Khamis, 28 November 2019 lalu, Muhammad Fariesh Rezqallah Iman bin Abdul Razzaq terjatuh dari balkoni tingkat 3, Blok A, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu menyebabkan kanak-kanak berusia 9 tahun ini meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Tragedi yang berlaku pada awal cuti sekolah ini memang tidak akan dapat dilupakan oleh Siti Nur Fathiah Bt Hasshim, ibu kepada Muhammad Fariesh Rezqallah Iman atau lebih mesra dengan sapaan Iman ini selagi nyawanya dikandung badan.
Sewaktu ditemui, Siti Nur Fathiah, 31 tahun, masih lagi dalam berpantang selepas melahirkan anak keempatnya pada hari Ahad, 1 Disember 2019. Sepatutnya kehadiran bayi baru ini menggembirakan keluarga mereka. Tetapi siapa sangka, kegembiraan itu tidak kesampaian berikutan tragedi sedih yang berlaku.
“Saya terasa kehilangan sangat. Saya mahukan keempat-empat anak saya di hadapan mata.”
Gambar-gambar Muhammad Fariesh Rezqallah Iman dan adik-adiknya akan kekal disimpan rapi oleh keluarganya.
Pilu
Hati Siti Nur Fathiah pilu apabila mengenang kembali kejadian yang telah berlaku. Sambil bercerita, air mata Siti Nur Fathiah mengalir tanpa henti-henti.
“Sebelum kejadian berlaku, saya ada memanggil anak saya. Saya suruh dia turun ke bawah untuk membayar duit kuih yang saya beli. Setelah membayar duit kuih itu, dia naik semula dan membawa baki duit lebih dan beri pada saya di rumah.
“Selepas itu, dia memberitahu neneknya yang dia hendak main. Tidak sampai lima minit, saya terdengar kawan-kawannya memanggil. Cik Olin! Cik Olin! (panggilan jiran-jiran terhadap Siti Nur Fathiah), Iman jatuh!”
Betapa terkejutnya Siti Nur Fathiah dengan perkhabaran tersebut. Walau dalam keadaan hamil dan menunggu masa sahaja untuk melahirkan anak, ibu ini berlari dengan lajunya menuruni anak-anak tangga dari tingkat tiga rumahnya menuju ke tempat kejadian.
“Saya terus tidak pandang apa. Saya turun bawah, tengok dia dah terkulai. Saya pergi kepada anak saya. Saya panggil dia. Saya cakap, Iman bangun! Iman bangun! Dia hanya mampu kata, Aaa Uuu. Masa itu dia dah tidak sedar. Kepalanya terkulai.
“Saya terus dukung dia dan bawa ke klinik 1 Malaysia (yang terletak bersebelahan tempat kejadian).Selepas itu Klinik 1 Malaysia buat rawatan kepada anak saya. Apabila ambulan datang, anak terus dihantar ke PPUM.
“ Dia terus dimasukkan ke zon kritikal dan kemudiannya dari pukul 5 petang hingga keesokan harinya dia berada di ICU.
“ Semasa di ICU doktor pakar memberitahu kepala anak saya sudah tidak berfungsi lagi. Dia tunggu masa sahaja. Dalaman dia semuanya sudah pecah. Memang benar apa yang dikatakan oleh doktor itu. Keesokan harinya Iman meninggal dunia.”
Ads
Rindu Suara Anak
Selepas post mortem dilakukan, jenazah telah dituntut dan kemudiannya telah dikebumikan. Doktor mengesahkan anaknya itu meninggal dunia disebabkan jatuh dari bangunan.
Bercerita mengenai diri anaknya itu, jelas Siti Nur Fathiah, anaknya mengalami masalah disleksia. Walau lambat dalam pelajaran namun guru-guru di sekolah suka kepada anaknya itu.
“Dia peramah di sekolah. Saya rindu pada suara Iman. Saya rindu cara dia bermain kereta dengan adik-adiknya.”
Selepas kejadian yang berlaku pada anak sulungnya, Siti Nur Fathiah kini sentiasa memantau anak-anaknya yang lain agar hanya bermain di dalam rumah sahaja. Dia tidak mahu kejadian sama berulang kepada anak-anaknya yang lain.
Rokiah (kiri) dan Siti Nur Fathiah (kanan) tidak boleh terima kenyataan Iman telah tiada.
Banyak Perubahan Berlaku Dalam Seminggu Sebelum Kematian
Rokiah binti Hamzah, 72 tahun, yang turut ada pada pertemuan ini menceritakan cucunya seorang yang tidak banyak cakap. Rokiah amat terasa kehilangan cucunya ini kerana dia turut sama menjaga dan membesarkan cucunya sejak kecil.
“Dia ini lembut orangnya. Agak payah dia hendak bercerita pada kami. Kalau dia balik menangis dan kami tanya pada dia siapa buat, dia tidak akan beritahu.
“Makcik bela dia sejak dia berumur tiga bulan sehinggalah akhir hayatnya. Dia memang manja dengan makcik. Makcik mandikan dia, pakaikan baju dan hantar dia naik van (untuk ke sekolah) setiap hari. Apabila dia balik sekolah mesti dia cari nenek dahulu.
Ads
“Dalam seminggu sebelum pemergiannya, ada perubahan berlaku pada arwah. Dia ajak Atuknya pergi gunting rambut pada hari Isnin itu. Dia beriya-iya mengajak Atuknya untuk menggunting rambut. Katanya rambut dia sudah panjang.
“Saya ingat lagi, pada suatu hari itu, tidak silap saya hari Rabu, dia tanya pada saya. Nenek, esok hari apa nenek? Saya cakap pada dia, kau ini nak masuk sekolah darjah 3 pun tidak ingat hari lagi. Tiap-tiap kali tanya nenek. Dia terus mengira menggunakan jarinya.
“Dia tanya saya lagi. Esok Jumaat kan Nenek? Abang hendak pergi sembahyang.Pergilah. Saya kata selalu kan kau pergi. Dia kata, Takdelah, abang bagitau nenek je. Saya kata selalu tak bagitau, terus je pergi.
“Tiba-tiba, sambil dia berehat duduk bergoyang kaki itu, dia cakap, bulan 12 abang mati. Makcik terkejut bila dia cakap begitu. Makcik kata tak baik cakap begitu. Kemudian dia jawab, takdelah, Abang gurau-gurau aje. Selepas itu dia diam.”
Tidak Boleh Terima Kenyataan
Cerita Rokiah lagi, cucunya itu bukan jenis makan banyak. Tetapi pada malam itu juga dia makan banyak.
“Malam itu dia makan terlampau banyak. Saya tengok kalau nasi dia makan itu kalau untuk orang tua memang kenyanglah. Saya suap dia makan. Duduk tidak sampai setengah jam. Dia minta makan maggi. Selepas habis makan maggi, dia minta hendak meratah milo. Tetapi dia tukar fikiran hendak makan koko crunch. Saya buat semangkuk bagi dia makan.
“Selepas itu dia tidur. Pukul 1 pagi dia bangun dan tengok tv. Sampai pukul 6 pagi dia tengok. Lepas itu dia tidur. Pukul 10 pagi dia bangun, dia beritahu dia hendak makan nasi lemak. Saya suruh dia minta duit pada Atuk dia. Atuk dia bagi, dia turun pergi beli. Selepas itu dia makan nasi lemak itu.
Ads
“Tidak berapa lama kemudian, kawannya datang ajak main. Dia bagitau saya, Nenek, kawan abang panggil ajak main. Saya kata pergilah. Tetapi jangan pergi jauh-jauh. Main di depan rumah sahaja. Dia pergi main.
“Dalam pukul 12 lebih mummy dia panggil suruh dia pergi kedai. Selepas selesai pergi kedai, dia naik semula. Dia berdiri depan pintu. Kemudian dia beritahu, abang hendak pergi main lagi nenek.
“Saya kata pada dia, pergilah tetapi jangan pergi jauh-jauh. Dekat sini saja sebab nenek tidak larat hendak cari.Biasanya kalau dia lambat balik saya memang cari. Hujan ke apa pun, saya pergi cari sampai jumpa. Tidak lama kemudian, selepas sahaja habis azan zuhur, ada budak bagitau. Nenek, Fariesh jatuh.”
Terkejut Rokiah mendengarkan perkhabaran tersebut. Pada mulanya dia ingat cucunya itu hanya jatuh tangga.
“Saya ingat jatuh tangga. Saya tengok di tangga tidak ada. Pada masa yang sama saya dengar orang sudah bising di bawah. Saya tengok apa yang bising-bising itu. Bila saya lihat sahaja di bawah, saya tengok dia sudah terbengkok atas pangku emaknya.”
Kaku seketika Rokiah apabila melihat apa yang berlaku di hadapan matanya itu. Sedihnya sudah tidak terkata,
“Saya tidak boleh buat apa. Saya tidak boleh hendak peluk. Saya rasa seperti lumpuh. Saya hanya boleh menangis. Saya tidak boleh terima kematian dia.”
Sehingga kini setiap kali Rokiah melihat tempat kejadian berlaku, hatinya tidak boleh menerima kenyataan bahawa cucu kesayangannya itu sudah tidak ada di dunia.
Ringankan Beban
Jika ada yang ingin meringankan beban keluarga ini bolehlah menghulurkan derma kepada akaun CIMB 7627093519 Siti Nur Fathiah.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Siti Nur Fathiah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sejak beberapa hari lalu berlaku peningkatan jumlah kenderaan dilebuhraya dalam usaha pulang ke kampung walaupun kerajaan tidak membenarkan perkara ini berlaku.
Rata-rata mereka seolah-olah tidak memikirkan soal kesihatan dan keselamatan masing-masing apabila tekad ambil keputusan untuk balik beraya di kampung halaman bersama keluarga di desa.
Buat masa sekarang, memang rata-rata beremosi kerana tak dapat balik beraya. Tetapi mak, ayah perlu ingat bahawa hampir 3000 kenderaan diarah berpatah balik.
Mahukah mak, ayah bazirkan masa, wang dan tenaga hanya kerana mengikut perasaan. Sementara itu, Menteri Besar Kelantan bimbang perantau pulang menggunakan jalan tikus untuk pulang ke kampung halaman.
3000 Kenderaan Diarah Berpatah Balik
Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung tanpa alasan munasabah semalam, meningkat sekali ganda berbanding kelmarin.
Lebih 3,000 kenderaan dikesan cuba menghala ke kampung halaman semalam, berbanding 1,633 kenderaan kelmarin, sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan sebanyak 3,212 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung untuk berhari raya, diarah berpatah balik oleh polis, semalam.
“Kelmarin ada lebih 1,000 kenderaan cuba rentas negeri dan jumlah itu sudah kita anggap tinggi, namun semalam meningkat lagi sehingga lebih 3,000. “Ini bermakna jumlah mereka yang berminat balik ke kampung masih ramai dengan cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya.
“Namun, polis akan bertindak tegas dan tidak akan benarkan sesiapa merentasi negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kecuali atas kes kecemasan seperti kematian dan kebenaran perlu diperoleh dari balai polis berhampiran,” katanya.
Sekatan Dibuat Bagi Memantau Pematuhan PKPB
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan PKPB di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan kompaun kepada 51 individu setakat semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
“Semalam, PDRM juga menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP, dengan 40 individu direman dan empat individu dijamin,” katanya. Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, memaklumkan PDRM melaksanakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri, semalam, dan memeriksa 318,082 kenderaan.
Selain itu, sebanyak 77,537 pemeriksaan dibuat semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan PKPB di seluruh negara, membabitkan 4,883 pasar raya, 4,572 restoran, 697 penjaja, 1,260 kilang serta 3,878 bank.
“Pemeriksaan juga dibuat di 1,108 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air dan 107 terminal pengangkutan udara, dan memeriksa 32,670 kenderaan persendirian, 2,369 kenderaan awam dan 461 kapal.
“Turut diperiksa adalah 2,814 pasar awam, 3,894 tempat ibadah, 1,546 tempat riadah dan 462 tapak binaan,” katanya.
Menteri Besar Bimbang Perantau Ikut Jalan Tikus
Manakala menurut laporan Sinar Harian, Kerajaan Kelantan melahirkan kebimbangan dengan perantau yang ‘curi-curi’ balik ke negeri ini menggunakan laluan tikus semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tersebut sebenarnya berisiko kerana ahli keluarga mahupun sanak-saudara akan terdedah dengan bahaya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat mereka yang merentas negeri dengan cara tidak betul semata-mata mahu balik menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung.
“Mereka menggunakan jalan-jalan tertentu. Cara mana kita pun tidak tahu. Sedar-sedar mereka sudah ada di Kelantan.
“Saya nak nasihatkan, sebab ini berkaitan dengan kepentingan awam. Wabak Covid-19 masih tidak ada vaksin lagi,” katanya kepada media hari ini.
Minta Perantau Tidak Balik Ke Kelantan
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan Bilangan 12 di Kompleks Kota Darulnaim yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Ahmad mengharapkan supaya kumpulan yang masih berada di luar Kelantan kekal tinggal di sana dan tidak sesekali merentas negeri tanpa kebenaran kerana ia adalah langkah terbaik untuk putuskan rantaian penyebaran Covid-19.
Katanya juga, dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri rakyat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya penjarakan sosial.
“Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar rakyat kita masih tidak mematuhi arahan tersebut. Kita sendiri dapat melihat virus ini masih belum reda lagi, bukan sahaja dalam negara, tetapi di peringkat dunia. Jadi semua kena patuh dengan arahan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebenaran jumlah jemaah menunaikan solat Aidilfitri dan solat berjemaah di negeri ini, beliau berkata pihaknya masih belum membuat keputusan terbaharu lagi.
“Ketepatan masih sama dengan yang sebelum ini. Kita masih menunggu keputusan dan ketetapan baharu dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.
Sumber: Berita Harian/ Sinar Harian
MW: Mak, ayah harus bersabar kerana keadaan Covid-19 belum pulih sepenuhnya. Jangan terlalu ikutkan emosi hingga membahayakan nyawa sendiri dan juga keluarga. Walaupun kita semua beraya dalam normal baharu tetapi patuhilah sop yang telah ditetapkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kadang-kadang kita berkira untuk sedekah. Bimbang diri sendiri tak cukup, apatah lagi kalau itu adaplah barang kesayangan. Sedangkan kita tak tahu, Allah nak beri lebih daripada itu.
Jangan berkira-kira untuk sedekah. Walaupun itu mungkin barangan kesayangan sekalipun, kita tak tahu Allah nak uji dan berikan yang lebih baik.
Perkongsian daripada Myra Fida ketika menunaikan umrah di tanah suci. Kejadian itu pula berlaku dalam bulan Ramadan.
Sedekah Sejadah Kesayangan, Diganti Dengan Rezeki Lain
Satu perkongsian cerita semalam di Madinah. Ketika saya selesai solat subuh, ada seorang makcik ni ambil sejadah saya dan bercakap dia nak pinjam untuk solat (dalam bahasa dia).
Sedangkan kita atas karpet. Saya pun tunggu la makcik tu solat. Lepas solat, makcik tu solat lagi. Terlintas di hati, “eh, bagi je la makcik ni sejadah ni, nampak dia suka sangat. Tapi sejadah tu saya suka.. Sayang. X pe la.. Korban”.
.
.
Lepas makcik tu solat, saya cakap bahasa ayam itik. Minta pinjam sekejap. Saya solat sunat, then bagi makcik tu balik sebagai HADIAH. Makcik tu punya suka, cium tangan saya.
.
Diberi Pakaian Percuma
Lepas tu saja la jalan-jalan dan carikan baju untuk anak. Sedangkan saya hanya bawa duit 90 rial dan rm50 duit Malaysia (malas nak tukar sebab hari terakhir di Madinah) Klu convert dan campur lebih kurang 130 riyal.
Sy beli la satu baju Abaya dan baju untuk anak satu. Orang kedai minta sya pilih lagi mana yang cantik. Semua yang saya ambil dia bagi PERCUMA. Padahal harga satu jubah Abaya dalam RM140 ke atas.
Alasan dia bagi percuma keranas saya orang Arab yang comel. Dia lipatkan dan beri plastik baju.
Sy pun berfikir sambil menuju ke Hotel. Masa nak kemas baju teringat sejadah tadi..
Ok, faham. Nampak tak, satu sejadah yang kita sayang bagi pada orang supaya dia gembira tadi, maka Allah gantikan dengan rezeki yang tak disangka-sangka. Begitulah.
Keberkatan & Pahala
Barang-barang yang saya bawa untuk mengerjakan umrah kebanyakan permberian sahabat, adik ipar dan mama bagi. Saya tak guna barang sendiri supaya sahabat dapat keberkatan dan pahala selama saya guna. Semoga sahabat dapat juga doa yang saya kirim.
Kadang-kadang ada orang yang diuji dengan perjalanan duit yang bemasalah. Hadkan sedekah kerana masalah, salah itu. Bila masala itulah kita kena lebihkan sedekah. Yakinlah Allah Maha Pemberi, Maha Pemurah.
Perkongsian ni bukan nak menceritakan sedekah sejadah tadi, tapi nak berkongsi balasan di sebalik sedekah yang tidak seberapa itu. Tapi ikhlasnya.
7 item (3 Abaya, 1 jubah, 2 kurta, 1 jubah ranieya) Alhamdulillah.
Kadang2 Allah utus untuk menguji kita sahaja. Rajin-rajinlah bersedekah.
Mingguan Wanita : Sekecil mana pun kita bersedekah, niatkan dengan ikhlas. Jangan mengharap balasan sebab Allah dah atur yang terbaik untuk kita.
‘Pantang maut sebelum ajal.’ Wanita ini terselamat selepas tergelincir dari tingkat 21. Dikatakan mangsa sedang menjemur pakaian di balkoni ketika kejadian ini berlaku.
Kebiasaannya jatuh dari rumah bertingkat memang jarang selamat, tetapi wanita ini insan terpilih kerana selamat dan hanya mengalami patah bahu saja.
Pantang Maut
Jatuh tingkat 21 sudah cukup untuk mengakibatkan cedera parah hingga meragut nyawa. Namun tidak bagi wanita ini.
Berpantang maut sebelum ajal, seorang wanita di Indonesia masih bernyawa apabila terjatuh dari aras 21 kediamannya .
Sebelum Ajal
Menurut Tribun News, mangsa, AN, 55, terjatuh susulan tergelincir dari balkoni di kediamannya semasa membuat kerja rumah.
“Polis Kelapa Gading menerima laporan bahawa seorang wanita jatuh dari Apartmen Gading Nias Residence Tower Emerald, Kelapa Gading di Jakarta Utara.
“Hasil siasatan mendapati, AN dikatakan tergelincir dari balkoni pangsapuri itu yang berketinggian 21 tingkat ketika sedang menjemur baju,” katanya Ketua Polis Kelapa Gading, Vokky Sagala.
Wanita Ini Terselamat
Usianya panjang, tidak seperti kebanyakan mangsa yang terjatuh dari tempat tinggi yang cedera parah pada bahagian kepala dan tulang belakang, AN selamat.
Dia difahamkan hanya mengalami patah tulang di bahagian bahu kiri gara-gara terjatuh di atas bumbung kereta jenis Toyota.
AN dikejarkan ke Hospital Sakit Gading Pluit, Jakarta Utara untuk dirawat.
“Kami sempat berhubung dengan mangsa yang menyatakan bahawa dia tergelincir ketika menjemur pakaian, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut,” ujarnya.
Selepas Tergelincir
Ramai yang gayat apabila berada di tempat tinggi, sementelah jika terjatuh daripada tingkat atau bangunan beraras tinggi!
Ketinggian kipas siling dan langsir di rumah sudah membuatkan kita menggeletar, apatah lagi jika bangunan tinggi berpuluh tingkat. Tingkap dan balkoni pada bangunan tinggi memmpunyai potensi bahaya terjatuh.
Tahap kecederaan ini sebahagiannya bergantung pada halaju hentaman, permukaan yang mendarat, orientasi badan pada hentaman dan umur orang yang terjatuh.
Dari Tingkat 21
Menurut Perpustakaan Perubatan Nasional Institut Kesihatan Amerika Syarikat, kebanyakan kecederaan daripada tempat tinggi akan menyebabkan cedera kepala (tengkorak tertekan, lebam serebrum, pendarahan intrakranial), toraks (pulmonari), lebam, bronkus atau aorta pecah, patah tulang sternum akibat hiperfleksi dagu), kecederaan tulang belakang dan abdomen.
Awasi ahli keluarga terutamanya anak kecil, elakkan menghampiri bahagian bangunan yang mendedahkan kepada bahaya. Setiap kediaman di aras tinggi sepatutnya dilindungi jeriji untuk mengelakkan risiko kemalangan terjatuh.
Mingguan Wanita: Biarpun mangsa terselamat, namun mak ayah harus mengambil pengajaran dari kisah ini. Berwaspadalah dan berhati-hati terhadap ahli keluarga apabila berada di tempat tinggi.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.