Wahai Ayah Duhai Ibu, Beri Kami Ruang Didik Anak Mu Di Kala Kau Tak Punya Kesempatan

Luahan hati pendidik ini amat perit untuk ditelan. Ianya kisah benar yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Bila anak yang meniti usia remaja, berjauhan dari ibu dan ayah, ditempatkan di asrama tentulah tanggungjawab itu diserahkan pada pendidik.

Apabila berlaku satu-satu kes melibatkan pelajar, bukan semuanya dapat diselesaikan seperti mana yang sepatutnya. Kerana komunikasi antara ibu ayah dan pendidik adakalanya tidak seiring.

Perkongsian Ezatul Marini seharusnya membuka mata ibu ayah yang kala ini mempunyai anak-anak baik lelaki mahupun perempuan yang tak lagi tinggal sebumbung dengan mereka. Berjauhan di asrama.

Agar, ibu ayah berikan kepercayaan pada pendidik untuk membentuk disiplin mereka. Asalkan ianya tak menyakiti dan memberi kemudaratan pada anak, ibu ayah berikanlah ruang dan peluang itu.

ANAK ORANG, ANAK KITA

Kes 1

Seorang anak perempuan didapati kerapkali melakukan kesalahan keluar masuk kawasan institusi tanpa kebenaran. Beliau juga pernah ditangkap keluar bermalam ke rumah teman lelakinya. Dek kerana acapkali kes berlaku, panggilan terpaksa dibuat untuk memaklumkan kedua ibu bapanya.

Kami pun dah tak tau nak buat apa. Dia memang liar.” itu sepatah jawapan si ayah

Kes 2

Seorang anak lelaki tertangkap memasuki kawasan asrama perempuan dan berdua-duaan dalam kawasan asrama dari tengah malam hingga awal pagi. Setelah terbukti kes, ibu bapa pelajar terpaksa dipanggil.

Hello mak. Ni nak bagitahu lah…terbuat lawak bodoh pulak, kena tangkap sebab masuk asrama perempuan.”

Dalam kes ini, bapa pelajar perempuan datang dengan linangan airmata dan wajah penuh kekecewaan manakala keluarga pelajar lelaki langsung tidak kelihatan

Kes 3

Seorang pelajar perempuan didapati tiada dalam bilik. Bermakna pelajar ini bermalam atau keluar kawasan institusi tanpa kebenaran. Bila dihubungi ternyata suara lelaki yang menjawab panggilan.

Mungkin menyedari bahawa yang menghubungi adalah pengurusan pelajar, panggilan itu tidak lagi dijawab. Panggilan dibuat kepada ibu pelajar untuk memaklumkan bahawa anaknya tiada di bilik dan ini melanggar peraturan.

Ehhh saya kenal budak lelaki tu…mereka berkawan saja. Jangan ganggu lah mereka. Mereka nak belajar.”

 

Wahai Ayah Duhai Ibu, Beri Kami Ruang Didik Anak Mu Di Kala Kau Tak Punya Kesempatan

Pendidik Pengganti Ibu Bapa

Itu beberapa realiti yang perlu dihadapi Dan tangani oleh segelintir golongan pendidik yang juga menawarkan diri mereka menjadi pengganti ibu bapa yang menjaga kebajikan dan permasalahan anak-anak di sekolah mahu pun institusi pengajian.

Semasa menerima anak-anak ini di hari pertama pendaftaran, saya percaya kebanyakan dari mereka berazam dan berikrar untuk mendidik dan menjalankan amanah mengawasi dan membentuk anak-anak ini yang sebahagiannya baru pertama kali berjauhan dengan keluarga dan merasai hidup di luar kawalan ibu dan bapa.

Tidak ada, saya yakin seorang pun dari mereka yang gembira melihat sekiranya anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa ini berubah menjadi anak-anak yang hilang kawalan diri dan terjerumus kepada gejala yang tidak baik.

Namun adakalanya, sikap segelintir ibu bapa yang terlalu meletakkan kepercayaan kepada anak-anak mengekang usaha pembentukan peribadi anak-anak ini.

Generasi Apalah Yang Nak Diwujudkan Pada Masa Hadapan

Saya sendiri pernah berdepan dengan situasi bilamana seorang anak bersungguh-sungguh menuduh pengurusan pelajar enggan menghantar anaknya yang sakit ke hospital waktu tengah malam dan si anak juga bersungguh mengatakan akibat tidak dibantu sakit yang dihidapnya semakin memberat. Mujur, di hadapan ibu bapanya, penipuan beliau dapat dibongkar.

Namun, tidak dinafikan ada juga ibu bapa yang sangat mudah memberikan kerjasama dan bantuan. Sentiasa prihatin dan memahami apa sahaja yang ditegaskan oleh pengurusan adalah untuk kebaikan anak mereka juga.

Agak sukar untuk agenda membentuk sahsiah dan akhlak itu hendak dilaksanakan sekiranya tiada komitmen dan kerjasama semua pihak. Skrip, “yang puan beria ni kenapa? Kami sebagai ibu bapa pun tak pernah bising” sudah terlalu klise

Dialog seperti “tolonglah puan, jangan kenakan tindakan berat kepada kami atau anak kami” juga sudah terlalu kerap kami hadap.

Jika di satu pihak menyangkal peranan guru dalam mendidik anak-anak dan turut menghalang proses penguatkuasaan undang-undang, generasi apa lah yang hendak kita wujudkan pada masa hadapan.

Bukan Niat Tuding Jari Untuk Meletakkan Kesalahan

Isu biadab, hilang pekerti dan daif susila sudah terlampau banyak dilambakkan. Mungkin yang perlu sama-sama diperhalusi, peranan dan tanggungjawab dalam memperbetulkan keadaan.

Bukan tujuannya untuk tuding-menuding jari meletakkan kesalahan, namun jalan yang terbaik adalah mencari titik pertemuan. Bagaimana membentuk sinergi agar kemelut isu sosial dan akhlak dapat ditangani secara kolektif dan saksama…

*Saya juga mempunyai anak remaja yang dititipkan ke asrama. Sungguh, setiap hari perasaan saya libang-libu. Mana nak memikirkan bimbang dia terlibat dengan masalah disiplin, bimbang andai dia biadab dengan para pensyarah, juga tak jemu mendoakan anak agar menjaga solat dan akhlak*

Wahai Ayah Duhai Ibu

Disamping mendoakan yang baik-baik untuk anak kita, ayuh kita sama-sama berikan ruang dan peluang untuk anak kita dididik dan dibentuk insan lain di kala kita tidak berkesempatan melaksanakannya

Salute untuk Semua Ayah Ibu cemerlang!

Sumber/Foto : Ezatul Marini

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI