
Jangan tunggang agama isu poligami, peguam syarie dedah ada bapa harap pusat tahfiz tanggung nafkah anak.
Poligami bukan sekadar soal menambah isteri sebaliknya datang bersama amanah besar terhadap nafkah dan kebajikan keluarga. Jangan sampai agama dan soal rezeki dijadikan alasan untuk berkahwin lagi sedangkan tanggungjawab terhadap isteri serta anak-anak akhirnya diserahkan kepada pihak lain.
Seorang peguam Syarie, Tuan Fahmi Ramli menasihatkan lelaki agar tidak “menunggang agama” dalam soal poligami sekiranya diri sendiri belum benar-benar berkemampuan memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
Jangan Tunggang Agama Isu Poligami

Perkara itu dibangkitkan selepas beliau berkongsi artikel sebuah portal mengenai sebuah keluarga melibatkan seorang lelaki yang mempunyai empat isteri dan 28 orang anak yang tinggal dalam sebuah rumah.
Menurut Fahmi, keadaan mereka sehingga memerlukan bantuan pejabat zakat bagi membayar rumah sewa kedua kerana beristeri empat.
“Anak-anak semua tidur bergelimpangan. Hairan. Sangat hairan. Anak-anak tak didaftarkan persekolahan sebab nak didaftarkan ke pusat Tahfiz di Kelantan.
“Bagus tu memang bagus, tapi kita tertanya-tanya siapa yang akan tanggung makan minum dan perbelanjaan semua anak-anak tu disana?
Saya pernah bertanya kepada salah seorang bapa yang pernah menghantar anak-anaknya ke Pusat Tahfiz, bagaimana belanja nafkah bagi anak tersebut di sana?
“Dah duduk kat sana, pusat tahfiz tu la tanggung. Makan minum depa semua ada la orang mai bagi sedekah. Depa masak la sendiri.”

Ada Bapa Harap Tahfiz Tanggung Nafkah Anak
Kes yang pernah dikendalikan Fahmi itu juga melibatkan seorang lelaki berpoligami. Menurutnya, hanya pernikahan pertama melalui proses undang-undang manakala isteri kedua dan ketiga dinikahi di sempadan Siam.
Malah, ada anak yang tidak mempunyai sijil kelahiran sah dan dihantar ke pusat pengajian tahfiz serta membesar dengan bantuan.
Dalam masa sama, nafkah isteri-isteri termasuk makan minum dan tempat tinggal juga kadangkala tidak terurus sehingga terpaksa mengharapkan bantuan serta ihsan orang lain setiap bulan.
Apabila ditanya mengapa mahu berpoligami sekiranya tahu diri tidak mampu, jawapannya:
“Percaya pada rezeki Allah. Anak-anak ramai lagi banyak rezeki.”
“Nafkah Bukan Tanggungjawab Allah Tapi Lelaki…
Menurut Fahmi, memang benar rezeki merupakan milik Allah SWT. Namun, kepercayaan terhadap rezeki tidak bermakna seseorang boleh mengabaikan usaha dan tanggungjawab yang perlu dipikul.
“Nak jemput rezeki datang, bukan sekadar dengan berdoa.”
Tegasnya, lelaki yang mahu berpoligami perlu benar-benar mempunyai kemampuan kewangan kerana makan minum, pakaian dan tempat tinggal semuanya memerlukan perbelanjaan.
“Nafkah ni bukan tanggungjawab Allah. Tapi, tanggungjawab lelaki yang nak berkahwin.”
Selain kemampuan kewangan, peguam ini turut menekankan soal keadilan terhadap isteri dan anak-anak termasuk dari segi layanan, percakapan serta pembahagian giliran bermalam.
Anda mungkin berminat dengan
Perkahwinan baharu juga tidak seharusnya mendatangkan kemudaratan kepada isteri sedia ada, terutama jika nafkah keluarga yang ada pun masih belum mampu ditunaikan dengan baik.
Jangan Jadikan Agama Alasan
Fahmi turut menyentuh alasan mahu ‘mengikut sunnah’ yang sering digunakan apabila berbicara mengenai poligami.
Menurutnya, jika benar mahu mengikuti sunnah Rasulullah SAW, terdapat banyak lagi sunnah lain yang boleh diamalkan. Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW berpoligami selepas kewafatan Saidatina Khadijah RA.
Begitu juga apabila menggunakan alasan bahawa al-Quran membenarkan poligami. Fahmi merujuk Surah An-Nisa ayat 3 yang membenarkan lelaki berkahwin dua, tiga atau empat, namun pada masa sama turut menekankan soal keadilan. Jika khuatir tidak mampu berlaku adil, maka cukuplah dengan seorang isteri.

Fahmi menegaskan beliau tidak menentang poligami kerana ia sememangnya dibenarkan dalam Islam. Namun, agama tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk memenuhi kehendak sendiri sedangkan amanah terhadap keluarga diabaikan.
“Hentikanlah menggunakan Islam untuk melepaskan nafsu serakah semata-mata sedangkan Islam menyarankan poligami untuk lelaki itu faham erti tanggungjawab.”
Poligami bukan sekadar tentang kemampuan menambah isteri, tetapi kemampuan menambah amanah. Percaya kepada rezeki Allah itu wajib, namun nafkah isteri dan anak-anak tetap tanggungjawab yang perlu diusahakan dan ditunaikan oleh seorang suami serta bapa, bukan diserahkan kepada ihsan orang lain. Sumber: Perkongsian Tuan Fahmi Ramli, Peguam Syarie
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

