Sejak semalam berlegar di media sosial berteka-teki sama ada esok raya iaitu hari Isnin, 2 Mei atau Selasa, 3 Mei. Mengikut kalendar tertulis Hari Raya jatuh pada hari Selasa, 3 Mei.
Membayangkan hari raya jatuh pada hari Selasa, ada segelintir mak-mak yang masih belum membuat persediaan rapi. Malah, masih ada yang merancang untuk membeli belah barangan dapur di saat akhir iaitu pada hari Isninnya.
Esok, Isnin 2 Mei Hari Raya
Menerusi pengumuman yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sekitar jam 8 malam Ahad tadi, memaklumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada esok hari, Isnin 2 Mei 2022.
Katanya, “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Malaysia mengistiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Isnin, 2hb Mei 2022.”
Pengistiharan itu dibuat menerusi televisyen tempatan.
Ads
Alhamdulillah, selepas menyambut kedatangan Ramadan pada 3 April lalu, esok dapatlah menyambut 1 Syawal bersama ahli keluarga masing-masing.
Malah, ada di pasaraya mahu pun supermarket dibanjiri pelanggan yang membeli belah barangan dapur di saat-saat akhir.
Dalam Kejutan, Kelam Kabut Buat Persediaan Sambut Raya
Tinjauan Mingguan Wanita di media sosial mendapati ada segelintirnya yang masih dalam kejutan. Lagi-lagi bila ada yang membayangkan hari raya jatuh pada hari Selasa.
Ada juga yang masih belum menyediakan juadah hari raya seperti rendang, ketupat dan lemang. Malah, ada yang memaklumkan akan terpaksa berjaga malam demi menyiapkan juadah hari raya untuk esok hari.
Rata-rata masih belum membuat persediaan rapi untuk menyambut Aildilfitri esok hari.
Bagaimanpun, dalam menghadapi kejutan ini, rasa kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dapat mengeratkan silaturahim dengan aktiviti ziarah kunjung mengunjungi yang hampir dua tahun tidak dapat dilaksanakan pada 1 Syawal nanti.
Selamat Hari Raya kepada semua pembaca Mingguan Wanita di luar sana. Semoga tahun ini memberi keberkatan dan rezeki yang baik-baik untuk semua. Amin.
Sumber/Foto : Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bab pakaian untuk jamuan sekolah bersempena Hari Raya ini pun kadangkala boleh buat ibu pening kepala. Lagi-lagi, bila ada arahan yang bertukar-tukar ‘last minute’ dari pihak sekolah.
Ibu ini, Szaza Baharuddin meluahkan kesukaran yang dihadapi ketika mahu memenuhi hajat anak untuk meraikan jamuan hari raya di sekolah. Kadangkala, memang terjadi hal semacam ini.
Keputusan berubah-ubah di saat akhir. Boleh menjadi satu hal pula untuk ibu mencari dan sediakan ikut keperluan yang diberikan.
Hahahha … Ada kisah kurta lagi ni.
Sekolah abang Otomen ada nak buat Majlis Hari Raya. Dalam surat tersebut memaklumkan pelajar lelaki perlu memakai baju Melayu lengkap sepasang dengan songkok dan sampin. Surat yang dihantar oleh cikgu pada Jumaat lepas.
Sejak 2,3 tahun ni kami dah jarang beli baju Melayu. Apatah lagi, sebelum ni kita pun tak beraya. Tahun ni juga tak balik kampung sebab temankan suami kena standby kerja. Jadinya, kami pilih kurta sahaja, dok kat rumah aje pun pada Raya pertama.
“Umi, cikgu cakap boleh pakai kurta. Tapi, pakai dengan seluar slack. Seluar slack tu apa Umi,?” Soal Abang Otomen sambil Google ‘seluar slack’.
“Alaa, seluar yang selalu Abang pakai tu. Yang ada banyak poket tu.”
Abang Otomen senyum-senyum. Teruja.
“Umi cadang nak masak apa untuk kelas abang?”
“Macaroni goreng?”
“Banyak Umi kena masak nanti. Buat yang senang je.”
“Karipap?”
“Hah, boleh-boleh. Abang suka karipap.”
* Bila tengok kat group, sumbangan parents untuk kelas ada pelbagai juadah – creampuff, cheese cake, brownies …dan si Umi Otomen ni bagi karipap je, old school!! Hihi
Turun dari van sekolah Abang nampak tak happy.
“Esok tak nak gi sekolah.”
“Kenapa?”
Abang diam, masuk bilik.
Masa makan malam.
“Umi tau tak? Kat kelas BM tadi cikgu cakap tak boleh pakai kurta. Jadi, Abang malas nak datang.”
“Laaaa, hari tu bagitau boleh.”
” Entahlah, ada cikgu cakap boleh, ada cikgu cakap tak boleh.”
* Boleh je pakai uniform sekolah …kau rasa?
Sorang-sorang pakai uniform sekolah memang akan terasa terpinggir… jadinya Umi malas nak bagi cadangan tu.
“Nak pergi sekolah tak?”
Abang geleng kepala, muka masam. Merajuk.
Tahu, baju Melayu baju kebangsaan. Melambangkan budaya Melayu. Boleh je anak pakai baju Melayu cumanya pihak sekolah sahaja yang tidak tetap pendirian – sekejap boleh, sekejap tak. Last minute camni mana nak cari baju Melayu ..huhu
*Sekolah adik Otomen sempoi. Kalau nak pakai kurta, pakai dengan seluar sekolah & kasut sekolah. Kan senang.
#coretanshaza
Mingguan Wanita :Sungguhlah, kadang bukan setiap keluarga dapat beli baju Melayu di Hari Raya. Malah, ada yang memang tiada baju Melayu di rumah. Mengapa perlu dirumitkan hal yang sepatutnya memudahkan.
Orang berniaga ini jiwanya kena kental. Tahan sabar berniaga dengan segala macam dugaan. Paling utama, letaklah seluruh kepercayaan yang rezeki tak pernah salah alamat.
Ada hari, jualan habis terjual, ada hari, sedikit saja jualan orang beli. Tetap janganlah berputus ada dalam berniaga.
Kisah berniaga yang dikongsikan Abu Hurairah Roslan ini cukup mendalam untuk dijadikan ikhtibar. Semoga peniaga terus cekal dan yakin dengan pemberi rezeki.
Kisah yang selalu saya ingat ketika Ramadan.
Ini kisah semasa saya di Langkawi.
Saya pernah berniaga bazar.
Saya biasa berniaga bazar.
Saya dah rasa perihnya berniaga bazar.
Dari bangun awal pagi, masak lauk sampai tengahari.
Lepas zohor, masukkan barang dalam van. Angkat khemah, kerusi, tray, alas, sudu dan macam-macam lagi.
Dah sampai bazar, susun pula satu-satu. Meja, kerusi, lauk pauk sampailah terduduk keletihan yang amat sangat.
Kadang matahari pacak atas kepala, kadang hujan membasahi semua. Dan sakit kepala seperti dah jadi biasa!
Satu hari niaga, hujan lebat. Angin kuat sampai berniaga sambil pegang payung.
Dari pukul 3 sampai pukul 6 hujan tak berhenti. Orang yang datang tak perlu kira pakai jari. Sebab tak sangat ramai.
Peniaga lain dah mula bungkus.
Muka masing-masing hampa.
Kecewa lebih ramai sebenarnya.
Ada yang lempar balang air ke longkang. Marah gamaknya. Yang jual lauk.. pun menung. Yang jual nasi ayam, nasi tomato, nasi briani lagi nanges.
Saya diam. Melihat hamparan lauk yang masih belum di beli. Ikan kembung segar dalam kari. Ikan pari masih berenang dalam asam pedas ni. Ayam tetap bergolek sana ke mari.
Teringat mak pesan,
“Berniaga ni, dia adalah usaha kita nak belajar percaya. Rezeki tu Allah yang bagi. Bukan orang yang beli”
Gelisah mat amin! dah nak pukul 7. Sorang pun takde.
“Bu, balik lah. Takde sape nak beli tu!”
“Kau niaga apa woi hujan-hujan! baliklah giler!”
Saya masih diam. Saya pandang langit, moga Allah kasihkanlah saya yang dah penat dari pagi.
Tiba-tiba tepat pukul 7.10 minit, sebuah kereta parking. Keluar seorang akak.
“Adik! Alhamdulillah, nasib baik masih ada lauk. Akak buat makan-makan untuk anak yatim kat rumah tu. Tapi katering tak sampai-sampai. Boleh tak kamu hantar semua lauk ni? sempat lagi nak buka 7.30 kan?”
Nak nanges!
Allah balas kepercayaan ni.
Saya ajak semua lauk ke rumah akak
“Nah, RM500. Kalau kurang kira nanti ek. Lepas majlis habis. Rumah akak kat jalan 4, simpang kanan kampung sira.”
“Baik kak!”
Saya angkat semua lauk. Saya tengok ikan kembong dan ikan pari menari-nari. Ayam lagi la hepi. Sotong udang berpelukan tanpa geli.
Allah, Engkau Maha pemberi rezeki buat kami!
Allah!
Allah!
Moga Allah ganti segala yang rugi. Moga Allah hiburkan para peniaga disaat hujan begini. Moga Allah balas segala jerih perih mereka.
Kalian penghibur manusia.
Allah sangat suka.
#sweeterapi
Mingguan Wanita : Manisnya sebuah kesabaran itu kan.. semoga ada yang terinspirasi dari kisah ini.
Kenyataan Ifa, Ini Teguran Ustazah Asma’ “Hati-Hati Dengan Apa Yang Diberi, Bimbang Ia Musibah Tersembunyi”. Mengambil pendekatan untuk memberi teguran dan penjelasan tentang kenyataan “Saya dah 3 kali pergi umrah, yang pakai tudung tak dijemput pun” oleh Ifa Raziah.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ifa yang membidas komen para netizen yang menempelak dirinya tidak menutup aurat menerusi live di akaun rasmi Tik Tok penyanyi sensasi itu.
Kenyataan Ifa, Ini Teguran Ustazah Asma’
Mengambil pendekatan untuk menasihati, pendakwah terkenal Asma’ Harun & Tim Penyelidikan menerusi perkongsian di akaun rasmi Facebook Ustazah Asma’ Harun menyatakan;
“Harus faham, hukum menunaikan umrah ialah sunat muakad, iaitu sunat yang amat dituntut, namun hukum MENUTUP AURAT IALAH WAJIB. Ramai salah faham tentang keutamaan ini menyebabkan perkara wajib dilengah-lengahkan tapi yang sunat atau harus pula dikejar sehingga terabai yang wajib.
“Ada juga sebahagian yang merasakan tidak mengapa jika tak menutup aurat, yang penting hati mereka baik. Jika kita ke kedai buah, mana yang kita akan pilih, buah yang luarnya baik atau yang sudah dipenuhi lebam dan busuk?
“Apabila pilih yang luarnya baik, ada kemungkinan isinya segar atau rosak, tetapi luar yang buruk sudah pasti isinya juga telah rosak.
Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
“Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
(HR Ahmad, hadis Hasan)
“Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya. Allah SWT berfirman:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Qalam: 44)
Syeikh Ibnu ‘Athoillah al-Sakandari pernah menyatakan di dalam kitab Hikam:
Maksudnya: “Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj.”
“Allah berhak memberi apa sahaja kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan termasuk yang mensyirikkan-Nya dan bermaksiat kepada-Nya. Namun perbezaan besar adalah sama ada apa yang diberi itu dengan kasih sayang atau murka-Nya.
