Wanita Kelantan beli barang kemas pakai duit syiling. Walaupun harga emas kini menghampiri RM500 untuk setiap gram, minat orang ramai terhadap barangan kemas tetap tidak berkurang, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri. Malah, membeli emas seakan sudah menjadi satu kebiasaan tahunan bagi sesetengah masyarakat.
Wanita Kelantan Beli Barang Kemas Pakai Duit Syiling
Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn Bhd, Nur Akmal Ahmad Tajuddin, memaklumkan bahawa sebahagian pelanggan sanggup membuat bayaran menggunakan wang syiling demi memiliki barangan kemas idaman mereka.
Walaupun harga emas semasa hampir mencecah RM500 bagi satu gram, namun rakyat Kelantan tidak pernah mengeluh malah menjadi tradisi membeli emas setiap kali menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak lima pelanggan datang ke premis mereka dengan membawa duit syiling untuk membeli emas sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Salah seorang pelanggan kami dari Gua Musang sanggup datang ke sini dengan membawa tabung simpanan yang dikumpul selama 17 tahun. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an pula berjaya mengumpul lebih RM3,000 dalam bentuk syiling dan membeli seutas gelang tangan dengan wang tersebut,” katanya ketika ditemui media.
Ads
Harga emas semasa yang melambung naik tidak menyekat keinginan peminat barangan kemas sehingga ada dalam kalangan mereka sanggup membayarnya menggunakan wang syiling untuk memastikan dapat digayakan semasa Aidilfitri nanti.
Nur Akmal mengakui bahawa pada mulanya, pihak kedai agak keberatan kerana proses mengira duit syiling mengambil masa yang lama dan memerlukan tenaga kerja tambahan.
“Namun, melihat keterujaan dan kepuasan pelanggan apabila dapat memiliki barangan kemas untuk dipakai semasa Hari Raya membuatkan kami rasa berbaloi dan sanggup menerima bayaran dalam bentuk syiling,” tambahnya.
Program Kongsi Rezeki: #SAMASAMAKENYANG mencatat kejayaan luar biasa dengan penganjuran pertama Majlis Tahfiz Berselawat berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM33,687 dalam sehari!
Program yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Kongsi Rezeki bagi membantu golongan asnaf, anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, warga emas, serta gelandangan.
Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Softrein, OIC Today, Warung Pagi Pagi, Bigo Live Malaysia, Bateriku.com dan Saloma Kuala Lumpur serta banyak lagi penaja dari pelbagai organisasi membantu melancarkan program Tahfiz Berselawat dan menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat.
Hasil daripada kutipan ini disalurkan kepada Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat bagi menyokong pendidikan tahfiz dan Adina Charity Circle untuk membantu rawatan perubatan anak-anak pejuang kanser. Kejayaan program ini turut diperkukuhkan dengan sumbangan tambahan sebanyak RM30,000 daripada seorang individu dermawan.
Peneraju utama Kongsi Rezeki, Putra Amaris, menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap inisiatif ini.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program bantuan, tetapi satu gerakan yang mengajak masyarakat untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, membuktikan bahawa masih ramai yang prihatin terhadap kerja-kerja kebajikan,” katanya.
Majlis yang penuh bermakna ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting, termasuk Mohd Khairi Mohamed (Rakan Kongsi Saloma), Dr. Raja Laila Rani Mohammad Abdullah (Pengerusi The Muslim World Women’s Summit), dan Aman Rasyidi Mohd Noor (COO SoftRein), yang menyatakan komitmen mereka dalam menyokong usaha kebajikan ini. Turut hadir adalah kumpulan nasyid tersohor Raihan, yang memeriahkan acara dengan persembahan istimewa mereka.
Selain kutipan dana, program ini turut menyaksikan kejayaan penjualan 30 meja berbuka puasa, dengan hasilnya disalurkan terus kepada penerima manfaat.
Inisiatif Infaq Surau yang dilaksanakan dengan kerjasama SoftRein juga mendapat sambutan luar biasa, dengan 1,000 sejadah serta 1,000 botol sabun PowerRein dan SoftRein berjaya dikumpulkan untuk disumbangkan kepada surau-surau di kawasan asnaf.
Menurut Putra Amaris, kejayaan program ini membuktikan bahawa masyarakat semakin ingin terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, terutamanya di bulan Ramadan.
