rahsia tomok didik anak

Sedikit rahsia didik anak, penyanyi lelaki popular, Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, 33, dan isteri Rahayu Abbas, 38, cukup bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang cukup bijak dan comel.

Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak, mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka, Arrianshah Akid atau mesra dipanggil Arrian, 5, dan Andrashah Iman atau mesra dipanggil Andra, 2, mempunyai karektor yang berbeza.

Cara Didik Anak, Bukan Niat Nak Menunjuk

“Tujuan utama saya bukanlah nak menunjuk-nunjuk kisah kehidupan kami sebagai selebriti. Siapalah saya, bahkan saya dan keluarga bukanlah selebriti yang punya nama besar. Di sini, saya cuma mahu berkongsi dengan orang luar mengenai idea mendidik anak-anak. Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa tapi ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza. Sebenarnya saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok lagi.

Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia juga sama seperti ibu bapa yang lain.

“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak belajar tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet, bagaimana untuk membentuk anak-anak kita. Dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya ‘trial and error’. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka,” ungkap Ayu yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya dan teringin untuk memiliki anak perempuan pula.

1. Berbual-bual

Apabila sering berbual-bual dengan anak walau pun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti dan faham, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Mereka sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.

2. Mengagah

Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usiasetahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.

3. Membaca Buku

Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun mereka masih belum mengerti/faham? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.

4. Kad Imbasan

Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya. Ini yang Ayu lakukan kepada Arrian.

5. Bermain

Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!

6. Aktiviti Fizikal

Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.

7. Menyanyi

Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira

Hargai Isteri

Itu sedikit perkongsian dalam bab mendidik anak, tetapi Tomok juga dedah cara terbaik menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Haaa… kalau Tomok sediri, dia kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti bila berkesempatan.

“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.” Ujarnya lagi.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI