Empat beradik yatim piatu sekelip mata, suami isteri terlibat kemalangan maut ketika konvoi motosikal. Innalilahiwainailahirojiun. Kepada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Tiada daya upaya kerana ia takdir yang tertulis sejak azali.
Empat beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu dan ayah mereka terlibat dalam kemalangan maut ketika mengikuti konvoi motosikal semalam. Dalam kejadian ini, Azranawi Radzi, 42 tahun maut di tempat kejadian manakala isterinya, Rosnah Ahmad, 44 tahun meninggal dunia di KK Lenggong selepas terlibat dengan kemalangan.
Kemalangan berlaku di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, dekat Kota Tampan, Lenggong petang semalam berpunca daripada kereta Iswara keluar secara mengejut dari simpang kanan.
Empat beradik ini bergelar yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dalam konvoi motosikal.
Azranawi yang juga merupakan pemilik Restoran Rose Pulut Ayam yang terletak di Ipoh dikatakan mengikuti konvoi motosikal sempena cuti Deepavali dan memandu skuter Kymco ditunggang terbabit nahas dengan sebuah kereta Iswara.
Pasangan ini meninggalkan empat orang anak berusia 16, 14, 12 dan 7 tahun di mana tiga lelaki dan seorang perempuan.
Dalam pada itu difahamkan, persoalan siapa yang bakal menjaga anak-anak yatim ini diperbincangkan oleh ahli keluarga ini.
Pemilik motosikal ini maut di lokasi kejadian
Menurut ibu saudara kepada arwah Rosnah, Hamizura mengakui tidak menyangka kemalangan maut ini terjadi pada pasangan suami isteri ini.
Ads
“Mungkin antara kami ahli keluarga tiada masalah dan boleh menjaga mereka namun kasih sayang seperti ibu dan ayah kandung tidak serupa.
“Kalau boleh, kami hendak jaga keempat-empatnya dan perbincangan akan dibuat selepas ini untuk tidak memisahkan penjagaan antara empat beradik itu walaupun secara logiknya siapa sahaja yang mampu dan sanggup menjaga keempat-empatnya serentak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik, di sini.
Pasangan ini akan dibawa ke Masjid An-Nur Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan, Ipoh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan semua perkahwinan yang dibina atas dasar kasih sayang akan berakhir dengan bahagia. Ada yang putus ditengah jalan. Paling pedih bila dah bergolak bagai, ketika dalam proses penceraian, isteri tidak tahu akan haknya yang sebenar.
Suami mula putar belit kenyataan. Dan disebabkan tidak tahan menanggung hubungan yang menekan, isteri rela membiarkan diri dimakan janji-tekanan emosi yang suami kejam ciptakan.
Inilah kisah benar yang berlaku pada Puan Suraya (Mingguan Wanita tidak mendedahkan identiti sebenar beliau atas dasar keselamatan). Beliau berkongsi cerita dengan kami. Mahu agar kisah hidupnya menjadi pengajaran untuk kaum wanita di luar sana.
Saya Tanggung Semua Hutang Suami
Saya mula ke Mahkamah Syariah sejak 2015 dengan 3 tuntutan iaitu tuntutan cerai. Kes berlanjutan hampir setahun kerana bekas suami enggan menceraikan. Dia akan melepaskan dengan syarat saya perlu menandatangani surat bahawa saya perlu menanggung hutang yang dibuat atas nama saya (pinjaman perniagaan dan motorsikal besar). Saya juga tak boleh membuat apa-apa tuntutan kecuali nafkah anak-anak.
Anak-anak bersama saya seramai 4 orang. Tanpa pekerjaan dan wang ringgit, ditambah dengan kunjungan agensi penuntut hutang menyebabkan saya setuju dengan perjanjian itu. Asalkan saya dilepaskan dan saya boleh bekerja. Sepanjang kes berlangsung, saya lihat betapa ramai kes wanita yang ingin bercerai tapi terpksa melalui proses yang sangat panjang.
Saya menangis lihat keperitan mereka. Kemudian kes saya teruskan dengan tuntutan hak jagaan anak-anak. Suami guna peguam swasta dan saya guna peguam Biro setelah disuruh oleh hakim. Peguam Biro sangat pasif.
Surat sampai selalu lewat, kes tertangguh dan macam-macam lagi perlu saya hadapi. Tapi saya tiada pilihan. Alhamdulillah anak-anak dapat dekat saya. Saya buat tuntutan kerana bekas suami tidak akan beri nafkah anak-anak selagi tidak diputuskan mahkamah.
Masih Berjuang Sara Anak-anak Sendiri
Sekarang hanya tinggal kes tuntutan nafkah anak-anak. Sudah berlarutan masuk tahun ke-3. Saya masih berjuang untuk menyara sendiri anak-anak dengan tiada kelengkapan asas, tiada rumah, berhimpit di ruang sempit menumpang di rumah ibu, seorang ibu tunggal.
Sekarang saya tahu sebenarnya keadilan untuk wanita tidak wujud bila bermain dengan kerenah birokrasi. Banyak kemudahan untuk lelaki, memudahkan poligami dan lain lain tapi perundangan tidak memberatkan hak terhadap nyawa-nyawa yang tidak berdosa.
Saya perhatikan minda pendukung undang-undang dan saya harap secanggih bangunan Mahkamah Syariah suatu hari nanti. Saya ingin pesan pada semua wanita, dunia sekarang bukan zaman untuk bergantung pada sesiapa terutamanya lelaki.
Pastikan hak-hak kita dalam rumahtangga dipenuhi. Jangan jadi macam saya. Berpelajaran tinggi tapi dipaksa belajar dengan janji-janji manis hingga akhirnya tahun ke-16 saya nekad untuk bercerai.
Dipukul dan hak tidak diberi, malah terpaksa menanggung hutang bekas suami dengan anak-anak seramai 4 orang. Saya yakin bukan saya seorang melalui trauma ini.
Kita perlu support sesama wanita. Ajar anak perempuan berdikari dan ajar anak lelaki agar tidak menganiaya wanita kerana itu sahaja yang mampu kita buat. Kita tidak mampu mengubah masyarakat.
Saya harap kisah ini membuka mata wanita di luar sana.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pemandu wanita rempuh pelajar UiTM Dungun dipercayai ada masalah mental, tragedi berdarah di hadapan universiti. Tragedi berdarah melibatkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun nyata agak menyedihkan kerana pemandunya seorang wanita dipercayai mempunyai masalah mental.
Dari suara yang tular di media sosial, kereta Honda dipandu wanita ini dipercayai dipandu laju sebelum merempuh kesemua pelajar yang baru habis menjalani latihan kokurikulum sebelum memasuki kawasan hadapan universiti.
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pihak polis menerima laporan kemalangan jam 7.35 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun pada Rabu.
Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan dua buah motosikal Yamaha jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC.
Katanya, mangsa yang maut ialah pelajar tahun 2 UiTM Dungun (Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan), Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang beralamat di Ayer Hitam, Muar Johor.
Beliau memberitahu, dua lagi mangsa masing-masing pelajar tahun 2 jurusan Sarjana Muda Sains Perakaunan iaitu Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 berasal dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20 dari Ampang, Selangor.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang leher, cedera di kepala dan dada sert disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dari arah yang sama iaitu dari Kuala Dungun menghala ke Pantai Teluk Gadung.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba SUV tersebut telah merempuh bahagian belakang dua motosikal yang berada di laluan sama.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
“Seorang mangsa yang parah iaitu pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan dari Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurut Rukiman, suspek wanita berusia 49 tahun itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Selesa Berbaju Kurung
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Sahut Cabaran Rakan
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Pecah Tradisi Kerjaya
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.
Minat Aktiviti Lasak
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...