
Ziana Zain kini bergelar Datuk. Selepas lebih tiga dekad membina nama sebagai antara penyanyi wanita tersohor tanah air, perjalanan seni pemilik vokal hebat ini menerima satu lagi pengiktirafan apabila dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk.
Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain menerima darjah kebesaran berkenaan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Ziana merupakan antara 189 individu yang menerima D.P.S.M. pada istiadat berkenaan, bersama penerima lain daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang perkhidmatan awam, politik, korporat dan seni.
Penganugerahan tersebut cukup istimewa apabila hadir selepas perjalanan panjang Ziana dalam dunia seni, sejak mula mencipta nama pada era 1990-an sehingga kekal relevan dan mempunyai kelompok peminat tersendiri sehingga hari ini.
Ziana Zain Kini Bergelar Datuk

Tak Pernah Kejar Gelaran Datuk
Menariknya, kira-kira sebulan sebelum menerima pengiktirafan tersebut, Ziana pernah ditanya mengenai desas-desus namanya bakal menerima gelaran Datuk.
Ketika itu, Ziana secara terbuka menjelaskan bahawa soal gelaran bukan sesuatu yang dikejarnya. Sebaliknya, diva ini menyerahkan perkara tersebut kepada rezeki dan ketentuan Allah SWT.
Menurut Ziana, perkara yang jauh lebih penting adalah dirinya masih mampu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi serta melakukan apa yang dicintainya sejak sekian lama iaitu menyanyi dan menghiburkan khalayak peminatnya.
Malah ketika mengulas perkara itu, Ziana menyifatkan sebarang gelaran yang hadir sebagai rezeki daripada Allah SWT dan sekiranya sudah tiba waktunya, dia akan menerimanya dengan penuh kesyukuran.
“Saya tidak mengejar gelaran, itu semua Allah SWT yang berikan.”
Kenyataan tersebut ternyata mempunyai makna yang cukup manis hari ini apabila apa yang selama ini diserahkan kepada ketentuan akhirnya menjadi rezeki buat dirinya.
Lebih Tiga Dekad Mewarnai Industri Seni
Bukan perjalanan singkat untuk Ziana berada pada kedudukannya hari ini.
Lebih tiga dekad dalam industri menyaksikan namanya melalui pelbagai zaman dan perubahan landskap muzik tempatan. Namun Ziana kekal menjadi antara figura seni yang dikenali merentasi generasi.
Kekuatan vokal serta gaya persembahan tersendiri menjadikan Ziana antara penyanyi wanita yang cukup menonjol sejak awal kemunculannya.
Deretan lagu popular seperti Madah Berhelah, Puncak Kasih, Anggapanmu dan Putus Terpaksa bukan sahaja melonjakkan namanya malah terus menjadi karya yang cukup sinonim dengan Ziana sehingga hari ini.

Keupayaannya bertahan selama lebih 30 tahun juga membuktikan bahawa perjalanan seorang anak seni tidak hanya bergantung kepada populariti sesaat.
Konsistensi, disiplin dan kemampuan untuk terus diterima khalayak menjadi antara kekuatan yang membolehkan namanya terus berada dalam industri meskipun muncul begitu ramai penyanyi daripada generasi baharu.
Pengiktirafan Manis Buat Ziana Zain
Daripada seorang penyanyi muda yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu-lagu bernada tinggi sehingga menjadi antara nama besar industri muzik Malaysia, perjalanan Ziana sarat dengan pencapaian dan pengalaman.
Anda mungkin berminat dengan
Kini, gelaran Datuk menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan panjang tersebut.
Lebih manis, pengiktirafan itu hadir selepas Ziana sendiri sebelum ini berkali-kali menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengejar gelaran berkenaan.
Malah, pendirian sama pernah disuarakan Ziana beberapa tahun lalu apabila dirinya menganggap sebarang pengurniaan gelaran sebagai rezeki dan bonus sekiranya diberikan kepadanya.
Dalam istiadat sama, seramai 1,328 penerima menerima pelbagai darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Melaka.
Selepas lebih tiga dekad menghiburkan peminat dan meninggalkan jejak tersendiri dalam industri muzik tanah air, penghormatan ini pastinya menjadi antara momen paling bermakna dalam perjalanan seni Ziana.
Tahniah Datuk Ziana Zain!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

