Dilahirkan dalam keadaan cacat tanpa kedua belah tangan ternyata bukan satu ujian yang kecil. Berat mata yang memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun, Norfarah Syahirah Shaari atau mesra dengan panggilan Farah, 31 tahun, yang berasal dari Bagan Dato, Perak membuktikan kecacatan bukanlah pengakhiran hidup.
Sebaliknya menurut Farah lagi, jadikan setiap kelebihan lain yang Allah kurniakan untuk membuktikan kemampuan diri. Malahan kini dia membuka mata semua orang apabila dia mampu membuktikan kemampuannya memandu kereta sendiri hanya menggunakan kaki.
Videonya yang sedang memandu kereta menjadi tular di media sosial apabila dikongsi oleh salah seorang rakannya beberapa bulan yang lalu. Farah juga melalui kehidupan kanak-kanak yang sama cuma bezanya tanpa sepasang tangan kerana dia merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya dilahirkan dengan kecacatan tiada kedua belah tangan. Menurut cerita ibu, sejak saya di dalam kandungan lagi, dia dapat rasakan ada perbezaan ketika mengandungkan saya dengan adik-beradik yang lain. Paling ketara kurangnya pergerakan.
“Setelah lahir ke dunia, perkembangan saya juga agak lambat. Saya tidak boleh berjalan sehingga berusia 4 tahun, hanya mengesot tidak seperti kanak-kanak lain yang boleh merangkak serta berjalan. Tetapi memandangkan saya hanya tidak mempunyai tangan, saya bersekolah di sekolah biasa.
“Permulaannya, memang mereka rasa pelik apabila pertama kali melihat saya menulis menggunakan kaki. Tetapi lama-lama mereka berbangga dengan kebolehan saya. Penerimaan dan pertolongan mereka banyak membantu saya. Hinggakan apa yang tak mampu saya buat, secara automatik mereka akan tolong uruskan,” ungkap Farah yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.
Mula Belajar Menulis
Jelas Farah, disebabkan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan kaki untuk melakukan semua perkara, oleh itu dia mula berlatih untuk menulis menggunakan kaki.
Tambahan pula, ibunya ada mengajar Farah cara menulis. Lama-kelamaan dirinya secara spontan untuk belajar sendiri. Seingat anak kelapan daripada 10 orang beradik ini, dalam usia empat tahun dia mula menulis setelah dirinya mulai pandai berjalan.
“Selain saya, abang saya yang ketiga juga merupakan OKU dan dia adalah OKU pekak dan bisu. Biar pun cacat, tetapi kini dia miliki kehidupan sendiri, berkahwin dan menempa kejayaan sendiri. Dia juga tak susahkan mak ayah lagi. Secara tak langsung abang menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya.
Ads
“Biar pun jarak usia saya dan abang agak jauh, tetapi saya nampak pengorbanan mak dan ayah saya yang berusaha menghantar dia ke sekolah khas. Begitu juga bagaimana abang lalui kehidupan sebagai OKU. Tetapi segalanya nampak mudah dan dia mampu berdikari. Dari situlah saya juga terasa apa yang dia mampu buat, pasti saya pun boleh lakukan.
“Ikutkan hati memang kita tak sama dengan orang lain. Kadang-kadang kita ada kekangan untuk lakukan sesuatu dan tak mampu nak buat, tetapi saya tak suka jadikan ia sebagai halangan. Saya tidak rasa kekurangan, malah saya juga normal seperti orang lain,” katanya lagi.
Biar pun perkahwinannya gagal di pertengahan jalan, Farah redha dengan ketentuan Ilahi. .
Lakukan Kerja Seperti Orang Normal
Kebiasaan apa sahaja orang normal lakukan, Farah juga buktikan dia mampu lakukan. Seperti pengurusan di rumah, dia cuba lakukan apa yang menjadi rutin ibunya termasuklah tugas memasak dan membasuh.
Walaupun ibu tidak izinkan, dirinya tetap berkeras untuk lakukan juga. Berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada, Farah terus yakin mencuba. Begitu juga dengan alam pekerjaan, biar pun sesukar mana satu-satu perkara, wanita ini tetap cuba membuktikan kebolehannya.
Ads
“Sebenarnya jika nak dibandingkan kehidupan harian saya dengan dunia pekerjaan, bekerja sebenarnya lebih mencabar. Kita berhadapan dengan orang orang dari pelbagai lapisan, dari orang bawahan hinggalah yang tertinggi.
“Bukan mudah jika kita tiada kekuatan, memang susah seorang OKU masuk ke alam pekerjaan. Sebab kekuatan saya hanyalah bergantung kepada kekuatan kaki. Jadi kalau kaki saya ini tak mampu lakukan semua benda, memang takkan mampu masuk ke sektor pekerjaan ini.
“Oleh itu saya cuba yakinkan rakan sekerja, saya mampu buat tidak kiralah mengangkat fail, menulis atau gunakan komputer. Alhamdulillah mereka nampak kelebihan dan kemahiran saya. Jadi mereka bangga dan hormatkan saya. Malahan saya juga banyak membantu mereka,” ceritanya satu-persatu.
Memandu Sendiri
Jelas Farah, tujuan utama dirinya memandu kereta dan mendapatkan lesen bukanlah bertujuan untuk membangga diri. Sebaliknya Farah ingin rakan senasibnya membuka mata bahawa OKU sepertinya mampu memandu kereta walaupun tiada kedua belah tangan.
“Dengan hanya menggunakan kaki, Farah mampu membawa kereta sendiri. Saya Saya sudah merasa bersyukur dan orang nampak kebolehan saya. Pada pandangan mata orang luar, mungkin mereka beranggapan mungkin saya tak mampu tetapi akhirnya saya buktikan mereka salah.
Ads
“Sebenarnya proses ambil lesen adalah berlangsung sama seperti orang lain, prosesnya sama macam org normal. Seperti kes saya, saya perlu gunakan kaki dan perlu ubahsuai kereta sendiri. Jadi saya perlu mahirkan dulu bawa kereta sendiri.
“Saya belajar memandu dahulu, kemudian dalam tempoh 2 minggu sahaja saya dah boleh bawa kereta sendiri. Selepas itulah, saya ke sekolah memandu untuk ambil lesen dan alhamdulillah lulus akhirnya,” katanya lagi.
Seperti mana orang lain, Farah juga dilanda perasaan takut untuk membawa kereta sendirian. Namun begitu, setakat ini belum pernah dirinya dihon kerana membawa kereta perlahan. Malahan di pejabat, rakan-rakan gemar menumpang kereta saya.” Kongsinya lagi. Farah sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah mengendahkan kata-kata negatif dari mulut orang..
Gunakan Kelebihan Sebaiknya
Pada pandangan mata kasar, orang di luar sana melihat Farah melakukan kerja. Sebaliknya bagi Farah, dia sentiasa yakin dan berkemampuan lakukan semua perkara. Walaupun susah untuk dilakukan, dia sedaya-upaya a mencuba.
Berbekalkan kekuatan, semangat, sabar dan usaha membuatkan segala urusan dan perkerjaan tampak mudah di matanya. Menjadi pegangan Farah bahawa setiap kelebihan yang Allah berikan padanya akan digunakan sebaiknya dan sama sekali tidak akan sia-siakan.
“Setakat ini segala perkara yang ingin saya lakukan telah berjaya dan hanya satu impian saya adalah ingin memandu kapal terbang. Saya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang juga OKU di luar negara mampu mengemudi sebuah kapal terbang.
“Kepada golongan OKU di luar sana, jangan anggap kita ini seorang OKU sebaliknya anggaplah diri kita normal seperti orang lain. Kita boleh buat biar pun kita kekurangan dari segi anggota atau fiizikal.
“Tetapi kita harus berusaha dan selalu berfikiran positif. Jangan terlalu berpegang kepada pandangan masyarakat, sebaliknya buktikan kemampuan diri sendiri. Insyallah suatu hari nanti kejayaan pasti akan
tiba,”nasihat Farah di akhir perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siapa anak lelaki ini? Dijumpai oleh rakan guru ini, Mohd Fadhli Salleh tidur di lorong sehelai sepinggang. Perutnya kelaparan tidak berisi makanan.
Anak lelaki ini bukan tidak bijak budaknya. Setelah diuji ternyata dia pandai. Sayangnya kedaifan ‘memakan’ potensi dirinya. Marilah mak ayah, bantu guru ini.. membantu anak lelaki ini. Semoga usaha kecil kita ini, tuhan berkati.
Sila panjang-panjangkan..
Kanak-kanak Lelaki Itu Selalu Tidur Di Lorong
Seorang kanak-kanak selalu kelihatan tidur di lorong sahaja. Ada seorang insan baik hati, Kak Nooraini perasan anak ini.
Kelihatan lesu dan memegang perut tanda kelaparan. Maka diajak masuk McDonald’s, dijamu anak ini makan dan bertanya kisah hidupnya.
Sebelum beredar, anak ini minta untuk bungkus kentang goreng. Agaknya sebagai makanan waktu malam pula.
Kak Nooraini tak lena tidur memikirkan anak ini. Siapa sebenarnya dia. Di mana dia tinggal. Kat mana dia tidur setiap malam. Apa dia sudah makan atau belum.
Maka malam tadi Kak Nooraini pm aku bercerita tentang anak ini. Tanpa buang masa, sebaik aku sampai kedai Awe jam 10:30 tadi aku kerah ‘askar-askar’ aku mengesan anak ini.
Cikgu Muka Ganas, Tapi Baik Hati Nak Jumpa
Askar-askar aku bukan kaleng-kaleng. Tak sampai 15 minit mereka mencari terus jumpa. Mereka pimpin tangan anak untuk untuk berjumpa aku.
“Jom ke kedai tu. Cikgu saya nak jumpa. Cikgu tu muka ganas, tapi dia baik.”
Geram betul aku, ada dia kata muka suci aku ni ganas. Takut-takut anak ini nak datang tadi. Hahaha.
Sebaik dia duduk, aku suruh dia order makan. Mulanya dia kata dah kenyang. Dengan sopan menolak.
Namun aku pujuk suruh order juga. Akhirnya dia mengalah. Sebelum makan dia doa dulu. Bagus budaknya. Tu diaaa, kata dah kenyang. Sepinggan penuh kejap je habis. Allahu. Nampak sangat dia sebenarnya lapar.
Aku berborak dengan dia. Bertanya tentang latar belakang dan hidupnya. Ibunya meninggal dunia masa dia umur 8 tahun. Kemalangan jalan raya.
Mujur Ada Dokumen Pengenalan Diri
Setelah itu dia tinggal bersama ayah tiri. Dulu tinggal di Ulu Tiram, Johor. Umur 9 tahun datang ke Kuala Lumpur.
Sejak itu dia tidak pernah bersekolah. Aku bertanya tentang ic dan surat beranak. Terus dia buka wallet, keluarkan salinan ic dan surat beranak.
Punya aku seronok dapat tahu dia ada dokumen pengenalan diri. Dokumen ni sangat penting. Bolehlah dia bersekolah nanti.
“Awak tahu baca?”
Angguk.
“Cuba baca tulisan di baju cikgu.”
Saya Homeschooling Je..
Lancar dia baca. Bila aku suruh dia sebut masa dengan menunjukkan jam jarum aku, pun boleh dia sebut dengan tepat. Tambah tolak asas tu lancar je dia menjawab.
“Awak belajar kat mana?”
“Saya homeschooling je.”
“Siapa ajar?”
“Saya belajar sendiri.”
Tu dia. Homeschooling pun pandai sebut. English kau!
Budak ni ada potensi. Agak bijak budaknya. Ni kalau masuk sekolah boleh pergi jauh kalau kena gaya.
Aku siasat dengan askar-askar aku, budak ni bagus. Tak pernah mencuri, tidak merokok dan tidak melepak dengan budak-budak nakal.
Nantilah aku cuba usaha hubungi ayah tiri dia untuk urusan persekolahan. Tahun ni anak ini dah 13 tahun dah. Tahun depan sepatutnya dah masuk Tingkatan 2.
Berdua Saja Dengan Ayah Tiri Kerja Jaga
Katanya ayah tiri dia kerja jaga. Umur dah hampir 60 tahun. Tinggal berdua sahaja di sini.
Ayah tirinya tidak kisah dia balik atau tidak. Kadang-kadang 2-3 hari sekali baru dia balik rumah.
Terabai budak ni. Terus aku pesan kat dia,
“Lapar je datang kedai ini. Order apa awak nak makan. Datang setiap hari pun tak apa. Nanti cikgu bayarkan semua. Faham tak?”
“Baik cikgu. Terima kasih.”
Kedai Awe ni, Cina yang kurang siuman, auntie Indian yang selalu lalu lalang, beberapa keluarga asnaf, orang gila, OKU, semua aku suruh datang makan.
Datanglah untuk sepinggan nasi dan segelas air. Jangan risau. Selagi aku ada, selagi kedai Awe buka, selagi sokongan kalian pada aku ada, mereka ini takkan sesekali kelaparan.
Aku Tahu.. Peritnya Berlapar
Aku pernah melalui saat di mana duit langsung tidak ada dan hanya makan nasi sekali untuk 3 hari. Minum air paip, makan roti expired hanya untuk menghilangkan kelaparan suatu ketika dulu.
Aku tahu peritnya berlapar. Aku tahu betapa malu dan hinanya rasa diri bila tiada satu sen pun dalam kocek.
Dan aku takkan membiarkan sesiapa sahaja dalam pengetahuan dan radar aku untuk melalui saat sebegitu selagi aku mampu membantu.
Itu prinsip aku sejak dulu.
Aku tidak mampu nak bantu semua orang. Namun aku cuba sedaya upaya untuk membantu sesiapa sahaja disekeliling aku semampu aku.
Tidak banyak tapi sentiasa.Ya, tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna. Itulah #DanaKITA.
Yang ingin mengirim sumbangan melalui Dana Kita, ini maklumat ya :
No akaun : 564221646925
Bank : Maybank Nama akaun : Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.
@dana kita
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh – Sentiasa ada kisah pilu di setiap lorong dan jalan –
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada cara tertentu untuk memastikan ikan yang dibeli dipasar benar-benar segar. Tip memilih ikan segar ini antara ilmu dapur yang WAJIB mak-mak kuasai.Bukan apa, apabila hidangan menggunakan ikan segar ia pastinya akan mempengaruhi rasa masakan menjadikan ia bertambah sedap dan lazat.
Berikut merupakan antara tips yang boleh bantu mak-mak memilih ikan segar sebelum membelinya.
1. Perhatikan Warna Ikan
Ikan segar sedikit berkilat dan berwarna cerah berbanding ikan tidak segar, yang kelihatan lebih pucat.
2.Cium Bau Ikan
Ikan segar hanya ada bau hanyir laut , berbanding ikan lama yang berbau busuk dan sedikit masam.
3.Rasa Tekstur Ikan
Ikan segar isi keras dan pejal bila ditekan badannya. Jika lembik, bermakna ikan tersebut tidak lagi segar.
4.Lihat Mata Ikan
Lihat mata ikan elok-elok. Pastikan mata ikan jernih dan ada lendir lagi. Ikan segar matanya masih berkilat, bersinar dan tidak ke dalam. Jika mata ikan sudah bertukar merah, pudar dan termasuk ke dalam, itu tanda ikan tidak segar lagi.
5. Warna Insang Ikan
Tengok pada bahagian insang ikan yang segar kelihatan merah, berlendir dan boleh diregangkan berbanding insang ikan yang sudah lama berwarna coklat kehitaman, keras dan tidak lagi berlendir.
6.Lendir Ikan
Ikan yang masih segar biasanya kurang lendir, kalau ada pun, ia hanya sedikit, berbanding ikan lama. Ia bukan hanya berlendir tetapi juga berbau busuk.
7. Perut ikan
Ini satu lagi. Cuba tekan betul-betul di kawasan perut secara perlahan-lahan. Rasa betul-betul. Kalau lembik & bahagian ini isi perutnya sudah terkeluar,jangan beli. Ikan lama!
Ringkasnya!
Ciri-Ciri Ikan Segar Ialah:
Warna kulit terang dan cerah.
Daging ikan bila ditekan terasa keras.
Mata jernih menonjol dan cembung.
Sisik ikan segar masih kuat melekat kuat dan mengkilat, sisik masih utuh tidak banyak yang lepas.
Insang berwarna merah
Sirip kuat.
Kulit dan daging ikan tidak mudah robek, terutama pada bahagian perut.
Tidak berbau busuk.
Ciri-Ciri Ikan Tidak Segar Ialah :
Mata suram dan tenggelam.
Sisik suram dan mudah lepas.
Warna kulit suram dengan lendir tebal.
Insang berwarna kelabu dengan lendir tebal.
Dinding perut lembik.
Warna keseluruhan suram dan berbau busuk
Semoga bermanfaat!
Jadi mulai hari ini, bila mak-mak nak beli ikan dipasar, ingat tujuh perkara ini supaya ikan yang dibeli segar. Bila dimasak rasa ikan juga akan lebih sedap.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kelahiran cahaya mata pastinya dinantikan-nantikan bagi setiap pasangan suami isteri. Tak kiralah anak yang keberapa bilangannnya, debarannya tetap sama. Hanya doa diharapkan agar segala urusan dipermudahkan, ibu dan bayi melahirkan anak dengan sihat dan selamat.
Alhamdulillah, isteri kepada pelawak, Fad Bocey selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan swasta pagi tadi.
Kelahiran Bayi Keempat
Menurut Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Nizam, 29, isterinya, Nur Syahirah Abdul Rahman, 26, telah melahirkan bayi keempat mereka itu pada jam 4.41 pagi tadi.
“Syukur ke hadrat Illahi pada tarikh ini, 20/10/2020, jam 4.41 pagi, isteri saya selamat melahirkan baby boy.
“Selamat datang anak lelaki kami, Ibrahim Jibriel Mohamad Fadzlie.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan kami. Terima kasih juga cinta hati saya, Syaheera,”tulisnya.
Fad dan isteri mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu sepasang kembar lelaki, Favian Adrazin Hayyan dan Favian Adrazin Zayyan, 5, dan Nur Aminah Mishal, 2.
MW: Tahniah diucapkan buat Fad sekeluarga. Semoga kelahiran bayi baru mengeratkan lagi kebahagiaan dalam keluarga dan dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah.
Sebagai seorang wanita pada realitinya banyak pengorbanan yang perlu dilalui termasuklah dalam mengharungi dunia percintaan. Begitu juga dengan watak Radwa yang mengajar kita bahawa...