“Kami melihat keikhlasan orang ramai dalam menyumbang, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan, atau tenaga sukarelawan. Ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program seperti ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Selain itu, Kongsi Rezeki 2025 juga meneruskan pengagihan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Abee Hae dan Jejak Jalanan, serta menyediakan pakaian sekolah, baju raya, dan keperluan harian untuk anak-anak pesakit kanser di seluruh Malaysia. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan lain yang memerlukan.
Pengasas NGO Pertubuhan Jejak Jalanan, Abe Hae (Azhan Adnan), yang telah membantu golongan miskin bandar di Chow Kit sejak 2022, turut memainkan peranan penting dalam memastikan pengagihan bantuan ini berjalan lancar.
Penganjur juga memberi jaminan bahawa 100 peratus daripada dana yang dikumpulkan akan disalurkan terus kepada penerima manfaat tanpa sebarang pemotongan.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program amal, tetapi platform untuk menyemai nilai kasih sayang dan empati dalam kalangan masyarakat. Kami berharap usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang. Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga membawa keberkatan kepada para penyumbang,” ujar Putra Amaris.
Dengan kejayaan ini, Kongsi Rezeki terus membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat mampu memberikan impak besar dalam membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya di bulan Ramadan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dalam episod kali ini, program Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise meneruskan misi menyantuni insan-insan yang diuji dengan kesempitan hidup.
Kali ini, perjalanan membawa mereka ke Melaka, menyelami kisah seorang bapa tunggal yang cekal serta sebuah keluarga yang berjuang menghadapi dugaan kesihatan yang berat.
Abdul Rahim Wahab, seorang duda yang kehilangan isteri tercinta, kini memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Hidupnya bagaikan roda yang sentiasa berputar, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Tanpa pekerjaan tetap, Abdul Rahim bergantung hidup terhadap hasil laut dan melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Namun, cabaran hidupnya tidak terhenti di situ. Dua daripada anaknya merupakan pemegang kad OKU, menjadikan tanggungjawabnya lebih berat berbanding insan biasa.
Walaupun diuji dengan kesusahan, Abdul Rahim tidak pernah mengeluh. Baginya, anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang. Kesabarannya dalam membesarkan mereka yang istimewa menjadi bukti keteguhan seorang ayah dalam mendepani kehidupan yang tidak menentu.
“Arwah isteri meninggal dunia pada tahun 2022 ketika umat Islam bergembira menyambut Hari Raya. Walaupun sudah hampir tiga tahun berlalu, segalanya berlaku dalam keadaan yang mengejutkan.
Namun saya bersyukur, dapat melaksanakan tanggungjawab menjaga arwah ketika dia sakit sehingga ke akhir hayat,” ujar Abdul Rahim berkongsi sedikit momen Istimewa bersama isterinya bersama pengacara, Haze Huzir.
Kehidupan seharian Abdul Rahim banyak berkisar mengenai anak-anak terutamanya dua anaknya dikategorikan sebagai orang kelainan upaya, sekaligus menuntut waktu dan perbelanjaan yang besar dalam mengharungi pelbagai aspek kehidupan.
“Anak sulung mempunyai masalah pembelajaran dan kategori lembam, manakala anak kedua pula mempunyai masalah penglihatan. Sebagai bapa sudah semestinya saya ingin melihat anak-anak berjaya dalam kehidupan. Namun apakan daya, Allah datangkan ujian ini kepada saya,”ujar Abdul Rahim lagi.
Selain dua orang anak yang memiliki kad OKU, abdul Rahim turut dikurniakan seorang anak perempuan yang kini mencecah usia 17 tahun. Namun, perjalanan hidup yang penuh dugaan dan ujian memberi tamparan hebat untuk remaja ini meneruskan Pelajaran apatah lagi selepas ibunya meninggal dunia.
“Semasa ibunya sakit, anak perempuan saya menjaga ibunya sehingga ke akhir hayat. Namun dia ‘hilang motivasi’ untuk belajar selepas kematian ibunya.
Harapan untuk melihat dia meneruskan cita-cita arwah ibunya tidak kesampaian apabila dia enggan meneruskan pelajaran. Kini, dia bekerja di taska dan tidak ambil SPM disebabkan tiada semangat selepas kematian ibunya,”ujar Abdul Rahim pasrah.
Kali ini, kunjungan penaja, Perfume Paradise ke kediaman Abdul Rahim turut membawa kejutan meraikan hari lahir bapa kepada tiga anak yang kebetulan jatuh pada hari penggambaran dilakukan.
Pihak penaja yang diwakili oleh Nur Afiqah Amran, pengasas Perfume Paradise bersama Ketua Pegawai Operasi Perfume Paradise, Mohd Safwan Shari turut menyampaikan beberapa sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini serta memberi sedikit sokongan dan motivasi untuk meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.
Riak wajah terharu tergambar di wajah insan ini yang banyak menanggung kesedihan dalam dirinya demi membesarkan anak-anak yang lebih memerlukan perhatian dari dirinya.
Selain menziarahi keluarga Abdul Rahim, kru Kongsi Kasih dan Perfume Paradise turut berkesempatan bertemu dengan Mhd Amin Md Ali, seorang pesakit buah pinggang tahap akhir yang perlu menjalani rawatan dialisis setiap dua hari sekali.
Hidupnya yang bergantung kepada rawatan ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun dia tetap tabah menghadapi ujian yang mendatang.
Penyakit buah pinggang kronik adalah keadaan yang menyebabkan fungsi buah pinggang merosot secara perlahan-lahan dari masa ke masa. Pada peringkat akhir, buah pinggang gagal berfungsi sepenuhnya, menyebabkan pesakit bergantung kepada rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.
Keadaan ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, dan penyakit genetik. Selain kesan fizikal yang melemahkan, pesakit juga berdepan dengan beban emosi dan kewangan dalam menjalani rawatan berterusan.
Bersama isterinya, Shafaah, pasangan ini menetap di rumah waqaf sewa di bawah seliaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Kesukaran hidup yang mereka hadapi benar-benar menyentuh hati, apatah lagi dengan keadaan kesihatan Mhd Amin yang semakin meruncing. Namun, dalam keterbatasan, mereka tetap berusaha menjalani kehidupan sebaik mungkin.
Melalui episod kali ini, Kongsi Kasih dan Perfume Paradise bukan sekadar menyantuni mereka yang memerlukan, tetapi turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini.
Lebih daripada itu, program ini membawa mesej bahawa dalam kesusahan, pasti ada sinar harapan jika kita saling membantu dan prihatin terhadap sesama insan.
Setiap episod Kongsi Kasih mengajak kita merenung erti sebenar keikhlasan dan pengorbanan. Semoga kisah-kisah ini menjadi inspirasi buat semua untuk terus menyebarkan kebaikan dan membantu mereka yang dalam kesusahan.
Jangan lupa saksikan Kongsi Kasih musim ke 4 setiap jumaat jam 7 malam.
Kongsi Kasih Musim ke-4 kini lebih wangi dengan Perfume Paradise.
Ibu meraung tatap anak terbaring kaku, pelajar tingkatan 3 maut nahas motosikal. Ramadan ini pastinya memilukan buat seorang ibu apabila terpaksa menerima hakikat anak sudah pergi selama-lamanya.
Sebaik menyaksikan jasad anak lelakinya terbaring kaku dan sudah ditutupi kain putih selepas terbabit kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Taman Kelisa, Kuala Sungai Baru, di sini, pada malam Rabu, dirinya terus meraung kesedihan.
Memetik laporan Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira jam 10.23 malam, arwah Muhammad Alif Ramadani A Ramli,15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat menemui ajal akibat kecederaan parah selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lagi kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, seorang lagi penunggang motosikal Muhammad Hafizuddin Amizan,14, yang juga pelajar di sekolah sama patah kaki kanan.
Pelajar Tingkatan 3 Maut Nahas Motosikal
Ashari berkata, ketika kejadian Muhammad Alif Ramadani yang menunggang motosikal Yamaha 115Z dalam perjalanan dari Kuala Sungai Baru ke arah Jambatan Linggi dan Muhammad Hafizuddin pula dari arah bertentangan menuju ke arah Taman Kelisa.
Katanya, namun setiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang remaja berusia 14 tahun itu secara tiba-tiba membelok masuk ke kanan, lalu terlanggar motosikal mangsa yang sedang bergerak ke hadapan.
“Akibat kemalangan itu Muhammad Alif Ramadani disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, kedua-dua motosikal yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan selanjutnya
“Siasatan masih diteruskan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-
Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.
“Penderitaan yang kami tanggung hanya Allah maha mengetahuiNya. Sangat perit. Paling saya kesalkan dan jadi tertanya-tanya siapa yang menekap seterika di kemaluan anak saya. Pertanyaan itu sentiasa bermain-main di fikiran.
“Suami sendiri sanggup tak jalani pembedahan jantung kerana mahu menunggu keputusan dari Mahkamah mengenai kes ini,”luah Hawa ketika dihubungi Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!