Uyaina akui berat badan naik lepas bersalin. Sememangnya selepas mengandung dan melahirkan anak pasti perubahan pada bentuk badan seorang wanita akan berlaku perubahan.
Begitu jugalah yang dilalui oleh pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad yang baru sahaja melahirkan bayi sulung.
Terbaru Uyaina menjawab sindiran seorang pengikut di Instagram yang berbunyi;
“Lepas bersalin ni, badan makin berisi… maaf ye Uyaina,”.
Uyaina Akui Berat Badan Naik Lepas Bersalin
Seperti mana luahannya, Uyaina mengaku berat badannya naik selepas bersalin anak sulung.
“Paling menyedihkan, ini adalah benar. Selepas bersalin, bila tengok badan dekat cermin, rasa macam sedang mengandung empat bulan. Sebab perut buncit sangat selepas bersalin,” luah Uyaina.
Tambahnya lagi pada wakti ini sudah dua bulan selepas beliau bersalin.
Uyaina mengakui merupakan fasa yang agak mencabar juga untuk menurunkan berat badan.
Ads
Walaupun jaga makan namun penurunan berat badan agak perlahan.
“Mungkin saya bersalin melalui kaedah pembedahan jadi proses menurunkan berat badan agak lambat sedikit berbanding bersalin normal. Hendak kecilkan inci badan pun mengambil masa.
“Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menurunkan berat badan, tidak mengapa. Biarlah proses ini berlaku secara perlahan-lahan,” sambung Uyaina.
Menurut salah seorang netizen yang bernama arrosaekin1 perlu sebagai ibu itulah pengorbanan yang perlu dilalui;
Ads
“Ni lah pengorbanan org yg bergelar ibu mama ummi mommy ibu.. Perasaan yg takleh nak gambar dgn kata kata.. Anugerah terindah. Im proud that im a mother.. And how it changed our life..9 month journey to sgt la bermakna..setiap saat setiap masa.. Priceless.”
Untuk rekod, Uyaina telah mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran pada 21 Disember 2021. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang bernama Raja Urhan.
Memang ada benarnya kadangkala terdetik rasa ‘cemburu’ di hati apabila melihat kawan-kawan seronok dan bahagia melancong ke serata dunia, tanpa perlu ‘bergelut’ melunaskan tanggungjawab dan komitmen yang menanti. Namun sebenarnya, rezeki untuk melancong itu bukanlah titik bahagia semata-mata, tuhan kurniakan nikmat buat setiap hambanya dalam pelbagai cara.
Ada kawan aku hubungi semalam. Dia cerita betapa cemburunya dia melihat kawan-kawan dapat travel sebebasnya.Dia rasa tertekan sebab tengok kawan-kawan update post travel ke sana sini. Bila ada tiket flight terus beli. Tahu-tahu sahaja sudah ada gambar bercuti di luar negara. Mudahnya.
Sedangkan dia pula sibuk uruskan anak enam orang yang masih kecil. Masih sibuk mengurus baju sekolah, mengatur kerja rumah dalam masa yang sama masih bekerja menambah rezeki untuk keperluan rumah.
Sesekali bawa anak ke Langkawi. Itu pun, kena berkira-kira supaya bajet bulan itu tidak lari. Setiap sen pun kena kira, supaya perut dapat terisi. Kena fikir supaya komitmen bulan-bulan terus terpenuhi.
Aku faham sangat, sebab selalu fikir benda yang sama.
Bagi yang mengharapkan travel, aku cuma boleh kata bersabarlah. Orang yang travel ini, kita selalu lihat apa yang ada di FB atau IG, sedangkan kita tidak tahu apa keadaan dan situasi.
Orang yang travel ini mungkin jodohnya belum kunjung tiba.
Orang yang travel ini mungkin zuriatnya belum datang masa.
Orang yang travel ini mungkin baru diberhentikan kerja.
Sedangkan kita bergembira dengan anak-anak, suami sentiasa disisi. Suami dan anak-anak suatu nikmat. Kita ada satu ikatan yang tidak semua rasa.
Sementara kita beri rezeki dan peluang untuk berseronok dengan keluarga, nikmati dan syukuri. Sebab bila anak sudah besar nanti, maka tinggalkan kita sendiri lagi.
Masa membesarkan mereka tidak boleh diulang semula. Sehingga satu masa kita terasa anak-anak sudah besar, tanpa kita sedar.
Jangan letak travel itu sebagai titik bahagia semata-mata. Memang benar, travel boleh membuatkan seseorang itu gembira, tapi Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.
Kita uruskan rezeki yang ada untuk selesaikan tanggungjawab pada anak dahulu. Itu adalah bahagian mereka.
Kita percaya setiap perkara akan berlaku mengikut zon masa. Masa kita belum tiba. Masa orang lain mungkin cepat pula.
Mungkin Tuhan tahu sukat rezeki yang mencukupi, supaya kita tidak susah untuk travel nanti. Supaya kita benar-benar dapat nikmati travel yang memberi makna dan ingatan sepanjang masa.
Mungkin satu masa nanti Tuhan himpunkan kita dan anak-anak bersama. Sesungguhnya travel dengan anak-anak dan keluarga adalah satu nikmat yang tidak terperi.
Kalau bukan di dunia, di akhirat kelak nanti.
Catatan kembara #277
Irwan Dahnil
Tour Leader Anak Tiga
Glasgow, Scotland
Mingguan Wanita:Setuju sangat, ada benarnya tak perlu rasa ‘cemburu’ dengan orang yang berpeluang melancong merata dunia. Rezeki setiap orang tak sama,jangan letakkan ‘travel’ satu-satunya cara untuk capai bahagia.Ini kerana Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.
Mulianya hati pasangan suami isteri ini dalam membela kucing-kucing jalanan termasuk yang kurang upaya seperti buta, lumpuh dan sawan. Demi kepuasan dalam membela kucing-kucing ini, hingga sanggup berhenti kerja walaupun mendapat gaji yang lumayan.Malah bertekad hanya kematian yang dapat memisahkan diri dengan kucing-kucing tersayang.
“Hanya maut saja dapat memisahkan, sama ada saya pergi dulu atau kucing,” kata pemilik dan pencinta kucing, Mohd Baharim Abu Bakar.
Mohd Baharim, 44, yang menetap di Kota Kemuning, di sini, pernah bekerja sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat swasta selama lebih 10 tahun dengan pendapatan lima angka.
Biarpun sudah hidup selesa, bapa tiga anak itu nekad berhenti kerja enam tahun lalu kerana mahu mencari kepuasan dalam menjaga dan menguruskan kucing.
Bukan hanya kucing normal malah Mohd Baharim turut menyelamat dan memelihara kucing buta serta lumpuh yang diambil dari jalanan.
Dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu isteri, Nur Hanariawati Mohd Najib, 42, dan kini mereka memelihara 52 kucing dengan 17 daripadanya buta, lumpuh dan sawan.
“Ketika masih bekerja lagi saya sudah bela kucing tetapi tidak banyak seperti sekarang.
“Bagaimanapun, kepuasan memelihara kucing tiada ketika itu kerana terikat dengan komitmen kerja.
“Sampai satu tahap iaitu pada awal 2016, saya berasa sudah sampai masanya untuk berhenti kerja dan fokus menjaga kucing. Ketika itu saya memang nekad dan tidak langsung berasa berat hati,” katanya.
Demi kelangsungan hidup, Mohd Baharim memulakan fasa baru selepas berhenti kerja dengan menawarkan khidmat dikenali ‘Grab Cat’ iaitu mengambil kucing dari rumah pelanggan dan memandikannya.
Setahun kemudian iaitu pada 2017, Mohd Baharim menawarkan pula khidmat menjaga kucing peliharaan atau ‘cat boarding’ kerana melihat peluang menambah pendapatan.
“Saya dan isteri mulakan perkhidmatan itu pada Aidilfitri 2017 dengan caj RM10 seekor.
“Sambutannya memang menggalakkan dan hasilnya juga lumayan cuma risiko serta tanggungjawabnya juga besar.
“Ia kerana ada beberapa kucing berubah emosi iaitu enggan makan apabila pulang ke rumah tuan mereka jadi selepas berbincang dengan isteri, kami sepakat hentikan perkhidmatan itu pada awal 2020 iaitu sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Sejak itu Mohd Baharim fokus dengan perkhidmatan membersih, mendandan dan mencantikkan kucing saja dengan pergi ke rumah pelanggan.
Bercerita lanjut, Mohd Baharim berkata, kesemua kucing peliharaannya dibiarkan bebas di dalam rumah namun yang normal di bawah manakala kurang upaya dalam bilik di bahagian atas
Meskipun begitu, kesemuanya dilayan dan diberi kasih sayang sama rata tanpa melihat baka kucing.
“Sebahagian kucing peliharaan saya dibeli namun ada juga diambil serta diselamatkan dari jalanan.
“Saya dan isteri mula menyelamat kucing kurang upaya sejak awal tahun ini kerana mahu merasai pengalaman menjaga serta menguruskannya.
“Memang tidak mudah malah jika dikira kos perbelanjaan boleh beli sebuah rumah malah rutin penjagaannya juga tidak mudah terutama ketika menguruskan kucing kurang upaya buang najis tetapi saya cuba belajar hingga tahu pelbagai ilmu, boleh dikatakan dari kepala sampai ekornya.
“Sejak ada dalam dunia kucing, saya dan isteri juga perlu banyak berkorban kerana tiada masa berjalan atau pulang ke kampung. Sebaliknya, kami bawa emak di kampung datang ke sini kerana ada kucing di rumah perlu diuruskan ,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Nur Hanariawati menganggap kucing peliharaannya sebagai terapi ketika di rumah.
Oleh kerana terlalu sayang, Nur Hanariawati mengaku pernah menjual telefon bimbit selain menebalkan muka meminjam wang daripada keluarga terdekat untuk menampung kos rawatan kucing.
“Saya dan suami pernah pergi ambil dan selamatkan kucing sampai ke Melaka dengan kebiasaannya haiwan itu ditemukan dalam keadaan sangat teruk, ada bernanah, hancur badan atau kaki serta berlumuran darah.
“Kos rawatan ke klinik veterinar paling tinggi pernah mencecah RM6,000 manakala untuk manakala RM3,000 bagi membeli makan serta keperluan seperti lampin pakai buang untuk kucing kurang upaya.
“Ada ketika, terpaksa juga pinjam dengan keluarga terdekat untuk tampung kos rawatan, selebihnya guna wang simpanan dan hasil upah mendandan dan mencantikkan kucing.
“Alhamdulillah, setakat ini, kami cukup makan dan pakai malah banyak urusan dipermudahkan mungkin asbab daripada menjaga kucing,” katanya.
Nur Hanariawati berkata, tiga anaknya yang amat memahaminya dan suami yang terlalu sayangkan kucing.
“Mereka (anak) okay dan selesa saja setakat ini. Jadi, selagi ada kudrat, saya dan suami akan terus menjaga kucing dan serahkan tanggungjawab kepada satu sama lain jika salah seorang ‘pergi’ dulu.
“Jika ditakdirkan pergi serentak, saya dan suami sudah berpesan kepada anak kedua untuknya memikul amanah menjaga kesemua kucing kami,” katanya yang aktif berkongsi video rutinnya dan suami bersama suami di platform TikTok @ceritakucingkatsumi.
Mingguan Wanita: Mulianya hati pasangan suami isteri ini sehingga sanggup berhenti kerja untuk menjaga kucing-kucing jalanan mahupun dalam keadaan buta, lumpuh dan sawan. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dilimpahkan lagi rezeki yang melimpah ruah.
Ajal dan jodoh merupakan takdir ketentuan dari tuhan. Siapa sangka bermula dari hubungan seorang jururawat dan pesakit, menimbulkan bibit cinta dan menyatukan dua insan ini baru-baru ini. Namun istimewanya, kemurnian hati dan keihklasan wanita ini, menerima lamaran daripada suami tersayang, walaupun mengetahui keadaan suami yang kini terlantar dan mengalami masalah kesihatan kanser otot tahap empat.
Biarpun pernah kecundang dalam perkahwinan terdahulu, Siti Marha Azuar tidak serik untuk berkahwin semula, malah keikhlasannya terbukti apabila menerima lamaran pesakit barah otot (Leiomyosarcoma) tahap empat, Mohd Hashmi Arifin untuk memperisterikannya.
Malah, pada masa sama, Mohd Hashmi, 36, juga ikhlas dalam perhubungan kerana sanggup menerima Siti Marha, 35, yang berstatus ibu tunggal kepada dua cahaya mata berusia lima dan 11 tahun.
Berkongsi kisah di sebalik perhubungan mereka, Siti Marha yang juga jururawat berkata, dia berkenalan dengan suaminya sejak sembilan tahun lalu ketika Mohd Hashmi dimasukkan ke pusat perubatan tempatnya bertugas untuk mendapatkan rawatan akibat terbabit dalam kemalangan.
Menurutnya, hubungan mereka berdua ketika itu tidak lebih daripada seorang jururawat dan pesakit memandangkan dia sudah berkahwin.
Bagaimanapun, katanya, takdir menemukan semula mereka apabila Mohd Hashmi dimasukkan ke tempat kerja Siti Marha pada tahun lalu dan dia ditugaskan untuk memantau keadaan lelaki berkenaan.
“Suami sebenarnya adalah pesakit lama saya kerana mengenalinya ketika dia dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan pada 2013.
“Selepas dia (Mohd Hashmi) keluar wad, kami tidak berhubung langsung dan tak sangka akan bertemu semula di pusat perubatan sama selepas lapan tahun, malah kami masih kenal satu sama lain.
“Pada awalnya, saya tiada perasaan terhadapnya kerana niat awal ketika bertemu adalah untuk merawat, rawatan fisioterapi serta membuat dressing (cuci luka) namun lama-kelamaan timbul pula rasa sayang terhadapnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Siti Marha, cintanya tidak bertepuk sebelah tangan kerana Mohd Hashmi turut menaruh hati terhadapnya sebelum mereka cuba mengenali hati satu sama lain.
Katanya, keserasian yang ada membuatkan mereka sepakat untuk berkahwin dan hasrat itu dipermudahkan berkat restu keluarga kedua-dua belah pihak.
“Ada ahli keluarga saya yang meninggal dunia pada usia muda akibat menghidap barah, jadi mereka faham. Anak saya juga tiada halangan dan boleh menerima suami.
“Ikutkan, suami sendiri yang meluahkan hasrat kepada keluarganya untuk berkahwin dengan saya dan mereka memberi restu. Semua perbelanjaan perkahwinan juga ditanggung pihak suami dengan persediaan mengambil masa selama sebulan saja.
“Memandangkan suami terlantar sejak September tahun lalu dan kerap keluar masuk pusat perubatan, maka kami buat persediaan ala kadar saja, malah tidak bertunang sebaliknya hanya mendahulukan yang wajib,” katanya.
Katanya, dia enggan terlalu memikirkan keadaan suaminya yang dijangka sukar untuk sembuh kerana apa yang lebih penting adalah menyempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaik-baiknya.
“Semangat suami kuat walaupun ada ketikanya dia down dan baginya, saya hadir dalam ketika dia berada di titik terendah dalam hidupnya.
“Jadi, selagi diberikan kudrat dan kekuatan, saya akan berusaha menjaga suami dengan sebaiknya dan memberinya keselesaan walaupun buat masa ini, kami tinggal berasingan iaitu saya, di sini, manakala dia di Kapar, Klang,” katanya.
Berhubung majlis perkahwinannya yang tular, Siti Marha tidak menyangka hari bahagianya dan suami akan dapat perhatian meluas di laman sosial.
“Ikutkan, kami nak buat majlis sederhana saja dan akad nikah di pejabat kadi, tetapi jadi meriah pula dengan akad nikah serta persandingan diadakan hari yang sama kelmarin (Sabtu) di sebuah dewan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
“Syukur kerana semuanya berjalan lancar walaupun saya perlu menemani suami menaiki ambulans untuk ke dewan majlis.
“Terkejut juga apabila kisah perkahwinan kami tular namun terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata semangat,” katanya.
Kontroversi seorang wanita yang didakwa "memadukan suami" di mana pada siang hari berada di rumah suami kedua dan malam di rumah suami pertama seperti didedahkan oleh adik iparnya, Ekin Derahim jelas mengejutkan masyarakat.