Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dalam episod kali ini, program Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise meneruskan misi menyantuni insan-insan yang diuji dengan kesempitan hidup.
Kali ini, perjalanan membawa mereka ke Melaka, menyelami kisah seorang bapa tunggal yang cekal serta sebuah keluarga yang berjuang menghadapi dugaan kesihatan yang berat.
Dugaan Seorang Duda: Perjuangan Demi Anak-Anak Istimewa
Abdul Rahim Wahab, seorang duda yang kehilangan isteri tercinta, kini memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Hidupnya bagaikan roda yang sentiasa berputar, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Tanpa pekerjaan tetap, Abdul Rahim bergantung hidup terhadap hasil laut dan melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Namun, cabaran hidupnya tidak terhenti di situ. Dua daripada anaknya merupakan pemegang kad OKU, menjadikan tanggungjawabnya lebih berat berbanding insan biasa.
Walaupun diuji dengan kesusahan, Abdul Rahim tidak pernah mengeluh. Baginya, anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang. Kesabarannya dalam membesarkan mereka yang istimewa menjadi bukti keteguhan seorang ayah dalam mendepani kehidupan yang tidak menentu.
“Arwah isteri meninggal dunia pada tahun 2022 ketika umat Islam bergembira menyambut Hari Raya. Walaupun sudah hampir tiga tahun berlalu, segalanya berlaku dalam keadaan yang mengejutkan.
Namun saya bersyukur, dapat melaksanakan tanggungjawab menjaga arwah ketika dia sakit sehingga ke akhir hayat,” ujar Abdul Rahim berkongsi sedikit momen Istimewa bersama isterinya bersama pengacara, Haze Huzir.
Kehidupan seharian Abdul Rahim banyak berkisar mengenai anak-anak terutamanya dua anaknya dikategorikan sebagai orang kelainan upaya, sekaligus menuntut waktu dan perbelanjaan yang besar dalam mengharungi pelbagai aspek kehidupan.
“Anak sulung mempunyai masalah pembelajaran dan kategori lembam, manakala anak kedua pula mempunyai masalah penglihatan. Sebagai bapa sudah semestinya saya ingin melihat anak-anak berjaya dalam kehidupan. Namun apakan daya, Allah datangkan ujian ini kepada saya,”ujar Abdul Rahim lagi.
Selain dua orang anak yang memiliki kad OKU, abdul Rahim turut dikurniakan seorang anak perempuan yang kini mencecah usia 17 tahun. Namun, perjalanan hidup yang penuh dugaan dan ujian memberi tamparan hebat untuk remaja ini meneruskan Pelajaran apatah lagi selepas ibunya meninggal dunia.
“Semasa ibunya sakit, anak perempuan saya menjaga ibunya sehingga ke akhir hayat. Namun dia ‘hilang motivasi’ untuk belajar selepas kematian ibunya.
Harapan untuk melihat dia meneruskan cita-cita arwah ibunya tidak kesampaian apabila dia enggan meneruskan pelajaran. Kini, dia bekerja di taska dan tidak ambil SPM disebabkan tiada semangat selepas kematian ibunya,”ujar Abdul Rahim pasrah.
Kali ini, kunjungan penaja, Perfume Paradise ke kediaman Abdul Rahim turut membawa kejutan meraikan hari lahir bapa kepada tiga anak yang kebetulan jatuh pada hari penggambaran dilakukan.
Pihak penaja yang diwakili oleh Nur Afiqah Amran, pengasas Perfume Paradise bersama Ketua Pegawai Operasi Perfume Paradise, Mohd Safwan Shari turut menyampaikan beberapa sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini serta memberi sedikit sokongan dan motivasi untuk meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.
Riak wajah terharu tergambar di wajah insan ini yang banyak menanggung kesedihan dalam dirinya demi membesarkan anak-anak yang lebih memerlukan perhatian dari dirinya.
Selain menziarahi keluarga Abdul Rahim, kru Kongsi Kasih dan Perfume Paradise turut berkesempatan bertemu dengan Mhd Amin Md Ali, seorang pesakit buah pinggang tahap akhir yang perlu menjalani rawatan dialisis setiap dua hari sekali.
Hidupnya yang bergantung kepada rawatan ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun dia tetap tabah menghadapi ujian yang mendatang.
Penyakit buah pinggang kronik adalah keadaan yang menyebabkan fungsi buah pinggang merosot secara perlahan-lahan dari masa ke masa. Pada peringkat akhir, buah pinggang gagal berfungsi sepenuhnya, menyebabkan pesakit bergantung kepada rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.
Keadaan ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, dan penyakit genetik. Selain kesan fizikal yang melemahkan, pesakit juga berdepan dengan beban emosi dan kewangan dalam menjalani rawatan berterusan.
Bersama isterinya, Shafaah, pasangan ini menetap di rumah waqaf sewa di bawah seliaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Kesukaran hidup yang mereka hadapi benar-benar menyentuh hati, apatah lagi dengan keadaan kesihatan Mhd Amin yang semakin meruncing. Namun, dalam keterbatasan, mereka tetap berusaha menjalani kehidupan sebaik mungkin.
Saling Membantu, Saling Menguatkan
Melalui episod kali ini, Kongsi Kasih dan Perfume Paradise bukan sekadar menyantuni mereka yang memerlukan, tetapi turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini.
Lebih daripada itu, program ini membawa mesej bahawa dalam kesusahan, pasti ada sinar harapan jika kita saling membantu dan prihatin terhadap sesama insan.
Setiap episod Kongsi Kasih mengajak kita merenung erti sebenar keikhlasan dan pengorbanan. Semoga kisah-kisah ini menjadi inspirasi buat semua untuk terus menyebarkan kebaikan dan membantu mereka yang dalam kesusahan.
Jangan lupa saksikan Kongsi Kasih musim ke 4 setiap jumaat jam 7 malam.
Kongsi Kasih Musim ke-4 kini lebih wangi dengan Perfume Paradise.
Ada sesetengah anak kecil suka tidur malam dengan pasang lampu dan tanpa ambil tahu risikonya, mak ayah ikutkan kehendak anak dan akhirnya jadi tabiat!
Rutin ini sebenarnya tak bagus, boleh mengundang bahaya sekaligus mampu menjejaskan tahap kesihatan anak-anak untuk jangka panjang. Malah ia juga boleh mengakibatkan risiko penyakit kanser.
Menurut beberapa kajian yang dijalankan, tidur dalam keadaan cerah atau ketika lampu terpasang akan mengurangkan penghasilan hormon melatonin. Hormon Melatonin merupakan salah satu hormon yang berfungsi untuk mempertahankan tubuh daripada penyakit berbahaya seperti kanser. Hormon melatonin ini tidak dapat dihasilkan oleh tubuh jika anda tidur dalam keadaan yang cerah.
Bukan itu sahaja, tidur dengan lampu menyala juga mengakibatkan jam biologi tubuh terganggu dan otak tidak dapat berehat sepenuhnya. Kesannya, anak-anak akan mengalami gangguan tidur yang akhirnya boleh menyebabkan ganguan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, stres dan menjejaskan metabolisme tubuh.
Oleh itu, sebelum tidur pastikan lampu ditutup terlebih dahulu. Bukan saja dapat menjimatkan bil elektrik tapi baik untuk kesihatan.
Kebaikan tidur dalam gelap :
Baiki sel-sel yang rosak
Tubuh kita memerlukan suasana yang gelap dan tenang untuk memperbaiki sel-sel yang rosak atau mati.
Tidur Lebih Lena
Tidur dengan lampu dipadamkan adalah tidur yang lebih selesa dan lebih tenang berbanding tidur dengan lampu terpasang.
Cegah penyakit seperti kanser
Tubuh kita hanya akan aktif mengeluarkan hormon melatonin apabila berada dalam suasana gelap. Hormon Melatonin ini diperlukan oleh badan kita untuk mencegah penyakit seperti leukemia dan kanser.
Jimatkan tenaga elektrik
Menutup lampu sebelum tidur pastinya mampu mengurangkan bil elektik di rumah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Para petugas Barisan Hadapan ( frontliners ) negara ini, bukan sekadar perlu berperang dengan virus Covid-19, lebih membimbangkan perlu berdepan pesakit yang tidak berkata jujur dengan sejarah penyakitnya.
Terutama mereka yang sebenarnya sudah terdedah dengan jangkitan Covid-19, ada ciri-ciri yang disenaraikan oleh KKM, tetapi tidak berkongsi maklumat dengan doktor yang membuat saringan. Kesannya, para petugas barisan hadapan yang kontak rapat dengan pesakit terpaksa dikuarantinkan.
Ketika khidmat mereka amat-amat diperlukan, tiba-tiba perjuangan mereka terhenti dek sikap individu yang tidak bertanggungjawab ini.
Ini yang dialami oleh Dr. Amirul rakan baik, Dr Mohd Izzar Anwari Datuk Seri Abdul Khaniyang merupakan suami kepada pelakon Ummi Nazeera.
Kongsinya,
Ini Dr. Amirul. Kawan baik saya sejak zaman kolej lagi. Seorang peminat sukan NBA. Malangnya dia juga seorang peminat Liverpool FC.
Lebih malang lagi, beberapa minggu lepas dia telah terdedah kepada seorang pesakit COVID-19 POSITIF selama 3 jam tanpa pakaian perlindungan (PPE). Kenapa dia tak pakai? Sebab pesakit tu tak beritahu semua orang dia baru pulang dari negara berisiko.
Bukan sahaja Dr. Amirul yang terdedah, malah doktor-doktor di Jabatan Kecemasan dan di wad juga terdedah tanpa perlindungan sebab pesakit tersebut tak jujur semasa ditanya oleh petugas kesihatan.
Maka doktor-doktor yang terdedah tu semuanya terpaksa dikuarantin. So, berkuranglah doktor-doktor yang boleh bekerja pula. Dan yang paling sedih, mereka terpaksa berpisah dari keluarga.
Bercakap Jujurlah Dengan Frontliners
Tapi , setelah buat test Covid-19, keputusan Dr. Amirul adalah NEGATIF. ALHAMDULILLAH! Sekarang Hero Malaya ni dah kembali bertugas.
TOLONGLAH BERCAKAP BENAR! . Kalau pernah travel, duduk dekat dengan orang Covid-19 positif, atau ada gejala-gejala tu BERITAHU jelah kat petugas kesihatan.
Bukan suruh menipu pun. Minta JUJUR je! Help us to help you!
Terima kasih kepada semua rakan-rakan seperjuangan dan frontliners. Let’s win this battle. Yang lain, JUST STAY AT HOME. Jom doakan keselamatan dan kesihatan kita semua. Aminn. #drizzarshares
MW : Terus mendoakan agar petugas Barisan Hadapan ini kuat mental dan fizikal mereka. Amin.
Zizi Kirana ditahan tentera zionis, aktivis terkenal Greta Thunberg juga ditangkap dalam misi Global Sumud Flotilla. Tentera Isreal dilaporkan bertindak agresif dengan menyembur minyak dan mesin air berkelajuan tinggi kepada bot-bot yang menyertai misi Global Sumud Nusantra yang sudah pun memasuki zon merah sekitar pagi tadi waktu Malaysia sebelum dipintas oleh tentera laut Zionis.
Dilaporkan Zizi Kirana dan tujuh lagi rakyat Malaysia telah ditahan secara tidak sah di perairan antarabangsa sekaligus membuktikan Israel bertindak di luar batas undang-undang.
Ketika ditahan Zizi berada di atas kapal Huga yang merupakan sebahagian daripada konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi Sumud Nusantara Official, yang turut memuat naik sebuah video isyarat kecemasan dipercayai dirakam oleh Zizi sendiri.
Pihak berkuasa negara haram itu turut menahan kapal Sirius yang membawa empat delegasi Malaysia iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairuddin dan Rusydi Ramli.Manakala tiga lagi diculik melibatkan Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil menaiki kapal Alma.
Dalam hantaran video menyaksikan aktivis merayu bantuan bagi memastikan pembebasan mereka dapat dilaporkan.
Setakat ini, sembilan kapal telah diceroboh dan 13 telah dipintas pihak pertahanan rejim Israel. Perkembangan terkini misi dilaporkan secara langsung oleh Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dari Sepang, Selangor. Seramai 23 aktivis Malaysia berada dalam misi pelayaran berkenaan.
Dalam pada itu turut dilaporkan, aktivis hak asasi manusia terkemuka dunia, Greta Thunberg, 22 tahun antara individu yang ditahan. Tentera zionis dilaporkan turut menyiarkan video keadaan Greta yang dilaporkan dalam keadaan selamat.
Greta Thunberg antara aktivis ditahan malam tadi secara tidak sah oleh zionis Israel
“Sudah beberapa buah kapal flotilla Hamas-Sumud berjaya dihentikan dengan selamat dan penumpangnya kini sedang dibawa ke pelabuhan Israel,” kata Tel Aviv dalam hantaran mereka.
Penangkapan Greta Thunberg dalam misi ini sudah pasti menjadi tumpuan dunia sekaligus memastikan Israel tunduk dengan bantahan dunia kerana misi Global Sumud Flotilla ini hanyalah misi menghantar bantuan makanan dan ubatan untuk warga Gaza.
Sedikit info, Greta Thunberg ialah aktivis iklim remaja dari Sweden yang mula terkenal pada usia 15 tahun selepas memulakan protes “School Strike for Climate” pada 2018. Aksinya mencetuskan gerakan global Fridays for Future, menggerakkan jutaan anak muda di seluruh dunia untuk mendesak tindakan segera terhadap perubahan iklim.
Sejak itu, Greta menjadi suara lantang di pentas antarabangsa termasuk PBB dan Forum Ekonomi Dunia dengan ucapan tegas yang menegur pemimpin dunia kerana gagal bertindak. Dinobatkan sebagai Time Person of the Year 2019, Greta kini dilihat sebagai simbol generasi muda dalam perjuangan keadilan iklim.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.