Kenapa Wanita Lebih Emosional Daripada Lelaki, Hal Kecil Boleh Sentap!
Foto sekadar hiasan.

Wanita dan emosi seolah tak dapat dipisahkan. Sebagai seorang wanita, pernahkah anda merasa geram dengan karenah rakan setugas yang juga wanita kerana dia begitu emosional? Atau anda sendiri pernah ditegur kerana anda susah dibawa berbincang kerana cepat emosi?

Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga kolumnis NOTA UNTUK ISTERI di dalam Majalah MINGGUAN WANITA. FBhttp://Promind Training And Consultation

Wanita Susah Nak Bawa Bincang

Jika anda sudah berkeluarga, pernahkah suami berkata ‘susah nak bincang dengan awak sebab suka ikut kata hati’ pada anda? Anak-anak mungkin cukup bersopan tetapi bayangkan derita mereka mempunyai ibu yang mudah sangat hilang daya fikir kerana mengikut perasaan?

Saya tidak kata yang lelaki tidak ada yang bersikap begini. Sudah tentu ada dan jumlahnya ramai. Tetapi oleh kerana saya menulis untuk ruangan Nota Untuk Isteri, maka saya akan berkongsi sebab kenapa ramai wanita menjadi begitu.

Wanita Lebih Emosional Daripada Lelaki, Hal Kecil Pun Boleh Sentap?

Betul Ke Hormon Puncanya?

Terlalu banyak sebab kenapa seseorang itu mudah beremosi. Kebanyakan sebab itu pula berlaku di luar kawalan kita. Antara yang paling biasa ialah sebab kitaran hormon.

Hormon estrogen ini membuatkan emosi wanita turun naik sepanjang tempoh ‘cuti’ sembahyang itu. Saya tahu kesan ini tetapi tidak pernah merasainya. Maka saya tidak boleh cerita banyak. Maaf!

IKLAN

Ingin Kesempurnaan

Kebanyakan wanita mempunyai sifat mahukan kesempurnaan dan menjadi yang terbaik. Mereka sudah belajar menjadi isteri pada ketika suami mereka dahulu mungkin masih bermain guli. Mereka belajar bersolek ketika rakan-rakan lelaki yang lain boleh keluar ke bandar dengan baju tidak bergosok.

Masalah timbul apabila mereka sendiri yang sentiasa merasa tidak menjadi yang terbaik dan tercantik. Apabila suami menegur “Eh..naik badan nampak?” maka hati pun sentap padahal itu sekadar bergurau. Sudahnya menjadi perang besar. Cuba anda duduk dengan tenang dan berfikir semula. Berbaloikah rasa begitu?

Kesan Pada Emosi

Pengalaman atau kejadian yang pernah dilalui memang memberi kesan kepada emosi kita semua. Sesetengah wanita mudah beremosi apabila tersentuh perkara-perkara yang menjadi titik hitam dalam hidup mereka.

Sebagai contoh perceraian, penderaan, kecurangan, anak cacat dan sebagainya. Kadangkala emosi ini sangat keterlaluan sehingga mempengaruhi cara berfikir sentiasa bersangka buruk kepada orang lain.

Ada beberapa pekerjaan yang memang memerlukan sentuhan perasaan. Jururawat, kaunselor, guru dan sebagainya dikatakan bagus untuk wanita. Ya, memang bagus pada perspektif orang yang menerima khidmat. Bagaimana kepada jururawat, kaunselor atau guru itu sendiri?

IKLAN

Wanita Dan Deria Keenam

Emosi kaunselor profesional contohnya perlu cukup untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam simpati yang tidak tamat. Seorang guru yang terlalu bersimpati dengan cabaran hidup muridnya mungkin terbawa-bawa rasa sedih sehingga ke rumah dan bilik tidur.

Kata orang, wanita mempunyai deria keenam terutama kepada ahli keluarga masing-masing. Memang betul seorang ibu atau isteri mempunyai deria itu. Namun pernahkah anda membuat komen tanpa fakta tetapi sebenarnya bergantung kepada deria itu? Sebagai contoh, satu kejadian buruk berlaku dan anda pun berkata, “Kan ibu sudah cakap dulu, tak percaya!!” dan leteran anda pun bermula.

Anda pernah lihat wajah anak anda apabila anda berkata begitu? Boleh anda lihat yang wajah mereka memberi isyarat ‘Mulalah tu…cakap ikut sedap hati sahaja!’ .

Takrifan Berbeza Antara Wanita Dan Lelaki

Lelaki juga beremosi bahkan lebih lagi sebenarnya berbanding wanita, tetapi persekitaran memberikan takrifan yang berbeza. Memang tidak adil tetapi begitulah layanan dunia ini.

IKLAN

Apabila perempuan maka dikatakan cerewet tetapi jika lelaki itu tandanya teliti. Bila lelaki dikatakan tegas, bila perempuan dikatakan tidak boleh dibawa berunding. Bila wanita dikatakan mudah menangis tetapi bila lelaki dikatakan prihatin.

Sebenarnya Lelaki Juga Beremosi!

Persekitaran dan masyarakat melabelkan wanita lebih beremosi namun kajian dalam Sains neuro sebenarnya menunjukkan keadaan sebaliknya. Lelaki lebih beremosi tetapi mereka lebih bijak menyembunyikan emosi mereka daripada memancut keluar.

Saya tahu nota kali ini membuatkan ramai pembaca khususnya wanita terasa hati. Mohon ampun dan maaf tetapi tolong jangan kecam saya. Saya berkongsi daripada perspektif neutral seorang lelaki. Oleh itu saya mohon jangan beremosi pada saya ya! Terima kasih.

https://www.mingguanwanita.my/macam-mana-nak-uruskan-emosi-roller-coaster-wanita-ini-kongsi-pengalaman-selepas-beberapa-bulan-jadi-suri-rumah/

https://www.mingguanwanita.my/cepat-marah-kesalahan-kecil-anak-tanda-isteri-penat-mental-emosi/

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI