Sudah sampai masanya, sembilan beranak meninggal dunia selepas makan mi yang disimpan lama dalam peti sejuk. Kejadian yang berlaku di China ini meragut nyawa setelah beberapa hari mereka menikmati hidangan mi ini.
Sebuah keluarga di Jixi, China, meninggal dunia selepas makan sejenis mi tempatan yang terkenal. Di China, mi merupakan menu yang popular dan sering dimakan ketika majlis-majlis keraian.
Namun, di Jixi, China, satu keluarga yang terdiri daripada sembilan anak beranak telah meninggal dunia pada 10 Oktober yang lepas setelah makan mi jenama Suantangzi.
Memetik laporan Mirror UK, sembilan ahli keluarga itu disahkan meninggal dunia setelah makan mi jenis Suantangzi, sejenis mi yang terkenal di China. Ketika kejadian, mereka sekeluarga dipercayai memakan mi tersebut yang telah lama ditinggalkan di peti sejuk.
Mi tersebut dikatakan sudah tercemar dengan Bongkrek Acid kerana telah lama disimpan. Tujuh mangsa meninggal dunia terlebih dahulu, iaitu lima hari selepas memakan mi tersebut.
IKLAN
Kemudian, diikuti dua ahli keluarga yang lain. Hasil siasatan, pihak berkuasa tempatan mendapati, mi tersebut dibuat daripada tepung jagung yang diperam yang menyebabkan wujudnya Bongkrek Acid yang meracuni mereka sekeluarga.
Tiga kanak-kanak yang turut merupakan ahli keluarga ini bernasib baik kerana tidak memakan mi tersebut ketika kejadian.
Bongkrek Acid Boleh Sebabkan Kematian
Sementara itu, Pengarah Keselamatan Makanan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Heilongjiang, Gao Fei, berkata Bongkrek Acid boleh menyebabkan seseorang itu maut.
IKLAN
Katanya, kematian boleh berlaku dalam tempoh 24 jam dan mangsa akan mengalami beberapa simptom seperti sakit perut, berpeluh dan seterusnya koma.
Tambahnya lagi, Bongkrek Acid ini juga boleh memberi kesan yang serius terhadap organ manusia seperti hati, ginjal, jantung dan otak.- Mirror UK
MW: Kadang-kadang dek kerana tidak mahu berlakunya pembaziran, ada segelitir mak, ayah sanggup menelan makanan yang telah disimpan lama dalam peti sejuk. Berhati-hati iya selepas ini, tak semua makanan mampu bertahan lama walaupun di simpan dalam peti sejuk.
Sumber: sinarplus
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Peniaga tauhu ini tak pernah menyangka bahawa ujian jatuh dalam petak sawah bersama tauhu-tauhu yang bakal dijual rupanya bakal mengubah persepsinya pada ujian tuhan. Kadangkala apabila Allah menguji dengan kesusahan, keluhan semakin berat. Terasa tidak sanggup mahu menghadapinya. Sedih.. kenapakah aku diuji sebegini sukar.
Ambil ikhtibar dari kisah yang dikongsikan oleh Puan Eina Ibrahim ini. Bagaimana Allah sentiasan menyantuni hambaNya dengan penuh kasih sayang dan tidak sesekali menyusahkan hambaNya.
Sebab itu kena selalu ingatkan diri agar ‘Sentiasa Bersangka Baik Dengan Allah’
Cerita Peniaga Tauhu Yang Alim
Sedih baca kisah ni. Terus rasa nak baca Al Waqiah.
Ada seorang peniaga tauhu yang setiap hari dia pergi jual tauhunya di pasar. Untuk sampai pasar, dia kena naik kenderaan awam.
Untuk sampai ke jalan raya, dia perlu melalui padang sawah.
Setiap pagi dia selalu berdoa kepada Allah supaya tauhunya semua habis dijual.
Begitulah setiap hari, sebelum berangkat dia berdoa terlebih dahulu dan pulang sebelah petang. Barang dagangannya selalu habis dijual.
Satu hari tu, semasa dia lalu di sawah nak menuju ke jalan raya untuk naik kenderaan awam, tiba-tiba dia terjatuh ke dalam sawah tersebut.
Habis semua tauhunya jatuh ke sawah, hancur dan berselerak. Bukan saja keuntungan, modal pun habis.
Dia mengeluh kepada Allah, bahkan menyalahkan Tuhan, mengapa dia diberi ujian sampai macam ni sekali? Padahal dia selalu berdoa dan solat setiap pagi.
Akhirnya dia pun pulang tidak jadi berniaga hari itu.
Tapi dua jam kemudian dia mendengar khabar, bahawa kenderaan yang selalu dinaikinya setiap hari pada pagi itu telah jatuh ke dalam gaung. Semua penumpangnya terkorban! Hanya dia satu-satunya bakal penumpang yang selamat, semua adalah disebabkan tauhunya jatuh ke sawah, sehingga ia tidak jadi untuk berniaga pada hari itu malah membawa semua tauhu-tauhunya yang sudah rosak dan penyek pulang ke rumah.
Tetapi pada sebelah petang, ada seorang penternak itik telah mencari dia dan hendak membeli tauhu untuk makanan itik tetapi yang anehnya penternak itik itu mencari tauhu yang rosak/hancur kerana ia hanya untuk dicampurkan dan dimakan oleh itik sahaja. Terus peniaga itu menangis kerana tauhunya yang rosak hendak dibeli semuanya oleh penternak itik itu.
PENGAJARAN
Doa tidak semestinya dimakbulkan sesuai dengan permintaan, tapi ia diganti oleh Allah dengan sesuatu yang jauh lebih baik dari yang diminta.
Allah Maha Mengetahui keperluan kita jika dibandingkan dengan diri kita sendiri.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan manusia tidak mengetahui” (Al Baqarah ayat 216).
“Jika Tuhan menjawab doamu, Ia sedang menambahkan imanmu. Jika Ia menundanya, Ia sedang menambahkan kesabaranmu. Jika Dia tidak menjawab doamu, Dia sedang mempersiapkan yang terbaik untukmu.”
Semoga hari ini dan hari hari seterusnya kita semua selalu dalam lindungan serta keberkahanNya.
Siapa Yang Baca Sampai Habis. Ucaplah *Alhmdulillah* kerana janji ALLAH itu pasti.
Sumber/Foto: Puan Eina Ibrahim via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berat sekali ujian keluarga Norhayati Saad, 41 dan suaminya, Mat Yusop. Dalam kegawatan ekonomi, dan anak kelima, Auni alami cerebral palsy serta perlu membesarkan 5 anak yang lain, ibu bapa ini sanggup berbuat apa saja.
Kelahiran Auni Zakirah dinanti dengan penuh harapan oleh ibu dan ayahnya. Diharapkan kelahiran anak kelima mereka ini dapat lagi memeriahkan keluarga yang menanti.
Norhayati dan Mat Yusop tak pernah menyangka Auni akan menjadi insan paling istimewa dalam kehidupan mereka. Kini dalam usia 8 tahun, Auni, anak istimewa di kalangan anak-anak mereka seramai 6 orang. Auni berbeza dan perlukan sepenuh perhatian.
Hujan turun dengan lebatnya sewaktu penulis melawat keluarga ini di kedai kecil tempat mereka mencari rezeki di Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Bunyi dentuman guruh di langit yang cukup kuat menakutkan sesiapa saja terutama anak kecil. Tapi berbeza sekali dengan Auni. Dia akan tersenyum dan ketawa merai bunyian guruh. Sedikitpun tak ada perasaan takut dalam diri.
“Berbeza sungguh dengan adik bongsunya Amani yang takut dengar guruh. Auni memang suka dengar bunyi-bunyi. Semakin kuat semakin dia suka.”
Auni Tak Boleh Duduk Sendiri
Melihatkan wajah suci Auni, sudah pasti ramai yang akan berasa sayu. Wajah tanpa sepalit dosa ini memang tidak mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya.
Tatkala rakan sebayanya sudah mula bersekolah dan bermain sesama sendiri, Auni hanya mampu berbaring di atas tilam.
Ibunya redha dengan ketentuan Ilahi. Dia sedar takat kemampuan anaknya ini. Selagi nyawa dikandung badan, dia akan berusaha memberi yang terbaik buat Auni. Azam yang sama turut dipegang oleh Mat Yusop.
“Kami perlu kuatkan semangat demi anak-anak. Kehadiran Auni ini membuatkan kami lagi sabar dan kuat semangat. Anak istimewa ini banyak menguji kesabaran. Bila ada orang bagi pandangan negatif kami buat tidak tahu sahaja.
“Mulanya kami tidak tahu jenis penyakit Auni, Nak beri rawatan macam mana pun tak tahu. Sedikit demi sedikit kami belajar sampai boleh lalui bermacam cabaran.”
Dari Awal Kehamilan Dah Lalui Bermacam Masalah
Menurut doktor Auni mengalami masalah Hemimegoloencephaly dan Hypomelanoris of Hito. Atau dalam bahasa mudahnya, Auni mengalami masalah kesihatan yang dikenali sebagai cerebral palsy.
Cerebral palsy adalah gangguan gerakan, otot atau postur yang disebabkan oleh cedera atau perkembangan abnormal di otak, paling sering terjadi sebelum kelahiran.
Mengimbas semula permulaan perjalanan kehidupan Auni, menurut Norhayati, memang banyak masalah yang dialaminya sewaktu mengandungkan Auni.
“Dari awal kehamilan saya ada mengalami pendarahan, dan leaking. Masa dilahirkan pun, dia lemas. Tetapi pada masa itu doktor kata semua ok. Namun selepas dilahirkan dia terus dimasukkan ke dalam inkubator.
“Hari kedua, doktor beritahu anak saya ada sawan. Bermula dari situ, kami buat follow up sehinggalah umur Auni tiga bulan. Kemudian barulah doktor merujuk kes di hospital kerana ketika itu hospital swasta ini tidak dapat melakukan sebarang rawatan lanjut.
“Setelah diberi ubat, sawan yang dialami oleh Auni tetap tidak berkurangan. Sewaktu di hospital doktor mencadangkan pembedahan. Sawannya teruk sangat dan doktor telah mencuba sembilan jenis ubat namun tidak ada tindak balas yang berkesan.
“Sawan Auni amat kerap. Kadang-kadang dua minit sekali. Sehari dalam 40 hingga 50 kali sawan itu dikesan daripada EEG yang ditunjuk oleh doktor. Masa itu umur Auni tiga bulan.
“Bila dia sawan, ada komplikasi lain. Doktor cadangkan pembedahan tetapi kami tak sanggup kerana dia masih kecil ketika itu.
“Kami berulang-alik ke hospital sampai usia Auni tiga tahun. Masa itu kami sudah menyerah sahaja pada doktor kerana sudah cuba macam-macam. Akhirnya kami berserah pada doktor dan membenarkan pembedahan dilakukan ketika dia berumur tiga tahun.”
Refinance Rumah Demi Nyawa Anak
Waktu itu Auni perlu menjalani pembedahan pada otak kanan untuk hentikan sawannya. Norhayati dan suaminya perlu menyediakan RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan.
Pembedahan pula perlu dilakukan di hospital swasta kerana pada masa itu tidak ada pakar saraf kanak-kanak di hospital kerajaan.
Demi anak, mereka terpaksa refinance rumah bagi mendapatkan wang untuk membayar kos pembedahan tersebut.
Selepas pembedahan perubahan dan perkembangan yang positif dilalui Auni. Sawannya telah berhenti. Norhayati bersyukur pembedahan itu berjaya.
“Sebelum itu, Auni tidak boleh meniarap mahupun berguling. Setahun selepas pembedahan barulah dia boleh meniarap dan berguling. Kami juga membawa Auni menjalani terapi saraf bagi melancarkan perjalanan oksigen dan darah.
“Banyak perubahan yang berlaku padanya. Sebelum rawatan terapi dijalankan Auni makan melalui tiub yang dipasang di perutnya. Selepas itu, dia cabut tiub itu kerana tidak selesa. Bermula dari saat itu Auni mula makan seperti biasa,” cerita Norhayati.
Walau Gawat Tetap Kena Jual Roti & Burger
Bukan Auni sahaja yang perlu diberi perhatian. Mereka ada lima orang anak lain yang perlu dibesarkan.
Sejak dua tahun lalu, pasangan suami-isteri ini telah membuka sebuah kedai fotostat dan kedai roti di Desa Mentari 3. Ini lokasi baru setelah berpindah dari lokasi lama yang terletak di Shah Alam.
Pelaksanaan GST, menjejaskan bisnesnya. Biarpun pelanggan makin berkurangan, mereka tak berputus asa.
Setiap hari selain mengharapkan masyarakat setempat menggunakan khidmat fotostat, mereka akan menjual roti dan burger berwarna.
Setiap petang Mat Yusop akan menjual burger di hadapan kedai. Roti burger dibuat sendiri oleh Norhayati.
Norhayati juga boleh membuat pelbagai jenis roti lain. Setiap kali menerima tempahan, Norhayati akan mula membakar roti pada malam hari sehinggalah siap keesokan harinya.
Bagi mereka yang ingin merasa burger dan roti jualan Norhayati bolehlah melawat ke kedai beralamat 11-G-68, Blok 11, Jalan PJS 2D/1, Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Foto: Nor Yanti Saharuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan wanita perlu lebih berhati-hati dengan keselamatan diri kerana ancaman bahaya berada dimana-mana.Baru-baru ini viral rakaman CCTV seorang wanita dibelasah sebelum disamun oleh seorang lelaki di dalam sebuah lif di Stesen MRT. Cukup menakutkan, dibelasah tanpa perasaan simpati!
Sebenarnya dalam situasi yang boleh mengundang bahaya wanita perlu mengambil langkah lebih bijak yang boleh menyelamatkan diri.
Berikut antara tindakan yang boleh dilakukan mengikut situasi;
1. Apa patut seorang wanita lakukan jika dia berseorangan dengan seorang lelaki asing ketika dia masuk ke dalam lif pada waktu lewat malam di sebuah bangunan tinggi?
Saranan Pakar: Masuk ke dalam lif, sekiranya mahu ke tingkat 13, tekan semua butang setiap tingkat hingga ke tingkat yang hendak pergi. Tidak ada siapa berani menyerang anda jika lif itu berhenti di setiap tingkat.
2. Apa perlu dilakukan jika seseorang asing cuba menyerang ketika berseorangan di rumah?
Saranan Pakar: Larilah ke dapur, kerana diri sendiri tahu dimana letaknya serbuk cili dan kunyit disimpan dan dimana simpannya pisau dan pinggan mangkuk.
Semua ini boleh menjadi senjata yang membahayakan. Jika tidak ada senjata lain, baling saja pinggan mangkuk kearahnya.Tak mengapa pecah. Jerit! ingatlah bunyi bising adalah musuh utama penceroboh. Dia tidak mahu ditangkap.
3. Apa yang perlu dilakukan jika terpaksa menaiki kenderaan atau teksi pada waktu malam?
Saranan Pakar: Sebelum menaiki teksi pada waktu malam, tulis maklumat nombor teksi dan buat panggilan kepada keluarga atau kenalan, dan maklumkan maklumat teksi itu dengan lengkap dalam bahasa yang difahami oleh pemandu teksi.
Walaupun tidak ada jawapan kepada panggilan anda, berpura-pura anda sedang berbual dengan ahli keluarga anda.Sekarang pemandu itu tahu maklumat mengenainya diketahui oleh orang lain. Dia sangat bermasalah jika cuba berbuat tidak baik.
4. Apa perlu dibuat jika pemandu itu membawa anda ke arah lain, dan anda merasai diri anda dalam bahaya?
Saranan Pakar: Guna tali pada bag tangan atau sesuatu tali untuk menjerut leher pemandu dan sentap kuat tarik ke belakang sekuat hati. Dalam masa singkat dia akan tersedak dan tidak bermaya.
Jika tidak ada tali bag dan sebagainya, tarik kolar bajunya ke belakang, butang bajunya akan melakukan muslihat yang sama.
5. Apa yang perlu dilakukan jika anda diekori pada waktu malam?
Saranan Pakar: Masuk ke mana-mana rumah atau kedai yang terbuka dan jelaskan keresahan anda kepada pemilik rumah atau kedai.Jika kedai tutup, carilah tempat ATM kerana di situ ada CCTV. Orang yang cuba menggangu mungkin tidak berani, kerana tidak mahu dikenali.
Bagaimana pun, tidak panik dan berwaspada, adalah senjata yang terbaik yang boleh dimiliki. Ia membuatkan diri lebih tenanng dan dapat berfikir dengan rasional, tindakan wajar paling tepat boleh dilakukan ketika menghadapi situasi kecemasan yang boleh membahayakan keselamatan ini.
Sila sebarkan maklumat ini kepada wanita (ibu, kekasih, isteri, adik perempuan, kakak dan kenalan) yang anda ambil berat mengenai keselamatan mereka.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan pesanan ini menjadi peringatan penting buat setiap wanita.
Nahas tragedi helikopter TLDM, lelaki buat hantaran jelik didenda RM23,000. Gara-gara menghina nahas tragedi dua helikopter bertembung di udara dua hari lalu, seorang peniaga...