Nama panggilan ini nampak simple je nak buat, tapi kesannya hebat. Malah Rasulullah SAW pun memanggil isterinya dengan gelaran yang indah-indah. Barulah rumahtangga barakah. Romantik pun romantik.. sweet pun sweet, tahap potong kaki punya.
Penting sebenarnya memanggil dan memuji isteri dengan gelaran atau panggilan terindah. Hati isteri akan jadi bertambah bahagia bila suami panggil dengan panggilan sayang, manja dan sebagainya. Rasa tenang sama pun iya.
Sebab itulah, wahai suami.. Ustaz Ebit Lew berpesan agar memuji dan memanggil isteri dengan panggilan yang paling anda sukai. Haa.. sama juga dengan isteri. Pun kena panggil suami dengan gelaran terindah yang baik-baik.
Ads
Puji Dan Panggil Isteri Dengan Gelaran Terindah
Aduh. Ya Allah tuhanku..sebak rindu semua ada. Dapat peluang berdua-duaan dengan bidadari sayang dalam kereta nak pergi ambil anak balik sekolah. Rasa bahagia pegang tangan. Nak berbual. Nak cakap i love u till jannah banyak-banyak kali. Makin hari makin rindu. Makin jatuh cinta sayang.
Ya Allah jagakanlah bidadariku ini supaya dapat kami bersama mendapat RedhaMu dan jannatulFirdausMu
Rumahtangga paling bahagia ialah rumahtangga Rasulullah saw. Jadilah orang paling baik dan romantik seperti Rasul saw… Bila pulang ke rumah baring atas riba isteri. Atau isteri baring di atas riba kita. Saling mengusap dahi dengan cinta dan kasih sayang. Setelah berpenat berjuang di luar sana. Dakapan pasangan yang kita cintai ialah tempat paling indah. Mengubat segala duka dengan izin Allah.. Rasulullah saw berpelukan menangis kerana keletihan dan diuji dengan pukulan, cacian, kesusahan yang amat dahsyat di luar sana.. rumahku syurgaku.baiti jannati. Memuji dan memanggil isteri atau suami dengan panggilan paling disukai.
Ads
Wahai bidadariku yang menawan, yang cantik, kekasih hati teman hidupku. Menemuimu dalam hidup ini perkara yang terindah. Kaulah bulan. Kaulah matahari. Kaulah kurnia Allah yang terindah dalam hidup ini..
Rasulullah saw memanggil isteri dengan gelaran dan panggilan terindah.
Berlemah Lembut, Lunakkan Suara Ketika Bersama Pasangan
Mengusap tangan dan peha pasangan. Sambil ucap dan lafazkan sayang. Saya cinta dan sayang awak sampai syurga. Saya ingin terbang bersama sayang dalam syurga.
Ads
Berlemah lembut dan lunakkanlah suara bersama pasangan. Perkataan dari hati yang mencintai dan bersyukur. Mereka bukan milik kita. Tapi amanah Allah yang untuk kita cintai dan bawa bersama ke syurga. Jangan sesekali berkasar, dengan wajah bengis, bahasa kasar semua orang lari darimu
Mandi bersama dan bergurau semasa mandi bersama. Rasulullah saw mandi bersama isterinya.
Dukung dan rapatkan pipi. Dengan kasih sayang dan manja. Bergurau dan sekali sekala main kejar-kejar dengan pasangan bagi yang sihat. Berlari bukakan pintu rumah atau kereta bagi pasangan. Berebut nak angkat barang atau anak semasa bersama. Bersama dengan manja dan kasih sayang.
Jangan bersedih bila hajat dan impian tak sampai, mungkin anda kena gali konsep doa sampai nampak jalan yang boleh keluar daripada segala masalah.
Ok, pernah tak hidup anda dianiaya orang yang paling anda percayai. Rasanya bagaimana, sakit sekali sampai tak nampak dah yang lain-lain melainkan mahu balas kembali perbuatannya. Betulkan?
Ketika jiwa lemah tak berdaya, kepada Allah jualah anda memohon pertolongan. Tanpa jemu anda memohon moga Allah berikan pembalasan yang setimpal pada mereka yang menganiaya itu. Biar mereka sama merasai apa yang anda alami. Baru puas hati, kosong-kosong.
Hakikatnya, nak capai hati bahagia bukan itu caranya. Master Coordinator ar iReach, Puan Lyna Noh yang dikenali sebagai Akacan berkongsi cara mencapai hati bahagia dengan mendoakan orang lain.
Hati Bahagia & Hajat Tercapai
Salah satu cara hati bahagia & tercapai hajat ialah dengan mendoakan orang lain.
Dulu saya kalau nak marah orang, saya geram, doakan yang bukan-bukan. Biar mati kena langgar lori!
Tapi sejak saya faham tentang konsep doa yang diaminkan malaikat, saya tukar.
Kepada yang melukakan hati saya, saya doakan dosa-dosanya diampunkan, hajatnya tercapai, diberi hidayah, hidupnya bahagia dan sejahtera dunia akhirat.
Kenapa?
(1) Kita akan lebih bahagia bila mendoakan orang lain. Walaupun orang tu mencederakan hati kita. Ia lebih baik daripada menanggung sakit hati mengenangkan mereka.
(2) Apa yang kita doakan pada orang, malaikat aminkan dan berdoa pula agar kita pun dapat doa yang sama yang kita pinta buat mereka. Kalau kita minta doa agar orang tu mati dilanggar lori entah-entah kita dulu yang kena langgar lori.. naudzubillahi min zalik.
(3) Syaitan suka bila kita bermusuh tapi sengsara bila kita bersilaturrahim.
(4) Bila kita doakan kebahagiaan orang yang melukakan kita, mudah-mudahan doa kita makbul, dia sibuk dengan kebahagiaannya & tak kacau kita lagi dah.
(5) Kerana kita pun bukannya tak buat salah dengan orang lain.. Mungkin banyak benda yang kita tak perasan tapi melukakan dan menggores hati orang lain. Jangan ingat kita baik/mulia sangat.
Kawan-kawan, cubalah. Doakan orang-orang yang pernah melukakan hati kita (termasuk saya la kalau ada). Doakan kebahagian mereka, diberi hidayah, kejayaan, makbul hajat… mula-mula mungkin kita rasa sukar. So unfairkan? Tapi yang pasti kita akan rasa betapa manisnya perasaan itu.
Saya doakan kawan-kawan semua tercapai segala yang dihajati. Mudah-mudahan Allah redha & suka dengan apa yang kita kerjakan.
Pengorbanan seorang mak sewaktu melahirkan anak amatlah tidak ternilai. Berdepan dengan pelbagai risiko dan komplikasi lain sehingga nyawa yang menjadi taruhan. Tak dapat digambarkan dengan perasaan apabila terpisah dan tidak dapat langsung bertemu dengan anak sendiri selepas melahirkannya akibat masalah kesihatan yang dialami.
Akibat Komplikasi Beranak
Seorang ibu yang koma selama 138 hari akibat komplikasi semasa beranak hanya mampu mengalirkan air mata melihat anak lelaki sulungnya buat kali pertama semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Perasaan Norfadilla Che Par, 28, yang gembira bercampur sebak melihat bayinya, Muhamad Syahmi Mohd. Saiful yang dilahirkannya itu kini sudah hampir memasuki usia lima bulan.
Wanita itu koma selepas menjalani pembedahan untuk bersalin dan mengalami tekanan darah rendah, degupan jantungnya turut berhenti selama 10 minit mengakibatkan oksigen tidak sampai ke otak. Bayi itu bagaimanapun selamat dilahirkan dengan berat 3.7 kilogram serta dalam keadaan sihat.
Menangis Teresak-Esak
Sepanjang dua jam pertemuan itu, Norfaidilla yang masih tidak mampu bercakap dilihat menangis teresak-esak sehingga mengeluarkan suara kerana terlalu gembira apabila anak yang dilahirkannya pada November lalu diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.
Biarpun Norfaidilla tidak dapat bergerak, dia dilihat berusaha untuk mencium anak sulungnya itu sambil dibantu oleh suaminya Mohd Saiful Sudin, 30. Muhamad Syahmi yang pada mulanya tersenyum, turut menangis seolah-olah mengerti perasaan ibunya itu.
Beransur Pulih 80 Peratus
Mohd Saiful berkata, sebelum ini, dia sudah beberapa kali meminta kebenaran daripada pihak hospital untuk mengatur pertemuan itu, namun terpaksa ditangguhkan dengan mengambil kira keadaan isteri.
Katanya, bagaimanapun beberapa hari lalu, dia mendapat khabar gembira apabila doktor memberi kebenaran selepas isterinya beransur pulih 80 peratus.
“Pertemuan dibuat di luar wad untuk mengelakkan bayi kami terkena jangkitan di wad. Saya dan ahli keluarga lain turut sebak melihat isteri menangis teresak-esak apabila anak diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.
“Selama tempoh dua jam itu, isteri menangis tidak berhenti-henti kerana sebelum ini saya hanya mampu menunjukkan gambar anak kepadanya sahaja.
“Semalam adalah kali pertama isteri dapat menyentuh anak selepas 138 hari koma di hospital,” katanya
Perkembangan Positif
Menurutnya, isterinya mula menunjukkan perkembangan positif sejak Januari lalu.
“Dua bulan selepas koma, doktor terpaksa membuat pembedahan memasukkan tiub di leher isteri untuk pernafasan dan selepas hampir dua minggu isteri mula memberi tindak balas.
“Apabila namanya dipanggil, dia sudah boleh memalingkan muka dan doktor pun maklum yang isteri sudah sedar daripada koma, namun masih memerlukan pemantauan rapi,” katanya.
Mohd Saiful berkata, dia bersyukur sejak berita mengenai penderitaan isterinya dipaparkan, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan.
“Saya turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga selepas saya bercuti tanpa gaji untuk menjaga isteri.
“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan isteri, hanya tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.
MW: Alhamdulillah, semoga kesihatan wanita ini kembali pulih dan segera sembuh seperti sedia kala serta dapat berada disamping anak dan keluarganya secepat mungkin.Buat para suami, hargailah pengorbanan isteri yang berkorban melahirkan anak sehingga nyawa menjadi taruhan.
Tuntutan membesarkan anak sendirian memaksa ibu menjadi kreatif, baik dari segi kekuatan emosi mahupun pencarian nafkah keluarga. Sikap lemah apatah lagi tak redha dengan ujian tuhan perlu dibuang jauh-jauh. Redha menjadikan ibu lebih kuat dan tabah.
Ini pengalaman Puan Zureiny Zulkafly yang bekerja sebagai pengasuh dalam masa sama membesarkan dua orang anaknya sendirian selepas ketiadaan suami. Salah satu tip membesarkan anak sendirian ini adalah tidak terlalu ego dengan anak. Selanjutnya boleh fahamkan prinsipnya dalam perkongsian beliau ini.
Ibu Ini Macam Mana Orangnya?
Selepas pemergian hubby, anak-anak bergantung harap dan kasih sayang sepenuhnya pada saya. Ainalah yang paling ketara sampaikan tidak mahu berenggang dengan saya. Memang saya lemah jiwa bila tengok anak matanya yang seakan mengharap saya menghantarnya ke sekolah setiap hari. Memang hati saya diruntun pilu bila tidur setiap malam dia akan memeluk saya seeratnya. Seakan tidak mahu melepaskan.
Saya terasa lelah dengan amanah yang berat ini. Rasa senget bahu saya ini. Kadang-kadang saya jadi terlalu penat. Letih dan hilang segala kudrat. Saya bukan mahu jadi hebat. Cukuplah sekadar menunaikan tanggungjawab menurut apa yang mampu saya buat.
Saya akan menangis sendirian merindui hubby. Kalaulah dia masih ada, rasanya saya sudah menangis di ribaannya. Paling tidak pun saya akan mengomel bercerita tak tentu hujung pangkal kepala ekor. Hubby akan mendengar walaupun saya rasa dia seperti tidak mengendahkan. Rupa-rupanya dia faham bila dia jawab “Sabarlah.”
Memang itulah yang selalu dia pesan pada saya. Mendengar perkataan sabar mampu menghilangkan segala kedukaan hati. Meredakan marah yang tersembunyi. Melenyapkan segala dendam yang berapi. Meleraikan segala kekusutan jiwa. Sekarang ini saya terlalu rindu mendengar perkataan sabar dari mulutnya. Betapa saya mengharapkan akan mendengar kata-kata itu di telinga saya.
Begitu juga soal saya dan anak-anak. Bukan mudah mereka hidup tanpa seorang ayah. Saya cuba memahami perasaan mereka. Cuba mengerti apa yang mereka ingini. Bila anak-anak menjawab mereka ‘Ok’ saya terasa dibohongi. Benarkah mereka tidak apa-apa? Atau sekadar menjaga hati saya.
Saya masih merasa kepiluan bila hubby pergi. Tak kan semudah itu anak-anak sembuh dari kehilangan ini. Saya usaha sebaiknya untuk menjaga kedua mereka seperti yang hubby amanahkan. Saya lindung keperitan saya dengan sikap saya yang tegas. Saya tutup kelemahan saya dengan sikap saya yang sangat melindungi. Akhirnya, saya buntu dengan sikap saya sendiri. Saya panggil anak-anak dan secara jujur saya bertanya kepada keduanya.
“Adik, kalau ada yang tanya adik, ibu ni orang yang macam mana…adik jawab apa?”
“Ibu garang!” Terpacul kata-kata itu dari bibir Aina yang mungil. Spontan jawapannya. Saya pun terkejut.
“Ibu garang sangat ke dik?” Aina tersenyum simpul. Mengulum senyumnya. Tak tahulah kalau dia sengaja menyakat saya. Pada saya, itu jawapan yang jujur dari hatinya.
“Ayah garang tak dik?” Saya mengumpan Aina.
“Tak. Ayah tak garang. Ayah baik. Ayah selalu bawak adik pergi taman.” Haih…celoteh sungguh budak kecil ini.
“Tak baik tau adik jawab macam tu. Ibu garang sebab ibu sayang kita.” Tiba-tiba Afrina menyampuk. Saya ketawa tengok muka Afrina yang berkerut memandang adiknya.
“Kalau orang tanya, Fina jawab apa?”
“Ibu ni pendidik.” Lagilah saya terkejut dengan jawapan anak sulung saya ini.
“Maksud Fina?”
“Ibu kan didik kakak dengan adik. Banyak yang ibu ajar,” jawab dia ringkas.
“Ye ke?” Afrina mengangguk.
Fahamkan Prinsip Ini
Dari situ, barulah saya faham pandangan kedua anak saya adalah berbeza terhadap saya. Mungkin kerana faktor usia ataupun faktor kematangan. Afrina yang sudah berusia 13 tahun merasakan saya telah mendidiknya dengan baik. Mengajarnya tentang betul salah, buruk dan baik. Mengajarnya untuk hidup berdikari tanpa ayah di sisi.
Berbanding Aina yang baru 5 tahun, apa yang dia harapkan adalah tumpuan dan kasih sayang. Itulah sebabnya mengapa dia kata saya garang. Dia rasa saya tak perlu marah atau tegas dengan dia sebab dia cuma inginkan perhatian saya sahaja. Dia selalu fikir dia tak buat salah apa-apa.
Cuma yang saya tahu, segarang-garang saya macam singa (ni Aina yang cakap) saya tidak merotan anak. Saya tidak menghukum anak tanpa sebab. Saya hanya tegas terhadap sesuatu disiplin. Kalaulah saya ni betul-betul garang, rasanya anak-anak asuhan pun tak kan nak dengan saya. Tak mungkin saya bertahan hampir 10 tahun sebagai pengasuh anak-anak.
Okey…saya pun belajar perkara baru ketika itu. Sebagai ibu atau bapa, jangan terlalu taksub dengan status kita sehinggakan kita ego dengan anak-anak. Tidak pula terlalu beralah sehinggakan anak hilang hormat dan pijak kepala. Apa yang Afrina dan Aina cakap telah menjelaskan siapa saya sebenarnya. Pandangan mereka menjadi panduan untuk saya. Juga menjadi kekuatan untuk saya meneruskan kehidupan ini bersama mereka.
Terima kasih abang kerana abang telah mendoakan saya sebelum ini. “Didik anak-anak abang dengan baik. Abang nak anak-anak pandai macam Yang. Sekolah elok-elok. Ajar agama. Jangan biar anak-anak jadi macam abang.”
Mulanya saya memang tidak faham maksud hubby. Dia selalu ulang kata-kata ni sejak dari Afrina kecil lagi. Sehinggalah kami dikurniakan Aina pun, dia cakap perkara yang sama. Rupa-rupanya hubby pesan didik anak-anaknya menjadi orang yang berilmu kerana orang yang ada ilmu akan tahu mana letak dirinya. Walaupun hubby tiada segulung ijazah tetapi kebaikan akhlak hubby banyak diwarisi oleh anak-anak. Dan sikap saya yang tegas sebenarnya yang akan membantu segala didikan hubby kekal dalam diri anak-anaknya. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan pahala berpanjangan untuk hubby kerana kebaikannya terhadap kami.
Saat ini cuba tanya pada diri sendiri. Siapa kita pada pandangan anak-anak? Hanya mereka yang lebih mengetahui.
Sumber/Foto: zureinyzulkafly.blogspot.my via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri pelik bekas suami tuntut rumah jadi harta sepencarian, "sesen tak bayar tolong drill langsir saja. Seorang wanita tampil meluahkan rasa terkejut dan kecewa...