Bertuah punya anak, inilah ayat yang paling sesuai untuk mak ayah bila marah anak. nakal, degil atau tak dengar kata sekalipun sebut dan sumpahlah dengan kata-kata ini.
Begitulah, anak-anak yang tengah nak membesar, ada masanya buat kita sebagai mak ayah marah, sakit hati dan sebagainya. Waktu itu, mulalah keluar perkataan yang tak sepatutnya.
Jangan cepat sumpah anak dengan perkataan yang tidak elok. Apa yang keluar dari mulut mak itu doa. Jadi, sebutlah bertuah punya anak. Mudah-mudahan dengan perkataan ini termakbullah, jadi anak yang bertuah.
Antara perkongsian daripada Ustaz Irwan Zahuri supaya mak-mak menjaga percakapan bila marah anak dan sebutlah perkataan yang baik-baik.
Bila marah anak, jangan sampai terkeluar perkataan yang anda tak mahu ia terjadi pada anak.
Sebut perkataan yang elok walau nadanya mungkin ‘high pitch’. Mak-mak pun kadang-kadang emosional juga kan. Cuma, tolonglah jaga perkataan yang terkeluar dari mulut kita.
Sebaik-baiknya, kalau marah anak, terus sumpah mereka dengan doa. Secara psikologi pun apabila anak tu dengar doa untuknya jadi motivasi untuk dia berubah jadi baik Insya ALLAH.
Contohnya, kalau anak masih sekolah lagi dan aktif menyepahkan rumah, bila nampak rumah sepah aje doa kuat-kuat.
Ads
Ya ALLAH Ya Tuhanku, jadikanlah anak-anakku orang yang mendengar kata ibunya, suka mengemas rumah dan jadikanlah anak-anakku orang yang menyimpan mainan selepas menggunakannya.
Bunyi macam sambil doa sambil menyindir. Tapi daripada kita tersebut perkataan negatif, lebih baik kita mengajar, meluah perasaan dalam doa yang baik di hadapan mereka.
Yang paling kerap mak-mak sebut, bertuah punya anak!!!
Ok la tu. Mudah-mudahan bertuah betul la anak tu. Insya ALLAH.
Mak Jaga Perkataan
Kenapa perlu jaga perkataan mak-mak? Sebab doa ibubapa kepada anaknya merupakan salah satu bentuk doa yang mustajab.
Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa NABI SAW bersabda:
Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya. [Riwayat Ibn Majah (3862)]
Doa di bawah ni kalau belum kahwin dah boleh baca, mudah-mudahan dikurniakan pasangan yang baik dan anak yang menyejukkan hati.
Bagi yang dah kahwin sedang menanti cahaya mata pun boleh baca dan untuk yang ada anak kecil sampai dah besar pun perlu baca.
Kalau dah jadi atuk nenek pun perlu baca. Mudah-mudahan anak cucu dan keturunannya termasuk dalam golongan orang yang soleh solehah.
Rabbana hablana min azwaajina wa dzurriyyatina qurrata a’yuniw waj’alna lil muttaqiena imaamaa.
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (QS Al Furqan ayat 74).
Kita cuba amalkan selepas solat fardhu ya Insya ALLAH.
Mingguan Wanita : Marah sekalipun pada anak, doakan yang baik-baik untuk dia.
Anak sekolah asrama atau sekolah biasa. Mana satu yang mak ayah inginkan. Mungkin ada sesetengah mak ayah, nak lihat anak depan mata dan tak perlu jauh-jauh pun.
Tapi ada juga mak ayah yang lebih suka anak sekolah asrama dan dapat fokus pada pelajaran. Ada masa untuk belajar dan sekolah asrama penuh mestilah bersama dengan pelajar-pelajar yang pandai-pandai dan hebat.
Namun, jangan cepat menilai anak sekolah asrama dengan sekolah harian mempunyai intelektual yang berbeza. Sebenarnya dua-dua sekolah boleh berjaya, asalkan anak ada motivasi untuk terus berjaya.
Ikuti perkongsian Sri A’jilah tentang sekolah asrama dengan harian. Usha terlalu memaksa anak untuk belajar sekolah asrama. Tengok pada tahap kewibawaan anak itu sendiri.
Beberapa bulan lepas, adik bongsu saya yang kini tingkatan 4 di MRSM ada minta nak pindah sekolah menengah harian.
Biasanya orang akan pujuk supaya jangan keluar sekolah sebab bukan senang nak masuk MRSM.
Tapi, keluarga saya tidak.
Nak keluar, boleh. Tapi fikir masak-masak, jangan menyesal di kemudian hari.
Saya pula, lagi ekstrem. Siap tanya
Hala tuju lepas habis sekolah. Kalau sekolah harian, boleh disiplin ke bangun pagi tanpa mak kejut? Solat tanpa disuruh? Kalau sekolah asrama ada prep petang dan malam, kalau duduk rumah dia nak buat apa?
Kalau adik saya jawab, dia nak belajar skil kemahiran contohnya belajar main piano, belajar buat kek atau belajar buat coding. Lepas itu, boleh disiplin seperti di sekolah asrama. Pasti saya cakap,
“Ok, baguslah keluar”.
Tapi kalau waktu cuti balik rumah, tidur lambat, bangun pun mak kena kejut, bilik pun mak yang kemas atau kerja rumah pun tak buat. Masa terluang banyak main game, lebih baik duduk asrama sahaja.
Saya minta adik saya fikir masak-masak. Yang sekolahnya dia, bukan kami. Tiba-tiba adik saya kata tak jadi keluar asrama.
Rupa-rupanya, adik saya stress dengan exam IGCSE risau tak sempat ulang kaji. Yuran mahal, kalau tak dapat cemerlang macam buang masa ambil exam itu. Lebih baik fokus subjek SPM terus.
Mak ayah saya turutkan sahaja kehendak adik saya, sebab dia lebih tahu kemampuannya sendiri.
Saya juga ada 2 orang adik lelaki lain yang Sekolah Rendah Kebangsaan Cina sejak tadika, dengan harapan mereka pandai berbahasa cina.
Ketika seorang adik saya darjah 6, dia beritahu mak ayah nak pindah sekolah kebangsaan biasa. Katanya risau tak dapat 7A UPSR, lagipun kadang-kadang cikgu ajar subjek sains dan matematik dalam bahasa cina. Mungkin susah untuk adik saya faham di dalam kelas. Saya pula memang batu api sikit suka cabar adik saya kalahkan keputusan UPSR saya 4A (je pun).
Mak saya turutkan permintaan adik saya, tapi adik saya kena janji kena belajar sungguh-sungguh. Semangat betul mak saya naik turun PPD nak uruskan sekolah anak-anak. Padahal 6 bulan sahaja lagi UPSR. Daripada nombor corot, terus jadi pelajar terbaik sekolah. Akhirnya, dapat juga 5A UPSR, tingkatan 1 hingga 5 belajar di MRSM.
Pilihan sekolah di MRSM juga adalah pilihan adik saya sendiri.
Cuba bayangkan kalau mak ayah saya tak bertegas tak beri adik saya pindah sekolah. Pasti sampai kesudah adik saya cakap,
“Itulah, dulu Aman nak pindah sekolah biasa tak bagi”
Pendapat saya, sekolah hanyalah sekolah iaitu tempat belajar. Mana-mana pun sama, yang penting individu itu sendiri. Tidak perlu terlalu taksub dengan label sekolah. Terpulang pada anak itu sendiri.
Setiap mak ayah mahukan yang terbaik untuk anaknya, tetapi dalam masa yang sama kita perlu juga mendengar keluhan anak. Ajar juga anak fikir secara rasional kebaikan keburukan sesuatu perkara.
Kena Ada Motivasi
Baru-baru ini viral tentang adik Akmal Hazim, software engineer berumur 17 tahun. Sebelum ini pernah belajar di MRSM Bentong pada Feb 2018 hingga Mac 2019. 1 tahun sahaja belajar di MRSM, mungkin kerana mahu fokus kerjaya beliau juga.
Saya pasti kalau beliau kekal sekolah berasrama, terikat dengan prep pagi dan petang dan larangan bawa telefon bimbit dan komputer, pasti susah untuk beliau capai ke tahap ini.
Sekolah mana-mana pun boleh berjaya, yang penting anak ada “intrinsic motivation” (motivasi dalaman) untuk belajar dalam apa-apa bidang yang dia mahu.
Saya juga ada pengalaman keluar asrama semasa 3 bulan sebelum SPM sebab ada masalah elergi makanan, entahlah waktu itu tiba-tiba elergi makan ayam.
Penyudahnya menyesal keluar asrama sebab susah nak disiplin belajar di rumah. Belajar sekejap, tengok TV, pantang mak ayah keluar mesti saya nak ikut. Sudahnya keputusan SPM saya tak capai target yang saya mahu.
Nasib ada peluang lagi nak tebus kesilapan masa SPM, saya belajar “gila-gila” masa matrik. Alhamdulillah dapat ambil bidang yang saya mahu, terapi cara kerja.
Sebab itu, sekolah berasrama atau sekolah harian memang sangat bergantung kepada anak itu sendiri.
Kalau anak jenis susah nak disiplin diri untuk belajar macam saya, baiklah masuk asrama.
Kalau anak jenis cemerlang walaupun di sekolah harian, boleh disiplin dan dalam masa yang sama ada target lain yang dia mahu capai, contohnya minat buat kek, jahitan, muzik, melukis atau coding macam adik Akmal Hazim. Eloklah ikut kehendak anak.
Lepas itu kena juga lihat kesediaan anak untuk berjauhan dengan keluarga. Kalau tingkatan 1 anak tak bersedia, eloklah tunggu tingkatan 4 nanti baru masuk asrama.
Sekadar pendapat tentang sekolah asrama dan sekolah harian.
Apa pendapat mak ayah lain?
Mingguan Wanita : Bila fikirkan, kalau anak sekolah biasa, balik sekolah dengan gajetnya…takut pelajaran entah ke mana. Tapi kalau sekolah asrama bolehlah lupa gajet-gajet ni, dapat pun time cuti sekolah.
Tahniah buat anda yang masuk 40 tahun. Masih diberi peluang untuk teruskan kehidupan bersama keluarga tercinta dan jalani waktu-waktu dengan tenang dan bahagia.
Boleh dikatakan bila masuk 40 tahun, semuanya sudah stabil dan tak perlu nak fikir apa-apa. Hakikatnya, tidak semua begitu. Ada yang baru kehidupan bermula dan tak mustahil ada yang masih tak tahu hala tuju.
Namun, apa yang dinasihatkan oleh Ustaz Ahmad Dasuki ini, harus dijadikan panduan untuk kita bersama. Lalui umur 40 an ini dengan mendekatkan diri kepada Allah. Tak perlulah nak kejar dunia.
1. Lipat tilam dan bantal yang selesa, hidupkan malam dengan amal.
2. Ingat kembali usia yg telah dilalui, hitung masa yang banyak terbuang
Jangan banyak rehat dan hiburan yang melekakan.
Kurangkan pakaian mahal dan makanan sedap
Jangan banyak bersenang kerana kematian semakin hampir.
3. Imam shafie, umur 40 tahun berjalan pakai tongkat supaya ingat diri sedang berjalan ke akhirat.
4. Jika masih tidak berubah ketika masuk 40 tahun, syaitan dah nobat sebagai rakannya untuk ke neraka.
5. Kurangkan fikir hal dunia, kumpul amalan untuk mati.
6. Pada usia ini, tukarkan niat kerja kerana Allah. Fokus urusan dunia untuk mendapat redha Allah.
7. Apa harta yang ada pada umur ini, cukuplah kerana itu saja rezeki yang Allah bagi. Tumpukan perhatian lebih kepada amal, kurangkan pesona kepada duni. Jika tidak terus tertinggal akhirat.
8. Jangan tamak dengan dunia. Ingat dunia bukan lagi milik kita.
9. Kata ulamak, aku dengar setiap pagi ada suara dari langit ke 4 yang berseru- “wahai anak yang berusia 40 tahun, kamu sudah hampir kepada kematian dan wahai anak umur 50 tahun, hitunglah apa yang kamu belum lakukan untuk mati serta wahai anak umur 60 tahun masa kamu sudah tiada..”
10. Doa semasa umur 40 tahun ke atas..wahai Tuhanku tolonglah lapangkan dalam diri aku rasa syukur atas nikmat yang telah kau beri kepada kedua-dua ibu bapaku dan redai mereka.
11. Banyakkan taubat- 70 kali sehari
12. Tingkatkan keyakinan kepada agama -hanya Islam yang jadi pegangan sehingga mati.
13. Jaga hati, bersihkan hati, redha dengan ketentuan dan berbaik sangka dengan Allah.
14. Tingkatkan iman dan ibadah- tingkatkan amalan sunat…solat lebih khusyuk, Solat Awal waktu, sentiasa Solat berjemaah dan laksanakan semua ibadah lebih berkualiti.
15. Amalkan sifat-sifat Mahmudah, jauhi Dan hindari sifat-sifat Mazmumah.
Kredit: Ustaz Ahmad Dusuki
Mingguan Wanita : Hidup ini hanya sementara. Sentiasa berbuat baik.
Bila anak buat salah, terus kena marah. Bukan itu caranya. Tak salah pun untuk mak ayah berlembut dengan anak dahulu sebelum marah tanpa usul periksa.
Kadang-kadang anak nak perhatian dari mak ayah. Mungkin dalam fikiran mak ayah, kalau berlembut dengan anak, nanti dia akan naik ‘minyak’. Tapi ada juga yang tak tahu nak bersopan santun dengan anak sendiri.
Bila dengan orang lain atau luar, boleh pula bersopan santun, lemah lembut. Tapi dengan tidak untuk berlembut dengan anak. Sampaikan anak kecil pun diugut, kalau dia buat perangai di luar rumah.
Sebenarnya, cara kita sebagai mak ayah salah. Kalau anak buat perangai atau salah pun, jangan terus marah, lebih-lebih lagi berada di luar rumah. Ada caranya untuk berlembut dengan anak.
Selesai membeli di salah sebuah gedung membeli belah terkemuka, kami sekeluarga berhenti untuk membeli juadah dari peniaga di kaki lima gedung tersebut.
Sementara menunggu giliran, saya melihat sebuah keluarga yang terdiri dari ibu, ayah dan dua orang anak mereka dari arah kiri saya. Salah seorang anak mereka memegang belon berbentuk (e.g jenis belon yang berbentuk kapal, helicopter atau bola etc) pada talinya. Tali belon tersebut memang agak panjang apatah lagi untuk di pegang oleh anak yang saya yakin tidak lebih besar pun dari usia 6 tahun.
Dalam masa yang sama, dari arah kanan saya, kelihatan sepasang suami isteri muda (atau pasangan kekasih mungkin?) berjalan dengan yang perempuannya sambil ‘bermain’ telefon.
Oleh kerana lorong yang menempatkan kami semua ini agak sempit, dengan orang ramai yang bergerak dari kedua-dua arah, maka tak hairanlah bila belon yang di pegang oleh kanak-kanak tersebut tak sengaja terkena muka perempuan yang berjalan bersama pasangannya itu.
Terus si ayah kepada kanak-kanak tersebut berpaling mengucap ‘sorry’ berulang kali bagi pihak anaknya. Jelas nampak si ayah rasa bersalah.
Pasangan muda tersebut pula membalas dengan senyuman dan sebut ‘tak apa’ beberapa kali sebagai tanda ‘bukan masalah besar’.
Insiden kecil yang saya sangka berakhir di situ rupa-rupanya sekelip mata berubah menjadi drama bila si ayah yang tadinya nampak cukup rendah diri meminta maaf kepada pasangan muda tersebut berpaling kepada anaknya dan mula tinggi suara:
“I told you to wrap the string (tali belon) on your hand!. Tengok, kan dah kena orang? Abah dah cakap tadi pegang elok-elok. Sekarang saya terpaksa ambil sebab dah terkena orang lain.”
Si anak mula menangis bila belonnya ‘dirampas’ si ayah yang terus saja meneruskan perjalanan. Si anak kaku saja berdiri sambil menangis di tempat dia berdiri. Giliran ibu kepada kanak-kanak tersebut pula berpaling kepada anaknya, dan saya pun tak sangka mendengar ayat yang keluar dari mulut si ibu:
“Tak nak ikut sudah. Tinggal kat sini” dan mula berjalan menyusul si suami. Makin kuat jeritan si anak. Setelah beberapa tapak melangkah, si ibu menoleh ke belakang (untuk melihat jika anaknya menuruti langkah mereka) dan bila ternyata anaknya masih kaku menangis di tempatnya, si ibu dengan nada marah sebut, “You want us to leave you here??” (lebih kurang begitu ayatnya). Si anak akhirnya berlari-lari anak mengejar langkah ibu dan ayahnya dalam menangis.
Tiada Siapa Bersalah
Terpaku saya sebentar. Rasa geram tiba-tiba membuak dalam diri. Kerana apa?:
Kerana apa yang ibu dan ayah kepada kanak-kanak itu tidak tahu ialah pasangan lelaki kepada perempuan yang di langgar belon kanak-kanak itu sebenarnya telah pun menarik si perempuan untuk rapat berjalan ke tepi supaya dia yang kusyuk bermain telefon tidak terlanggar sesiapa. Namun kalau mata dah ‘melekat’ di skrin, tak nampak apa yang ada di depan, tentulah tak sempat nak elak cukup segera sebelum dilanggar.
Tambahan pula, kanak-kanak yang memegang belon tersebut tidak di pimpin oleh ibu atau ayahnya kerana si ayah memegang barang-barang dan si ibu pula memimpin si adik. Maka, faham-faham sajalah gaya anak kecil bila berjalan sendiri.
‘Macam ular’: sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.
Maka atas dua sebab ini saya langsung tak rasa si anak kecil tersebut bersalah.
Andai dia benar bersalah pun, apakah sepadan untuk dia di marahi sedemikian rupa?
Senangnya untuk si ayah bermanis muka dan bersopan santun meminta maaf kepada ‘orang asing’ sedangkan sekelip mata berubah menjadi garang kepada anak sendiri tanpa usul periksa.
Apakah wajar untuk si ayah merampas belon anaknya serta-merta?
Adakah si ayah atau ibu ada memberi pilihan atau ingatan kepada anak tersebut
SEBELUM
membenarkan dia berjalan bersama belonnya ke khalayak ramai? . E.g:
“Tali belon ni panjang, abang pula belum cukup tinggi. Jadi, senang nak terlanggar orang ramai atau tiang. Mesti tak best kalau belon cantik ni pecah, kan? Abah atau mama akan tolong pegangkan belon abang ni supaya ia selamat. Abang boleh ambil belon ni semula masa kita dah sampai dalam kereta. Abang nak abah atau mama yang pegangkan belon abang ni?” Atau
“Abah faham abang nak pegang sendiri belon ni sebab belon abang ni memang cantik betul. Tapi ada ramai orang and its not OK kalau belon ni terkena muka orang. Abang boleh cuba pegang belon ni elok-elok. Tapi, kalau dah terkena orang, abah akan ambil belon ni dan tolong abang pegang supaya kita tak sakitkan orang”
…ada?
Paling saya tak gemar ialah bila mendengar mana-mana mak ayah mengugut untuk tinggalkan anak mereka bila si anak ada buat salah. Saya bukan pakar psikologi kanak-kanak dan tak arif nak bercakap panjang tentang hal ini. Tapi setakat yang saya sempat baca dan dengar, saya cukup yakin bahawa perbuatan mengugut atau acah-acah untuk meninggalkan anak sangat tak patut.
Sudahlah menipu anak (mana ada mak ayah yang ugut nak tinggal anak ini akan benar-benar tinggalkan anak mereka. Ramai yang setakat berani cakap saja ), perbuatan tersebut juga bakal kocak emosi anak lebih lagi, terutamanya bila selalu di sebut ketika anak membuat salah atau enggan turut kata ibu ayah.
Tentulah mereka ketakutan atau cemas kerana dah buat silap, perasaan itu kini di tambah pula dengan rasa takut bakal di tinggalkan. Maka tak hairan selalunya amukan atau drama anak jadi lebih besar dari sedia ada.
Ia sampaikan mesej bahawa anak hanya diingini ketika baik dan dia boleh di buang pada bila-bila masa ketika ibu ayah merasa tak gembira dengan mereka atau dengan mana-mana perbuatan mereka.
Sampaikan mesej kepada anak bahawa hubungan mesra dan penuh sayang itu berakhir ketika mereka buat salah. Bahawa mereka bersendirian dan hanya ada diri mereka saja bila keadaan elok bertukar rupa.
Ia buat anak takut untuk terbuat salah , takut nak mengaku salah, takut nak jujur dengan emosi sendiri, takut nak bercakap benar dan takut nak berkongsi masalah kerana takut ditinggalkan oleh orang-orang yang dia percaya dan sayang.
Pilih Untuk Berlembut
Tujuan saya menulis kisah ini walau telah berlalu adalah kerana saya masih tak dapat nak hilangkan imej kejadian tersebut dari dalam minda saya.
Ya kita semua termasuk saya ada dan pernah buat silap dengan anak-anak. Dan kita akan terus terbuat silap dalam langkah kita semasa menjadi ibu bapa mereka.
Namun yang pasti, kita tak mahu kehilangan mereka walau berapa banyak silap langkah yang kita buat dalam usaha menjadi ibubapa terbaik buat mereka.
Maka, pilihlah untuk mudah maafkan anak- anak.
Pilihlah untuk berlemah lembut dengan mereka sebelum memilih untuk berkeras.
Mereka buat silap, sama seperti kita ibubapanya dan orang di sekelilingnya. Maka, mereka layak dihormati walau ketika sedang membuat silap, sama seperti kita mengharap orang melayani kita walau ketika kita terbuat silap.
Mingguan Wanita : Selalu beginilah, mak ayah depan orang boleh berlembut tapi bila dengan anak terus bertukar jadi garang. Maafkan anak, dia masih kecil dan dalam proses pembelajaran.
Usah menambahkan kesedihan kepada ahli keluarga mangsa nahas konvoi RXZ, mereka sedang melalui ujian yang sangat berat. Tragedi ini telah meragut nyawa dan meninggalkan luka yang mendalam kepada banyak keluarga.