Tragedi terjerut baju hujan yang menimpa murid tahun empat, Tuan Nur Irdina Najwa Tuan Rosli, 10 berlaku sekitar jam 10.15 pagi tadi di Kampung Gong Tanah Merah, Jertih.
Tentunya meninggal kesan mendalam buat seluruh ahli keluarga arwah. Anak sulung daripada tiga beradik ini dikenali di kalangan ahli keluarganya dengan panggilan Wawa.
Arwah Wawa seorang anak yang baik dan amat menjaga solatnya. Inilah yang dikongsikan neneknya, Haminah Awang Ahmad, 67.
Sejak Usia 7 Tahun Arwah Amat Menjaga Solat
Kata nenek, sejak usia 7 tahun lagi Wawa dah jaga setiap waktu solatnya. Malah malam kelmarin Wawa sempat mengikut neneknya mengerjakan solat tahajud.
“Wawa anak yang mudah mendengar nasihat, anak yang sangat baik, sangat rajin solat. Malam tadi, dia mahu tidur dengan makciknya. Tetapi saya pujuk tidur bersama saya. Paginya dia bangun awal solat Subuh.”
“Wawa suka bentang sejadah untuk berkongsi dengan sepupunya yang lain. Dia sendiri tahu kewajipan solat setiap waktu tanpa perlu disuruh.”
Disebabkan kegigihan Wawa itulah neneknya selalu menghadiahkan telekung untuk cucunya. Tujuannya mahu beri galakan agar Wawa rajin dan bersemangat menjaga solat.
Ads
“Tidak sangka pula kejadian ini berlaku. Apa pun kami redha.”
Baju Hujan Terjerut Di Leher
Mengimbas trajedi yang menimpa Wawa, arwah membonceng motosikal Honda RS150R yang dipandu ibu saudaranya, 31. Keduanya mahu menghadiri satu majlis. Dari Kampung Gong Nering, mereka mahu ke lokasi majlis di Kampung Darau.
Baju hujan yang dipakai itulah kemudiannya menjerut bahagian leher mangsa. Seorang saksi yang ada di situ, Sabri Muda cuba membantu menanggalkan baju hujan yang menjerut mangsa. Tetapi usahanya gagal.
“Motosikal itu tertindih di atas kepalanya. Saya pun bergegas ambil pisau, cuba kerat baju hujan tapi tak dapat.”
Ads
“(Selepas) Saya ambil spanar dan rantai motor baru boleh angkat mayat.” Wawa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Ibu saudaranya tidak cedera.
Kehilangan Arwah Amat Dirasai
Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan selanjutnya. Hasil bedah siasat Wawa disahkan meninggal dunia akibat parah di leher.
Allahyarham menetap bersama keluarganya di Jeli, Kelantan. Cuti persekolahan ini lah, Wawa pulang ke kampung neneknya.
Semasa kejadian berlaku, neneknya tidak ada di rumah. Dia mengikut ibu arwah untuk menyelesaikan urusan keluarga di Kampung Raja. Itu yang arwah ambil keputusan untuk ikut ibu saudaranya keluar.
Tambah neneknya, kehilangan arwah amat dirasai semua adik-beradiknya, sepupu malah saudara mara. Sifat ceria, banyak cakap dan kemesraannya dengan mereka membuatkan ingatan pada Wawa sukar dipadamkan.
Jenazah Wawa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kayu Kelat, Jertih selepas solat Asar hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan, Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
MW : Al Fatihah.. semoga Allahyarham Tuan Nur Irdina Najwa Tuan Rosli ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Pasangan suami isteri ini, Azman Syah Gusti, 28 dan Salwati Yaakob, 28 baru tiga hari bernikah. Dan bakal meraikan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dengan segala persiapan yang sudah siap disediakan.
Namun, Allah lebih menyayangi isterinya. Lewat malam Selasa, isterinya itu dijemput Ilahi dalam kemalangan maut yang melibatkan 7 kenderaan di Kilometer 317 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Tapah, dekat Tapah.
Malam itu, Azman dan isteri serta rakannya, Radhiah Sumell, 28 yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan ke Sungai Buloh dari Kuala Kedah, Kedah. Mereka mahu menyempurnakan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki yang dijadualkan pada 23 dan 24 November ini.
Dan sepanjang perjalanan itu, isteri di sebelah tak lekang dari senyuman. Kata isteri, dia suka melihat suaminya memandu. Rupanya itulah, senyuman terakhir isteri untuk suami.
“Sudah tentu saya sedih kerana kami baru melangsungkan pernikahan Sabtu lalu. Namun saya redha walaupun sedih dengan pemergiannya.” Suami ini berkongsi kesedihan ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tapah.
Kata Azman lagi, bapanya sudah menempah lembu untuk meraikan kedatangan isteri. Malah lebih 500 kad undangan telah diedarkan. Segala persiapan majlis resepsi sudah disiapkan dari pihaknya.
Tentunya, berita mengejutkan ini memberi kesan yang begitu mendalam buat seluruh ahli keluarga Azman dan Salwati.
Sementara ibu mangsa, Zaimah Hamim, 45 berkongsi anaknya dan suami bertolak ke Selangor jam 6 petang semalam.
Sebelum berangkat, sempat mereka berborak seperti biasa. Namun, dia tidak nampak sebarang perubahan pada anak sulungnya dari tujuh beradik itu.
Azman yang bekerja sebagai juruteknik di Setapak, Kuala Lumpur manakala Allahyarham Salwati bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.
Kemalangan itu menyebabkan Azman cedera jari kanan dan rakannya, Radhiah patah kaki kiri.
Kemalangan nahas 7 kenderaan ini membabitkan treler muatan kertas, lori penghantar barangan pos, treler muatan gula, Mitsubishi Pajero, Perodua Myvi, Honda Accord, Perodua Axia dan sebuah lagi kenderaan yang belum dikenal pasti.
Seorang lagi mangsa disahkan maut, Beh Xiu Zhung, 5 yang berada dalam pacuan empat roda Mitsubishi Pajero. Ibu mangsa, Doan Thi Bich, 32 warganegara Vietnam juga tercedera.
Dua lagi mangsa daripada 13 mangsa juga cedera.
Daripada siasatan polis, punca kemalangan dipercayai berlaku apabila treler muatan kertas yang dipandu lelaki 52 tahun menuju ke Kuala Lumpur, hilang kawalan.
Kemudian melanggar belakang Perodua Axia yang ada di depannya.
Seterusnya, treller melanggar bahagian kiri Honda Accord, bergesel pula dengan treler muatan gula di bahagian kanan sebelum melanggar Mitsubishi Pajero.
Impak pelanggaran itu, mengakibatkan Mitsubishi Pajero terhimpit antara treler muaran kertas dengan lori penghantaran barang pos.
Lori itu kemudian melanggar belakang Perodua Myvi yang ada di depan.
MW :Al Fatihah untuk keluarga Allahyarham Salwati Yaakob. Didoakan suaminya, Azman tabah menghadapi pemergian insan yang teramat istimewa dalam hidupnya ini.
Sumber/Foto : Harian Metro, Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Seluruh tubuh sakit seperti dicucuk jarum, leher bagaikan dicekik sehingga mengalami sesak nafas dan dalam perut terasa ada objek bergerak.
Lebih menimbulkan pertanyaan, susuk tubuh Nur Izzati Afiqah Hussian, 29, dari Kampung Gaung, Tendong di Pasir Mas yang asalnya 150 kilogram (kg), kini dianggarkan lebih 300 kg dan perubahan ini berlaku secara drastik dalam tempoh tiga bulan.
Penderitaan wanita mesra disapa Afiqah bermula sejak Ogos lalu yang pada asalnya mengalami rasa sakit di beberapa bahagian tubuh dan tidur malamnya kerap diganggu kejadian mistik.
Dia yang sebelum ini adalah tenaga pengajar di sebuah kolej di Melaka, terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung kerana keadaannya semakin membimbangkan.
“Pada awal diserang penyakit misteri ini saya masih mampu berjalan, sebelum masuk ke bulan seterusnya yang menyebabkan fizikal semakin besar dan terpaksa mengengsot.
“Tiga minggu kebelakangan ini keadaan saya semakin teruk yang mana sudah tidak mampu bangun dan hanya terlantar di atas tilam,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Dengan keadaan fizikalnya yang berat, rutin harian Afiqah terpaksa dibantu ibunya, Maheran Daud, 54, serta beberapa saudara mara lain untuk mengangkatnya serta sekurang-kurangnya empat individu diperlukan untuk mengurusnya terutama ketika dia membuang air kerana urusan menukar pengalas serta membasuh najis terlalu sukar.
“Saya tidak boleh memakai lampin pakai buang kerana tiada saiz dan ahli keluarga terpaksa membeli pengalas cadar dari farmasi untuk mengalas tubuh dan akan ditukar setiap kali membuang air,” katanya memberitahu lebih RM1,000 diperuntukkan untuk membeli pengalas serta beberapa kegunaan lain termasuk krim untuk menyapu badannya yang berkudis.
Terdahulu Afiqah dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) diwakili pengerusinya, Pui Tiong Lam yang menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarganya.
Bukan hanya diserang rasa sakit yang menyucuk, Afiqah juga tidak sedarkan diri dan situasi itu berlaku setiap hari yang memaksa ahli keluarga menghubungi ustaz atau imam kampung datang ke rumah untuk memulihkannya.
Sementara itu, Maheran berkata, sudah ramai pengamal perubatan Islam dan tradisional dipanggil untuk merawat Afiqah, namun sehingga kini keadaannya masih tidak pulih dan dia merayu kepada orang ramai sekiranya ada pakar yang boleh merawat, diminta tampil membantu mereka.
Dia berkata, beberapa bahagian tubuh anak kedua dari tiga beradik itu akan membengkak tidak mengira masa menyebabkan Afiqah menangis kerana terlalu sakit dan keadaan itu mengambil masa selama beberapa jam sebelum kembali mengecut.
“Saya percaya Afiqah mengalami penyakit misteri kerana kerap juga dia membuang air kecil atau najisnya mengandungi pasir, batu atau jarum yang ada kalanya menyebabkan Afiqah takut (membuang air) kerana terlalu sakit.
“Beberapa bahagian tubuhnya termasuk payudara, pinggul serta kemaluannya pernah membengkak dua kali ganda dari biasa dan ia menimbulkan rasa simpati setiap kali Afiqah merintih,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Afiqah boleh membuat sumbangan di akaun Maybank miliknya iaitu 154017484998 atau menghubunginya di talian 017-6115320.
MW: Hebat dugaan yang ditanggung wanita ini. Memiliki berat badan yang berlebihan, sehingga sukar untuk menguruskan diri sendiri dan mengharapkan bantuan orang lain.Semoga ada yang sudi menghulurkan bantuan dan rawatan buat wanita ini agar dirinya kembali sihat sediakala.
Di usia 35 tahun, sudah pasti saya juga ingin bergelar isteri dan ibu. Namun hasrat saya itu belum diizinkan Tuhan.
Terus terang, saya seorang wanita yang sangat mementingkan pendidikan dan karier. Saya tak kisah bila zaman remaja saya ‘habis’ dengan mengejar pelajaran dan cita-cita. Kini saya memiliki firma guaman saya sendiri, bersama seorang rakan baik.
Tak nafikan, kerjaya membuatkan ramai lelaki takut untuk menghampiri. Apatah lagi usia saya bukan lagi muda belia. Kalau ada pun, sudah bergelar suami orang dan pasti saya tolak mentah-mentah. Saya tak kisah kalau bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang. Bekerja sebagai peguam syariah, saya banyak uruskan kes perceraian dan banyak kes melibatkan isteri teraniaya bila suami ingin berkahwin lain. Lelaki muda? Lagi saya tolak!
Pertemuan
Kata orang, kadangkala apa yang kita nak elak, itu yang dapat. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes perceraian. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan ditemani adik lelakinya. Saya dapat rasa dia lelaki yang baik kerana sentiasa di sisi kakaknya dalam saat getir begitu.
Selepas kes itu selesai, saya terima panggilan telefon daripada lelaki itu (saya kenalkan sebagai M), mengucapkan terima kasih kerana telah membantu melancarkan kes perceraian kakaknya.
Makin Rapat
Sejak itu, sering kali juga dia whatsapp dan bila free, akan saya balas. Saya suka dengan sikapnya yang kelakar dan pandai hiburkan hati saya bila tengah tertekan. Lama-kelamaan tanpa sedar saban hari kami berhubung dan akhirnya mula keluar bersama.
Saya tak pernah simpan perasaan terhadapnya memandangkan umurnya enam tahun lebih muda. Saya membahasakan diri ‘kakak’ tapi dia enggan panggil saya begitu, katanya tak nampak pun saya lebih tua. Akhirnya saya biarkan saja.
Luah Perasaan
Dia bekerja sebagai pensyarah muda di sebuah IPTS. Satu hari saya tanya, takkan tak ada pelajar yang mengoratnya kerana orangnya boleh tahan segak juga. Tapi katanya hatinya sudah terpikat pada saya dan dia sukakan wanita yang lebih matang. Penat layan perempuan yang manja dan mengada-ada.
Mulanya saya tak ambil perhatian sebab ingatkan dia bergurau. Tapi bila dia luahkan perasaannya dengan serius, saya sedar dia tak main-main.
Dalam masa yang sama, pernah saya mengelakkan diri daripadanya selama tiga minggu namun dia tak henti-henti whatsapp walau pun saya tak balas. Akhirnya saya akur dengan perasaan sendiri, saya juga sukakan dia dan cuba beri peluang untuk kami berdua.
Kini sudah hampir setahun perhubungan kami dan rasanya ini saat tepat untuk bawa ke peringkat seterusnya kerana saya juga bukan muda lagi.
Masalahnya sekarang, saya tak tahu macam mana nak beritahu keluarga bila M mendesak saya bawa dia jumpa keluarga. Pernah saya cuba bagi ‘hint’ pada keluarga saya, apakah mereka akan terima kalau saya pilih lelaki muda tapi awal-awal lagi mak tak izinkan. Katanya jangan percaya dengan lelaki muda. Pasti nak kejar duit saya saja.
Saya serba salah, saya tahu M bukan begitu. Saya tak kisah kalau adik-beradik saya tak setuju, tapi kalau mak dan ayah, sebagai anak tentu saya kena fikir masak-masak. Saya tak nak jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Dalam masa yang sama, saya juga sangat sayangkan M dan saya yakin dia dapat jadi suami yang baik untuk saya.
Miss K, Bangi.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah. Kita merancang..Allah yang menentukan. Merancang dan berusaha serta bertawakal adalah ajaran yang Allah suruh kita ikut untuk mencapai apa yang dihasratkan. Bercakap soal jodoh, kadang-kadang pertemuan tidak dijangka menjalinkan hubungan erat yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan.
Ramai wanita kini yang tidak berkahwin. Antara alasan yang kita sering dengar adalah wanita ramai, lelaki sedikit, susah untuk berjumpa lelaki yang baik, pendidikan lelaki jauh lebih rendah dari wanita, lelaki tidak bekerja atau pendapatan yang rendah (tidak setaraf), keluarga tidak terima berkawan dengan suami orang, dan ada juga faktor umur lelaki yang jauh beza.
Selidik Dulu Soalan Ini
Sebelum kita berbincang tentang penerimaan keluarga terhadap pilihan puan, cuba puan tanya keluarga solan-soalan ini.
i) Apakah kriteria calon yang mereka mahu?
ii) Dalam keadaan usia puan yang telah mencecah 35 tahun, adakah boleh dapat lelaki ikut kriteria yang mereka tetapkan?
Jika keluarga kata mereka boleh carikan, maka puan pula berikan satu tempoh yang bersesuaian yang boleh mereka carikan. Contoh dalam tempoh 3 bulan. Jika mereka berjumpa dengan calon pilihan mereka, mohon masa untuk berkenalan dahulu. Dan jika dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat calon yang mereka mahukan, maka puan minta agar jodoh puan mereka terima.
Dalam masa yang sama, puan cuba kenali M dengan lebih mendalam…dari segi perwatakan, ilmu dan amalan keagamaan, kebiasaan aktivitinya, hubungan keluarga dan kerjaya melalui ahli keluarganya, rakan-rakannya dan di tempat kerjanya. Dari sini puan boleh membuat penilaian tentang latar belakang M. Namun, tidaklah perlu untuk mencari fakta kesempurnaannya kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maklumat ini puan simpan dan boleh dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kerjasama dengan puan. Dengan M yang selalu mendesak minta sedikit masa, katakan padanya keluarga agak berat menerima lelaki yang jauh lebih muda daripada puan. Atau boleh gunakan alasan lain yang bersesuaian. Beritahu dia solat istikharah sama ada pilihannya itu baik buatnya dan agamanya. Minta dia bersabar dengan tempoh masa itu. Jika dia benar mahukan puan, dia akan sanggup menunggu, kerana 3 bulan bukan tempoh masa yang lama.
Setelah sampai tempoh masa yang puan berikan kepada famili, jika tiada calon yang mereka bawa, maka puan boleh menyuarakan hasrat hati bahawa puan ada berkawan dengan M dan M ingin berkenalan dengan ahli keluarga. Jika puan sukar untuk memberitahu ahli keluarga dan meyakinkan mereka, maka puan boleh gunakan ahli keluarga yang memahami puan dan menyokong puan. Lihat respons keluarga sama ada mereka terima atau tidak. Jika responsnya negatif, maka puan bolehlah mengemukakan hujah dan maklumat yang puan tahu mengenai M. Puan seorang peguam, saya yakin tiada masalah untuk puan meyakinkan mereka dengan pilihan puan.
Ramai saja wanita yang lebih umur daripada lelaki antara 5 hingga 7 tahun mereka berkahwin dan kekal dengan perkahwinan. Pun jika ahli keluarga menyatakan bahawa lelaki itu hanya mahukan harta puan, maka puan juga boleh katakan bahawa bahagia bukan letak kepada banyaknya harta. Adakah puan rasa ahli keluarga bimbang jika puan berkahwin dengan orang muda yang tidak sebanyak harta yang puan miliki , maka mereka tidak dapat berkongsi harta puan?
Puan yang dirahmati Allah
Akhir kata, apa jua masalah, kehendak dan pilihan kita, carilah Allah mohon pertolongan. Seperti yang puan minta dia solat istikhrah, puan juga untuk beberapa malam atau dalam tempoh beri masa yang ditetapkan itu, buatlah solat istikhrah, mohon petunjuk dari Allah…apakah pilihan yang terbaik buat puan dan buat agama.
Jika apa yang puan harapkan tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu bersyukur kerana perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahualam.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!