Hebatnya pengorbanan penyanyi popular, Wany Hasrita, 25 ketika ibunya diberi ujian diberhentikan kerja. Pada tahun akhir pengajian, ibunya Norita Jaafar, 46 diberhentikan kerja (oil & gas). Sedangkan selama belajar, ibu tercinta banyak berkorban, membesarkan dan menyara hidupnya.
Ujian yang dihadapi ibu pelantun lagu Menahan Rindu ini rupanya pernah membuatkan dia terpaksa melupakan seketika cita-cita menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran. Masalah kewangan yang dihadapi ketika di tahun akhir itulah memaksanya menerima hakikat ini; berhenti belajar dan terima tawaran menjadi artis rakaman.
“Ibu tanggung kos pendidikan saya. Apa yang ibu lalui buatkan saya melupakan seketika impian nak sambung pelajaran. Pada masa yang sama saya ditawarkan menjadi artis rakaman.
“Saya terima dengan niat nak menyara ibu. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan.” Berkat kesabaran dan kasih sayang ahli keluarga ini, akhirnya Wany Hasrita berjaya juga memperoleh segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan di Management Science University (MSU) di Shah Alam sekitar Ogos lalu.
Niat murni anak gadis ini memudahkan perjalanan seninya. Dengar saja nyanyiannya ramai boleh jatuh suka. Lembut dan merdu suaranya. Wany Hasrita juga popular dengan lagu duetnya bersama Tajul Arif berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu.
Bila dengar lagu duet ini, terbayang zaman-zaman Achik (spin) dengan Nana (Siti Nordiana). Terus terimbas-imbas memori tahun 2000an.
Walaupun jadi penyanyi, Wany ini cukup bijak membahagikan masa dengan pelajarannya. Tak pernah pun di berhadapan masalah dalam pembelajaran sepanjang mempromosi dan lakukan persembahan dalam karier nyanyiannya.
“Semuanya saya lakukan selepas habis praktikal dan peperiksan.” Itulah tips kejayaan Wany tak mencampur adukkan pengajian dan karier. Sampai sekarang pun, Wany Hasrita tak pernah padamkan impiannya mahu sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi iaitu Sarjana.
“Ibu selalu pesan, teruskan belajar sebab itu penting dalam kehidupan.” Pesanan ibu Wany banyak benarnya. Sebagai anak yang mendengar kata, tentulah Wany takkan mengabaikan kata-kata ibunya itu.
Dalam pada itu, Wany Hasrita juga dah ada single solo kedua, Rintihan Hati ciptaan Ibnu dan Gouffran. “Sekelip mata peminat sudah kenal, buat saya sedar.. banyak lagi nak kena belajar. Apa pun, saya beri yang terbaik buat peminat pada masa depan. Tak boleh mengharapkan magis single sulung semata-mata.”
Bangga Datuk Seri Siti Nurhaliza Pun Nyanyi Lagu Menahan Rindu
Wany tak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila lagu Menahan Rindu juga dinyanyikan penyanyi no. 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ketika media minta penyanyi idolanya itu menyanyikan lagu tersebut dan video itu menjadi tular.
“Mula-mula saya dapat tahu Datuk Siti nyanyi lagu Menahan Rindu bila ramai kawan dan wartawan yang mesej. Malah, saya ada juga menonton video tersebut menerusi Instagram pengurusnya.
“Saya sangat berbesar hati sebabnya Datuk Seri Siti Nurhaliza ini idola saya. Saya kena akui, beliau nyanyi lagu tersebut sangat sedap. Rasa bangga pun ada dan sebab itulah saya repost video tersebut di Instagram.
“Baru-baru kami ada bersua di sebuah majlis dan saya ucapkan terima kasih padanya. Pesan Datuk Seri Siti, all the best dan good luck dalam kerjaya seni. Sejak kecil saya minat sungguh dengan beliau.
“Saya ikuti kerjaya seninya dari solo hinggalah beliau berkahwin.” Antara yang menawan hati Wany tentu-tentulah keperibadian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang baik.
Foto: Mohd Izari Rosli (Foto KMK), FMC Records
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI