Mahu seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah peribahasa yang boleh diberikan kepada Muhammad Azamirudin Ismail ini. Dalam usia yang masih muda dan mempunyai masalah ketidakupayaan yang tidak mengizinkan, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdikari dalam meneruskan kehidupan.

Mendalami kisah anak muda yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mungkin boleh menyuntik semangat buat mereka yang mempunyai masalah kelainan upaya. Apatah lagi, dalam usia 25 tahun, dia membuktikan kepada keluarga, saudara mara dan kawan-kawan yang dia mampu berdikari.

Jangan Malu

Bagi Azamirudin, dilahirkan dengan insan kurang upaya adalah satu anugerah istimewa untuknya. Malah, sesiapa sahaja tidak dapat lari daripada ujian Yang Maha Esa.

“Tidak dinafikan, kehidupan sebagai OKU mungkin merasa malu bila berdepan dengan situasi sekeliling dan pandangan sesetengah pihak tentang diri kita. Namun, kita tidak boleh mengharapkan persepsi ini berlarutan. Kita perlu berani mencuba kebolehan dan kemahiran yang ada bagi membuka pandangan masyarakat melihat keadaan dan kehidupan OKU yang sebenar,” kata Azamirudin dengan semangat.

Walaupun pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan ini tetapi Azamirudin beruntung kerana dia mendapat sokongan dan dorongan moral daripada keluarga untuk menyuntik keyakinan diri dalam membentuk kehidupan yang lebih baik dan berjaya.

“Bagi saya, sebagai seorang OKU, kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada keluarga, malah harus berdikari dan tidak terlalu banyak bergantung kepada mereka

“Alhamdulillah, sekarang ini saya lebih banyak menumpukan aktiviti kehidupan seharian dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan perumahan. Jika ada masa lapang, saya akan melakukan aktiviti bebas bersama keluarga, kawan-kawan dan komuniti setempat,” katanya tentang aktiviti harian yang dilakukan.

Jual Ikan Laga

Walaupun keadaan fizikalnya begini, Azamirudin langsung tidak patah semangat. Sebaliknya, dia telah menceburi bidang keusahawanan sejak berusia 14 tahun lagi dengan menjual pelbagai koleksi jenis ikan hiasan, Ikan Laga.

“Pada mulanya, saya jadikan ia sebagai hobi membela ikan hiasan ini. Tidak disangka ia boleh menjadi sumber pendapatan untuk saya. Kini, saya mempunyai beberapa produk perniagaan lain seperti menjual perlbagai kasut kanak-kanak dan dewasa,” katanya yang menjalankan perniagaan di pasar malam atau pasar tani yang berdekatan dengan perumahannya.

Jual Ikan Laga Sejak 14 Tahun, Azamirudin Tak Pernah Rasa Malu

Sertai Kumpulan Buskers

Bukan itu sahaja, Azamirudin turut menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan daripada pihak NGO atau persendirian kepada kawan-kawan yang senasib. Malahan, dengan bakat yang ada, Azamirudin mengisi masa menyertai kumpulan Buskers (Kapok Buskers) melalui persembahan nyanyian di kawasan Sungai Petani.

“Sama ada mingguan atau bulanan, saya dijemput untuk menyampaikan beberapa buah lagu dan ceramah motivasi kepada pengunjung yang hadir. Secara tidak langsung, kumpulan Buskers telah memberi ruang untuk saya sebagai OKU menonjol diri di khalayak masayarakat.

“Dengan kehadiran saya sebagai OKU dalam membuat persembahan, sedikit sebanyak menjadi perhatian dan pembakar semangat kepada golongan belia untuk melakukan tugas-tugas amal seperti ini,” katanya yang turut menjadi Presiden Kelab OKU daerah Kuala Muda Kedah.

Jual Ikan Laga Sejak 14 Tahun, Azamirudin Tak Pernah Rasa Malu

Ikut Kehendak & Keupayaan Diri

Walaupun keadaan fizikal Azamirudin tidak seperti orang yang normal tetapi dia bersyukur dengan pencapaian yang diperolehinya.

“Alhamdulillah, saya amat berbangga dengan apa yang saya capai setakat ini. Berkat doa dan dorongan ibu yang banyak membantu untuk saya terus berusaha dan berikhtiar menjadi yang terbaik dalam hidup ini.

“Buat kawan-kawan OKU di luar sana, yakin dan berusahalah untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Teruskan mencuba dalam apa jua bidang mengikut kehendak dan keupayaan diri bagi memastikan matlamat dan kejayaan menjadi milik kita suatu hari nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI