suami isteri

Setiap pasangan berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. Kalau boleh biarlah mengharapkan untuk sehidup dan semati.Lebih-lebih jika tempoh perkahwinan telah melangkaui berpuluh tahun dan mencecah setengah abad!

Satu detik kematian yang indah dan ‘dicemburui’ oleh ramai pasangan, apabila pasangan suami isteri,Imam Masjid Jamek Simpang Renggam, Kluang dan isterinya meninggal dunia ketika tidur di Kampung Chokro,Simpang Renggam, awal pagi kelmarin setelah 51 tahun hidup bersama.

Bera Madiran, 78, yang menghidap diabetis dan isterinya, Siti Munah Damin, 60, menghidap kanser limfoma disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi.

Terdahulu, suami isteri berkenaan dikatakan meninggal dunia dalam tempoh selang dua jam.Anak sulung mereka Mohamad Farid, 50, berkata ibu bapanya disedari sudah meninggal dunia oleh adik bongsu perempuannya yang tidur bersama di bilik mereka.

“Biasanya ayah akan bangun awal untuk bersiap mengimamkan solat Subuh di masjid, namun pagi tadi ayah tidak bangun seperti biasa menyebabkan adik saya mengejutkannya.

“Namun, ayah tidak bergerak sebelum adik mengerakkan ibu pula tetapi tiada juga maklum balas menyebabkan adik kemudian memanggil kami (anak yang lain).

“Kami kemudian menelefon talian kecemasan sebelum pegawai perubatan yang datang mengesahkan ibu bapa kami sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya.

Bukan Selang Dua Jam

Menurutnya, walaupun terkejut kerana ibu bapa pergi serentak ketika tidur, namun adik-beradiknya reda dengan pemergian mereka berdua. Katanya, timbul salah faham dalam laporan awal yang tular menyatakan ibu bapanya meninggal dunia selang dua jam.

IKLAN

“Sebenarnya mereka berdua meninggal bersama ketika sedang tidur. Ayah dan ibu juga tidak menunjukkan perbezaan tingkah laku, malah ayah sempat menghadiri jemputan kenduri potong jambul, malam tadi.

“Ayah juga kelihatan ceria dan seronok melayan cucunya bermain apabila pulang dari kenduri, malam tadi,” katanya.

Katanya, bapanya Imam di Masjid Jamek Simpang Renggam sejak lebih 20 tahun lalu selepas bersara sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam.

“Ayah dan ibu kami adalah pasangan bahagia yang penyabar dalam mendidik sembilan anaknya. Ayah juga sering berpesan supaya kami sembilan beradik sentiasa menjaga tingkah laku, malah pernah menyatakan jika umurnya tidak panjang, kami adik-beradik perlu terus saling menyayangi dan menjaga perhubungan,” katanya.

Menurut anak kedua pasangan suami isteri ini pula, beliau bersyukur Allah permudahkan segala urusan arwah mak dan abahnya. Azlina berkata, dia bersama sembilan lagi adik beradiknya juga reda dengan pemergian arwah bapanya, Bera Madiran, 78, dan arwah ibunya, Siti Munah Damin, 66, yang disifatkan sebagai pasangan sehidup semati.

IKLAN

51 Berkahwin, Tidak Pernah Berjauhan

Menurutnya, sebelum ini, bapanya yang juga imam Masjid Jamek Simpang Renggam sentiasa bersama ibunya untuk ke mana sahaja termasuk ketika memberikan ceramah agama selain tidak pernah berjauhan sepanjang 51 tahun berkahwin.

“Terkejut memang terkejut tetapi kami adik beradik reda kerana apa yang berlaku ini atas izin dan kehendak ALLAH dan pemergian mak dan abah juga cukup indah kerana wajah mereka saling berpandangan di antara satu sama lain.

“Kali terakhir saya jumpa arwah mak dan abah pada dua minggu lalu dan ketika itu tiada sebarang perubahan dan arwah memang cukup suka kalau anak-anak dan cucu-cucunya berkumpul di rumah ini,” katanya

Katanya, ibunya yang menghidap kanser limfoma juga sudah selesai menjalani beberapa kitaran kemoterapi dan sudah hampir sembuh selain bapanya menghidap penyakit kencing manis dan terpaksa disuntik insulin.

IKLAN

Sementara itu, anak sulung pasangan tersebut, Mohamad Farid, 50, berkata, kebetulan pada hari kejadian, seorang adiknya, Nur Shafikah, 28, yang tinggal di Kelantan pulang ke kampung dan tidur bersama-sama ibu dan bapanya di dalam satu bilik yang sama.

“Kira-kira dalam jam 5 pagi, Nur Shafikah yang sedang menyusukan anaknya terdengar nafas ibu dan mungkin ketika itu arwah ibu sedang nazak dan dia (adik) cuba pula untuk mengejutkan arwah ayah yang disangkakan ketika itu sedang tidur.

“Nur Shafikah kemudian kejut adik bongsu, Aidil Adha, 19, yang tidur di dalam biliknya sebelum menghubungi saya yang tinggal tidak beberapa jauh dari sini dan adik-adik yang lain dan ketika itu mak dengan abah memang sudah meninggal dunia,” katanya.

Arwah Dihormati Ramai

Mohamad Farid berkata, arwah bapanya yang juga pesara guru agama di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, di sini, juga seorang yang disegani kerana merupakan imam selain pernah menjadi juru nikah dan Penggerak Keluarga Sakinah.

Katanya, dia juga bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dan kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Berumbung, kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.

MW: Semoga roh pasangan suami isteri ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: Hmetro & Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI