Sesungguhnya ajal dan maut di tangan tuhan.Pengorbanan seorang ibu tunggal mencari rezeki di perantauan, meninggalkan anak-anak tersayang di tanah air berakhir dengan tragedi.

Semalam, media melaporkan seorang wanita warganegara Malaysia dikenali sebagai Rabitah Hamed, 49, maut dalam kemalangan di Griffith, Australia tetapi tiada maklumat lanjut diperoleh mengenai kejadian berkenaan.

Keluarga kepada wanita Malaysia yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia semalam, berharap dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, dekat sini.

Ibu Bekerja 5 Tahun Di Griffith

Anak sulung mangsa, Rushaniena Izani, 26, berkata ibunya yang berstatus ibu tunggal, ke Griffith seorang diri pada Februari tahun lalu untuk bekerja di sana.

“Saya dimaklumkan dia bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam. Pada 21 Februari ini genap setahun dia berada di sana.

“Ibu sepatutnya berada di sana selama lima tahun dan akan pulang ke tanah air pada 2024.

“Saya dapat tahu kejadian yang menimpa ibu daripada ibu saudara yang tinggal di Lunas, Kulim. Rakan serumah ibu di sana menghubungi ibu saudara dan memaklumkan kejadian dan difahamkan kereta yang dipandu ibu terbabas sebelum dia tercampak keluar dari tingkap,” katanya.

Berharap Bawa Pulang Jenazah Ibu

Rushaniena berkata, jenazah ibunya kini berada di Hospital Sydney, Australia untuk proses bedah siasat dan dia bersama-sama dua adiknya masing-masing berumur 14 dan 19 tahun berharap jenazah dapat dibawa pulang ke Malaysia.

IKLAN

Katanya, pihak Wisma Putra menghubungi ibu saudaranya kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan bertanya sama ada mahu jenazah ibunya dikebumikan di negara berkenaan atau dibawa pulang ke tanah air yang memerlukan kos sekitar RM50,000.

“Buat masa ini, tiada wakil keluarga yang ke sana. Kami sedang mengumpul dana kerana berharap dapat membawa jenazah ibu pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya.

“Kali terakhir kami berhubung dengan ibu sekitar dua, tiga hari lalu dan ibu bersembang dan gelak seperti biasa,” katanya.

Wanita Kemalangan Di Australia, 3 Beradik Harap Dapat Bawa Pulang Jenazah Ibu
Rushaniena Izani dan dua adiknya, Ridwana Ardini (kiri) dan Rafiq Afif melihat gambar ibu mereka yang maut dalam nahas di Griffith, Australia, semalam.

Sempat Pesan Jagakan 3 Anak

Sementara itu, Rabitah juga sempat berpesan kepada abang iparnya supaya menjaga tiga anak yang ditinggalkan di tanah air. Rabitah Hamed, 49, menghubungi abang iparnya, Mukhti Mat Jusoh, 58, minggu lalu dan berkali-kali berjanji akan pulang selepas lima tahun bekerja di Australia.

Mukhti yang berkahwin dengan kakak keempat mangsa, Zarina Hamed, 55, kehairanan apabila diminta menjaga tiga anak Allahyarham sekiranya apa-apa berlaku.

IKLAN

“Dia juga berjanji membawa saya dan isteri menunaikan umrah apabila pulang ke tanah air. Bagi saya, apa yang dikatakannya itu agak pelik bunyinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sutera Indah, Lunas di sini, hari ini.

Mukhti berkata, isterinya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8 pagi semalam daripada rakan serumah Allahyarham.Katanya, Zarina kemudian menghubunginya bagi memaklumkan mengenai kejadian itu tetapi tidak memberitahu Rabitah meninggal dunia.

“Saya ada masalah jantung, jadi isteri sembunyikan berita itu tetapi saya dapat agak adik ipar saya sudah tiada,” katanya.

Wanita Kemalangan Di Australia, 3 Beradik Harap Dapat Bawa Pulang Jenazah Ibu
Rabetah Hamed,49 wanita Malaysia yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia.

Kos Bawa Pulang Jenazah RM50,000

Sementara itu, Zarina berkata, adiknya bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam sejak 21 Februari tahun lalu dan mengirim wang hampir setiap minggu sebagai belanja.

Katanya, anak bongsu Allahyarham, Rafiq Afif Rusman, 14, tinggal bersama beliau dan suami selepas Rabitah bercerai manakala anak keduanya, Ridwana Ardini, 19, menetap di Padang Serai dan bekerja di kedai runcit.

IKLAN

Beliau berkata, anak sulung Rabitah, Rushaniena Izani, 26, tinggal berasingan kerana sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Dia hubungi kami seminggu sekali dan bercerita bercerita mengenai kehidupan di sana, dengan siapa dia berkawan dan apa masakan yang dimasak rakan serumah.

“Saya harap jenazah adik dapat dibawa pulang untuk dikebumi di sini,” katanya dan memaklumkan kos membawa pulang jenazah ialah RM50,000 seperti dimaklumkan wakil Wisma Putra.

Baca Lagi Di Sini:
Wanita Ini Dedah Hakikat Sebenar, 3 Tahun Pengalaman Menjadi Pekerja Ladang Di Australia

Rezeki Berbakti Pada Tanah, Ibu Anak 4 Ini Jual Kerepek Sampai Australia

MW: Salam takziah buat keluarga wanita ini. Semoga diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan untuk membawa pulang jenazah wanita untuk dikebumikan di tanah air.

Sumber: Bharian, Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI