Wanita Kena Cakna Hal Ini. Rujuk Boleh Berlaku Walau Isteri Tak Setuju

Wanita sedaya mungkin akan cuba mempertahankan rumah tangga yang dibinanya. Namun, bila sayang makin lama makin terhakis dan sabarnya tiada lagi bersisa, maka dia akan mengambil keputusan untuk melangkah pergi. Talak jadi titik noktah.

“Kak Su, suami baru telefon ajak saya rujuk. Saya tak nak. Macam mana ni Kak Su?”

Petikan mesej via whatsapp dihantar klien saya yang baru bercerai talak satu dengan suaminya kurang sebulan yang lalu. Ada emoticon nangis kat hujung persoalan. Sebelum saya kongsikan jawapan kepada persoalan di atas, ingin saya jelaskan maklumat berkaitan rujuk menurut kehendak syariat.

Tiga Rukun Rujuk

Rujuk mempunyai tiga rukun iaitu lafaz rujuk, suami dan isteri. Suami hendaklah seorang yang berakal, baligh, tidak murtad dan ingin melakukan rujuk dengan kehendak dan kerelaan sendiri, bukan paksaan daripada sesiapa.

Seorang isteri pula hendaklah yang sudah disetubuhi kerana isteri yang tidak disetubuhi dan diceraikan, isteri tersebut tidak mempunyai tempoh eddah bererti tidak mungkin berlaku rujuk.

Isteri juga mestilah diceraikan dengan talak rajei dan bukan dengan perceraian secara fasakh, khuluk dan juga talak tiga. Sekiranya suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya, si suami hendaklah menentukan isteri yang dimaksudkan untuk tujuan rujuk tersebut.

Wanita Kena Cakna Hal Ini. Rujuk Boleh Berlaku Walau Isteri Tak Setuju
Foto: Pexels.com

Secara Kiasan Atau Terus Terang

Bagi sighah atau lafaz rujuk pula, lafaz yang digunakan mestilah menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara terang ataupun kiasan. Paling penting lafaz tersebut tidak dihadkan kepada tempoh masa tertentu dan tidak bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

Berdasarkan rukun dan syarat rujuk yang ditetapkan oleh syarak, rujuk telah pun berlaku dalam kes yang saya kongsikan awal tadi. Bererti si isteri dan si suami telah kembali menjadi suami isteri yang sah semula.

Kenapa? Kerana suami telah mengajak untuk rujuk malah meluahkan hasrat rujuk tersebut. Niat dan lafaz telah wujud bererti rujuk telah berlaku. Biarpun si isteri tidak memberikan pengakuan, rujuk tetap berlaku sebab berdasarkan rukun yang dijelaskan tadi juga, rujuk yang berlaku tanpa izin isteri atau tanpa pengetahuan isteri adalah sah kerana hukum syarak menentukan, rujuk tidak perlukan izin atau persetujuan isteri.

IKLAN

Diajak ‘Bersama’

Bagaimana pula kalau suami tak bercakap atau mengajak untuk rujuk tetapi mengajak isteri untuk bersama melakukan hubungan suami isteri?

Mengambil kira syarat utama tersebut iaitu suami melaksana rujuk secara lafaz soreh atau kiasan, ajakan suami untuk melakukan seks boleh dianggap sebagai kiasan untuk kembali rujuk dan bekas isteri yang melayan kehendak seks bekas suami dikira telah menerima ‘rujuk’ yang dimulakan oleh bekas suami tersebut.

Dengan anggapan dan kepercayaan si suami ingin merujuk dan si isteri bersedia menerima maka hubungan seks yang berlaku adalah sama dengan kedudukan rujuk dengan perbuatan. Hubungan seks tersebut adalah halal.

Baca lagi artikel menarik lain di sini:

Pasangan Pernah Curang, Macam Mana Nak Kembalikan Kepercayaan Yang Hilang?

IKLAN

Nak Bercerai Sekali Pun, Kena Bijak Kawal Emosi Takut Memakan Diri

Jangan lupa ikuti Mingguan Wanita di instagram

Wanita Kena Pastikan Betul-Betul Niat

Namun, apabila anggapan dan kepercayaan si isteri tersalah dan tersasar, atau dengan kata mudah, si suami menyatakan tidak berniat untuk merujuk maka hubungan seks yang berlaku dikira sebagai persetubuhan syubhah. Jika ada anak yang lahir berpunca daripada hubungan seks tersebut, anak tersebut juga dikira sebagai anak syubhah.

Hakikat rujuk disyariatkan bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talaq rajei meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus.

Namun, Islam mensyaratkan rujuk hendaklah dengan tujuan untuk berdamai dan bukan kerana ingin menyakiti atau menganiayai isteri dan sebagainya. Namun, menepati keperluan masa kini, Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan: “Jika selepas talak rajie suami melafazkan rujuk tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh hukum syarak, dia tidak boleh diperintah oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai.”

IKLAN

Wanita Boleh Bantah Rujuk

Peruntukan ini memberikan hak kepada isteri yang tidak bersetuju dengan rujuk yang dibuat oleh suami dengan alasan dan sebab yang munasabah mengikut hukum syarak, untuk membantah rujuk tersebut.

Tindakan membantah rujuk semua itu hendaklah dibuat melalui suatu permohonan di mahkamah syariah disertakan sebab dan alasan yang munasabah dan sesuai bagi dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pendamai.

Andai kemudaratan adalah lebih besar, hakam boleh dilantik untuk menceraikan isteri bagi pihak suami. Cuma, terus terang saya katakan, amalan di Mahkamah Syariah kini, hakam tidak lagi diberikan kuasa ini. Mungkin mengambil kira kemaslahatan bersama.

Ada Jalan, Jangan Risau!

Jangan risau! Masih ada caranya untuk melepaskan diri daripada rujuk yang anda tidak persetujui. Cara tersebut bergantung kepada sejarah kes anda dan perkembangannya selepas rujuk berlaku.

Yang paling penting, saya merayu, jangan buat main perkara rujuk. Kalau anda tahu rujuk telah berlaku, anda adalah isteri kepada seseorang dan anda haram berkahwin dengan lelaki lain biar suami yang merujuk tanpa persetujuan anda gagal dalam tanggungjawab.

Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie