Gara-gara terlalu sayangkan kereta yang baru dibeli, seorang bapa sanggup mengeraskan hati dan tidak mahu beralah pabila semua orang mendesak dia untuk pecahkan cermin kereta.
Inilah jadinya apabila kereta lebih bernilai, seorang bapa enggan pecahkan tingkap kereta untuk selamatkan nyawa anaknya sendiri.
Telah dilaporkan seorang bapa di Las Vegas ditangkap selepas dia enggan memecahkan tingkap kereta baharunya bagi menyelamatkan bayi perempuannya berusia setahun yang kemudian meninggal dunia di dalam kenderaan itu, kata pihak berkuasa.
Menolak Bila Disuruh Pecahkan Cermin Kereta
Menurut akhbar New York Post yang memetik Las Vegas Sun semalam, bapa itu, Sidney Deal, 27, mendapatkan bantuan daripada beberapa pegawai polis.
Selepas dia meninggalkan anaknya itu, Sayah Deal di dalam kereta pada waktu tengah hari dalam keadaan cuaca panas dengan kunci kenderaan tersebut berada di dalamnya.
Bagaimanapun, pegawai polis mahu tingkap cerminnya dipecah, memanggil trak tunda atau mendapatkan pertolongan daripada seorang tukang kunci tetapi ditolak oleh Deal yang kemudian menghubungi seorang saudara kandung lelakinya, kata polis.
Sumber: Internet
Halang Saudara Lelaki Pecahkan Cermin
Saudara kandung lelaki itu menyatakan dia menerima panggilan daripadanya dan menyatakan dia secara tidak sengaja mengunci Sayah di dalam kereta yang didakwa Deal bahawa alat penyaman udaranya sedang berfungsi, lapor stesen berita KVVU.
Stesen berita itu melaporkan, Deal juga menghalang saudara lelakinya itu daripada memecahkan tingkap berhampiran Lebuh Martin Luther King.
Dia menghalang kerana tidak mempunyai wang untuk memperbaiki tingkap tersebut dan meminta dia menghubungi ibu mereka bagi meminta syarikat insurans menghantar seorang tukang kunci.
Kekasih Deal juga memberitahu polis bahawa dia menghubungi sebuah syarikat insurans tersebut tetapi teman lelakinya itu tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan bagi penghantaran sebuah trak tunda, lapor Leas Vegas Sun.
Bagaimanapun, pegawai polis kemudian bertindak memecahkan cermin tingkap kereta itu dan membawa keluar bayi perempuan tersebut yang didapati meninggal dunia di tempat kejadian, kata polis.
Pihak berkuasa menyatakan, Sayah dipercayai terperangkap di dalam kereta itu lebih satu jam.
Deal kemudian ditahan di Pusat Tahanan Daerah Clark atas dakwaan penderaan atau memudaratkan bayi, lapor akhbar tersebut. Dia ditahan dengan bon jaminan sebanyak AS$20,000 (RM83,110). – Agensi
MW: Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua. Nyawa anak adalah lebih penting daripada segala-galanya kerana ia tak mampu Dibeli dengan wang ringgit. Gunakan akal sebaiknya sebelum bertindak, bimbang menyesal di kemudian hari.
Bukan mudah untuk meraih PHD dalam keadaan diri yang sarat hamil, menguruskan anak-anak, kerjaya dan rumahtangga. Semuanya memerlukan komitmen dan keazaman yang tinggi, serta kerjasama yang tak berbelah bahagi daripada suami tersayang.
Jika masih ingat dengan watak Anna Althafunnisa dalam filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang dilakonkan oleh Oki Sentiana Dewi, 31, Pelakon dan Pendakwah terkenal dari seberang Indonesia ini berkongsi berita gembira, berjaya menggengam ijazah dalam Doktor Falsafah (PHD), pada 23 Oktober baru-baru ini. Lebih istimewa, berita gembira tersebut turut diraikan dalam keadaan diri yang sedang sarat hamil 8 bulan.
Ternyata kejayaan tersebut bukan dalam tempoh yang singkat. Disamping pelbagai komitmen yang ada, 4 tahun pendakwah ini bertungkus lumus menyiapkan kajian dan penulisan Tesis PhD yang bertajuk “Pengajian Selebriti Hijrah Kelas Menengah Muslim (2000-2019): Respons atas Dakwah Salafi dan Jamaah Tabligh”.Sekaligus berjaya menjadi Doktor ke-1225 Sekolah Pascasarjana UIN Syarif Hidayatullah Jakarta.
Ustazah Dr Oki Setiana Dewi berkahwin dengan Ory Vitrio pada 2013. Setelah 7 tahun mendirikan rumahtangga pasangan ini dikurniakan 3 cahaya mata, Maryam Nusaibah Abdullah 6, Khadeejah Faatimah Abdullah,4 dan Ibrahim Muhammad Abdullah,3.
MW: Tahniah diucapkan buat Ustazah Dr Oki Setiana Dewi atas pencapaian ini. Semoga menjadi inspirasi buat wanita lain agar terus berusaha mencapai kejayaan dan mencari ilmu meskipun setelah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang masih kecil.
Tahniah MW ucapkan buat penyanyi Noryn Aziz yang telah selamat bergelar isteri malam tadi. Berita pernikahan pasangan ini memberi kejutan buat peminat seni hiburan tanahair tempatan.
Tidak ada sebarang gosip yang menular, Noryn bijak menyimpan kisah cintanya.
Menurut Noryn seperti mana kenyataan yang dikeluarkan, dia berasa sangat bersyukur.
Mas Kahwin Sebentuk Cincin
“Terlebih dahulu, dipanjatkan rasa syukur kapada Allah SWT dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Dengan izinNya juga, saya dan suami selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang diadakan dalam suasana yang sangat sederhana dengan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat seramai 30 orang jemputan semuanya. Pada malam akad nikah yang diadakan di kediaman suami saya di Bukit Damansara, dengan bermas kahwin sebentuk cincin kepada saya.
Sepatutnya Nikah 25 Oktober Namun Diawalkan
“Sebetulnya, saya dan suami pada awalnya ingin melangsungkan majlis akad nikah pada 25 Oktober ini. Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober hari ini, majlis tersebut akhirnya diputuskan untuk diadakan lebih awal. Ini kerana, kami berhasrat untuk hari bahagia mereka dihadiri oleh kaum keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat kami.
Persiapan dalam Jangkamasa 24 Jam
“Alhamdulillah segala persiapan dapat dilaksanakan dengan baiknya dalam jangkamasa 24 jam dengan pertolongan padu kaum keluarga terdekat, sahabat-sahabat handal dan juga ahli “team” saya semuanya. Alhamdulillah, hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah.”
“Majlis akad nikah itu juga diadakan dalam suasana norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Saya percaya ramai yang tertanya-tanya bagaimana permulaan kepada perkenalan kami berdua. Kami mula berkenalan pada penghujung 2019 sebagai kawan kenalan perniagaan pada mulanya dan cuma pertengahan 2020 kami mulai rapat dan serius yang akhirnya membawa kami ke alam rumahtangga.
Semuanya Berlaku Sekelip Mata
“Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tak ada pula terfikir untuk menjadi kekasih. Hubungan kami benar-benar secara profesional namun suami saya banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri seni sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal amat menyenangkan saya dan juga keluarga terdekat. Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan bisnes saya. Untuk makluman, suami saya adalah seorang ahli perniagaan dalam industri pembangunan dan pembinaan.
“Selepas beberapa bulan kami menjadi lebih akrab (terutama sekali dalam waktu MCO bermula Mac lalu), banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya kami sepakat untuk mengakhiri hubungan persahabatan kepada ikatan yang lebih suci.”
Allah Makbulkan Hajat Kami
“Pada usia saya 44 tahun dan suami 48 tahun, tiada apa lagi yang kami harapkan selain majlis pernikahan kami dirahmati oleh Allah SWT dan rumah tangga kami akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kami berdua. Bagi saya adalah penting persahabatan cinta kita harus dihalalkan secara betul kerana ini bukan main-main buat saya dan suami. Alhamdulillah Allah SWT telah makbulkan hajat kami ini.
“Saya gembira kerana keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat bersama-sama kami dalam majlis itu, Ia amat memberi makna buat kami.
“Kepada rakan-rakan media, terima kasih atas sokongan dan doa buat kami berdua. Saya cuma berharap perkahwinan kami dapat dihormati tanpa apa apa gosip dan fitnah yang tidak diingini. Kami amat pentingkan soal privasi kami secara peribadi dan keluarga amnya,” ungkap Noryn Aziz yang begitu cantik dirias oleh Sheila Mohamad dan berbusana pengantin ciptaan Rizman Ruzaini. Selain itu Noryn juga turut dibantu stylist Tym Fatimah.
Untuk makluman Noryn pernah bernikah dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan berpisah pada tahun 2018. Hasil pernikahan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah.
Sumber Foto: Instagram Noryn Aziz, Instagram Sheila Mohamad dan Instagram Rizman Ruzaini.
Penyakit kanser ini tak kenal pangkat, mahupun nama. Ia boleh dihidapi siapa saja tanpa amaran. Oktober 2018, kanser prostat mengubah kehidupan personal Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak. Daripada seorang yang terlalu fokus kerjaya, menjadi lelaki yang lebih memandang serius tahap kesihatan diri.
“Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana penyakit barah saya dikesan dengan awal. Tanpa alami sebarang simptom, saya mendapat tahu penyakit saya secara tidak sengaja.”
Waktu itu, beliau yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus menjalani pemeriksaan prostat sebagai syarat awal pembelian insurans. “Saya menjalankan ujian saya di London dan memberitahu doktor saya ketika itu untuk menjadualkan pembedahan saya selepas saya pulang dari bercuti.”
Betapa sihatlah saya rasa pada masa itu sehingga boleh bercuti dengan keluarga! Abang-abang saya, Nizam dan Johari serta keluarga mereka melawat saya di London.”
Beliau juga menerima kunjungan rakan-rakan yang lain seperti Tan Sri Tony Fernandes, Datuk David Chua, Datuk Haris Onn dan Datuk Kamaluddin Badawi.
“Mereka telah menjadi sumber semangat pada saya dalam proses pemulihan.”
Ternyata kanser prostat ini memberi impak dari segi gaya hidup ahli lembaga Tabung Amanah Kanser Urologi, di bawah naungan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya ini.
“Saya mengambil keputusan berhenti merokok dan lebih kerap bersenam.
Sebelum ini, saya telah mengabagikan kesihatan saya kerana terlalu fokus dengan kerjaya di CIMB. Sekarang, saya lebih memandang serius kesihatan saya.
Malah, saya cuba meluangkan lebih banyak masa bersama mereka yang tersayang. Pengalaman ini membuatkan saya sedar akan kepentingan orang di sekeliling saya seperti keluarga dan juga kawan-kawan rapat.”
Pengalaman peribadi yang dilalui Datuk Seri Nazir Razak, antara sebahagian daripada kisah-kisah kanser survivor di negara ini. Ramai lagi sebenarnya di luar sana yang senasib, tetapi mereka masih malu untuk mendapatkan rawatan mahupun bantuan.
‘Kesedaran mendapatkan rawatan awal’ inilah yang masih terus diperjuangkan. Kerana kanser sebegini masih boleh dirawat jika dikesan awal.
“Kempen ‘onlymencan’ memberi keyakinan kepada kaum lelaki, bahawa terdapat pelbagai perkara yang mereka boleh lakukam. Umpamanya bermain watak seperti Hang Tuah, namun kaum lelaki juga terdedah kepada masalah kesihatan yang secara eksklusif mempengaruhi mereka.
Khususnya, kami ingin menggariskan hanya lelaki yang boleh menghidap penyakit kanser prostat dan sembuh, sekiranya ia dikesan dan dirawat dengan awal.
Semoga dengan pendedahan ini, rakyat Malaysia dapat dididik dan disedarkan mengenai kanser prostat, risiko dan gejalanya.
Lebih daripada 60% kes kanser prostat di Malaysia didiagnosis lewat pada tahap-tahap terakhir, dan kami ingin mengurangkan peratusan itu kepada 30% menjelang 2025.” Jelas Datuk Seri Nazir lagi.
Menerusi kempen, secara amnya terdapat 2 kumpulan yang akan disasarkan,
Pertama adalah lelaki yang berusia 50 tahun ke atas kerana mereka adalah golongan
yang paling berisiko untuk mendapat barah prostat.
Kedua ialah ahli keluarga lelaki-lelaki tersebut seperti isteri serta anak-anak mereka kerana mereka dapat meyakinkan suami ataupun ayah mereka untuk menjalani ujian.
“Kempen ini merupakan kempen yang inklusif kerana walaupun bukan semua orang terdedah kepada penyakit itu, ada golongan yang memainkan peranan yang penting untuk membantu mengesan dan mencegah maka sangat penting untuk seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang mempunyai kesedaran mengenai ancaman penyakit kanser prostat.
Saya rasa memiliki kesedaran mengenai kanser prostat adalah sangat penting. Kanser prostat adalah salah satu kanser yang lebih mudah dirawat dan kadar pulih pesakit kanser prostat yang dirawat awal juga adalah tinggi, hanya jika dikesan awal.”
Jika seseorang lelaki yang berumur 50 tahun ke atas mempunyai gejala seperti perlu
membuang air kecil dengan kerap, sukar untuk membuang air kecil ataupun
mempunyai nafsu berahi (libido) yang rendah, mereka perlu berjumpa dengan doktor
yang berdekatan secepat mungkin untuk mengambil ujian “prostate specific antigen”
ataupun ujian PSA.
Dari ujian tersebut, doktor dapat menasihati pesakit untuk mendapat rawatan yang sepatutnya.
Ujian saringan kanser prostat yang pertama adalah melalui ujian PSA yang disebutkan
tadi, yang boleh didapati melalui ujian darah. Jika dapatan ujian PSA adalah tinggi
(lebih dari 4), doktor akan menasihati pesakit untuk melakukan MRI untuk
mengesahkan bahawa ada ketumbuhan. Kemudian, diikuti dengan biopsi untuk
mengesahkan jika ketumbuhan tersebut menjadi barah.
Pesakit tidak perlu terlampau risau kerana jika dikesan awal, pesakit juga boleh mendapati rawatan awal.
“Berdasarkan pengalaman saya, selepas prosedur biopsi tersebut mengesahkan bahawa ketumbuhan saya sudah menjadi barah, doktor cadangkan saya untuk menjalankan pembedahan secepat mungkin.
Selepas pembedahan tersebut, alhamdulillah saya pulih dengan sepenuhnya dalam beberapa bulan. Data menunjukkan bahawa kalau dirawat dengan awal, kadar ‘survival’ adalah setinggi 95%.” Ujar Datuk Seri Nazir lagi.
Sebenarnya, tak perlu malu untuk membicarakan penyakit kanser prostat ini. Jelas beliau lagi, “salah satu cara adalah untuk mengetengahkan simptom-simptom kanser tersebut serta mengongsi pengalaman pesakit kanser prostat.
Terdapat stigma yang negatif bagi kanser prostat kerana ia berhubungkait dengan organ seksual, oleh itu ramai lelaki mungkin berasa malu untuk membincangkan simptom-simptom yang dihadapi. Kita harus menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan prostat.”
*Artikel diterbitkan dengan kerjasama Datuk Seri Nazri Razak sempena Kempen ’To Combat Against Prostate Cancer’
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Naluri hati isteri tak pernah salah, ini kisah seorang wanita yang mendapat khabar berita suaminya pergi disebabkan kemalangan. Tiada siapa yang akan menyangka akan terima berita kehilangan insan tersayang.