Setelah beberapa minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sidang media petang tadi mengumumkan kerajaan membuat keputusan membenarkan pelanggan makan di premis makanan mulai esok.Bagaimanapun, kebenaran itu terhad hanya dua orang untuk satu meja dan perlu mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tempoh operasi premis makanan pula adalah antara jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Kerajaan bersetuju membenarkan restoran menyediakan perkhidmatan makan di dalam premis kepada pelanggan berkuat kuasa esok, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kebenaran itu adalah tambahan kepada SOP sebelum ini yang hanya membolehkan restoran beroperasi secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran.

“Jumlah pelanggan dihadkan hanya dua orang untuk satu meja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Masyarakat masih perlu mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun diberi kebenaran ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

IKLAN

Sektor Industri Kreatif Dibenarkan Beroperasi

Ismail Sabri turut berkata, sektor industri kreatif akan dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan SOP yang ketat, bermula esok.

Beliau berkata, senarai yang dibenarkan beroperasi adalah produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital dan rakaman lagu di studio.

“Turut dibenarkan adalah pra-produksi penggambaran serta penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitkom, siaran langsung, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton,” katanya.

IKLAN

Perniagaan Sektor Peruncitan Juga Dibenarkan

Selain itu, Kerajaan memutuskan untuk membenarkan semua perniagaan dalam sektor peruncitan untuk kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Kabinet semalam, bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil.

Antara sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi termasuklah kedai pakaian dan fesyen, aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga, alat permainan, permaidani, alatan sukan, kosmetik, peralatan dapur, aksesori kenderaan, Ar-Rahnu.

IKLAN

“Senarai penuh sektor runcit yang dibenarkan beroperasi ini boleh didapati dalam laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini kerajaan sudah membenarkan beberapa segmen peruncitan tertentu beroperasi dalam PKP dan pengumuman hari ini adalah baki yang belum dibenarkan.

Baca Lagi Di Sini:
PKP: Murid Sekolah Rendah, Tingkatan Satu Hingga Empat Belajar Secara (PdPR)

MW: Semoga kebenaran untuk beroperasi kembali ini memberi kelegaan buat para peniaga yang terjejas. Sama-sama kita patuhi SOP mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sumber:Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI