya juga tidak sangka komen yang dilemparkan akan menjadi kes sebesar ini. Maafkan saya,” katanya.

Buat Laporan Polis

Sekitar Mac lalu, Jasmin membuat laporan polis apabila ada sekumpulan individu menghina wajah Rohhana sebelum memfailkan saman pada 2 Mei lalu.

Selain Izzatul, ada dua lagi warganet yang dikenal pasti bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Bagaimanapun perincian mengenai individu terbabit akan dimaklumkan kemudian.

Berulang Kali Anak Dihina, Digelar ‘Bapok’, Jasmin Hamid Fail Saman!

MW: Pesanan buat netizen, hati-hati dalam memberi komen di media sosial, jangan sampai menjatuhkan aib dan maruah orang lain. Negara kita ada undang-undang, hati-hati dengan apa yang ditulis.

Berulang Kali Anak Dihina, Digelar ‘Bapok’, Jasmin Hamid Fail Saman!

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI