Bawang putih sememangnya mempunyai banyak khasiatnya tersendiri. Namun untuk dapatkan kesan dan manfaat yang terbaik, rupanya bawang putih ini seeloknya dimakan dalam keadaan mentah dan diambil dalam jumlah berpada-pada dan tidak berlebihan.

Untuk faham lebib lanjut baca perkongsian daripada Pakar Kimia, Dr Fatimah Salim ini yang dikongsikan didalam Makmal Makanan (MaMa) sebagai rujukan.

MANFAAT BAWANG PUTIH MENTAH

Bawang putih (garlic) mempunyai nama saintifik Allium Sativum yang berasal dari tumbuhan famili Amaryllidaceae. Bawang putih mampu memberikan manfaat kesihatan jika diambil bertujuan jelas dan dengah cara yang betul. Di sini pentingnya pemahaman sifat kimia bahan aktif dalam bawang putih supaya bukan hanya kesan placebo yang diperolehi.

Bahan kimia aktif utama dalam bawang putih ialah allicin. Ianya sejenis bahan kimia organik bersulfur (organosulfur) yang mempunyai bau tengit dan berasa pedas menyengat. Bahan kimia aktif ini terbentuk hasil tindakbalas bahan kimia pencetus alliin dan enzim alliinase.

Seperti di dalam tumbuhan bebawang lain, kedua bahan kimia pencetus (alliin dan enzim alliinase) terpisah di ruang masing-masing dalam sel. Semasa proses mencincang/ melenyek bawang putih, sel-sel akan terpecah menyebabkan dua bahan kimia ini terbebas dari ruang masing-masing dan bertindakbalas membentuk bahan kimia aktif allicin.

Disebabkan ketidakstabilan, allicin kemudiannya akan melalui beberapa fasa perubahan struktur molekul membentuk pelbagai bahan kimia organosulfur berkaitan yang mana memberikan kepelbagaian kepada bau dan rasa bawang putih ini.

Bawang Putih Berkesan, Beri Manfaat TERBAIK Bila Dimakan Mentah

Bolehkah bahan kimia aktif allicin terhasil tanpa memusnahkan sel bawang putih?

Tidak. Proses biosynthesis penghasilan allicin hanya akan berlaku apabila sel pada bawang putih dimusnahkan dengan aktiviti memotong, melenyek, mencincang atau menumbuk.

Semakin banyak sel yang dimusnahkan (semakin lumat), semakin tinggi potensi untuk bahan kimia pencetus alliin dan enzim alliinase bertemu. Maka, semakin banyak allicin akan terhasil.

Jelas di sini cara pengendalian bawang putih sangat penting untuk penghasilan bahan aktif yang optimum. Tambahan pula, cara mengunakan bawang putih juga penting.

Apakah akan berlaku apabila bawang putih diMASAK (rebus, panggang, goreng)?

Tanpa daya memusnahkan sel bawang:

IKLAN

Apabila sel bawang putih tidak dimusnahkan, bahan kimia pencetus alliin tidak akan bertemu dengan enzim alliinase, dan bahan kimia aktif allicin TIDAK akan terbentuk.

Apabila diikuti dengan aktiviti memasak, enzim alliinase akan termusnah (denatured). Enzim ini akan ternyahaktif pada suhu 40 degree Celsius, iaitu sedikit tinggi daripada suhu badan normal manusia.

Haba berterusan pula akan memusnahkan sel-sel bawang putih dan bahan kimia pencetus alliin juga ternyahasli.

Dengan daya memusnahkan sel bawang:

Semestinya bahan kimia aktif akan terbentuk. Namun, haba yang berterusan akan menyebabkan bahan kimia aktif allicin meruap.

Jadi, adakah bawang putih yang sudah masak ini tidak elok?

Tidak juga. Selain dari bahan kimia aktif allicin, bawang putih juga mengandungi nutrisi stabil lain seperti karbohidrat, protein, mineral, vitamin dan pelbagai fitokimia yang memberikan keunikan bau dan rasa kepada bawang putih. Dan ini juga boleh dimanfaatkan oleh badan kita.

IKLAN

Bagaimana pula jika bawang putih dinikmati bersama bahan berasid (aka masam)?

Aktiviti enzim alliinase berlansung pada keadaan neutral (pH 6.5-7). Dengan menambahkan bahan berasid seperti cuka, limau, lemon, asam keping dan yang seangkatan dengan mereka, akan menyebabkan enzim ini kurang aktif. Maka peratusan pembentukan bahan kimia aktif allicin dari alliin juga akan menjadi kurang.

Bagaimana pula dengan membakar seketika?

Membakar seketika bawang putih dengan api perlahan, dan diikuti dengan memusnahkan sel bawang akan mengaktifkan lagi aktiviti enzim alliinase dan seterusnya menghasilkan lagi banyak bahan kimia aktif allicin.

Senarai gambar di bawah ini ialah kepelbagaian cara penyediaan bawang putih yang saya lakukan sendiri untuk menguji jumlah kehadiran bahan kimia aktif allicin secara perbandingan.

Rasa pedas menyengat terbanyak adalah dalam bawang putih yang dibakar seketika (berkulit menambah sedikit keunikan dalam rasa), diikuti dengan mentah. Goreng dan rebus tidak mempunyai rasa ini. Memasukkan bawang putih cincang dalam air dan madu juga memberikan rasa yang berlainan.

Bawang Putih Berkesan, Beri Manfaat TERBAIK Bila Dimakan Mentah

Adakah pengambilan bawang putih mentah memberikan kesan sampingan?

YA. Disebabkan Kehadiran bahan kimia semulajadi bersulfur, bawang putih mempunyai bau masam menyengat yang kuat yang mana boleh menyebabkan nafas berbau.

IKLAN

Bahan kimia aktif allicin bersifat asid yang mampu merengsakan kulit. Maka, cairkan dengan air, minyak atau madu.

Bawang putih mempunyai sifat pencairan darah. Maka, elakkan mengambilnya secara berlebihan apabila terluka kerana proses pembekuan darah pada kawasan luka akan menjadi lambat. Ini akan menyebabkan pendarahan berterusan.

Terdapat kajian yang menunjukkan bawang putih mampu berinteraksi dengan aktiviti ubat rawatan. Maka, mereka yang ‘on medication’, berbincanglah dengan doktor perubatan anda sebelum mengambil bawang putih mentah bersama dengan ubat.

INGAT, apa-apa yang berlebihan berpotensi membawa mudarat. Ambil tahu tahap kesihatan diri dan jaga badan yang Allah amanahkan kepada kita sebaiknya.

Nota: Bahan kimia aktif allicin bersifat larut minyak.

Bawang Putih Berkesan, Beri Manfaat TERBAIK Bila Dimakan Mentah

Info Ekstra!

1. Untuk individu normal, kalau tiada keperluan mendesak, jangan ambil sekali lebih daripada 5 ulas.
2. Makan bawang putih memberi kesan terbaik, diambil dalam keadaan mentah:
-Bakar sekejap dan kunyah,
-Kunyah mentah, dicincang dan masukkan dalam minyak
-cincang dan masukkan dalam madu
-cincang masukkan dalam air.

Baca Lagi Di Sini:
Kajian Buktikan 3 Bulan Makan Seulas BAWANG PUTIH, Dapat Turunkan Darah Tinggi
Ketuk Dulu Bawang Putih, Biar 10 Minit Sebelum Guna, Mujarab Cegah Kanser
Allicin Dalam Bawang Putih Baik Untuk Kesihatan

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi ingin mendapatkan khasiat bawang putih, sebaiknya dimakan secara mentah dan berpada-pada mengikut keperluan tubuh.

Sumber: Dr Fatimah Salim

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI