Anak Mengamuk Kerana Nakkan Perhatian, Mak Ayah Sila Banyak Sabar!

Anak mengamuk memang boleh buat mak ayah serba tak kena. Puas dipujuk, tetap tak berjaya juga. Mengamuk pula di khalayak ramai. Aduh, tebal muka dibuatnya!

“Uwaaaa….” Terdengar teriakan si kecil yang amat menarik perhatian. Mengapakah agaknya? Apa kesakitan yang dialaminya?

Yang Menanggung

Bak kata pepatah; berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Amat sukar untuk dibaca apakah sebenarnya kehendak anak kecil yang masih belum tahu menyatakan perasaannya. Jika kita yang memandang daripada jauh pun merasakan kesukaran apatah lagi ibu bapa yang sedang berusaha menenangkannya.

Begitulah sahabat pembaca yang dihormati, bagi yang sudah berpengalaman dengan anak-anak sudah pasti tersenyum dengan situasi ini. Inilah lumrah kehidupan yang kita harus tempuhi dan pelajari. Semuanya tiada jalan mudah.

Anak Mengamuk Kerana Nakkan Perhatian, Mak Ayah Sila Banyak Sabar!

Jaga Emosi Anak

Anak-anak adalah permata keluarga. Apabila diberikan jolokan itu maknanya, dirinya tiada tolok bandingnya, amat bernilai di mata ibu ayah dan keluarga. Adat bagi sebentuk permata dijaga dengan rapi dan diperhatikan segala keperluannya untuk dia kekal sentiasa bersinar dan cantik berkilauan.

IKLAN

Jika itu yang kita inginkan untuk anak-anak kita. Keperluan emosinya bagi tujuh tahun pertama harus dijaga dengan baik. Apabila dikatakan emosi, ia sangat terkait dengan suka, duka, geram, marah dan sebagainya. Anak-anak yang sihat emosinya sentiasa ceria dan melalui proses pertumbuhan yang baik.

Cara Rasulullah Layan Cucu Baginda

Bagaimana menjaga emosinya? Rasulullah s.a.w sudah pun menunjukkan contoh tauladan yang amat jelas untuk kita contohi. Saya pasti, rakan pembaca juga sudah acap kali menerima contoh ini. Rasulullah s.a.w melayan cucu-cucunya yang masih kecil dengan sangat baik sehinggakan Nabi s.a.w terpaksa sujud dalam tempoh waktu yang lama kerana memberikan peluang bagi cucunya untuk bermain di atas belakang badannya. Baginda tidak memaksa cucunya untuk turun malah membiarkannya sahaja sehingga cucu baginda sendiri turun daripada belakangnya. Dua sifat yang diajarkan Baginda di sini adalah sabar dan tidak memaksa.

Sejajar dengan perkembangan minda mereka yang masih belum sepenuhnya sempurna sebagaimana orang dewasa, sudah pasti patah percakapan kita tidak difahami sepenuhnya sebagaimana faham orang dewasa. Jadi sabar dan tidak memaksa adalah contoh yang amat tepat bagi memenuhi keperluan emosi mereka pada ketika ini.

Ajakan Lakukan Kebaikan

Tingkah laku baginda Rasul s.a.w yang begitu sabar itu adalah biasan daripada kasih sayang baginda yang amat mendalam kepada cucu-cucu baginda. Riwayat menceritakan Baginda s.a.w sering kali melawat cucu-cucu baginda, memeluk dan mencium mereka. Riwayat yang lain pula menceritakan Nabi s.a.w tidak pernah mengesampingkan anak-anak kecil yang berada di samping baginda s.a.w, sering mengusap rambut mereka, wanginya tangan baginda sehingga kanak-kanak lain boleh mengetahui bahawa anak ini telah diusap kepalanya oleh Nabi s.a.w.

IKLAN

Syariat Islam juga jelas menunjukkan bahawa pendidikan bagi anak-anak yang berumur tujuh tahun ke bawah ini adalah ajakan untuk melakukan sesuatu kebaikan. Ia jelas dalam sabda Nabi s.a.w tentang pendidikan solat.

Pukul Jika Anak Tak Solat

Nabi s.a.w menyatakan suruhlah anak bersolat pada umur tujuh tahun dan pukullah mereka jika masih tidak melakukannya apabila umurnya menjangkau 10 tahun. Jadi, amatlah tidak wajar jika kita memaksa mereka dan memberikan hukuman sebelum sampai masanya seperti yang dianjurkan.

Malah bagi tujuh tahun ke bawah, ajakan bersolat berjemaah adalah yang terbaik kerana keadaan ini menyediakan persekitaran pembelajaran untuk dia bersolat. Begitu juga dengan ajakan untuk melakukan kebaikan yang lainnya seharusnya ajak mereka melakukannya bersama-sama dengan kita. Perbuatan kita ini bukan sahaja menggalakkan anak untuk melakukan perkara yang baik malah turut mencipta hubungan kasih sayang yang erat antara kita dengan anak-anak.

IKLAN

Inginkan Perhatian

Hakikatnya, anak-anak kita yang masih kecil hanya inginkan perhatian ibu dan ayahnya malah mungkin juga orang lain dalam persekitarannya. Keadaan-keadaan yang mereka hadapi kadang-kadang memaksa mereka untuk bertindak berlebihan seperti mengamuk, menangis sekuat hati dan sebagainya. Keadaan-keadaan ini seperti berasa terancam, sakit dan sebagainya. Jika keadaan seperti ini berlaku yang pertamanya kita harus sabar dan tidak memaksanya.

Tunjukkan kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bagi untuknya dengan cara pelukan, usapan dan sebagainya. Jika perlu, bawa dia ke tempat lain di mana hanya kita dan dia sahaja yang ada. Kemudian pujuklah dia dan cuba terangkan apa yang perlu kepada dirinya. Insya-Allah, moga diberikan kemudahan dan kefahaman yang banyak asbab daripada kita ingin mencari jalan yang terbaik untuk menjalankan amanah Allah ini. Semoga kita diberikan taufik dan hidayah daripada Allah untuk menjalankan tanggungjawab keibubapaan dengan sebaik mungkin insya-Allah. Wallahualam..

Sumber: Nurul Asiah Fasehah (USIM), juga kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/naznur.muhamad

https://www.mingguanwanita.my/bawang-putih-berkesan-beri-manfaat-terbaik-bila-dimakan-mentah/

https://www.facebook.com/mingguanwanita/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI