Program Kongsi Rezeki: #SAMASAMAKENYANG mencatat kejayaan luar biasa dengan penganjuran pertama Majlis Tahfiz Berselawat berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM33,687 dalam sehari!
Program yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Kongsi Rezeki bagi membantu golongan asnaf, anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, warga emas, serta gelandangan.
Kerjasama Banyak Pihak
Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Softrein, OIC Today, Warung Pagi Pagi, Bigo Live Malaysia, Bateriku.com dan Saloma Kuala Lumpur serta banyak lagi penaja dari pelbagai organisasi membantu melancarkan program Tahfiz Berselawat dan menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat.
Hasil daripada kutipan ini disalurkan kepada Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat bagi menyokong pendidikan tahfiz dan Adina Charity Circle untuk membantu rawatan perubatan anak-anak pejuang kanser. Kejayaan program ini turut diperkukuhkan dengan sumbangan tambahan sebanyak RM30,000 daripada seorang individu dermawan.
Ads
Peneraju utama Kongsi Rezeki, Putra Amaris, menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap inisiatif ini.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program bantuan, tetapi satu gerakan yang mengajak masyarakat untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, membuktikan bahawa masih ramai yang prihatin terhadap kerja-kerja kebajikan,” katanya.
Majlis yang penuh bermakna ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting, termasuk Mohd Khairi Mohamed (Rakan Kongsi Saloma), Dr. Raja Laila Rani Mohammad Abdullah (Pengerusi The Muslim World Women’s Summit), dan Aman Rasyidi Mohd Noor (COO SoftRein), yang menyatakan komitmen mereka dalam menyokong usaha kebajikan ini. Turut hadir adalah kumpulan nasyid tersohor Raihan, yang memeriahkan acara dengan persembahan istimewa mereka.
Selain kutipan dana, program ini turut menyaksikan kejayaan penjualan 30 meja berbuka puasa, dengan hasilnya disalurkan terus kepada penerima manfaat.
Inisiatif Infaq Surau yang dilaksanakan dengan kerjasama SoftRein juga mendapat sambutan luar biasa, dengan 1,000 sejadah serta 1,000 botol sabun PowerRein dan SoftRein berjaya dikumpulkan untuk disumbangkan kepada surau-surau di kawasan asnaf.
Ads
Menurut Putra Amaris, kejayaan program ini membuktikan bahawa masyarakat semakin ingin terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, terutamanya di bulan Ramadan.
“Kami melihat keikhlasan orang ramai dalam menyumbang, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan, atau tenaga sukarelawan. Ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program seperti ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Manfaat 1,000 Keluarga Asnaf
Selain itu, Kongsi Rezeki 2025 juga meneruskan pengagihan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Abee Hae dan Jejak Jalanan, serta menyediakan pakaian sekolah, baju raya, dan keperluan harian untuk anak-anak pesakit kanser di seluruh Malaysia. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan lain yang memerlukan.
Ads
Pengasas NGO Pertubuhan Jejak Jalanan, Abe Hae (Azhan Adnan), yang telah membantu golongan miskin bandar di Chow Kit sejak 2022, turut memainkan peranan penting dalam memastikan pengagihan bantuan ini berjalan lancar.
Penganjur juga memberi jaminan bahawa 100 peratus daripada dana yang dikumpulkan akan disalurkan terus kepada penerima manfaat tanpa sebarang pemotongan.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program amal, tetapi platform untuk menyemai nilai kasih sayang dan empati dalam kalangan masyarakat. Kami berharap usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang. Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga membawa keberkatan kepada para penyumbang,” ujar Putra Amaris.
Dengan kejayaan ini, Kongsi Rezeki terus membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat mampu memberikan impak besar dalam membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya di bulan Ramadan.
Seorang jururawat maut apabila motosikalnya merempuh belakang sebuah lori sebelum tercampak dan digilis dua kenderaan lain di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di sini semalam. Tular video berkenaan kemalangan tersebut di media sosial yang menunjukkan bagaimana kemalangan tersebut berlaku.
Mangsa, Nurul Ilham Nordin, 29, yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G Shan Gopal berkata, siasatan awal mendapati mangsa terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan dari arah Cheras menghala ke tempat kerja.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar belakang sebuah lori tiga tan yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal,” Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang.
Digilis 2 Kenderaan
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, mangsa tercampak ke sebelah kanan jalan dan digilis sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan kemudian dilanggar sekali lagi oleh pemandu Perodua Alza.
Katanya, siasatan masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shan Gopal berkata, pihaknya juga telah merakam keterangan tiga pemandu kenderaan yang terbabit dalam insiden itu bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau menghubungi Insp. Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474.
Pihak Polis turut menasihati orang ramai agar mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna lain.
“Mak, kita India ?”.Itu persoalan yang bermain di benak seorang kanak-kanak bernama Joe yang dipaparkan dalam filem pendek ‘Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar” bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke 67 tahun ini.
Mesej Perpaduan
“Kita Kan Sama” membawa mesej yang kuat tentang pentingnya perpaduan dan kesamaan, serta bagaimana perbezaan budaya dan kaum sepatutnya menjadi kekuatan, bukannya halangan.
Lebih istimewa, filem ini diadaptasi dari kisah benar perjalanan hidup seorang anak muda Pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi yang menemukan jati diri dan nilai persahabatan melampaui batasan agama, kaum, dan budaya.
Said Saiful Fazli Said Aluwi
Kisah Di Sebalik Kita Kan Sama
Said Saiful Fazli Said Aluwi atau lebih mesra disapa Coach Said ini berkata secara peribadi, beliau mengakui karya yang dipersembahkan itu cukup dekat dengan dirinya. Menurut pengasas Choco Albab berusia 37 tahun itu, filem tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya merupakan cerminan semangat perpaduan dalam masyarakat.
Coach Said bersama kedua ibu bapanya yang menjadi inspirasi buat anak muda berusia 37 tahun ini untuk berjaya.
Filem ini diadaptasi daripada kisah benar dan merupakan pengalaman peribadi saya yang dibesarkan dalam suasana kampung yang harmoni. Di sinilah, saya menemui jati diri dan nilai persahabatan tanpa batas perbezaan kaum dan budaya,”ujarnya memulakan bicara bersama media.
Untuk info, filem pendek Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar menyoroti kehidupan Joe (nama layar) yang membesar dengan cara dan gaya hidup sebagai masyarakat Melayu.
Namun, ketika empunya diri mengetahui asal-usulnya yang sebenar, lelaki tersebut berhadapan dengan cabaran untuk menerima identiti barunya, realiti bahawa beliau berketurunan India telah memberi satu kejutan pada dirinya. Perkara tersebut turut mempengaruhi hubungannya dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum.
“Kita Kan Sama” membawa mesej yang kuat tentang pentingnya perpaduan dan kesamaan, serta bagaimana perbezaan budaya dan kaum sepatutnya menjadi kekuatan, bukannya halangan. Filem pendek ini juga bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia merenung kembali nilai-nilai yang telah menyatukan kita semua selama ini.
Dalam ucapannya, Said berharap, filem tersebut mampu menyentuh hati setiap penonton dan mengingatkan kita semua tentang betapa pentingnya menghargai perbezaan dan membina hubungan yang kukuh antara satu sama lain.
Tayangan perdana yang berlangsung di Choco Albab HQ itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Saudagaar Asia, Datuk Zafrul Rizal bin Mat dan barisan jemputan pengedar syarikat dan pihak media.
Filem pendek ‘Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar” ini diharap dapat menyampaikan mesej persahabatan dan kasih sayang sebagai unsur yang paling penting dalam membina semangat perpaduan dalam membentuk negara yang bersatu padu sempena kemerdekaan Malaysia ke 67 tahun ini.
Filem pendek ini juga bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia merenung kembali nilai-nilai yang telah menyatukan kita semua selama ini. Semoga ia menjadi pembakar semangat rakyat Malaysia untuk lebih mencintai negara tercinta!
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan mesra pelanggan bagi membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman pendidikan.
Seiring dengan komitmen ini, PTPTN memperkenalkan Kempen myPTPTN Anytime, Anywhere! yang akan berlangsung mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Mac 2025.
Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan peminjam melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN secara konsisten pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui platform myPTPTN. Selain itu, ia juga bertindak sebagai platform untuk memperkenalkan kelebihan transaksi tanpa tunai kepada orang ramai.
Hadiah Menarik Menanti Peminjam
Sebagai dorongan kepada peminjam, PTPTN menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 kepada 25 pemenang bertuah, di mana setiap pemenang akan menerima RM1,000 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN.
Bagi pelanggan baharu yang menjadi pengguna myPTPTN ke-2.5 juta dan berjaya membuat pengesahan identiti, mereka berpeluang memenangi hadiah wang tunai khas sebanyak RM2,500, juga dalam bentuk bayaran balik pinjaman.
Cara Penyertaan
Penyertaan dalam kempen ini sangat mudah dan automatik. Peminjam hanya perlu:
Membuat bayaran balik dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan mereka menerima 10 cabutan.
Pengguna baharu yang mendaftar dalam tempoh kempen layak mendapat 20 cabutan.
Fleksibiliti dalam Bayaran Balik
Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, peminjam boleh menggunakan aplikasi web myPTPTN untuk membuat rundingan bagi pelan pembayaran fleksibel melalui inisiatif #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu. PTPTN komited dalam menyediakan saluran perkhidmatan yang mudah, cepat dan selamat untuk membantu peminjam menyusun semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
Meningkatkan Kesedaran dan Kelestarian Dana
Kempen myPTPTN Anytime, Anywhere! juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan peminjam mengenai kepentingan bayaran balik secara konsisten. Dengan kelancaran pembayaran balik, kelestarian dana pendidikan dapat diteruskan bagi generasi akan datang. Selain itu, hadiah yang ditawarkan turut memberikan tambahan kewangan yang dapat membantu peminjam dalam memenuhi tanggungjawab mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, peminjam digalakkan untuk melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau memuat turun aplikasi myPTPTN bagi mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...