“Alhamdulillah, peluang untuk menunaikan haji atau umrah itu memang direzekikan kepada mereka yang terpilih, namun kayu ukur yang lebih penting ialah APA PERUBAHAN yang berlaku pada diri kita SELEPAS PULANG daripada haji atau umrah? Adakah akhlak dan ibadah kita lebih baik, sama sahaja atau semakin buruk? Allahu Akbar.
“Jangan salah faham, orang yang menegur bukan buat kerja Tuhan, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam.
“Saya percaya ramai yang bimbangkan keadaan masyarakat dan generasi anak-anak kita yang mudah sekali dirosakkan minda dan akhlak mereka oleh segelintir selebriti, influencer, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.
“Para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating. Popular dan pengaruh bukanlah satu kebanggaan atau anugerah, sebaliknya hanya alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemungkaran. Kita akan dipertanggungjawabkan kelak, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.”
(HR Muslim, hadis sahih)
“Menutup aurat bukan ertinya berlagak suci, juga yang berhujah dengan ayat “kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup masing-masing, jangan disebut aib orang secara terbuka dll.” SEMUA AYAT ITU HANYA HUJAH AKAL UNTUK HALALKAN DOSA SECARA TERBUKA.
“Bila ada yang menegur, bukan bermaksud nak ME-NERAKA-KAN sesiapa, tetapi Allah dan RasulNya sendiri telah memberitakan ciri-ciri mereka, apa yang Nabi SAW sebut lebih 1400 tahun lepas telah terbukti satu demi satu. Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi menampakkan bentuk badan), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (atau apa sahaja daya tarikan supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sekarang mari kita semak dengan jujur, adakah kita termasuk golongan yang disebutkan Nabi Muhammad SAW di atas, atau adakah kita nak marahkan Baginda?”. Asma’ binti Abu Bakar pernah memakai pakaian yang agak nipis ketika perintah menutup aurat masih dalam proses secara beransur, Nabi Muhammad SAW terus menegur dan beliau terus ubah tanpa bantah dan beralasan, bahkan ketika turunnya ayat tentang hijab (tudung), terus para wanita ketika itu mencari dan mengambil apa sahaja kain yang ada untuk menutup TANPA BERTANGGUH.
“Pernahkah terfikir bagaimana jika suatu hari nanti dipanggil bertemuNya, saat jasad sudah masuk ke liang lahad, namun dosa masih berjalan kerana gambar atau video mendedahkan aurat masih kekal berada di media sosial?. Nauzubillahiminzalik. Moga sempat dipadam oleh diri sendiri, bukan waris, kerana itu adalah tanda sempat bertaubat sebelum mati.
“Kita tidak pernah tahu bilakah detik kematian akan kunjung tiba, namun yakinlah setiap hela nafas yang Allah masih pinjamkan buat kita saban hari, itulah peluang berharga untuk kembali kepadaNya. Balaslah kasih sayang Allah dengan mentaati setiap perintah dan meninggalkan laranganNya.
“Ingatlah setiap rupa, kekayaan, kemasyhuran, pengaruh, keuntungan, pujian manusia dan bakat yang ada pada diri kita menjadi anugerah dan ibadah jika dimanfaatkan ke arah yang baik, namun apabila digunakan ke jalan bercampur maksiat, ia adalah satu musibah!
“Penulisan ini lahir daripada rasa kasih sayang dan hormat kepada semua, atas dasar saudara se-Islam juga teguran ini dibuat. Sebagai seorang wanita Islam, cara hidup kita di atas bumi Allah ini bukan semata-mata bersandarkan kepada logik akal atau pendapat peribadi, tetapi setiap perkara ada garis panduannya menurut alQuran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
“Semoga kita semua sentiasa dalam taufiq dan hidayah-Nya serta bersegera memohon keampunan dan rahmat-Nya.
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”